Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Suntikan vaksin termasuk dalam konsep berusaha dan bertawakal yang dipuji

Pemvaksinan rakyat S’pura sudah pun bermula dengan seberapa ramai orang digalakkan menjalani vaksinasi bagi mencegah COVID-19. Namun mengapa masih ada keraguan sesetengah orang terhadap vaksin dan apa yang boleh dilakukan untuk mengatasinya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Suntikan vaksin termasuk dalam konsep berusaha dan bertawakal yang dipuji

Satu dos vaksin BioNTech dan Pfizer diberikan. (Gambar: BioNTech/Reuters)

BERITAmediacorp: Pemvaksinan rakyat S’pura sudah pun bermula dengan seberapa ramai orang digalakkan menjalani vaksinasi bagi mencegah COVID-19. Namun mengapa masih ada keraguan sesetengah orang terhadap vaksin dan apa yang boleh dilakukan untuk mengatasinya?

Ada beberapa sebab mengapa sesetengah orang termasuk sebahagian masyarakat Muslim Singapura berkeberatan untuk mengambil suntikan vaksin. Antaranya kerana sebab-sebab kesihatan dan juga keagamaan.

Dari segi kesihatan, ada keraguan terhadap manfaat vaksin COVID-19 berbanding risikonya. Ia mungkin kerana sifatnya yang masih baru dan proses pengeluarannya yang tergesa-gesa kerana tekanan situasi yang ada sekarang ini.

Ada juga yang menolak pengambilan apa jua vaksin kerana menganggap sifatnya yang lebih memudaratkan.

(Gambar: AFP/ERNESTO BENAVIDES)

Bagi sebab keagamaan pula, ada yang beranggapan bahawa vaksin ini mengandungi bahan dari najis khinzir yang haram untuk dimasukkan ke dalam tubuh Muslim.

Bagi membetulkan tanggapan tentang hukum agama dalam soal mengambil vaksin COVID-19, Jawatankuasa Fatwa yang diketuai oleh Mufti Negara mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin tersebut adalah harus walaupun penghasilannya mungkin menggunakan enzim daripada khinzir.

Alasan membenarkannya kerana:

a) kadar kandungan bahan najis adalah terlalu rendah hingga boleh dianggap ia sudah termusnah (istihlak) oleh bahan-bahan lain yang lebih banyak dan oleh proses penghasilan vaksin itu;

b) Islam membenarkan berubat dengan bahan yang mengandungi sedikit bahan yang haram bagi meraih manfaat atau mengelak mudarat yang lebih besar;

c) hukum yang difatwakan konsisten dengan fatwa berkaitan suntikan vaksin sebelum ini yang telahpun diambil oleh ramai Muslim bagi tujuan menunaikan umrah dan haji dan mengubat penyakit lain.

HUJAH TAWAKAL

Namun, masih terdapat sebahagian dari kalangan sesetengah orang yang merasa skeptikal dan memberi alasan pula dengan hujah tawakal. Mereka berhujah bertawakal itu lebih baik dalam hal ini daripada mengambil vaksin yang tidak 'suci' atau tidak jelas manfaatnya.

Bahkan sejak awal berlaku wabak di Singapura, hujah tawakal telah diguna pakai oleh sebahagian anggota masyarakat Muslim bagi membantah pelbagai langkah kawalan dan pencegahan wabak yang membabitkan ibadah dan masjid-masjid.

Para jemaah mengerjakan solat Jumaat di Masjid Mujahidin pada 28 Ogos 2020. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mereka menolak keperluan masjid ditutup, pembatasan jumlah yang boleh menghadiri solat jemaah dan Jumaat, penutupan kelas-kelas agama dan syarat-syarat ketat bagi melakukan majlis pernikahan dan pengendalian jenazah.

Ini semua sebenarnya merupakan salah fahaman terhadap konsep tawakal dan oleh itu salah fahaman ini haruslah diperbetulkan.

KEPENTINGAN TAWAKAL

Tawakal memang ajaran Islam sebagaimana yang dapat dilihat pada jumlah dalil yang banyak dari Al-Quran dan hadis. Salah satu bukti kepentingannya, ia adalah satu sebab bagi manusia mendapat kasih Allah (Al Imran: 159).

Namun ajaran murni memerlukan kefahaman yang betul untuk memberi kesan positif pada kehidupan manusia.

(Gambar: Agensi berita)

Realiti kehidupan menunjukkan konsep tawakal boleh menatijahkan kesan negatif disebabkan kesilapan dalam memahaminya.

Misalnya, sikap fatalisme (iaitu fahaman yang hanya berserah pada sesuatu keadaan semata-mata tanpa perlu usaha mengubah kepada yang lebih baik), atau berusaha tanpa ambil kira hukum sebab dan musabab bagi sesuatu objektif dan juga berusaha tapi dengan ala kadar sahaja.

Tawakal juga telah disalahfahami hingga menjadikan seseorang itu ingin melakukan sesuatu kebaikan atau ibadah tanpa peduli kemungkinan bahaya dari sumber-sumber luar yang boleh menimpa diri sedangkan banyak petanda jelas mengenainya.

INTIPATI KONSEP TAWAKAL

Yang tepat ialah intipati pada ajaran tawakal dalam Islam bukan pada konsep berserah, tapi pengakuan manusia akan ketidaksempurnaan pada dirinya.

Oleh itu, segala usaha hendaklah disertakan dengan kebergantungan kepada Tuhan atau pengakuan bahawa manusia bukan penentu mutlak pada usahanya.

Dengan itu juga, kesibukan untuk mencapai tujuan hidup tidak melupakan diri dari memelihara hubungan dengan Allah melalui doa dan ibadah yang berterusan. Apabila berjaya mencapai tujuannya pula, manusia tidak merasa sombong dan angkuh kerana merasa kejayaannya adalah kerana usaha sendiri semata-mata sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Sulaiman (Al-Naml: 19, 40) dan contoh sebaliknya pula oleh Qarun (Al-Qasas: 78).

Berserah kepada Tuhan (bertawakal) pula bukan bermaksud berserah kepada iradah (kehendak)Nya semata-mata. Ia juga bermaksud berserah kepada hukum alam (proses sebab dan musabab) yang telah Allah wujudkan yang dapat diketahui melalui pemerhatian dan kajian kerana ketentuan Allah (takdir) tidak berlaku secara rambang, walaupun ia tidak mustahil di sisiNya.

Pada dasarnya, Allah menghendaki segala ketentuanNya berlaku melalui proses sebab dan musabab yang tercapai melalui usaha manusia. Maka manusia yang lapar perlu menyuap makanan yang ada di hadapannya, bukan melihat atau dan berserah sahaja agar Allah menghilangkan kelaparannya.

Berdoa dan solat sahaja tidak akan menghilangkan lapar, tanpa usaha menyuapkan makanan ke mulut. Tidak dinafikan, perkara di luar kebiasaan berlaku dan harus di sisi Allah, tetapi ia bukan hukum asasi untuk dijadikan sandaran.

USAHA DAHULU

Oleh kerana berserah pada Tuhan juga meliputi berserah pada hukum sebab dan musabab yang Allah cipta, berusaha adalah satu keperluan dan bukan percanggahan dengan tawakal.

Memadai di sini dibawakan tiga dalil Al-Quran yang mengisahkan hamba-hamba Allah yang soleh yang berusaha sebelum bertawakal sebagai contoh.

Pertama, firman Allah menasihati Nabi dalam berinteraksi dengan sahabatnya setelah mengalami kekalahan dalam Perang Uhud:
“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah…” (Al Imran: 159). Ayat ini memberitahu Nabi agar kekalahan yang dialami tidak menyebabkan dia meninggalkan apa yang telah dia lakukan bersama para sahabatnya sebelum terjun ke medan perang, iaitu bermesyuarat untuk merancang strategi perang dan mengambil langkah-langkah yang perlu.

Ia mengingatkan Nabi agar kekalahan yang pahit tidak menyebabkan dia condong untuk buat keputusan hanya berdasarkan fikiran dia sahaja.

BUAT KEPUTUSAN

Allah mendahulukan “bermesyuaratlah” dan “berazamlah” sebelum perintah bertawakal dan ulama tafsir berpendapat “berazam” bermaksud membuat keputusan setelah berusaha menimbangkan segala perkara melalui proses permesyuaratan dengan pihak-pihak yang berwenang.

Kedua, firman Allah yang menceritakan nasihat Nabi Yaakob a.s. kepada anak-anaknya sebelum mereka berangkat ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan bagi kabilah mereka semasa zaman kemarau.

Beliau menganjurkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpecah kepada beberapa kumpulan dan memasuki Mesir melalui pintu masuk yang berbeza-beza supaya jika apa jua bencana yang bakal menimpa tidak berlaku ke atas mereka semua.

Paling kurang sebahagian masih dapat pulang dengan bekalan yang didapati. Setelah itu, baru beliau menasihatkan anak-anaknya untuk bertawakal kepada Allah (Yusuf: 67).

BUKAN BERSERAH SAHAJA

Ketiga, firman Allah yang menceritakan tentang penghuni gua setelah terbangun dari tidur yang lama dengan salah seorang daripada mereka ditugaskan pergi ke kota bagi mengintai keadaan di sana.

Dia juga diarahkan membeli makanan untuk mereka semua serta dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan berselindung agar tidak dikenali bagi mengelak dari ditangkap oleh raja yang zalim hingga menyebabkan mereka semua bakal disiksa agar meninggalkan iman kepada Allah (Al-Kahf: 19-20).

Kesemua ini memberi rumusan bahawa tawakal:

a) bukan bermaksud berserah tanpa usaha walaupun jika seseorang itu beriman bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Perkasa dan Berkuasa untuk melindungi hamba-hambaNya, dan

b) tidak menafikan keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga daripada bahaya walaupun pada ketika ia ingin melakukan perkara baik dan benar, sebagaimana sabda Nabi kepada pemilik unta, “Ikat (unta kamu) kemudian bertawakallah.” (Riwayat Al-Turmuzi)

USAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH

Usaha sebelum tawakal bukan pula bermaksud berusaha sebagai syarat sahaja, atau sebagai “usaha ala kadar”.

Pertama, apa jua usaha mestilah memenuhi hukum sebab dan musabab yang dapat diketahui melalui kajian-kajian saintifik oleh pakar dalam setiap bidang.

Ini adalah pelajaran yang Allah berikan dari kisah Zulqarnain seorang raja yang berkuasa melalui pengetahuan tentang sebab musabab sesuatu perkara dan kemampuan dia untuk memenuhi hukum itu sebagai pelajaran bagi sekalian manusia tentang jalan untuk mencapai apa jua kejayaan di dunia ini (Al-Kahf: 84-5).

Kedua, Islam anjurkan Muslim untuk memenuhi dua perkara dalam apa jua usaha, a) ihsan (usaha dengan cemerlang/sungguh-sungguh) dan b) itqan (usaha dengan tekun).

Allah mahukan umat Islam sebagai khair ummah (umat yang terbaik/cemerlang, Al Imran: 110) kerana dengan memenuhi sifat sedemikian umat Islam secara amalinya dapat mempengaruhi umat lain, dihormati dan dicontohi dalam segala aspek kehidupan sebagaimana yang pernah tercatat dalam sejarah dahulu.

JANGAN ALA KADAR

Tidak mungkin umat Islam mencapai status khair ummah jika segala usaha dalam hidup hanya ala kadar atas alasan tawakal.

(Gambar: Unsplash)

Jika Muslim dianjurkan untuk amalkan ihsan ketika menyembelih binatang seperti yang disebut dalam sebuah hadis, pastinya ia lebih dianjurkan apabila melakukan kerja-kerja yang lebih penting dan mulia dari itu. Ihsan dalam hadis ini bukan bermaksud kasih sayang sahaja, tapi juga bermaksud melakukan yang terbaik.

Itqan pula disebut dalam hadis, “Allah suka kepada seseorang, apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (itqan).” (Riwayat Al-Tabrani)
Itqan adalah saudara kembar bagi ihsan. Walaupun kedua-duanya adalah entiti berbeza, tapi mempunyai kaitan yang erat kerana ihsan (mencapai kecemerlangan) tidak wujud tanpa itqan (ketekunan) dan salah satu manifestasi ihsan pula ialah melakukan sesuatu dengan itqan.

KESIMPULAN

Konsep tawakal bukan hanya berserah semata kepada takdir Tuhan tapi juga berserah pada hukum sebab musabab ciptaanNya.

Untuk memenuhi sebab musabab itu memerlukan usaha yang bukan dikerah sebagai syarat semata-mata, tapi dengan penuh kesungguhan dan ketekunan.

Maka mengambil suntikan vaksin COVID-19 adalah termasuk dalam konsep berusaha dan bertawakal yang dipuji agama.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan