Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Semai tekad, iltizam baru Lebaran ini bukan sesiakan Ramadan bakal berlalu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setiap tahun umat Islam menyambut bulan Ramadan dengan penuh semangat dan harapan. Semangat berkobar-kobar untuk mengambil kesempatan sempena bulan mulia ini untuk memperbaharui corak kehidupan dari setiap segi dan harapan yang membara untuk mencapai cita-cita yang telah diniatkan. Namun begitu, sering kita dengar usaha untuk mencapai hasrat membangun itu malangnya seolah-olah terbantut, tidak dapat diteruskan setelah sebulan dua selesainya bulan puasa.

Dan sedihnya, kitaran itu berulang tahun demi tahun … umpama ikan di hulu tuba di hilir.

Jika kita renung kembali, tidak kira apa usahanya sekali pun tidak akan dapat berkekalan apatah lagi mengecapi kejayaan mencapai objektifnya jikalau 4 perkara ini tidak hadir; iaitu soal kenapa (atau “why”), disiplin, perancangan terperinci dan matlamat yang jelas.

Formula ajaib ini sering diambil remeh dan ditepis tanpa disedari adalah punca kegagalan atau kejayaan sesuatu usaha.

<p>Gambar: Pexels</p>

Ibarat Sambil Menyelam Minum Air

Boleh dikatakan, bulan Ramadan memiliki daya tarikan tersendiri yang mendalam terhadap kaum Muslimin dan Muslimat di sini dalam menggalak seseorang untuk bukan hanya ingin meningkatkan tahap ibadah tetapi juga aspek-aspek lain kehidupan.

Jadi tidak hairanlah sebahagian besar daripada masyarakat kita yang bertekad untuk memulakan gaya hidup sehat serta memperbaiki kedudukan kewangan semasa bulan Ramadan dengan memulakan tabiat kewangan yang baik atau 'good money habit'.

Inilah yang dikatakan merebut peluang keemasan!

Setiap orang yang menjalankan ibadah puasa akan berusaha untuk menyempurnakan amalan itu dengan tabiat-tabiat dan perbuatan-perbuatan yang membina. Usaha ini tidak akan dirasakan berat disebabkan oleh momentum yang terbina serta niat yang serius. Kata orang, terlanjur sudah beramal, teruskan sahaja sambung sekali aspek-aspek kehidupan yang lain. Amat tepat pepatah Melayu “sambil menyelam minum air”.

Soal Kenapa Atau “Why”

Ramai yang menyangka usaha adalah penentu sama ada seseorang itu berjaya ataupun tidak. Memang tidak dapat dinafikan yang usaha itu penting. Tetapi jika kita menanyakan mereka yang berjaya, boleh dikatakan semua akan bersetuju bahawa kunci utama kejayaan bukan usaha tetapi mempunyai soal kenapa atau “why” yang teramat sangat.

Soalan ini bukan hanya satu soalan retorik, tetapi satu unsur dan sebab yang mendorong seseorang untuk terus membanting tulang dan membuat pengorbanan besar sehingga mengecapi apa yang diimpikan. Ini adalah satu anjakan minda yang merentasi jurang yang perlu dianuti oleh masyarakat Melayu kita di sini.

Semangat 'Bara Yang Digenggam Biar Sampai Jadi Arang'

Setiap perkara yang diusahakan memerlukan azam yang kukuh, keyakinan yang tidak goyah dan ketekunan sepenuhnya untuk ia dapat terus diperjuangkan sehingga berjaya.

Ini kerana perjalanan hidup secara amnya bukan satu larian pecut tetapi satu perlumbaan maraton. Malangnya terlalu ramai dalam kalangan kita yang kurang bersiap sedia untuk menjalani sesuatu usaha berpanjangan yang memerlukan tenaga dan ketahanan yang luar biasa.

Disiplin adalah satu sikap yang perlu kita miliki atau pupuk jika kita ingin menakluki objektif yang telah kita tentukan.

Semangat ini memang ada dalam budaya kita; ia bukanlah satu konsep asing yang kita tidak pernah kenal. Kebijaksanaan konvensional ini iaitu “bara yang digenggam biar sampai jadi arang” telah diamalkan oleh datuk nenek kita sejak zaman dulu lagi dan menghayatinya akan mendorong kita bertindak untuk mempertingkatkan lagi kelakonan kita di mata dunia.

Izinkan saya berkongsi satu amalan berguna yang kita boleh pelajari yang diperjuangkan oleh James Clear, seorang penceramah profesional dan penulis buku terkenal 'Atomic Habits' yang telah diisytiharkan sebagai New York Times Best Seller, “Be impatient with your actions, be patient with your results” yang menggalakkan kita supaya bertindak pantas dalam mengambil tindakan tetapi bersabar untuk menuai hasilnya.

<p>Gambar: Pexels</p>

Perancangan Terperinci Kunci Antara Kejayaan dan Kegagalan

Satu simpulan bahasa Ingeris “The devil is in the details” atau terjemahannya dalam Bahasa Melayu iaitu “memerlukan ketelitian” bukanlah hanya satu garis pukulan tetapi suatu ungkapan yang penuh makna.

Perancangan adalah sebuah rangka kerja yang merangkumi pelbagai aspek di mana ketelitian setiap unsur akan menentukan sama ada perancangan itu satu aset atau liabiliti.

Satu pelan yang baik membolehkan sesuatu kerja berjalan dengan lancar dan mempunyai garis ukur yang dapat digunakan untuk menganalisa prestasinya pada pelbagai peringkat.

Ini amat penting kerana kita hanya boleh memperbaiki apa yang boleh kita analisa dan untuk satu analisis dijalankan, setiap titik data yang tersedia mesti boleh diukur.

Misalnya, jika kita ingin menghasilkan kek lapis berempah, amat penting untuk kita tahu tentang bahan-bahan dan sukatan yang digunakan dalam setiap lapisan. Pengetahuan terperinci tentang catuan bagi setiap peringkat akan membolehkan kita memahami kesilapan, kekurangan atau ketepatan prosesnya dan ini akan menolong kita untuk memperbaiki hasil yang kita perolehi pada penghujung hari.

Begitu juga dengan cita-cita kita untuk menguasai kedudukan kewangan kita atau mengubah corak kehidupan kita. Kita perlu sedia maklum adakah kita masih jauh dari sasaran yang kita inginkan atau sudah hampir menepatinya, misalnya dari segi menguruskan kewangan kita atau masa yang kita memperuntukkan dengan anak kita atau keluarga kita. Pendek kata, setiap usaha hanya akan bermakna jika kita dapat mengukur keberkesanannya.

<p>Gambar: Pexels</p>

Tetapkan Matlamat Jelas

Bayangkan seseorang individu ditugaskan untuk menyelesaikan satu jigsaw puzzle (susun suai gambar) abstrak sebanyak 1,000 keping, tetapi ia tidak diberikan sebarang gambar lengkap untuk digunakan sebagai bahan rujukan. Dengan segera kita akan mengisytiharkan bahawa ia adalah satu tugas yang hampir mustahil untuk dilaksanakan. Ini kerana kita tidak akan mampu mencapai sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan.

Banyak kajian yang telah dijalankan untuk membongkar rahsia kejayaan dan antaranya adalah kebolehan kita untuk menggambarkan kejayaan atau “visualizing success” yang akan mempengaruhi hasil usaha kita. Naratif-naratif yang kita sampaikan kepada diri kita, suara-suara dalam hati kita akan membentuk gambaran yang kita mainkan di tirai pemikiran kita.

Jika kita sering fikirkan kemustahilan, kepercayaan kita dan tindakan kita akan dipengaruhi oleh kebuntuan dan ini akan membawa kita ke hasil yang negatif.

Sebaliknya, jika kita memikirkan tentang kemungkinan dan potensi, kita akan menumpukan perhatian kita kepada usaha-usaha yang membina; dengan secara langsung akan menyusun langkah yang bermanfaat dan seterusnya akan bertindak positif. Proses yang positif secara amnya akan memberi laluan untuk kita mencapai hasil yang positif

Epilog

Bulan Ramadan memberi kita banyak peluang keemasan untuk membuat perubahan kepada pelbagai aspek kehidupan kita.

Dari segi amalan ukhrawi, akhlak tingkah laku, ikatan keluarga dan sahabat handai, corak hidup, menguasai kedudukan kewangan dan sebagainya; ia seolah-olah memberi kita kesempatan untuk menetapkan semula penjajaran hidup kita.

Setiap perubahan memang sukar untuk dilaksanakan kerana ia sudah menjadi satu kelaziman bagi diri kita apatah lagi apabila kita sudah berasa selesa dengan sesuatu amalan.

Tetapi keistimewaan bulan puasa amat ketara kalau kita renungkan; contohnya bagi mereka yang biasa merokok akan menjauhi rokok pada waktu siang, bagi mereka yang kuat mengeluarkan kata-kata kesat dan mencarut pula, mereka akan mengawal diri dari memaki hamun, bagi mereka yang jarang berjemaah sekeluarga, mereka akan berusaha untuk menunaikan solat bersama dan sebagainya demi menjaga kesucian amalan berpuasa.

Malangnya, sebahagian besar daripada perubahan-perubahan positif yang berlaku pada bulan mulia ini tidak berpanjangan.

Ini bukan disebabkan oleh kurang azam, atau kurang ikhlas dan juga bukan kerana kita tidak yakin perubahan itu semua baik untuk diri kita.

Kesimpulannya, usaha luhur akan tetap terbantut disebabkan tidak hadirnya 4 perkara penting ini dalam kehidupan kita kerana ia adalah formula kejayaan.

Justeru itu, untuk mencapai hasil yang berkekalan, amat penting untuk kita meluangkan masa dan memfokuskan usaha kita untuk menguasai 4 perkara yang dibincangkan dalam rencana ini.

Memang sukar pada awalnya kerana setiap perubahan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Sebaliknya, kita harus bertekad untuk terus melakukannya ibarat “alah bisa tegal biasa”.

Semoga usaha kita untuk memperbaiki diri dalam bulan mulia ini akan menerima bimbinganNya, diberkati dan dirahmati Yang Maha Esa.

MENGENAI PENULIS: Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan