Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: SkillsFuture - Peluang masyarakat Melayu terus belajar, tingkatkan kemahiran

Masih ramai di antara kita yang menyangka bahawa SkillsFuture hanya melibatkan peruntukan Kredit SkillsFuture dari pihak pemerintah yang berjumlah $500 bagi setiap warga Singapura yang berusia 25 tahun ke atas.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: SkillsFuture - Peluang masyarakat Melayu terus belajar, tingkatkan kemahiran

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

BERITAMediacorp: Lebih ramai anggota masyarakat Melayu kini menjalani latihan di bawah Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET). Secara keseluruhannya, pelatih Melayu membentuk 17 peratus daripada bilangan keseluruhan pelatih yang menyertai program Pentauliahan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) yang dibiayai SkillsFuture. Naib Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan Dr Intan Azura Mokhtar menarik perhatian, masyarakat Melayu perlu terus memanfaatkan inisiatif nasional ini menjangkaui Kredit SkillsFuture.

MASIH ramai di antara kita yang menyangka bahawa SkillsFuture hanya melibatkan peruntukan Kredit SkillsFuture dari pihak pemerintah yang berjumlah $500 bagi setiap warga Singapura yang berusia 25 tahun ke atas. Sebenarnya, Kredit SkillsFuture ini hanya satu dari pelbagai komponen dalam lingkungan menyeluruh inisiatif SkillsFuture.

Jadi, apakah yang dirangkumi SkillsFuture? SkillsFuture, atau kemahiran untuk masa hadapan adalah suatu inisiatif peringkat nasional yang diperkenalkan pada awal tahun 2015.

Tujuan inisiatif yang melibatkan sebahagian besar sektor pembelajaran sepanjang hayat dan sektor pembangunan kemahiran, adalah untuk membantu rakyat Singapura menajamkan kebolehan dan kemahiran mereka, meningkatkan ilmu pengetahuan yang relevan untuk menjalankan tugas mereka di tempat kerja dengan lebih baik, dan memastikan mereka kekal relevan untuk menjawat pekerjaan masa depan yang kian berubah-ubah.

Walaupun SkillsFuture adalah suatu inisiatif, ia juga membentangkan rangka kerja terperinci yang merangkumi skim dan program peningkatan kemahiran dan ilmu pengetahuan, pembiayaan dari pihak pemerintah untuk para pekerja dan majikan, dan peluang pekerjaan untuk menajamkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, dan bagi hampir segenap lapisan masyarakat.

Bagi para pelajar, SkillsFuture bermula dengan adanya portfolio pembelajaran bagi setiap individu (Individual Learning Portfolio) yang dapat membantu para pelajar mengenal pasti minat, kebolehan, dan aspirasi mereka agar mereka dapat meneroka pelbagai jalur pendidikan yang ada dan memilih laluan mana yang akan mereka lalui dengan lebih mendalam.

Bagi para pelajar politeknik dan ITE, Program Bekerja sambil Belajar yang dipertingkat di bawah naungan inisiatif SkillsFuture membentangkan program yang berstruktur dan memberikan peluang latihan amali (internship) agar mereka dapat menimba kemahiran relevan di tempat kerja yang menjadi pautan pada ilmu yang dipelajari di politeknik atau ITE.

Program Earn and Learn SkillsFuture pula memberi peluang kepada para lulusan politeknik dan ITE untuk bekerja sambil belajar dan dilatih menerusi program amali yang intensif. Setiap individu lulusan politeknik atau ITE yang menyertai program ini akan menerima insentif sebanyak $5,000.

Para majikan pula diberikan $15,000 untuk menggajikan pekerja lulusan politeknik dan ITE di bawah program ini.

Bagi para karyawan, pengurus dan eksekutif yang ingin mencari kerja di syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), skim P-Max membantu dari segi pemadanan pekerjaan (job matching) bagi golongan ini.

Bagi mereka yang sudah lama berkerja tetapi ingin mempertingkat kemahiran dan mendalami ilmu pengetahuan dalam sektor pertumbuhan (growth sectors), anugerah pembelajaran SkillsFuture (SkillsFuture Study Award), menyediakan wang tunai sebanyak $5,000 untuk tujuan ini.

Pada masa yang sama, mereka yang ingin mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang pengkhususan agar mereka boleh mencapai tahap penguasaan atau "mastery", mereka boleh mendapatkan Biasiswa Zamil SkillsFuture yang menyediakan wang tunai sebanyak $10,000 untuk usaha ini.

Bagi para pesara dan suri rumah yang ingin mengejar minat mereka dalam sesuatu bidang, mereka boleh mengikuti pelbagai kursus yang disediakan di mana yuran kursus itu dapat dibiayai Kredit SkillsFuture yang berjumlah $500. Kursus-kursus ini disediakan oleh para penyedia latihan yang bertauliah dan juga kelab masyarakat Persatuan Rakyat (People’s Association).

Bagi para majikan pula, pihak pemerintah menyediakan Anugerah Majikan SkillsFuture yang memberikan pengiktirafan kepada para majikan yang melatih dan membangunkan kemahiran para pekerja mereka menerusi jalur kerjaya yang berstruktur dan yang berdasarkan kemahiran dan kebolehan.

Justeru, kita dapat melihat bahawa SkillsFuture membentangkan program, skim, pembiayaan dan peluang yang pelbagai bagi rakyat Singapura, dan bukan setakat Kredit SkillsFuture berjumlah $500.

Mengapa SkillsFuture? Dalam abad ke-21 ini, kita menghadapi cabaran globalisasi, teknologi, pertumbuhan tenaga buruh yang semakin lembab, dan memenuhi aspirasi masyarakat yang kian berbeza.

Globalisasi dan penggunaan teknologi yang semakin berleluasa telah merubah cara perniagaan dan telah juga memberi kesan yang mendalam kepada pertumbuhan ekonomi negara yang kini kurang pesat. Disebabkan perubahan sebegini, ada para pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka dan sudah kurang diperlukan atau tidak diperlukan lagi.

Contohnya, peniaga pakaian dan fesyen yang sebelum ini menjual pakaian dan fesyen mereka di kedai, kini mendapat persaingan sengit dari para peniaga di internet, yang menjual pakaian dan fesyen mereka tanpa perlu menyewa kedai atau menggajikan pekerja.

Tambahan pula, peniaga baru ini boleh menjual pakaian dan fesyen mereka ke merata dunia, melalui rangkaian internet yang boleh merentasi sempadan antara negara.

Pekerjaan yang memerlukan orang tengah (middlemen or agents) kini juga semakin berkurangan kerana lebih ramai di antara kita boleh mengendalikan dan melengkapi urus niaga jual-beli dengan menggunakan teknologi – sama ada menerusi internet atau dengan telefon bijak – dan tidak lagi memerlukan orang tengah.

Pada masa yang sama, dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi, lebih ramai di antara kita yang mempunyai sijil lulusan universiti atau institut pengajian tinggi. Namun demikian, ini tidak semestinya bermakna lulusan yang mempunyai sijil itu boleh diambil bekerja atau mampu memenuhi keperluan pekerjaan yang kian berubah-ubah.

Penekanan kepada hanya sijil kelulusan dan pencapaian akademik belum cukup untuk memastikan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang pekerja itu sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Tambahan pula, dengan masyarakat yang semakin menua, pertumbuhan tenaga buruh kita semakin lembab. Kita harus bekerja lebih lama dan menangguhkan persaraan, tetapi ini juga harus dilakukan dengan latihan dan pembelajaran yang berterusan agar kita kekal relevan dalam pekerjaan kita.

Oleh itu, pembelajaran sepanjang hayat dan penimbaan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk pekerjaan dalam bidang-bidang tertentu dan dalam sektor pertumbuhan, amat diperlukan.

Contohnya, peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, dan luar pesisir semakin berkurangan kerana harga minyak yang rendah, dan tuntutan bahan fosil yang semakin berkurangan kerana adanya alternatif yang lebih mesra alam.

Namun demikian, peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan seperti teknologi maklumat dan analisis data besar, kejuruteraan, penjagaan kesihatan, khidmat penjagaan bagi warga tua dan kanak-kanak, dan pendidikan awal kanak-kanak, masih meluas dan semakin diperlukan.

Inisiatif serupa SkillsFuture – dapat dilihat di Jerman dan di Jepun. Jerman adalah sebuah negara yang boleh dikatakan perintis dan yang paling terkemuka dalam bidang apprenticeship atau perantisan.

Sistem latihan kejuruan dua hala (Dual vocational training system) di Jerman terkenal di seluruh dunia kerana pertama, Jerman mempunyai kadar pengangguran yang agak rendah (kurang 6%) sementara kadar pengangguran di seluruh Eropah adalah lebih 10%; kedua, sistem ini telah berjaya mewujudkan tahap daya penghasilan yang tinggi dari segi ekonomi, perniagaan dan individu; dan ketiga, sistem ini juga dapat menggalak penyepaduan sosial di kalangan remaja dan juga mereka yang lebih tua kerana setiap individu dihargai atas dasar kebolehan dan kemahiran mereka dan bukan kerana pencapaian akademik atau kedudukan kewangan atau latar belakang mereka.

Dalam sistem latihan kejuruan dua hala ini, seorang perantis meluangkan masa seimbang di dua tempat – sebuah institut latihan kejuruan dan juga latihan semasa kerja di sebuah syarikat. Dengan cara sebegini, seorang perantis boleh menimba ilmu yang relevan mengenai kerja atau kemahiran yang dipelajari, dan pada masa yang sama, mendapatkan pengalaman bekerja dengan menggunakan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

Di Jepun pula, sistem perantis juga sudah lama diperkenalkan dalam pelbagai bidang – dari bidang pertukangan kayu, ke kemahiran membuat sushi atau teh Jepun, ke kemahiran menanam dan menjaga pohon bonsai.

Sebelum seseorang itu menjadi pakar, beliau harus menjalani latihan perantis yang memakan masa yang panjang dan yang memerlukan latihan yang intensif untuk mendalami dan memperhalusi karya yang dipelajari.

Serupa di Jerman, seorang pakar dalam sesuatu bidang amat dihormati dan disegani kerana kebolehan, kemahiran dan ilmunya, dan para pembeli tidak teragak-agak membayar harga yang lebih tinggi untuk membeli karya atau melanggani khidmat pakar yang mahir sebegini.

Kita boleh mengambil iktibar dan inspirasi daripada pengalaman Encik Iskandar Jalil, pakar tembikar terkemuka dan anak watan Singapura.

Menurut beliau, menajamkan dan memperhalusi kemahiran seorang pakar seni atau tukang boleh memakan masa sehingga 20 tahun. Encik Iskandar sendiri telah memperuntukkan beberapa tahun di Jepun untuk memperhalusi kemahiran beliau dalam seni tembikar dan ceramik.

Pada masa yang sama, dengan masyarakat Jepun yang kian menua, kebanyakan syarikat di negara itu telah mencipta ulang cara perniagaan dan proses pengeluaran mereka, terutama dengan pembaharuan kejuruteraan dan sains demi mempertingkatkan daya penghasilan.

Dengan menggunakan automasi dan memanfaatkan mesin dan teknologi baru, tenaga buruh semakin kurang diperlukan. Namun demikian, para pekerja yang masih ada harus mempertingkatkan ilmu dan kemahiran mereka supaya dapat mengawasi dan mengawal mesin dan teknologi yang digunakan.

SkillsFuture adalah inisiatif yang turut dilaksanakan di negara-negara maju yang mempunyai ekonomi yang telah berkembang pesat seperti Jerman dan Jepun. Hakikatnya, kita tidak dapat mengelakkan dari pembelajaran sepanjang hayat, penimbaan ilmu dan penajaman kemahiran kerana tuntutan ekonomi dan kesan globalisasi yang kian berubah-ubah.

Kita harus mempunyai sikap positif dan terbuka kepada inisiatif dan pembangunan baru yang perlu kita sertai agar kita kekal relevan dalam pekerjaan dan kerjaya kita.

MENGENAI PENULIS:

Dr Intan Azura Mokhtar adalah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (Jalan Kayu) & Naib Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan