Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: 'Suara Belia, Suara SG' - Memperkasakan belia melalui dialog membina

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: 'Suara Belia, Suara SG' - Memperkasakan belia melalui dialog membina

Belia yang menjalani program 4pm GEMS. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

BERITAmediacorp: Dalam dunia pascapandemik, belia tidak tahan sabar untuk memulakan semula enjin pemikiran dan tindakan mereka dalam bidang yang diminati dan kepakaran mereka.

Bagi golongan belia, saya percaya bahawa dunia pascapandemik menawarkan cabaran serta peluang untuk generasi akan datang.


Pandemik secara asasnya telah mengubah cara kehidupan, pembelajaran, bekerja dan berinteraksi sesama manusia.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar golongan muda kekal optimistik bahawa pemulihan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan daripada wabak adalah satu kemungkinan.

Dengan kebijaksanaan, keazaman dan sokongan daripada pihak-pihak berkepentingan seperti sekolah-sekolah, agensi perkhidmatan sosial, termasuk pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan pihak pemerintah, kita boleh mencari jalan penyelesaian untuk memastikan masyarakat kita muncul lebih kuat berbanding sebelum ini.

Laporan kemajuan ‘Global Youth Mobilization’ yang baru dikeluarkan, bertajuk “Powering Change: Young People Leading The COVID-19 Response and Recovery”, menunjukkan kuasa tindakan secara kolektif dan keputusan bersama - oleh Belia, untuk Belia.

Walaupun ia adalah masa yang sukar untuk semua orang, ia juga memberi belia peluang untuk merenungkan keutamaan mereka dan membayangkan masa depan yang mereka mahukan.

 
(Gambar: 4PM)

Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) sangat bersemangat untuk membentuk dan membayangkan masa depan kolektif Singapura.

Sebagai sebahagian daripada teras Pendidikan dan Pembangunan Belia persatuan itu, satu inisiatif untuk membangunkan pemimpin yang berfikiran dan bertimbang rasa, melalui Jawatankuasa Penglibatan Masyarakat (CEC) telah menganjurkan sesi fasilitasi setengah hari pada 28 Januari yang lalu.

Platform tersebut menyediakan ruang yang selamat dan berani untuk belia dari latar belakang yang berbeza (dari sekolah menengah, maktab rendah, Politeknik, ITE, mahasiswa universiti dan Madrasah) untuk berkumpul dan berkongsi pengalaman dan kebimbangan mereka.

Pelbagai topik menarik yang dibincangkan diperoleh daripada golongan belia itu sendiri untuk dikupas secara mendalam dan meluas.

Kesejahteraan Mental - Membongkar Stereotaip Kesihatan Mental Dalam Pelbagai Peringkat Kehidupan

Kesejahteraan mental adalah penting untuk kehidupan manusia.

Ia adalah salah satu kebimbangan utama belia kita di Singapura.

Terdapat banyak stereotaip dan mitos tentang kesihatan mental belia yang berterusan sepanjang peringkat kehidupan. Sebagai contoh, ada yang mengatakan bahawa masalah kesihatan mental belia tidak seserius masalah kesihatan mental dewasa ataupun masalah kesihatan mental belia hanyalah fasa semasa mereka membesar.

Malahan ada yang berkata masalah kesihatan mental belia adalah kerana kurangnya ilmu atau amalan agama.

Walau bagaimanapun, daripada sesi itu, belia lantang bersuara bukan sahaja untuk membongkar mitos kesihatan mental, tetapi juga membuka isu berkaitan seperti menetapkan batas dan memahami dengan siapa mereka memutuskan untuk berkongsi tentang isu kesihatan mental.

Walaupun kesedaran dan tempat untuk mendapatkan bantuan adalah penting, mengesahkan (validating) pengalaman hidup belia didapati yang paling penting.

Dan ibu bapa dan sekolah memainkan peranan yang besar dalam usaha untuk memahami golongan belia, untuk mengesahkan emosi mereka dan tidak menolak kesejahteraan mental belia dengan menggunakan psikologi songsang (reverse psychology) dan peneguhan negatif.

Kebolehkerjaan (Employability) – Pencarian Pekerjaan dan Cabaran Belia

Kebolehkerjaan belia adalah isu penting yang dihadapi banyak negara, terutamanya negara yang mempunyai kadar pengangguran belia yang tinggi.

Golongan muda yang mencari pekerjaan menghadapi beberapa cabaran yang menghalang mereka daripada mendapatkan pekerjaan, termasuk kekurangan pengalaman, ketidakpadanan kemahiran dan persaingan daripada calon yang lebih berpengalaman.

Di Singapura, belia boleh mengambil pelbagai peluang pekerjaan dan latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited (SGUJS).

Melalui Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI), 35,000 latihan, penempatan pekerja dan peluang latihan telah disediakan untuk pemohon kerja menimba kemahiran berkaitan industri yang boleh memastikan kebolehpasaran mereka.

Bagi graduan yang mungkin tidak dapat memperoleh pekerjaan dengan segera, Program Pelatih SGUnited memberi mereka peluang latihan yang dihoskan oleh syarikat.

Tetapi di sebalik memperoleh kemahiran baru, belia terutamanya mereka yang tergolong dalam Gen Z atau Zoomer, iaitu mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012, kini terbuka kepada realiti ‘quiet quiting’ dan kesannya.

'Quiet quiting' ataupun berhenti secara senyap-senyap merujuk kepada melakukan keperluan minimum pekerjaan seseorang dan tidak meletakkan lebih masa, usaha, atau semangat daripada yang diperlukan.

Berhenti secara senyap tidak bermakna berhenti kerja. Ia hanya bermaksud melakukan apa yang diperlukan dan kemudian meneruskan kehidupan anda - mempunyai lebih banyak keseimbangan antara kehidupan dengan kerja atau lebih dikenali sebagai 'work-life harmony'.

Belia juga berminat dengan konsep bekerja 4 hari seminggu dan aturan kerja yang fleksibel.

Walau bagaimanapun, mereka juga mengakui bahawa ini mungkin tidak berlaku untuk semua industri dan dalam masa terdekat disebabkan oleh budaya hiruk-pikuk Singapura.

Jadi sementara golongan Milenial (mereka yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996) sibuk didorong oleh gaji yang lebih tinggi disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, inflasi yang lebih tinggi, kadar faedah yang menjulang dan juga demi membina keluarga, golongan Gen Z pula sedang mempertimbangkan aturan kerja yang fleksibel dan 'quiet quitting' di mana kedua-duanya dilakukan untuk meraih mutu hidup yang lebih baik.

Kestabilan Kewangan Belia - Bergelut dengan Inflasi dan Gaya Hidup dan Golongan Sandwic

Kestabilan kewangan adalah aspek penting dalam kehidupan setiap individu, terutamanya bagi belia yang baru memulakan laluan kerjaya mereka dan mahu menyara diri dan keluarga.

Walau bagaimanapun, dalam dunia hari ini, kestabilan kewangan tidak semudah untuk dicapai seperti dahulu.

Gaya hidup belia juga telah berubah secara dramatik selama ini.

Mereka kini mungkin lebih tertumpu untuk mencapai gaya hidup yang selesa dan ada yang tidak ragu-ragu untuk berbelanja untuk aktiviti riadah seperti melancong, berhibur, menjamu selera di luar atau untuk meneruskan hobi dan minat mereka.

Namun, masalah timbul apabila perbelanjaan mereka melebihi pendapatan mereka.

Tambahan pula, di Singapura, dengan dinaikkan kadar GST sejak Januari 2023, ia telah memberi kesan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan tinggi, tetapi juga golongan berpendapatan rendah dan tiada pendapatan.

Apabila kuasa beli berkurangan, ia akan menyukarkan belia untuk mengekalkan gaya hidup yang diingini, yang mungkin merupakan bentuk saluran untuk kesejahteraan mental mereka.

Sebahagian besar golongan belia walau bagaimanapun mengakui bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang pengurusan kewangan dan kurang celik kewangan kerana ini bukan topik yang diajar di sekolah.

Yang mengejutkan ramai, belia ITE berkongsi mereka telah menghadiri pengurusan kewangan peribadi di sekolah. Jadi lebih banyak perlu dilakukan di institusi-institusi pendidikan yang lain.

Sesetengah daripada belia juga tergolong dalam kelas dan generasi sandwich (golongan pertengahan), iaitu mempunyai tanggungjawab kewangan untuk tanggungan, tersepit antara yang di atas dan di bawah mereka.

Golongan belia melihat pengorbanan ibu bapa mereka dalam menjaga generasi sebelumnya yang sudah tua serta menjaga mereka. Ada yang berkongsi bahawa melihat senario ini secara langsung telah mendorong mereka untuk lebih berhati-hati tentang perancangan kewangan dan memulakan lebih awal.
Mariam Jaafar bersama peserta belia di acara di Woodlands
Pandangan Belia Tentang Kemampanan - Menyingkap Ketidakpastian, Meningkatkan Kemampanan

Kemampanan telah menjadi kebimbangan yang mendesak bagi dunia masa kini dan atas sebab-sebab yang baik. Dengan pertumbuhan pesat teknologi, perindustrian dan globalisasi, kita telah menyaksikan peningkatan pada kemusnahan alam sekitar, kekangan sumber dan ketidaksamaan sosial.

Keprihatinan belia tentang kemampanan menjangkaui sekitaran.

Mereka memahami bahawa isu kemampanan melibatkan aspek kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Mereka sedar bahawa kita tidak boleh mencapai kemampanan dengan memberi tumpuan semata-mata kepada pemuliharaan alam sekitar tanpa mengambil kira aspek sosial dan ekonomi.

Penyelesaian yang dicadangkan oleh belia untuk kemampanan adalah melalui inovasi dan berfikiran ke hadapan.

Beberapa penyelesaian yang dicadangkan oleh golongan muda sudahpun diamalkan dalam ekonomi pekeliling (Circular Economy). Ekonomi pekeliling adalahh sistem penjanaan semula di mana sisa dikurangkan dan sumber digunakan, dikitar atau dijana semula.

Ekonomi pekeliling bukan sahaja menangani kemampanan alam sekitar tetapi juga mewujudkan peluang ekonomi baru dan menggalak kesaksamaan sosial.

Jadi sebagai contoh, usaha untuk mengurangkan sisa makanan contohnya program 'NTU Free Food and Food from the Heart' semuanya menunjukkan keinginan untuk mengurangkan pembaziran.

Belia juga menyokong penggunaan makanan yang mampan dan corak pengeluaran.

Mereka memahami bahawa corak penggunaan semasa kita tidak mampan dan membawa kepada kehabisan sumber dan kemerosotan alam sekitar.

Golongan muda mencadangkan corak penggunaan alternatif untuk mengenakan cukai ke atas pertanian yang tidak mampan, atau beralih kepada pengeluaran makanan alternatif seperti daging berasaskan tumbuhan atau serangga.

Golongan belia juga menyuarakan keprihatinan terhadap kontroversi daging yang dihasilkan di makmal untuk dijual di pasaran.

Lebih daripada itu, kesedaran tentang kemampanan diharap akan dapat membangkitkan minat mereka terhadap teknologi pertanian atau 'agritech', bidang pertumbuhan yang melibatkan penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan hasil pengeluaran, meningkatkan kualiti makanan dan menggalak kemampanan dalam rantaian nilai makanan pertanian.

Untuk mencapai kemampanan, kita perlu memastikan golongan muda mempunyai suara dan didengari dalam proses membuat keputusan. Intinya adalah menjadi manusia yang prihatin terhadap bumi kita ini.
 
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bercakap di Forum Belia CNA. (Gambar: Jeremy Long/CNA)
Membina Ketahanan Belia

Lebih daripada isu-isu di atas, kami mahu golongan belia mempunyai penghargaan yang lebih mendalam terhadap isu-isu di dalam negara yang saling bersangkut paut dengan apa yang berlaku di peringkat global.

Sebagai contoh, bagaimanakah Singapura mampu berkembang, walaupun terdapat pelbagai isu dalaman dan ketidakstabilan luaran akibat konflik dan sikap nasionalisme yang tidak terkawal.

Belia perlu mengguna pakai model daya tahan ataupun daya bingkas Singapura – ketahanan kewangan, ketahanan organisasi dan ketahanan sosial.

Ketahanan kewangan merujuk kepada bagaimana Singapura dapat membina rizabnya walaupun tidak mempunyai sebarang sumber asli dan kawasan pedalaman.

Ketahanan organisasi merujuk kepada keupayaan untuk menjangka, bersedia, bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan gangguan secara tiba-tiba untuk terus hidup secara bermakna dan berkesan. Pandemik adalah contoh yang baik bagaimana kita bersatu di belakang barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.

Ketiga adalah daya tahan sosial, iaitu menyatukan manusia selepas bencana, menyokong satu sama lain secara sosial, menyedari risiko yang dihadapi oleh masyarakat dan membina semangat kemasyarakatan.

Bak pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Peribahasa ini perlu dijadikan pegangan hidup untuk golongan belia kita. Semoga apa jua cita-cita mereka mendapat sokongan padu daripada masyarakat dan tercapai impian kita satu hari nanti sebagai sebuah masyarakat yang gemilang.
MENGENAI PENULIS:
Nassar Mohd Zain adalah ketua Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Singapura. Beliau adalah lulusan jurusan seni bina Universiti Nasional Singapura (NUS). Baru-baru ini, beliau dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan