Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sudah tiba masanya Majlis Ulama Indonesia dipertanggungjawabkan atas penangkapan anggota JI

Selepas terbongkar anggota Majlis Ulama Indonesia (MUI) Ahmad Zain Al-Najah sebagai anggota Jemaah Islamiyah, MUI perlu mempertingkat usul periksa dan mengelak keangkuhan sebilangan pemimpinnya.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sudah tiba masanya Majlis Ulama Indonesia dipertanggungjawabkan atas penangkapan anggota JI

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar fail: AP)

BERITAmediacorp: Seorang anggota Majlis Ulama Indonesia (MUI) diberkas atas pelibatannya dalam Jemaah Islamiyah (JI). MUI perlu menjernihkan keadaan dengan menjelaskan bagaimana ia terlepas pandang selain melaksanakan rejim usul periksa yang lebih ketat dalam merekrut anggotanya.

Baru-baru ini, Detasemen Khusus 88 Antiteror Indonesia memberkas Ahmad Zain Al-Najah, anggota Majlis Ulama Indonesia (MUI). Dia diberkas kerana didakwa terlibat dalam pertubuhan pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Penangkapannya menggemparkan Indonesia. Sesetengah pihak menggesa agar MUI dipertanggungjawabkan.

Hakikat bahawa seorang anggota MUI mungkin terbabit dengan JI adalah sesuatu yang mengejutkan bagi sistem perbadanan agama Indonesia. Pucuk pimpinan MUI mendakwa institusi itu – ditubuhkan pada 1975 – adalah pertubuhan penaung yang mewakili kesemua pertubuhan Islam di Indonesia.

Peranan MUI termasuk mengeluarkan fatwa di peringkat negara, iaitu pada peringkat lebih tinggi berbanding badan-badan masyarakat seperti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah yang hanya mewakili para anggotanya saja.

Al-Najah pula adalah anggota suruhanjaya fatwa MUI. Dia juga menerima ijazah doktor falsafah dari Universiti Al-Azhar di Mesir dan giat dalam cabang Muhammadiyah di Mesir ketika beliau menuntut di sana. Selama beratus-ratus tahun lamanya, Al-Azhar menjadi pusat pengajian Islam moderat yang mendidik ulama-ulama terkemuka Indonesia.

MELEMAHKAN IMEJ SEDERHANA & MODERAT

Pemberkasan Al-Najah hanya melemahkan percubaan MUI untuk berganjak daripada imejnya yang dianggap konservatif dan sebaliknya menampilkan imej sederhana. Pada 2015, Ketua Umum MUI pada ketika itu, Din Syamsuddin berkata MUI mengusulkan Islam wasatiyyah atau kesederhanaan dan menolak segala bentuk ketegaran.

Namun tindak-tanduk dan percakapan sesetengah anggota MUI kadangkala bercanggah dengan imej sederhana yang didakwa diwakili MUI. Selepas kejatuhan rejim Orde Baru pada 1998, ia menegaskan fatwanya yang menolak aliran Ahmadiah sebagai murtad, mengisytiharkan Syiah sebagai di luar aliran utama Islam, melarang liberalisme, sekularisme dan pluralisme menerusi fatwa siPiLis pada 2005.

Pertubuhan-pertubuhan Islam konservatif seperti Front Pembela Islam (FPI), Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) dan Forum Umat Islam (FUI) juga diwakili dalam MUI.

Sebagai contoh, sosok-sosok konservatif seperti Ismail Yusanto, Adian Husaini, Ahmad Khaththath dan Cholil Ridwan pernah dipilih untuk menganggotai lembaga MUI kerana institusi itu ingin bersikap ‘inklusif’.

Kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin MUI mengusulkan peluasan syariah: menggalakkan perbankan dan kewangan Islam, pensijilan halal, gaya hidup patuh syariah dan pelancongan syariah dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membayangkan institusi-institusi perbankan dan kewangan konvensional sebagai bercanggah dengan ajaran Islam.

TIDAK PERNAH USUL PENGGANASAN

Sekalipun MUI mengusulkan ajaran Islam konservatif yang kadangkala bersangkut paut dengan penggunaan, MUI tidak pernah mengusulkan pengganasan.

Pada 2004, MUI menerbitkan fatwa melarang pengganasan dengan menyatakan pengganasan itu haram dan bukan sebahagian jihad. Bahkan sebagai respons kepada kecaman awam terhadap tindakan lemah MUI dalam saga Al-Najah, Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin mengatakan MUI adalah rakan negara dalam membanteras fahaman radikal.

Al-Najah berhasil merahsiakan keanggotaannya dalam JI sambil meneruskan pelibatannya dalam MUI.

Gambar: AFP

(Gambar fail: AFP)

Menyusuli pemberkasannya, MUI segera menjelaskan bahawa pelibatannya dalam JI adalah urusan peribadinya yang tiada sangkut paut dengan MUI.

Sungguhpun begitu, pendedahan oleh Densus 88 hanya menunjukkan bagaimana pertubuhan-pertubuhan fahaman tegar dan pengganas mampu menyusup masuk ke dalam MUI. Dahulu anggota-anggota NU dan Muhammadiyah membentuk sebahagian besar lembaga MUI.

Sejak 2010, kehadiran mereka kian berkurangan kerana MUI ingin bersikap lebih inklusif, termasuk dengan melibatkan suara-suara eksklusif.

Tentunya berita tentang pemberkasan Al-Najah mencetuskan kemarahan awam. Warga Internet menggesa agar MUI dibubarkan. Ramai antara mereka berpendapat tidak cukup bagi MUI untuk sekadar memberi penjelasan; mereka juga patut dipertanggungjawabkan.

KEANGKUHAN PUCUK PIMPINAN MUI

Para pemimpin MUI gagal menangani kritikan secara objektif dan sebaliknya menyifatkan pemberkasan Al-Najah sebagai sesuatu yang bukan membentuk persoalan atau bertindak secara defensif. Bahkan Anwar Abbas, Wakil Ketua Umum MUI, mulai bersikap agresif dengan mengatakan bahawa jika orang ramai meneruskan seruan agar MUI dibubarkan, Indonesia juga patut dibubarkan. Kenyataan Anwar itu membayangkan keangkuhan.

Para pemimpin MUI sepatutnya boleh berterus terang dan menjelaskan sepenuhnya peranan Al-Najah dalam pertubuhan itu, termasuk bagaimana dia disertakan dalam pertubuhan berusia 46 tahun itu, dan bila dia direkrut. Mereka boleh memanfaatkan peluang untuk memulihkan imej MUI yang sudahpun terpalit dengan kontroversi sebelum ini.

Pucuk pemimpin MUI sepatutnya dengan pantas memohon maaf dan bertekad untuk mempertingkat kaedah pengambilan anggota.

IKHTIAR MUI SETERUSNYA

Apa lagi yang mampu dilakukan MUI?

Sejauh ini MUI bergantung kepada pertubuhan-pertubuhan Islam untuk mengutuskan wakil-wakil. MUI mengandaikan bahawa pertubuhan-pertubuhan itu akan mengutarakan calon-calon terbaik untuk menganggotai MUI.

Namun seperti mana kelihatan dan kes Al-Najah, kaedah pengambilan anggota itu perlu diubah dan anggota-anggota baru perlu diperiksa.

Selain itu, MUI perlu memanfaatkan kes Al-Najah untuk menjauhkan pertubuhan itu daripada dakwaan-dakwaan melindungi anggota yang terbabit dengan JI dan sebaliknya menangani persekitaran yang membawa kepada pengganasan dan keganasan yang didorong fahaman tegar.

MUI juga boleh melaksanakan model tes wawancara kebangsaan bagi anggota-anggota baru. Pertama, ujian itu boleh digunakan untuk merungkai pandangan Islam anggota berkenaan. Kedua, ia juga boleh dimanfaatkan untuk menilai persepsi mereka terhadap kenegaraan dan kepelbagaian Indonesia. Dalam erti kata lain, langkah-langkah lebih ketat perlu dilaksanakan untuk memastiakn hanya calon-calon yang berkelayakan diterima masuk.

Namun seseorang dengan mudah boleh mencela: tidakkah ijazah Al-Najah dari Universiti Al-Azhar melayakannya sebagai seorang ulama?

Ini menjadikan ujian tersebut lebih penting untuk memahami kecenderungan dan pandangan agama terhadap pelbagai isu seperti kesaksamaan jantina, kepelbagaian budaya, kepelbagaian agama, keterbukaan terhadap amalan-amalan budaya tempatan dan konsepsi negara dan pentadbiran.

Meskipun MUI boleh menjauhkan pertubuhan itu daripada pengganasan, dan orang awam mampu menolak pembunuhan mangsa tidak bersalah sebagai bertentangan dengan ajaran Islam, orang awam mesti terus memintas peranan MUI dalam mengutarakan fahaman tegar walaupun tanpa keganasan.

Pokoknya semua tindakan pengganas bermula dengan pandangan-pandangan eksklusif: pandangan-pandangan tegar sedemikian terhadap golongan bukan Islam, mengisytiharkan pandangan alternatif sebagai murtad, atau berdiam diri ketika golongan-golongan minoriti Islam dibahayakan.

Dalam konteks itu, seruan untuk membubarkan MUI setelah salah seorang anggotanya dikaitkan dengan JI tidak berasas, tetapi untuk menyelamatkan institusi itu daripada pengaruh suara ekslusif adalah lebih mustahak.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Al-Najah’s Arrest: Time for MUI to Come Clean”.

MENGENAI PENULIS:
Syafiq Hasyim adalah Zamil Pelawat bagi Program Pengajian Indonesia, Institut ISEAS-Yusof Ishak. Beliau adalah pensyarah dan pengarah Pustaka dan Budaya di Universiti Islam Internasional Indonesia (UIII).

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan