Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sokongan bagi kegiatan bahasa dan sastera semakin kukuh

Bulan Bahasa 2018 telah mencatat kejayaan yang luar biasa. Bukan saja dari segi jumlah peserta yang menjangkaui 30,000 orang, bahkan bilangan kegiatan yang dianjurkan turut berlipat ganda.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sokongan bagi kegiatan bahasa dan sastera semakin kukuh

(Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura/Facebook)

BERITAmediacorp: Bulan Bahasa 2018 telah mencatat kejayaan yang luar biasa. Bukan saja dari segi jumlah peserta yang menjangkaui 30,000 orang, bahkan bilangan kegiatan yang dianjurkan turut berlipat ganda. Semua ini dijangka akan terus meningkat, menurut pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim, lebih-lebih lagi di bawah gabungan tenaga inisiatif . Tulisan beliau berikut memberi gambaran tentang pelbagai kegiatan kebahasaan yang bakal dianjurkan pada 2019.

(Gambar: MLLPC Secretariat/Facebook)

(Gambar-gambar: MLLPC Secretariat/Facebook)

Sedang 2018 menyaksikan sambutan hangat dari setiap lapisan masyarakat, tahun hadapan menjanjikan banyak lagi kegiatan kebahasaan lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan tenaga di bawah inisiatif M³.

Tahun 2018 hampir sampai di penghujung dan tidak lama lagi, kita akan menyambut 2019.

Tahun ini, saya dapat merasakan sambutan hangat daripada pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat terhadap program-program bahasa, sastera dan budaya Melayu yang dilakar dan dianjurkan oleh pelbagai badan Melayu/Islam dan pertubuhan masyarakat.

Bahkan, ada kalanya program-program kebahasaan yang dilakarkan berlangsung pada hujung minggu yang sama.

Hal ini membuktikan betapa meriahnya kegiatan bahasa di negara kita.

Bertali arusnya kegiatan-kegiatan bahasa untuk masyarakat kita akan membuat kita rasa bahawa bahasa Melayu terus digunakan dalam persekitaran kehidupan kita dan menjadikan bahasa Melayu itu bahasa yang hidup di Singapura.

Saya sendiri terlibat secara langsung sama ada sebagai tetamu, ahli panel perbincangan, peserta dalam pembikinan video dan sebagainya.

Banyak sekali perkara dan ilmu yang saya pelajari – aspek bahasa, budaya dan persuratan Melayu seperti perkataan-perkataan baharu, puisi, dan makna dalam seni dan budaya Melayu.

Setiap kegiatan yang saya hadiri memberi saya pengetahuan baharu.

PELBAGAI PENGANJUR KEGIATAN

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) adalah antara pertubuhan utama yang menganjurkan kegiatan-kegiatan yang menyediakan suasana bahasa Melayu di Singapura.

Terdapat banyak juga kegiatan yang dianjurkan sepanjang tahun oleh agensi-agensi pemerintah dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat.

Contohnya, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) – Bacalah Singapura! (Read Singapore!), Majlis Seni Kebangsaan (NAC) – Pesta Seni (Arts Fest), MBMS – Bulan Bahasa, MLLPC – Fiesta Bahasa, MOE – Simposium Bahasa Ibunda dan banyak lagi persidangan, seminar, forum, bengkel, pelancaran buku dan sebagainya yang dianjurkan sepanjang tahun.

Dengan adanya pelbagai penganjur kegiatan bahasa, sastera dan budaya, terdapat juga pelbagai fokus, peserta sasaran dan matlamat yang hendak dicapai.

Pada dasarnya, setiap kegiatan ini mewarnai suasana penggunaan bahasa Melayu tanah air dan saling mengukuhkan usaha bersama ini.

BERMULA AWAL TAHUN

Dahulu, kebanyakan kegiatan Bulan Bahasa dianjurkan sepanjang Bulan Bahasa, lebih kurang sebulan lamanya. Kini, banyak sekali kegiatan yang berlangsung seawal Januari.

Pada bulan Januari, Duta-Duta Bahasa kita sudah memulakan kempen dengan mengadakan kegiatan-kegiatan di sekolah-sekolah.

Kadangkala, dengan para DJ daripada stesen radio Warna dan Ria. Tambahan lagi, Rakan-Rakan Bahasa mula menjalankan tanggungjawab sebagai penggalak penggunaan bahasa Melayu seawal Mei 2018.

Hampir 300 orang pelajar menjadi Rakan Bahasa tahun ini. Jumlah yang tertinggi sejauh ini!

Bukan sahaja Bulan Bahasa bermula awal, kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa juga dijalankan sehingga akhir Oktober.

Kegiatan bahasa yang biasanya dijalankan di peringkat Nasional, sekarang dianjurkan dan disebarluaskan ke kawasan GRC dan Majlis Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Dengan tempoh kegiatan Bulan Bahasa semakin panjang dan jangkauan kegiatan semakin meluas, masyarakat lebih prihatin akan pentingnya Bulan Bahasa sebagai suatu kegiatan tahunan yang ikonik.

Hampir 30,000 orang menyertai dan terlibat dalam kegiatan Bulan Bahasa tahun ini. Satu angka yang cukup membanggakan, belum termasuk mereka yang terlibat dalam alam siber.

JANGKAUAN LEBIH JAUH 

Jangkauan Bulan Bahasa mungkin tidak dapat dilakukan dengan meluas sekiranya tidak dibantu oleh Internet, terutama sekali wadah media sosial.

Dengan jumlah para penduduk Singapura yang memiliki telefon bimbit meningkat, ramai warga Singapura mempunyai akses untuk menggunakan bahan-bahan dan maklumat tentang kegiatan bahasa.

Selain penghantaran maklumat ke media sosial, jangkauan maklumat berlipat ganda apabila maklumat tersebut disukai (‘like’) dan dikongsi dengan pengguna yang lain.

Cabaran Gerak Tari Bulan Bahasa bukan sahaja mengajak masyarakat menggunakan bahasa Melayu, bahkan ikut serta dalam kegiatan budaya secara langsung.

Hal ini termasuk penghantaran gambar dan video kegiatan yang telah dijalankan. Malah, banyak juga penstriman langsung video yang mendapat perhatian ramai.

Hal ini bermakna, kita telah memanfaatkan Internet dan media sosial dengan sebaik-baiknya. 

Suatu wadah yang tidak wujud beberapa tahun yang lalu.

Pada masa yang sama, kita berupaya melibatkan kumpulan pengguna bahasa Melayu yang lebih muda kerana mereka lebih mesra dengan Internet dan media sosial.

PELIBATAN MURID, GURU DAN IBU BAPA

Selain MBMS, MLLPC juga menganjurkan pelbagai kegiatan yang menyediakan persekitaran bahasa kepada para pelajar secara berterusan sepanjang tahun.

Fiesta Bahasa, Festival Kesantunan, penerbitan buku Nabil dan Nabilah, dan kegiatan prasekolah merupakan antara kegiatan yang dianjurkan atau didanai oleh MLLPC.

Sempena Bulan Bahasa, MLLPC memberikan dana kepada badan dan pertubuhan yang mahu menganjurkan kegiatan bahasa untuk para pelajar, guru atau ibu bapa.

Tahun ini, dana yang diberikan oleh MLLPC untuk menyokong kegiatan-kegiatan sempena Bulan Bahasa meningkat lebih daripada 50%.

Kegiatan-kegiatan yang dianjurkan bersama oleh MLLPC dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat telah menyediakan peluang kepada para pelajar untuk menggunakan bahasa Melayu di luar lingkungan sekolah.

Kegiatan MLLPC bukan sahaja melibatkan murid dan ibu bapa mereka, para guru juga diajak sama.

Contohnya, hampir 500 orang guru Bahasa Melayu dari 6 GRC telah diajak berdialog tentang cara-cara yang boleh dipertimbangkan untuk menyumbang kepakaran mereka kepada masyarakat.

Dengan ini, masyarakat dapat meraih manfaat, ilmu pengetahuan dan kepakaran daripada guru-guru kita.

MENJANJIKAN BANYAK KEGIATAN

Tahun hadapan, 2019, merupakan tahun yang menjanjikan lebih banyak kegiatan bahasa, sastera dan budaya akan dijalankan.

M³ yang disentuh oleh Perdana Menteri dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini boleh kita usahakan untuk mengembangkan penggunaan bahasa, sastera dan budaya Melayu dalam masyarakat kita.

Encik Masagos dalam satu acara anjuran MENDAKI. (Gambar: MENDAKI Singapore/Facebook)

(Gambar: MENDAKI Singapore/Facebook)

Sinergi MENDAKI, MUIS dan MESRA sudah pasti boleh memberikan manfaat dari sudut penggunaan bahasa Melayu.

Dengan gabungan tenaga, usaha kita dalam pelbagai aspek pasti akan lebih kukuh dan berkesan.

Di peringkat serantau, Singapura akan menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) pada hujung bulan September 2019.

Selepas itu, wakil-wakil daripada negara-negara Mastera akan bertemu untuk perbincangan tahunan Mastera.

Kita telah menjadi anggota Mastera sejak 2012. Kita berpeluang membawa sastera Singapura ke peringkat yang lebih tinggi serta memberikan peluang kepada para sasterawan dalam wadah-wadah yang disediakan oleh Mastera.

MENYINGKAP APA YANG DILAKUKAN

Tahun hadapan juga kita akan memperingati 200 tahun Singapura sejak 1819.

Ini merupakan satu peluang yang baik untuk kita menyingkap semula perkara-perkara yang telah kita lakukan sebagai sebuah negara.

Dengan melakukan demikian, saya pasti kita akan berusaha untuk melakukan lebih baik lagi.

Pihak-pihak yang berkepentingan sudah memulakan perancangan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk kegiatan-kegiatan kebahasaan.

Satu lagi peluang baik untuk kita terus menyediakan persekitaran bahasa yang rancak dan menarik.

Sama-samalah kita berusaha ke arah kejayaan dalam pelbagai aspek kehidupan kita sebagai warga Singapura.

(Gambar fail: Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim/ Facebook)

MENGENAI PENULIS

Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim adalah Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga. Beliau juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan