Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Serangan ganas libatkan keluarga trend membimbangkan tetapi boleh dicegah

SERANGAN kejam terhadap tiga gereja dan Ibu Pejabat Polis di Surabaya, Indonesia baru-baru ini membuktikan bahawa Asia Tenggara masih dibelenggu dengan ancaman pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Serangan ganas libatkan keluarga trend membimbangkan tetapi boleh dicegah

Remy Mahzam, zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR), RSIS. (Gambar: Remy Mahzam)

BERITAMediacorp: Apakah kini ada satu trend baru dalam serangan-serangan nekad pengganas di rantau ini? Iaitu seluruh anggota keluarga termasuk anak-anak kecil dilibatkan dalam melaksanakan serangan bunuh diri sehingga memeranjatkan khalayak umum? Apakah implikasi perkembangan terbaru ini, seperti pengeboman tiga buah gereja di Surabaya, dalam landskap keselamatan dan pengganasan?

Zamil penyelidik dari Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme, Remy Mahzam, mengupas persoalan tersebut dalam KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp ini:

Kawasan bom meletup di Surabaya. (Gambar: JUNI KRISWANTO / AFP)

Kawasan bom meletup di Surabaya. (Gambar: JUNI KRISWANTO / AFP)

SERANGAN kejam terhadap tiga gereja dan Ibu Pejabat Polis di Surabaya, Indonesia baru-baru ini membuktikan bahawa Asia Tenggara masih dibelenggu dengan ancaman pengganasan.

Namun, apa yang lebih menyeramkan adalah aksi pengeboman bunuh diri itu dilaksanakan oleh dua buah keluarga yang terdiri daripada dua pasang suami isteri bersama anak-anak mereka.

Ini merupakan kes pertama di mana aksi serangan melibatkan seluruh anggota keluarga, secara tidak langsung mencetus satu trend pengganasan yang amat membimbangkan.

SERANGAN SEBELUM RAMADAN

Serangan berkoordinasi itu dilancarkan hanya beberapa hari sebelum masuknya bulan suci Ramadan dan ia berlaku di dalam sebuah negara yang majoritinya orang Islam.

Keluarga yang terlibat dalam aksi pengeboman tiga gereja di Surabaya pada 13 Mei terdiri daripada seorang ayah, Dita Oepriarto, berusia 46 tahun bersama isteri beliau, Puji Kuswati, 42 tahun, anak-anak lelakinya, Yusuf, 18 tahun, Firman, 16 tahun dan anak-anak perempuan, Fadhila Sari, 12 tahun dan Famela RizQita, 9 tahun.

Ayah pada keluarga tersebut meledakkan sebuah bom di gereja Pantekosta manakala dua puteranya menunggang motosikal yang dipenuhi dengan bahan peledak menyasarkan sebuah gereja Katolik. Ibu mereka pula bersama dua anak perempuannya meledakkan diri mereka sendiri di gereja Presbiterian Indonesia.

Pada hari yang sama, satu lagi bom yang disediakan oleh Anton Febrianto meletup secara tiba-tiba di rumahnya di Sidoarjo, luar Surabaya.

Bom itu membunuh isterinya, Puspitasari dan dua anak mereka, Hilta Aulia Rahman, 17, dan Ainur Rahman 15. Dua anak lain, Faisa Putri dan Garida Huda Akbar, masing-masing berumur 11 dan 10 tahun, terselamat.

(Gambar: Juni Kriswanto/AFP)

Pengeboman gereja di Surabaya. (Gambar: Juni Kriswanto/AFP)

KAITAN DENGAN KUMPULAN ISIS 

Serangan ke atas anggota polis di Mapolresta Surabaya sehari kemudian juga dilancarkan oleh sebuah keluarga. Lima orang ahli keluarga yang bermotosikal meledakkan sebutir bom di kawasan pemeriksaan berhampiran sebuah balai polis sekaligus mencederakan empat pegawai polis dan enam orang awam.

Bom yang digunakan semasa serangan tersebut adalah jenis ‘TATP high explosive’, merupakan peledak yang sama digunakan dalam serangan atas tiga gereja sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian, ketiga-tiga keluarga yang terlibat dalam serangan di Surabaya kenal antara satu sama yang lain dan ada kaitan dengan kumpulan ekstremis Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang merupakan pendokong kumpulan militan ISIS.

Dalang serangan pertama, Dita Oepriarto, juga merupakan ketua kumpulan JAD di Surabaya dan disyaki mempengaruhi ketiga-tiga keluarga dalam melakukan aksi pengganasan tersebut.

PELIBATAN WANITA DAN KANAK-KANAK

Serangan kejam di Surabaya menimbulkan persoalan bagaimana wanita dan kanak-kanak boleh terjebak dalam masalah pengganasan sehingga mereka sanggup mengorbankan diri mereka masing-masing.

Pada mulanya, misi bunuh diri dalam serangan hanya tertumpu kepada kaum lelaki sahaja. Wanita dan kanak-kanak diturut sertakan dalam misi serangan kerana mereka membawa sedikit kecurigaan kepada pihak keselamatan dan ini dapat melancarkan aksi pengganasan. Serangan yang melibatkan ahli keluarga adalah satu fenomena baru di rantau Asia Pasifik. Namun di negara-negara yang lain seperti di Timur Tengah dan Afrika, wanita dan kanak-kanak sudahpun terlibat dalam aksi pengeboman dan ledakan.

Serangan bunuh diri merupakan salah satu taktik pengganasan yang paling berkesan kerana ia boleh mencapai jumlah korban yang tinggi dan menggerunkan pihak lawan dengan serta-merta. Ideologi takfiri juga menggalakkan pembunuhan atas musuh-musuh Islam dan tanggungjawab tersebut tidak terhad kepada pejuang-pejuang lelaki sahaja.

Motosikal terbakar menyusuli letupan di Gereja Pentecost di Surabaya. (Gambar: Antara Foto/ Handout Surabaya Government/ via REUTERS)

Motosikal terbakar menyusuli letupan di Gereja Pentecost di Surabaya. (Gambar: Antara Foto/ Handout Surabaya Government/ via REUTERS)

IDEOLOGI MENEKANKAN PERANAN KELUARGA 

Dari awal lagi, ideologi kumpulan militan ISIS menitikberatkan peranan keluarga dalam menegakkan agenda membina khilafah atau negara Islam, Daulah Islamiyah. ISIS mencorak konsep jihad dan menjadikannya ia sebagai satu tanggungjawab untuk seluruh anggota keluarga.

Pejuang-pejuang asing digalakkan membawa keluarga-keluarga mereka berhijrah ke Syria. Sekiranya mereka terkorban dalam peperangan, isteri-isteri dan anak-anak mereka boleh menjadi pengganti mereka. Wanita-wanita dan kanak-kanak dilihat sebagai satu lambang masa hadapan kerana mereka akan mewarisi Daulah Islamiyah.

Propaganda kumpulan ekstremis tersebut juga disasarkan kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Majalah seperti Dabiq dan Rumiyah sering menggariskan peranan wanita dalam jihad dan tanggungjawab mereka dalam menegakkan Dawlah Islamiyyah.

Aplikasi-aplikasi telefon bijak yang mengajar abjad dan kosa kata bahasa Arab kepada kanak-kanak mempunyai kandungan yang berkaitan dengan ideologi tentera dan jihad.

PENCEGAHAN BERMULA DARI KELUARGA

Serangan di Surabaya membuktikan bahawa pengaruh keluarga itu amatlah penting. Apa yang mendorong ketiga-tiga keluarga itu melakukan aksi pengganasan adalah pengaruh radikal yang dicetuskan oleh ketua keluarga itu sendiri.

Tidak dinafikan, pencegahan pengganasan adalah satu perjuangan yang panjang. Untuk menghapuskan fahaman ekstremis, program-program pemulihan atau rehabilitasi perlu diperluaskan kepada seluruh anggota keluarga.

Pemerintah dan pihak-pihak keselamatan harus memetakan rangkaian pendokong-pendokong ISIS bersama dengan rangkaian keluarga mereka.

Dengan demikian, mereka boleh tahu lebih lanjut tentang keluarga-keluarga ini dan latar belakang mereka sebelum mengatur program-program rehabilitasi yang lebih strategik.

PERISAI MELAWAN RADIKALISME 

Ibu bapa memainkan peranan paling penting dalam usaha kontra-ekstremisme melalui pembentukan pandangan serta persepsi pemikiran anak-anak mereka dalam kehidupan.

Mereka merupakan perisai pertama di barisan pertahanan dalam melawan radikalisme dan pengganasan.

Asatizah dan guru-guru sekolah juga perlu menyediakan bimbingan agama dan sokongan moral untuk membantah ajaran ekstremis.

Kurang pengetahuan atau tidak tahu menahu tentang Islam adalah di antara sebab mengapa ada golongan yang terdedah kepada pengaruh pengganas.

Nilai-nilai yang progresif perlu diterapkan untuk menggalak rasa hormat kepada kepelbagaian dan kesaksamaan dalam budaya dan fahaman agama. Jika masyarakat bekerjasama dalam usaha menangani pengaruh pengganasan, segala usaha boleh menghasilkan kejayaan jangka panjang yang lebih memberangsangkan. 

Remy Mahzam, zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR), RSIS. (Gambar: Remy Mahzam)

MENGENAI PENULIS

Remy Mahzam Kasmawati (isremy [at] ntu.edu.sg) adalah seorang zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). 

Sumber : BERITAmediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa