Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sudahkah masyarakat dan institusi kita ‘mesra’ dengan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Umat Islam yang meyakini bahawa Islam menganjurkan nilai-nilai murni sejagat haruslah ke hadapan dalam melayan dan membela nasib OKU.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Umat Islam yang meyakini bahawa Islam menganjurkan nilai-nilai murni sejagat haruslah ke hadapan dalam melayan dan membela nasib OKU.

Misi Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam seharusnya menjadikan masyarakat Muslim dan institusi agamanya mesra dan inklusif dengan OKU.

Artikel ini mahu membicarakan beberapa contoh OKU dalam sejarah bagi menjelaskan layanan bagaimana yang patut dilakukan untuk mereka oleh masyarakat Muslim.

OKU memiliki hak yang sama bagi insan normal. Namun beberapa aspek perlu dipertegaskan memandang masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh OKU dalam masyakarat.

HAK-HAK OKU

(Gambar: Pixabay/MabelAmber)

Pertama, Islam menganjurkan adil dalam layanan. Ertinya tidak boleh ada diskriminasi terhadap OKU. Larangan ini dapat dilihat dalam teguran Allah taala terhadap sikap Rasulullah s.a.w yang kurang senang dengan kehadiran salah seorang sahabatnya Abdullah bin Um Maktum yang buta.

Rasullullah pernah menegur Um Maktum ketika beliau sedang melayan tokoh-tokoh Quraisy dengan tujuan menjinakkan hati mereka dengan Islam (Lihat `Abasa: 1-16).

Kedua, Islam anjur menjaga kehormatan dan maruah OKU yang sering terdedah kepada penganiayaan. Ertinya mereka tidak boleh dihina, diejek, dibuli dan diperlakukan sesuka hati.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah melaknat sesiapa yang sengaja menyebabkan seorang buta sesat jalan atau menunjukkan jalan yang salah kepadanya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah juga menjadikan sikap meremehkan orang lain sebagai satu kesombongan yang tercela (Riwayat Muslim).

BANTUAN DAN JAGAAN

Ketiga, Islam mewajibkan bantuan dan jagaan kepada OKU dalam urusan asasi kehidupan mereka dan menghilangkan apa jua kesulitan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan selamat.

(Gambar hiasan: Francine Lim)

Contohnya ialah penyediaan pembantu, makanan, khidmat kesihatan, tempat tinggal, pendidikan, pekerjaan dan skim-skim bantuan kewangan.

Allah taala ada berfirman dalam surah Al-Nur, ayat 61, yang menganjurkan satu bentuk bantuan bagi OKU, iaitu penyediaan makanan untuk mereka.

Ayat ini menggalakkan amalan rumah terbuka bagi OKU untuk menikmati makanan harian mereka. Dalam konteks hari ini, ia menjadi dasar bagi melaksanakan program “Soup Kitchen” bagi membantu yang kurang berkemampuan yang meliputi OKU.

Ruh pada ayat ini menjadi dalil bagi bentuk-bentuk bantuan lain untuk OKU. Sebagai contoh, sejarah pemerintahan Islam merakam inisiatif khallifa saidina Umar bin Al-Khattab, khalifah Al-Walid dari Bani Umayyah dan khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Bani Umayyah.

Mereka telah memerintahkan pendaftaran OKU dan yang memerlukan untuk diberikan mereka pembantu dan bantuan-bantuan lain.

Keempat, Islam juga mengakui hak pembangunan diri bagi OKU, iaitu masyarakat wajib menyediakan peluang pendidikan untuk mereka sama seperti individu normal yang lain.

Gambar fail seseorang di kerusi roda. (Gambar: ThinkStock)

Baik pendidikan yang bersifat akademik, vokasional atau agama, agar potensi yang ada pada OKU tidak terabai dan OKU dapat menjalani hidup mereka dengan lebih bermakna.

Kelima, Islam mensyariatkan rukhsah bagi OKU dalam menjalani kewajipan agama mereka seperti pengecualian daripada kewajipan tertentu dan hukum-hukum khusus untuk mereka.

Perincian bagi perkara ini bergantung kepada keadaan OKU itu dan kewajipan-kewajipan yang hendak ditunaikan yang tidak dapat ditulis di sini kerana keterbatasan ruang.

Yang penting ialah keringanan yang sah di sisi agama untuk OKU tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, bahkan wajib dipermudahkan untuk mereka menikmatinya.

Dalam semangat yang sama juga, masyarakat Muslim hendaklah berusaha untuk sentiasa mewujudkan kemudahan dan keringanan bagi OKU kerana Allah taala melakukan sedemikian kepada mereka dalam urusan ibadah mereka.

CONTOH DAN INSPIRASI

Bagi mengukuhkan apa yang dinyatakan di atas dan apa yang telah ditulis dalam bahagian pertama artikel lalu, perlakuan Rasulullah s.a.w terhadap para sahabatnya dari kalangan OKU boleh dijadikan contoh dan inspirasi.

Abu Ubaidah Abdullah bin Al-Jarrah

Beliau adalah sahabat kanan Rasulullah s.a.w. yang tempang kakinya. Walaupun demikian, beliau mendapat didikan yang sama seperti sahabat-sahabat lain sehingga mampu mencapai darjat salah seorang daripada sepuluh individu yang akan masuk syurga.

Beliau juga diberi gelaran “Amin Al-Ummah (Seorang Yang Dipercayai Bagi Umat Islam)” oleh Rasulullah s.a.w. Baginda juga memberi peluang kepada beliau untuk membangun diri dan berkhidmat dengan melakukan tugas penting seperti memimpin pasukan tentera, mengutip zakat dan menjadi wakil Rasulullah untuk mengajar Islam kepada kabilah-kabilah yang jauh dari Madinah.

Abdullah bin Um Maktum

Beliau adalah antara sahabat yang awal masuk Islam dan buta. Walaupun seorang OKU, Rasulullah s.a.w mempercayainya untuk menjadi wakil beliau mengurus hal ehwal umat Islam di Madinah ketika beliau keluar untuk memimpin operasi-operasi tentera.

Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi muazzin Rasulullah s.a.w di masjidnya.

`Amr bin Al-Jamuh

Beliau seorang sahabat yang tempang. Walaupun terkecuali dari kewajipan jihad kerana keadaannya sebagai OKU, beliau tetap mahu terlibat dalam Perang Uhud.

Oleh kerana kesungguhan dan keinginan kuatnya, Rasulullah s.a.w memberi pengecualian dengan memberi keizinan kepadanya sehingga beliau akhirnya terbunuh sebagai syahid.

Apabila menemukan jasadnya di medan perang Rasulullah s.a.w bersabda yang dia mendengar bunyi tapak kakinya (yang tempang) di syurga.

Julaybib

Beliau adalah seorang sahabat yang bertubuh kerdil dan mempunyai ketidaksempurnaan pada anggota tubuh yang lain. Kerana memahami bahawa Julaybib tetap seorang yang bernaluri biasa dan berhak untuk bahagia seperti insan yang lain, Rasulullah s.a.w menawarkan beliau berkahwin dan mencarikan calon seorang gadis yang solehah dan cantik.

Kisah perkahwinan Julaybib dengan gadis ini dirakam oleh Al-Quran sebagai pengajaran (lihat Al-Ahzab: 36). Rasulullah s.a.w juga tidak meminggir atau menafikan hasrat Julaybib untuk berjihad hingga beliau terbunuh sebagai syahid. Jasad beliau diangkat oleh Rasulullah s.a.w ke dalam kubur.

Bersama wanita pesakit mental

Anas melaporkan bahawa ada seorang wanita yang mengalami masalah mental berkata, “Wahai Rasulullah! Aku berhajat kepadamu.” Rasulullah s.a.w berkata, “Wahai Um Fulan! Pilihlah sudut jalan yang kamu selesa, supaya aku boleh memenuhi hajat kamu.”

Rasulullah s.a.w pun berdiri dengan wanita itu di sudut jalan yang dipilihnya sehingga wanita itu mendapat segala yang dihajatinya. (Riwayat Muslim)

Ertinya Rasulullah s.a.w melayan OKU dengan baik, tidak mendiskriminasi mereka, memberi peluang untuk mereka membangun diri dan menyumbang kepada masyarakat.

Baginda juga mengambil berat keadaan OKU, dan menilai OKU atas dasar merit (takwa dan sumbangan) hingga mereka dapat mencapai kedudukan mulia di sisi Tuhan

LAYANAN DAN PEMBELAAN

(Gambar: Masjid Sallim Matar)

(Gambar: Masjid Sallim Matar)

Umat Islam yang meyakini bahawa Islam menganjurkan nilai-nilai murni bagi manusia sejagat haruslah terkehadapan dalam soal layanan dan pembelaan kepada nasib OKU.

Hanya dengan bukti dalam bentuk amali, keindahan nilai-nilai murni ini benar-benar boleh dibuktikan untuk dijadikan contoh kepada yang lalin.

Maka dalam hal ini, langkah-langkah konkrit segera dan berjangka panjang perlu dibuat di peringkat institusi agama bagi mencapai tujuan ini.

Hendaknya ada pula di kalangan asatizah yang berinisiatif untuk mengkaji dan menulis buku fikih khusus bagi OKU dalam konteks hari ini supaya dapat dijadikan panduan dan rujukan dalam urusan ibadah mereka.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan