Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Selepas pucuk kepimpinan PKR diperbaharui, ideologi parti perlu ditegakkan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti politik yang diterajui oleh Anwar Ibrahim, memperbaharui pucuk kepimpinannya baru-baru ini. Bagi mendatangkan perubahan, PKR perlu mencari keseimbangan antara pertimbangan pragmatik dengan keperluan untuk menegakkan hak pelbagai kaum di Malaysia.

Parti pembangkang Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini selesai menjalankan pilihan Majlis Pimpinan Pusat. Parti itu memilih Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden, menjadikannya pemimpin kedua paling kanan didahului pemimpin veteran Anwar Ibrahim, yang kekal sebagai Presiden tanpa bertanding.

Pesaing Rafizi ialah penyokong setia Anwar, Saifuddin Nasution Ismail, yang kekal sebagai setiausaha agung. Rafizi bukan saja menang mudah dalam pemilihan parti, bahkan penyokong-penyokongnya kini menguasai Majlis Pimpinan Pusat.

Ramai anggota parti yakin Rafizi boleh memberikan nafas baru kepada parti itu menyusuli prestasi lemah dalam pilihan raya baru-baru ini dan kegagalan berulang Anwar untuk menyandang jawatan perdana menteri.
Dalam pemilihan PKR yang lalu pada 2018, Rafizi bertanding bagi jawatan yang sama tetapi dikalahkan oleh Azmin Ali dan beliau kemudian memutuskan untuk berundur dari PKR buat sementara waktu. Dengan ketiadaan Azmin, Rafizi mempunyai lebih banyak ruang untuk mencatur langkah-langkah seterusnya demi mencapai cita-citanya.

Imej PKR Bersifat Personalistik?

Namun untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemain teguh dalam persada politik Malaysia, PKR mesti terlebih dahulu menghapuskan imej parti yang bersifat personalistik.

PKR terkait rapat dengan Anwar serta keluarganya. Ia ditubuhkan sebagai Keadilan pada 1998 setelah Anwar – timbalan perdana menteri ketika itu – dipecat dari UMNO. Semasa Anwar menjalani hukuman penjara atas kesalahan salah laku seksual dan rasuah pada April 1999, parti itu dipimpin oleh isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail serta sebilangan aktivis hak asasi, peguam dan karyawan. Hari ini, hampir kesemua anggota pengasas Keadilan sudah bersara dari politik kecuali Anwar dan Wan Azizah.

Dalam PKR, Anwar kekal sebagai lambang reformasi sistem politik Malaysia menuju ke arah demokrasi yang bebas rasuah dan nepotisme. “Reformasi” masih menjadi cogan kata semasa kongres PKR dan kempen-kempen pilihan raya.

Namun begitu, cogan kata itu tidak lagi menambat hati pengundi seperti dahulu.

Prestasi parti itu dalam pilihan raya negeri kebelakangan ini adalah lemah. Ia gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada November 2021 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Disember 2021.

Ia berhasil memenangi hanya satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.

Padah Kerjasama Dengan Mahathir

Bahkan, ia berhasil memegang kuasa di peringkat persekutuan hanya menerusi kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya bersejarah 2018 (ironisnya Dr Mahathir adalah individu yang mencetuskan gerakan reformasi pada asalnya). PKR mencatat kejayaan di dua negeri; ia membentuk kerajaan negeri Selangor (2008 - sekarang) dan Perak (Mac 2008 - Februari 2009). Ini mencerminkan sokongan yang diraih dalam kalangan kaum Melayu yang menetap di bandar.

Anwar melakukan beberapa kesilapan sepanjang perjalanan politiknya yang memalit kewibawaannya sebagai seorang pemimpin. Pada 2008, beliau mendakwa gabungan parti pembangkangnya meraih sokongan untuk membentuk kerajaan persekutuan sungguhpun Barisan Nasional (BN), yang dianggotai UMNO, memenangi pilihan raya (tetapi tanpa majoriti mutlak).

Pada September 2020, Anwar menyampaikan kepada para pemberita bahawa beliau memegang majoriti yang kuat, menggerunkan dan meyakinkan untuk melepaskan Putrajaya daripada genggaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Beliau gagal dalam kedua-dua percubaan.

Pada 2014, beliau terbabit dalam Langkah Kajang. Tindakan yang didalangi oleh Rafizi untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim itu gagal, yang merupakan Menteri Besar Selangor, dari PKR.

Pada Ogos 2021, Anwar gagal meraih sokongan secukupnya di Parlimen untuk mendukungnya sebagai perdana menteri menyusuli peletakan jawatan Muhyiddin.

Rafizi Penyelamat PKR?

Perhatian kini tertumpu kepada Rafizi untuk mengubah nasib parti. Dalam ucapan kemenangannya, Rafizi mendakwa beliau “bukan Azmin Ali”.

Pada Februari 2020, Azmin meninggalkan parti itu bersama sekumpulan penyokong setianya. Ini disusuli dengan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR.

Meskipun beliau menzahirkan janji taat setia kepada Anwar, Rafizi juga berikrar untuk menyuarakan pendapatnya dan mengkritik parti.

Namun pemilihan parti PKR belum lagi sampai ke penghujungnya. Ada aduan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang mendakwa berlaku penipuan semasa pilihan parti dan ada tuntutan agar keputusan tersebut diisytiharkan tidak sah. JPPM menerima 1,800 aduan daripada para anggota akar umbi PKR, termasuk calon naib presiden Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Di sebalik gembar-gembur tentang muka baru PKR selain Anwar, parti itu perlu menghapuskan imej parti yang bersifat personalistik.

Rafizi seorang tidak mampu mengubah hala tuju PKR. Ia perlu berdiri teguh dalam menegakkan politik berbilang kaum, selain daripada cita-cita reformasi yang lain seperti antirasuah, antinepotisme, institusi-institusi yang kukuh dan bersih serta pilihan raya yang bebas dan adil.

Hala Tuju Seterusnya

Ia tidak boleh terpengaruh dengan politik pragmatik untuk menawan semula Putrajaya. Pada 2018, ia menepikan cita-citanya buat seketika apabila ia bergabung tenaga dengan Dr Mahathir, iaitu individu yang mencetuskan gerakan “Reformasi” pada 1998.

Namun pucuk pangkal kerjasama itu tidak terletak pada pendamaian antara Dr Mahathir dengan Anwar, yang merupakan anak kunci kepada pembentukan PH dan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, tetapi sokongan PKR terhadap agenda Melayu Dr Mahathir dan kedudukannya dalam gabungan yang didahului Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Hasil aturan yang dicapai, kerajaan PH pada 2018 tidak berbeza dengan BN, kerana PKR adalah parti junior dalam gabungan berbilang kaum yang dipimpin oleh parti Melayu. Ia tidak mampu mengulangi langkah serupa kerana ia kini merupakan ketua de facto pembangkang.

Jika PKR ingin mengekalkan pendirian politik berbilang kaum, ia perlu meningkatkan usaha untuk memikat para anggota bukan Melayu untuk menyertai barisan pemimpin. Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, lapan anggota bukan Melayu disertakan dalam Majlis Pimpinan Pusat yang terdiri daripada 20 anggota.

Langkah itu patut dialu-alukan.

Langkah seterusnya adalah untuk menangani persoalan lebih sulit tentang perbezaan antara PKR dengan sekutunya, Parti Tindakan Demokratik (DAP). Seperti PKR, DAP juga merupakan parti berbilang kaum, namun dipimpin kaum Cina.

Patutkah kedua-dua parti berbilang kaum itu bergabung?

Ini bukan persoalan yang boleh diselesaikan oleh Anwar atau Rafizi saja. Sebaliknya, PKR perlu mencapai kata putus dengan sekutu-sekutunya yang berbilang kaum dalam PH.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Leadership in Place, PKR Needs to Focus on Ideology”.

MENGENAI PENULIS:
Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Kajian Kemasyarakatan dan Budaya Serantau, ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan