Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: 'Sejarah Melayu' Sulalatus Salatin antara karya terbaik dunia persuratan Melayu; relevan ke hari ini

Sulalatus Salatin (SS) atau Susur Galur Raja-Raja makna judulnya, lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Ia dianggap sebagai karya terbaik dalam tradisi persuratan Melayu. Dalam karya ternama ini, diriwayatkan asal muasal raja-raja Melayu Melaka, yang boleh bertali temali susur galurnya dari kerajaan Singapura dan Palembang tua.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sulalatus Salatin (SS) atau Susur Galur Raja-Raja makna judulnya, lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Ia dianggap sebagai karya terbaik dalam tradisi persuratan Melayu. Dalam karya ternama ini, diriwayatkan asal muasal raja-raja Melayu Melaka, yang boleh bertali temali susur galurnya dari kerajaan Singapura dan Palembang tua.

Sulalatus Salatin bukanlah sebuah hikayat biasa yang boleh kita baca untuk mengubat hati nan lara atau terlantun hikmat darinya. Ia sebuah dokumen istana yang merakamkan keagungan sebuah kerajaan, selain mahu menyebut akan keperkasaan nasab dari keturunan Bendahara.

Tun Seri Lanang mengaitkan nasabnya dari keturunan Bendahara Tun Perak, seorang pembesar yang dilukiskan dengan segala kewibawaan dan kebijaksanaan. Malah di saat kalau ada kekurangan Sultan yang disinggung, namun itu berbeza dari Bendahara yang lebih berhemah, matang dan perkasa.

Bendaharalah tiang seri kepada kerajaan ini.

Sentuhan Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang atau nama asalnya Tun Muhammad bin Tun Ahmad adalah sang pujangga yang dipercayai menyempurnakan karya ini pada awal abad ke-17 di mana teks awalnya sudah tertulis di zaman kesultanan Melaka.

Pengarang Sulalatus Salatin. (Lukisan ihsan Yayasan Karyawan dan buku terbitan DBP Malaysia.)

Pada riwayat beliau sendiri, Tun Seri Lanang pernah menyandang jawatan Bendahara kerajaan Johor, kemudian dibawa ke Acheh apabila Johor kalah dalam perbahalan kuasa dengan Acheh.

Dalam sejarah, Johor diserang oleh Acheh pada 1613, berakhir dengan para pembesar kerajaan Johor dibawa ke Acheh, antaranya Tun Seri Lanang sendiri. Malah Tun Seri Lanang kemudian mendapat naungan dari Sultan Acheh sehingga dianugerahi daerah Samalangga, dengan gelaran Orang Kaya Dato' Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.

Ertinya karya ini disempurnakan dalam suasana pergolakan politik dan apabila sang pujangga menyempurnakan karya ini dengan mengingatkan keagungan Melaka yang telah lalu, tersirat suatu pernyataan akan kehebatan Melaka di Alam Melayu.

Tambah menarik, ia cuba menampilkan kewibawaan Bendahara Tun Perak, yakni leluhur Tun Seri Lanang yang banyak berjasa dalam mendaulatkan kesultanan Melaka.

Di sinilah sudut yang sangat menarik, kerajaan Melayu sistem kuasanya bukanlah mutlak terpusat kepada seseorang raja yang bertakhta, melainkan kekuasaan ada di tangan beberapa keluarga pembesar, yang kadang-kadang boleh menentukan turun naik bakal raja ataupun raja yang sedang memerintah.

Inilah antara ciri feudalisme. Mentelah raja yang bertakhta itu digelar Sultan Yang Dipertuan, di mana terdapat juga pembesar-pembesar lain yang berpengaruh dengan kekuatan masing-masing dan menjadi “tuan-tuan” di takluk daerah masing-masing.

Umumnya naratif penceritaan yang tersusun dalam Sulalatus Salatin sangat cantik dan menarik, di mana mitos, sejarah, memori, cita dan nasihat serta ideologi berkepentingan tersulam dengan halus sehingga tidak jarang pembaca yang akan takjub dengan rentetan cerita yang dihikayatkan dengan sangat bagus, sarat juga dengan makna dan kiasan.

Mitos asal usul raja yang terkandung di dalamnya mengingatkan sebuah kerajaan Melayu di kawasan Palembang, yakni imbasan tentang kedatuan Srivijaya yang pernah berkuasa di merata daerah rantau ini, sebelum kuasa ini merosot dan terbukanya pula Singapura dari susur galur raja besar di Palembang.

Di Singapura keagungan kerajaan ini diceritakan dengan menarik dari ia dibuka oleh Sang Nila Utama sehinggalah Parameswara lari ke Melaka setelah kota itu diserang Majapahit.

Kebangkitan, Kegemilangan & Kejatuhan Kesultanan Melaka

Replika Istana Kesultanan Melaka yang dibina berdasarkan data daripada Sulalatus Salatin. (Gambar: Wikimedia Commons)

Inti utama Sulalatus Salatin ialah kedaulatan raja bersifat yang seolah-solah bersifat sakral, serta kesempurnaan hamba Melayu yang terletak pada kesetiaan mutlak kepada raja-rajanya. Itulah ideologi politik yang mahu diterapkan oleh sang pujangga ini dan kalau dalam bahasa zaman ini, seorang sang propagandis pada zamannya.

Dalam konteks Melaka yang sudah hilang dalam peta percaturan kuasa, sang pujangga menulis mengingatkan kegemilangannya. Dalam meriwayatkan nasab raja-raja Melayu yang ia sedia berbakti, Tun Seri Lanang melukiskan peranan nasab Bendahara, yang bermula dari Demang Lebar Daun berwaad dengan Sang Sapurba, sehinggalah Tun Perak yang membina Melaka sehingga menjadi kerajaan yang terkuat.

Perhatikan wasiat Tun Perak kepada kerabatnya:

“Hai segala anak cucuku, jangan kamu tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini; yang hidup ini sahaja akan mati juga kesudahannya. Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada membuat kebaktian kepada Allah Taala dan Rasulullah saw dan janganlah kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian kerana pada segala hukum bahawa raja-raja yang adil itu dengan Nabi saw umpama dua buah permata pada sebentuk cincin, lagi pula raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu’lla fil’alam.”

Inilah nilai dan pemikiran yang sering terjelma dalam karya-karya istana lain seperti Hikayat Hang Tuah yang menjulang pentingnya “hamba yang setiawan” dan Undang-Undang Melaka yang menyebut bahawa taat hamba Melayu kepada rajanya adalah mutlak, baik ia zalim mahupun adil.

Ideologi yang mengunggulkan kebaktian tidak berbelah bagi kepada raja tanpa mengira pertimbangan moral-etika, jelas mengagungkan kesakralan sang raja, sesuatu yang sebenarnya jauh berbeza dari tradisi cerminan raja-raja yang terbangun dalam peradaban Islam.

Hampir setiap peristiwa dalam Sulalatus Salatin tersulam sejarah dan cerita-cerita yang mengasyikkan, sehingga yang boleh kita tafsirkan bahawa sang pujangga ini bukanlah bercerita sembarangan. Dari segi melapikkan cerita dan peristiwa, memang sang pujangga ini seorang periwayat yang mahir, yang kesemua ceritanya terarah mengagungkan kedaulatan raja-raja dan bahawa durhaka itu adalah larangan terbesar.

Peluasan Kuasa Kerajaan Melaka

Karya ini memperlihatkan sebuah budaya pesisiran yang kosmopolitan, justeru itu menggambarkan Melaka sebagai kuasa politik dan perdagangan yang terkuat di rantau ini pada abad ke-15.

Terdirinya Melaka, khasnya dengan kemasukan Islam, memperkuatkan kuasa ekonominya sehingga dapat menguasai kedua belah persisiran Selat Melaka, selain membatasi kekuasaan Siam di Semenanjung.

Dari segi penulisan, dapat kita melihat sang pujangga yang mengimbas akan kebesaran kerajaan Melaka, yang menjadi kerajaan induk kepada kerajaan Johor. Namun pasca kejatuhan Melaka, Johor yang menjadi penerus kuasa Melaka bukan saja menghadapi tekanan dari Portugis yang berkubu di Melaka tetapi juga dari kerajaan Acheh, yang pada abad ke-17 menjadi kuasa terkuat di perairan Selat Melaka.

Apapun, sejumlah besar cerita dan peristiwa yang ditulis dalam karya ini berlaku pada zaman Melaka, dari mula ia dibuka sampailah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.

Hari ini, karya ini sudah banyak dikaji, disunting, dan diperkatakan. Pada abad ke-19, Sulalatus Salatin adalah antara teks awal yang mendapat perhatian dari pengkaji dan pembaca kolonial.

Malah Munshi Abdullah sendiri antara yang mengusahakan percetakan karya ini dalam bentuk teks bercetak batu di Singapura. Ia digunakan sebagai bacaan di sekolah-sekolah sehingga Munshi sendiri memuji teks ini sebagai sebuah karya yang baik untuk menguatkan pembelajaran bahasa Melayu seseorang.

Sekiranya pada abad terdahulu, beberapa istana membacakan karya ini dalam upacara tertentu, maka pada abad ke-20 karya ini mendapat perhatian yang lebih luas.

Sumber Rujukan Sejarah

Para inteligensia Melayu menggunakan karya ini sebagai sumber untuk mengedepankan sejarah bangsa Melayu, sementera segelintir yang lain mempersoalkan ideologi feudalisme yang terpancar di dalamnya.

Umumnya pembacaan yang romantis mendominasi dan ini tidak menghairankan kerana sejak era kesarjanaan kolonial, karya ini disebut sebagai “Sejarah Melayu”.

Ini bermakna sejarah sebuah dinasti dan penguasa Melayu diseertikan dengan sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Bagi kolonial etos kesetiaan kepada raja-raja yang terkandung dalam karya ini sangat memberuntungkan kepentingan kolonial mereka kerana British memang pun berkuasa atas nama raja-raja Melayu yang memerintah.

Pada hujungnya terjadilah penggubalan sejarah yang bersifat elit-sentrik dan feudal-sentrik pada dekad-dekad seterusnya sehingga karya ini menjadi tunggak utama kepada kelompok kepimpinan yang mendukung ideologi dominan yang cenderung bersifat neo-feudal.

Yang perlu ditegaskan adalah sifat karya ini sebagai sebuah dokumen istana yang merakam kegemilangannya.

Pasti ada unsur sejarah yang terkandung di dalamnya, namun ia bukanlah karya sejarah yang seutuhnya.

Malah asal ia ditulis pun bukan untuk meriwayatkan sejarah bangsa Melayu melainkan untuk menghuraikan susur galur raja-raja Melayu.

Dari judulnya saja, pasti bercelaru sekiranya mensinonimkan sejarah elit pemerintahan dengan sejarah rakyat terbanyak, yang sayangnya inilah yang sering terjadi dalam pemahaman masa kini.

Yang paling jelas karya ini adalah ciptaan luar biasa kerana bakat sang pujangga dalam penyulaman fakta, fiksi dan ideologi, dengan tujuan mendukung keagungan dan kedaulatan sebuah nasab atau dinasti yang memerintah.

Maka di sinilah pentingnya meletakkan karya ini sebagai sebuah dokumen kebudayaan yang sarat dengan kepentingan ideologi yang memerintah.

Sebaliknya kalau dibaca hanya untuk mencari puitika dan keindahan di dalamnya, tanpa menghiraukan ideologi yang berdenyut di dalamnya, akan membuat kefahaman kita terhumban di lembah romantisisme sejarah.

Menyebut sebegini bukanlah bererti kita tidak menghargai warisan karya yang gemilang ini. Malah kalau kita perhatikan karya ini kelak akan menjadi teks teladan untuk meriwayatkan sejarah kerajaan yang memerintah seperti Misa Melayu, Hikayat Siak dan Tuhfat al-Nafis pada abad-abad kemudiannya.

Sama pentingnya sang pujangga yang berbakat ini telah meninggalkan gambaran tentang Melaka sewaktu gemilangnya, termasuk tentang kerajaan Singapura tua, yang cerita tentang kerajaan ini menunjukkan bahawa sejarah Singapura dapat ditarik lebih awal daripada tarikh 1819, yang sering terpakai dan terfaham.

Sulalatus Salatin yang disempurnakan oleh Tun Seri Lanang masih terus dibaca dan dikaji khasnya di perguruan tinggi.

Pembacaan yang berbagai dari karya ini memperlihatkan kerencaman dalam wacana Melayu masa kini, selain memperlihatkan pertarungan idea yang masih berlanjutan khasnya di antara yang mendukung ideologi dominan yang didasari oleh neo-feudalisme dan akur pada status quo, ataupun aliran progresif yang mahu menyuguhkan pemikiran kemanusiaan Melayu yang lebih egaliter dan demokratis, dengan mengintegrasikan nilai-nilai yang dipegang dan dipertahankan di dalamnya.

Semoga dari karya besar ini, dapat kita lebih memahami bukan saja dunia sang pujangga, tetapi juga pengungkapan muluk yang menyirat kepentingan kelompok yang mahu mendaulatkan kekuasaan golongan feudal.

Pastinya ia jauh berbeza daripada kemanusiaan Islam tajaan Tajussalatin yang menggemakan adil dan akal sebagai teras kepada penguasa, mahupun dari biladan rakyat Melayu yang diperturunkan secara lisan yang berbunyi:

“Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

Itulah etos politik rakyat Melayu yang pasti berbeza daripada etos politik sang pujangga kita ini.

Begitulah warisan sejarah yang menuntut kita mempertimbangkannya dengan waras dan rasional.

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan