Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Sumbangan guru tidak ternilai dalam membentuk masyarakat berdisplin & cemerlang

Cikgu Ros (Pendekar Bujang Lapok), Encik John Keating (Dead Poets Society), Puan Louanne Johnson (Dangerous Minds) dan berbagai-bagai lagi watak guru yang telah dipaparkan dalam filem-filem dan mereka semua ada satu persamaan – mereka adalah sumber inspirasi. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cikgu Ros (Pendekar Bujang Lapok), Encik John Keating (Dead Poets Society), Puan Louanne Johnson (Dangerous Minds) dan berbagai-bagai lagi watak guru yang telah dipaparkan dalam filem-filem dan mereka semua ada satu persamaan – mereka adalah sumber inspirasi.

Setiap satu filem itu telah menggambarkan betapa pentingnya peranan guru dalam membentuk sebuah masyarakat yang cemerlang, berdisiplin, berjaya dan beradab.

Memang jauh kalau dibandingkan antara peranan guru dulu dan sekarang.

Definisi seorang guru semasa zaman dahulu dinyatakan dengan jelas dan dipraktikkan sebegitu.

Matlamatnya, memastikan setiap anak didik mereka mencapai prestasi tertinggi, semampunya, dalam mata pelajaran yang diajarkan. Keputusan ujian dan peperiksaan yang diraih oleh para murid dan pelajar mereka menjadi kayu ukur kepada tahap kejayaan sesuatu kumpulan atau kohort pelajar.

SEBAGAI PAKAR ISI KANDUNGAN MATA PELAJARAN

Related article image
Seorang guru mengajar murid-muridnya dalam bilik darjah di sebuah sekolah rendah. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Tidak kira sama ada seseorang guru itu mengajar mata pelajaran sains atau ilmu hisab atau sastera, seseorang guru itu memang terlatih dalam bidang masing-masing.

Seterusnya, usaha meningkatkan kepakaran dalam jurusan mereka menjadi keutamaan nombor satu. Pada masa itu, kondisi seperti gangguan hiperaktif kekurangan perhatian atau ADHD, anoreksia, autisme dan lain-lain lagi tidak begitu diketahui dan tahap pemahamannya di sini masih cetek.

Disebabkan oleh kekurangan kecekapan guru-guru kita pada ketika itu dalam menangani cabaran-cabaran tersebut, ramai murid dan pelajar yang mengalami kondisi tersebut tidak dapat dikenal pasti dengan betul dan mereka dianggap sebagai murid-murid malas atau nakal.

SEBAGAI PENGUAT KUASA DISIPLIN

Guru-guru pada masa itu sering bersikap tegas terhadap murid-murid dengan tujuan untuk memupuk disiplin di sekolah. Mereka sering dilihat dengan rotan yang digunakan untuk menyebat meja atau papan hijau jika suasana dalam bilik darjah menjadi tidak terurus. Hukuman yang dikenakan ke atas murid yang melakukan kesilapan padai zaman dahulu pula seperti ketuk ketampi, berdiri di atas kerusi dan sebagainya dan tidak pernah disoal oleh pihak ibu bapa. Malah, sering kita terdengar ibu bapa bukan sahaja menyokong hukuman yang dikenakan terhadap anak mereka, malah mereka juga akan “menambah” hukuman di rumah.

Saya masih ingat pada satu ketika dahulu, ibu bapa akan berasa bimbang sekiranya mereka menerima nota atau panggilan telefon daripada pihak sekolah. Mereka akan menyangka anak mereka telah melakukan satu kesalahan besar sehinggakan mereka terpaksa dipanggil ke sekolah untuk berjumpa dengan guru atau guru besar.

Sangkaan seperti itu tidak jauh dari keadaan sebenar kerana pada zaman dahulu, interaksi antara guru dan ibu bapa memang amat jarang sekali kecuali jika berlaku sesuatu perkara buruk yang melibatkan anak mereka.

Memang… itu dahulu.

Related article image
(Gambar fail: MOE)

Dengan peredaran masa, keadaan sudah banyak berubah. Ibu bapa dan pihak sekolah saling berhubungan bukan hanya jika ada perkara yang kurang elok berlaku, tetapi secara berkala dan terbuka melalui pelbagai platform.

Guru-guru kini lebih bersedia menerima permintaan ibu bapa untuk berkomunikasi secara langsung bagi membincangkan kelakonan dan pencapaian anak-anak mereka. Ini adalah satu amalan yang memberangsangkan kerana perkongsian usaha mendidik ternyata lebih berkesan, tetapi jika komunikasi itu tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjejas tumpuan guru-guru terhadap tugas utama mereka sebagai seorang pendidik.

Sudah banyak yang berlaku di mana ada pihak ibu bapa yang memonopoli masa guru dengan menuntut perhatian yang bukan-bukan dan tidak terhingga dengan perkara-perkara yang remeh. Ada juga ibu bapa yang bertindak lebih serius sehingga membuli guru anak mereka. Ternyata kejadian seperti ini agak kecil tetapi tingkah laku yang mengancam ini akan menjejas kesihatan mental dan emosi guru-guru kita.

Related article image
Pencalonan dibuka untuk Anugerah Guru Arif Budiman 2019. (Gambar fail: Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid)

Walaupun tanggungjawab rasmi guru-guru adalah mengajar kurikulum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE), peranan tidak rasmi guru juga sudah berkembang kepada peranan seorang pembimbing.

Ini amat ketara sekali apabila kita melihat cara guru-guru mendampingi anak didik mereka. Mereka mendidik dengan cara yang menyeluruh dan menekankan pentingnya kemahiran berfikir secara kritis untuk memahami isi pelajaran. Lebih jauh dari itu, denda dan hukuman untuk memperbaiki atau memperbetulkan sesuatu kesilapan bukan lagi dijadikan model utama dalam strategi pendidikan mereka.

SEBAGAI SUMBER INSPIRASI

Related article image
(Gambar: MUIS)

Disebabkan oleh pendekatan guru-guru yang tidak lagi bergantung kepada keterampilan garang mereka terhadap murid-murid mereka untuk mengurus bilik darjah, kemesraan dan sikap hormat murid dan pelajar terhadap guru-guru mereka dengan secara tak langsung akan meningkat.

Mereka akan menyifatkan guru-guru mereka sebagai sumber motivasi untuk terus mengecapi kejayaan demi membanggakan guru-guru mereka.

SEBAGAI SUMBER KEBIJAKSANAAN

Related article image
(Gambar: AFP)

Apabila seseorang guru kerap memberi perangsang dan tidak berprasangka buruk terhadap murid-murid yang menghadapi kesulitan untuk memahami mata pelajaran yang diajar, tahap kepercayaan terhadap guru akan meningkat.

Murid-murid akan merasakan yang guru mereka adalah seseorang yang bijaksana dan amanah dan akan mendekati mereka untuk meminta nasihat. Tidak hairanlah jika murid-murid dengan rela hati berbincang secara terbuka dengan guru tentang isu-isu yang mereka hanya dedahkan kepada orang yang mereka percaya. Maka itu, ia adalah satu penghargaan yang sangat besar bagi seorang guru apabila anak didiknya menaruh kepercayaan yang sebegitu tinggi pada mereka.

SEBAGAI PERAN CONTOH

Tidak semua yang bernasib baik dan mempunyai peran contoh di rumah mereka sendiri. Ini yang kadangkala menyebabkan seorang anak menghadapi cabaran yang tak terhingga dan berasa tertekan.

Ketika saat mereka memerlukan bantuan dan bimbingan daripada peranan ayah atau 'father figure' misalnya, guru-lah yang dikagumi sebagai peran contoh dan pengaruh serta kesannya terhadap seseorang murid bukan setakat buat ketika itu saja, malah buat jangka panjang.

AKHIR SEKALI, JASA GURU

Related article image
Guru Bahasa Melayu di prasekolah, Norhaizahwati Mohd, sewaktu mengajar di kelas pada 2017. (Gambar fail: TODAY)

Guru telah menyentuh kehidupan kita dengan keikhlasan dan kesungguhan mereka semasa mendidik kita. Saya percaya setiap guru akan sentiasa mengharapkan murid dan pelajar mereka akan menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada masyarakat. Pastinya itulah yang mendorong mereka untuk terus berkhidmat sebagai seorang pendidik walaupun mereka berhadapan dengan tugas yang begitu mencabar.

Jika saya merenung kembali, bukan kejutan akibat pukulan rotan pada meja atau papan hijau yang menjadi antara kenangan yang generasi saya tidak dapat lupakan. Ia adalah senyuman lebar seorang guru yang bangga melihat kejayaan anak didik mereka, baik pencapaian besar mahupun kecil, yang membuktikan bahawa mereka sudah berhasil melaksanakan amanah mereka dengan sebaik mungkin.

Related article image

MENGENAI PENULIS: 

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita