KOMENTAR: Sikap dan Pesan Bahasa Bapa Nusa Lee Kuan Yew
Sikapnya yang tegas dalam menjulang Dasar Dwibahasa dan kepekaannya pada Lautan Berbahasa Melayu rantau ini dinilai antara pusaka gemilangnya.
Mohd Raman Daud menyingkap sempena peringatan seabad kelahirannya.
Bagi kebanyakan orang rumpun Melayu, antara keunggulan Perdana Menteri Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew (1923-2015) tentulah pada kefasihannya menggunakan Bahasa Melayu (BM), selain Inggeris dan Cina (Mandarin).
Terkenang saya akan wawancara dengan Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (@Cikgu Ariff, 1924-2016) seminggu selepas Encik Lee berpulang pada 23 Mac 2015:
“Saya masih ingat dia antara segelintir cendekia yang punya impian gah. Waktu itu, kami baru kenal di sekolah Syonan Nippon Gakuen pada 1943. Guru Jepun bertanya murid-murid tentang cita-cita kami.
“Kata Kuan Yew: cita-citanya adalah menjadi pemimpin negara dan membebaskan Malaya daripada British.
“Memandangkan diayah Jepun adalah membebaskan Asia daripada penjajah Barat, maka kata-katanya dapat sanjungan.”
Untuk menjadi jurubahasa Jepun/Inggeris, Encik Lee ditempatkan dalam kelas Sakura. Bagi pelatih jurubahasa Jepun/Melayu pula, Cikgu Ariff dan Encik Ismail Mohd Said (mantan pegawai tinggi Kementerian Pendidikan dan kemudian Presiden Majlis Ugama Islam Singapura) diletakkan dalam kelas Usagi (arnab).
Menurut Cikgu Ariff, penjajah Tentera Dai Nippon perlu merekrut sebanyak mungkin jurubahasa untuk membaca maklumat dan menghebahkan kepada orang ramai dan membantu pegawai tinggi mereka berkomunikasi dengan rakyat setempat.
ARIF MELAYU
Pada majlis jamuan teh anjuran pimpinan Melayu di Hotel Raffles pada 27 September 2003, Encik Lee telah mengimbas zaman kecilnya berkawan dengan ramai anak Melayu dan kaum lain di Sekolah Inggeris Telok Kurau yang dekat rumahnya. Keluarganya bertutur Bahasa Melayu (loghat Baba atau Cina Peranakan) dan Inggeris.
Ketika menuntut di Maktab Raffles (kini Universiti Nasional Singapura (NUS)), beliau bersua anak Melayu elit dari Malaya yang didapatinya ‘berbeza’ daripada anak Melayu Singapura.
Sejarah menunjukkan kaum Baba memang akrab dengan orang Melayu dalam banyak bidang termasuk penerbitan buku, majalah dan akhbar seperti Bintang Timor, pementasan bangsawan dan muzik serta juadah.
Sekembalinya dari Cambridge dengan ijazah kepujian undang-undang, Encik Lee mula terlibat langsung dalam masyarakat Melayu, termasuk berjaya membebaskan empat lelaki Melayu daripada hukuman mati kerana dikaitkan dengan rusuhan Nadrah pada 1950.
Di samping itu, Encik Lee memastikan anak-anaknya juga belajar BM asuhan Cikgu Muhammad Amin Shafawi (1936-2020) sejak 1957. Terdahulu Encik Lee dan isterinya dikatakan mengasah bahasa dengan budayawan, Cikgu Mahmud Ahmad (1906-1976).
MEMBELA BAHASA
Apabila kerajaan penjajah British menampilkan dasar ubah haluan pendidikan (dipanggil Reorientation Plan) untuk melupuskan sekolah Melayu, banyak badan Melayu bersatu demi menentangnya.
Maka terbentuklah Majlis Pelajaran Melayu. Menurut Cikgu Ariff, pemerintahan sendiri (self-government) pimpinan Ketua Menteri Lim Yew Hock gagal bertindak. Sebaliknya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Encik Lee lebih bersimpati.
Encik Lee telah meraih tuah politiknya di kawasan undi Tanjong Pagar pada Pilihan Raya 1955. Ternyata sokongan orang Melayu menunjanginya. Tambah Cikgu Ariff:
“Setelah PAP berkuasa dan Encik Lee pula menjadi perdana menteri, antara langkah pertama yang diumumkannya ialah Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan Singapura dan membangun sekolah menengah Melayu. Hal ini menambat hati ramai pejuang Bahasa Melayu, terutama Majlis Pelajaran Melayu.”
Langkah Encik Lee memang bernilai strategik dalam rangka menuntut kemerdekaan Singapura yang hanya direstui British “dengan syarat menyertai” Persekutuan Malaysia.
Namun suasana Singapura bersama Malaysia bergelora sehingga tercetus rusuhan kaum berdarah pada 1964. Ia berakhir apabila Malaysia memutuskan untuk berpisah yang menyerlahkan kemerdekaan watan ini pada 1965.
Kesannya amat meruntun ‘semangat’ Melayu Singapura, termasuk kedudukan bahasanya apabila Dewan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Kementerian Kebudayaan ditutup pada 1968.
RUMUS PENAKATAN
Menurut Cikgu Ariff, kesan Perpisahan itu telah merubah haluan penakatan Singapura, termasuk dalam penggubalan dasar bahasa.
Dengan penekanan pada bahasa Inggeris yang dominan dalam rangka untuk Singapura menjadi hab jagat, BM terpinggir pada sekadar nama Bahasa Kebangsaan untuk Lagu Kebangsaan dan perintah perbarisan.
Mantan Menteri Negara Kanan, Hj Sidek Saniff, dalam memoirnya, Langkah Liku Selayang Pandang (2018), berhujah betapa KGMS pimpinannya pada 1971, telah cuba menampilkan sebuah huraian bagi Singapura – Sistem Pendidikan Kebangsaan yang memberikan keutamaan kepada BM sebagai Bahasa Kebangsaan, Inggeris sebagai bahasa ilmu dan kebebasan memilih bahasa ibunda.
Namun langkah KGMS telah dicap ‘cauvinis’ oleh PM Lee yang juga berdepan dengan tuntutan serupa daripada para cendekiawan aliran pendidikan Cina.
Dasar ini mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda (Melayu, Cina, Tamil dan selanjutnya). Demi memanfaatkan pembukaan China sebagai kuasa ekonomi baharu, beliau melestarikan beberapa sekolah Cina.
Apakah legasi atau Pusaka Lee Kuan Yew dari segi bahasa akan berterusan?
Mutakhir ini, timbul kebimbangan mengenai kesan dominan Bahasa Inggeris pada pemudaran Bahasa Ibunda.
Misalnya, keluarga Melayu, masjid dan pertubuhan Melayu sendiri hari ini kian kelu berbahasa Melayu. Bahkan kian mekar kelas agama dan madrasah di masjid berbahasa Inggeris. Dalam sembang biasa sekalipun, BM terasa kelu.
Masa depan bahasa – bak pesan kental Encik Lee – perlu dilestari dan dimajukan secara berdisiplin atas usaha sendiri, keluarga, masyarakat dan pemerintah.
Selain Dasar Dwibahasa, beliau sempat pada sisa usianya untuk mewasiatkan Dana Dwibahasa demi menggalak pertumbuhan bahasa-bahasa bonda.
Justeru, yang paling terkesan tentulah kaum Melayu yang walaupun minoriti tetapi berada di tengah-tengah rantau Melayu. Terpulanglah kepada kita untuk menghayati pesannya.
MENGENAI PENULIS:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.