Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sekalipun jika Muhyiddin berundur, tidak banyak calon untuk sandang jawatan perdana menteri

Parti-parti politik di Malaysia sedang mengatur langkah masing-masing sebagai persiapan sebelum tempoh perintah darurat di negara itu ditamatkan pada 1 Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sekalipun jika Muhyiddin berundur, tidak banyak calon untuk sandang jawatan perdana menteri

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 09:16PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 09:21PM

BERITAmediacorp: Parti-parti politik di Malaysia sedang mengatur langkah masing-masing sebagai persiapan sebelum tempoh perintah darurat di negara itu ditamatkan pada 1 Ogos.

Menyusuli tekanan dari Yang di-Pertuan Agong dan juga daripada rakyat negara itu, kedua-dua dewan Parlimen Malaysia kini dijadual bersidang sebelum 1 Ogos.

Pada mulanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Parlimen hanya akan bersidang pada September, iaitu dalam tempoh lebih dua bulan lagi, untuk memberikan ruang kepada kerajaan untuk mempercepatkan program imunisasi kebangsaan dan yang lebih penting lagi, memberikan PM Muhyiddin masa yang secukupnya untuk memperolehi sokongan dan mengukuhkan kedudukannya supaya dapat terus mentadbir negara itu.

Selain PM Muhyiddin dan sekutu-sekutunya, setiap orang mahu melihat Parlimen bersidang secepat mungkin dan mereka berharap sekatan pergerakan akan ditarik balik seperti yang dijadualkan pada 1 Ogos.

Rakyat Malaysia dipercayai berasa sangat kecewa dengan prestasi kerajaan dalam usahanya untuk membendung penularan COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan terhadap keputusan untuk menutup banyak sektor ekonomi. Ramai penduduk memacakkan bendera putih untuk meminta bantuan.

PM Muhyiddin kini berdepan dengan tekanan yang kian meningkat daripada UMNO, iaitu parti paling kuat dalam gabungan parti kerajaan. UMNO sudahpun memutuskan untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menggesa pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Sesetengah pihak pula bertanggapan bahawa PM Muhyiddin berdepan dengan tekanan politik yang begitu sengit sehinggakan beliau terpaksa mendapatkan rawatan di hospital pada 30 Jun.

HUBUNGAN TEGANG UMNO-BERSATU

Lantaran itu, apakah sebenarnya yang berlaku di Kuala Lumpur? Adakah kita sedang menyaksikan bibit-bibit terakhir pentadbiran PM Muhyiddin?

Kesemua pemain utama dalam percaturan politik Malaysia sedang mengorak langkah secara senyap-senyap untuk menyusun langkah masing-masing.

Kita mulakan dengan UMNO, iaitu parti paling penting dalam kerajaan sekarang. Namun UMNO pada hakikatnya kini terbahagi kepada dua puak.

Puak pertama diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, iaitu presiden UMNO sekarang serta mantan presidennya. Mereka mahu menarik UMNO keluar daripada gabungan parti kerajaan supaya pilihan raya dapat diadakan, kecuali jika PM Muhyiddin bersetuju untuk campur tangan dalam kes-kes rasuah terhadap sebilangan pemimpin UMNO dan memperluaskan kuasa UMNO dalam kerajaan.

Ini mungkin bermakna lebih ramai anggota UMNO dilantik menjadi menteri, termasuk seorang anggota UMNO untuk menyandang jawatan timbalan perdana menteri, dengan jawatan tersebut digugurkan sebelum ini oleh PM Muhyiddin untuk melantik empat menteri kanan.

Puak kedua dalam UMNO pula merangkumi para anggota yang mahukan UMNO terus kekal dalam kerajaan tetapi tanpa kehadiran Ahmad Zahid dan mereka mahu menggantikannya dengan pemimpin baru seperti Hishammuddin Hussein, yang baru dilantik sebagai Menteri Kanan. Blok ini berpandangan bahawa perbicaraan rasuah terhadap Najib, Ahmad Zahid dan sebilangan anggota UMNO yang lain akan melemahkan UMNO dan mereka yakin bahawa UMNO yang lebih kuat akan dapat bangkit semula selepas pemimpin-pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes-kes rasuah disingkirkan.

Mereka tidak semestinya mahukan pilihan raya diadakan lebih awal kerana mereka bimbang akan dipertanggungjawabkan oleh para pengundi atas 'tipu helah' mereka semasa perintah darurat yang dikuatkuasakan sekarang – termasuk keprihatinan terhadap kos yang tinggi untuk membiayai program imunisasi Malaysia dan muslihat mereka di sebalik perjanjian dengan China untuk Malaysia menghasilkan sendiri vaksin yang dibangunkan di negara tersebut.

Yang menariknya tentang puak kedua tersebut adalah mereka tidak menolak sama sekali kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang, lebih-lebih lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim, dan Amanah, untuk membentuk “kerajaan perpaduan” sepanjang tempoh pandemik ini. Namun mereka keberatan untuk bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Sementara itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui oleh PM Muhyiddin tersepit antara kedua-dua puak itu. Kepentingan utama Bersatu adalah untuk mengekalkan jawatan perdana menteri – tumpuan segala kuasa dalam arena politik Malaysia.

Ini melibatkan 'tawar-menawar' dengan kedua-dua pihak, menerima anggota-anggota parti lain yang sanggup 'melompat' parti dan memastikan PM Muhyiddin mampu mengekalkan kerjasama dengan puak kedua UMNO sambil menghalang Ahmad Zahid dan Najib daripada menggulingkan kerajaannya.

Masalah besar di sini adalah kedua-dua puak UMNO bertanggapan bahawa lambat laun, Bersatu akan menyerahkan tampuk kepimpinan kerajaan kepada UMNO, atau dalam senario 'terbaik', Bersatu bergabung dengan UMNO sebelum pilihan raya umum seterusnya diadakan.

Ini mungkin sukar untuk dibayangkan namun kita perlu ingat bahawa kesemua pemimpin kanan Bersatu adalah pemimpin UMNO pada satu ketika dahulu. UMNO dan Bersatu juga tidak banyak berbeza dari segi ideologi.

PERCATURAN POLITIK PEMBANGKANG

Bagi pihak pembangkang pula, dua pemain utama adalah PKR dan DAP yang membentuk sebahagian besar Pakatan Harapan (PH). Anwar masih menaruh harapan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri. Bahkan pada lewat tahun lalu, beliau mengumpul berpuluh-puluh pengakuan bertulis daripada Anggota-Anggota Parlimen UMNO yang didakwa menyokongnya untuk memegang jawatan tertinggi itu.

Meskipun Anwar kekal sebagai calon rasmi PH bagi jawatan perdana menteri, di luar PKR pula terdapat sentimen yang kian meningkat dalam kalangan pengundi Melayu lebih muda yang berpendapat bahawa Anwar sepatutnya mengundurkan diri demi menyerahkan tampuk kepimpinan PKR kepada generasi seterusnya. Pemimpin-pemimpin muda itu termasuk anak Anwar sendiri, iaitu Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Shamsul Iskandar.

Ramai yang kecewa dengan percubaan Anwar sebanyak tiga kali yang diuar-uarkan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam tempoh empat tahun lalu untuk merampas jawatan perdana menteri, yang akhirnya tidak membuahkan hasil dan mencemarkan kewibawaan PKR.

DAP, sebagai parti yang memegang jumlah kerusi terbesar di Parlimen, turut berada dalam kedudukan politik yang lebih mencabar.

Sebagai sebuah parti politik di Malaysia yang sebahagian besarnya meraih sokongan daripada pengundi Cina, DAP mahu terlibat sama dalam kerajaan untuk mewakili kaum-kaum minoriti, dan yang lebih penting lagi, menggalak dasar berbilang kaum. Kebimbangan utamanya adalah sekiranya Anwar akan berpakat dengan UMNO untuk membentuk “kerajaan perpaduan”.

Saya tidak akan rasa terkejut jika DAP berurusan menerusi pintu belakang dengan UMNO.

DAP akan berharap untuk meyakinkan UMNO bahawa DAP lebih sesuai dijadikan sebagai sekutu dalam sebarang kerajaan baru memandangkan sebahagian besar pengundi Cina menyokong DAP dan peminggiran kaum Cina dalam sesebuah kerajaan akan mendatangkan ketidakstabilan kepada gabungan parti berkenaan.

PEMAIN KECIL

Dua pemain kecil di sini adalah Dr Mahathir Mohamad dan Parti Agama Islam Se-Malaysia (PAS). Dr Mahathir masih marah terhadap Muhyiddin. Parti Pejuang pimpinannya mungkin akan didaftarkan tidak lama lagi. Dr Mahathir mungkin berharap pemain-pemain utama tidak akan dapat mencapai kata sepakat dengan apa-apa selain menyingkirkan Muhyiddin dan mereka akan sekali lagi menyokong bekas perdana menteri itu.

Namun ini tidak mungkin berlaku kerana para pengundi Melayu kian sinis terhadap legasi Dr Mahathir. Sekiranya beliau tidak meletak jawatan pada Februari 2020, segala kemelut yang disaksikan di Malaysia hari ini tidak mungkin akan berlaku.

PAS juga tersepit dalam kedudukan yang sukar. Abdul Hadi Awang, pemimpin ultra konservatif PAS, pula dipercayai dalam keadaan uzur dan kebanyakan menterinya dikecam di media sosial kerana bermuka-muka.

PAS menyatakan secara rasmi bahawa ia menyokong PM Muhyiddin tetapi secara senyap-senyap, ia bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO selagi kerajaan seterusnya tidak melibatkan DAP.

EMPAT SENARIO KERAJAAN

Terdapat empat senario di mana parti-parti Malaysia boleh membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Pertama, PM Muhyiddin mungkin disingkirkan, sementara kerajaan baru ditubuhkan, merangkumi UMNO dan PKR (bersama atau tanpa DAP), Amanah serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Kedua, Bersatu dan puak kedua UMNO, PKR (tanpa DAP), PAS, Amanah dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. PM Muhyiddin mengekalkan jawatannya untuk menutup malu setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Ketiga, Bersatu dan puak kedua UMNO, bersama dengan PAS, serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak dan anggota-anggota yang melompat dari parti-parti lain. Muhyiddin kekal berkuasa tetapi kerajaan ini lumpuh.

Keempat, puak UMNO yang diterajui oleh Ahmad Zahid/Najib mencapai matlamat-matlamat yang dituntut dan Bersatu kekal berkuasa. UMNO kemudian akan menjadi komponen paling kuat dalam kerajaan.

Huraian ideal adalah untuk kerajaan berjanji akan mengadakan pilihan raya umum sebaik saja pandemik berjaya dikawal dan sebahagian besar penduduk Malaysia divaksin.

Dalam pengamatan saya tentang landskap politik di Kuala Lumpur, sesuatu perkara “akan berlaku” selepas perintah darurat berakhir kelak.

Dalam tempoh sebulan lagi, pandangan umum mungkin akan berubah bergantung kepada kemajuan program vaksinasi, bilangan kes harian dan keadaan ekonomi. Namun hala tuju politik Malaysia masih samar-samar.

MENGENAI PENULIS:
Profesor James Chin adalah Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania dan Zamil Kanan di Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan