Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sedang pandemik belum terhurai mengapa pula isu agama menjadi tengkarah

Langkah sesetengah negara seperti Perancis bertindak tegas mengekang fahaman pelampau agama mudah sekali mencetuskan pelbagai rasa sangsi.  Bagaimana ia boleh ditangani dengan baik?     

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sedang pandemik belum terhurai mengapa pula isu agama menjadi tengkarah

Masjid Besar Paris (Gambar Wikipedia)

Presiden Perancis Emmanuel Macron menjanjikan sesuatu yang drastik pada pertengahan Oktober ini.

Beliau mahu membentangkan satu rang undang-undang baru yang menurutnya bertujuan bertindak ke atas pertubuhan atau individu yang mengancam perpaduan dan nilai-nilai sekular republik Perancis.

Tumpuan rang baru itu adalah apa yang dipanggilnya fahaman ‘Islam radikal’ dan mereka yang tersasar daripada fahaman dan nilai-nilai sekular Perancis.

Macron berkata ‘fahaman pemisah Islam’ kini semakin mengancam untuk mengambil alih beberapa masyarakat Islam di Perancis.

Menurutnya rang tersebut akan bersikap tegas terhadap mereka yang terkeluar daripada nilai-nilai utama Perancis.

Dan pada masa yang sama ia akan juga melindungi mereka yang beragama Islam sebagai warga penuh Perancis.

Jemaah di masjid Tahara di selatan Perancis memakai pelitup muka (Gambar: AFP/CLEMENT MAHOUDEAU)

Walau apapun yang cuba diterangkan oleh Presiden Macron, ucapannya cepat menarik reaksi sebilangan rakyat negara itu, terutama masyarakat Islam Perancis yang dianggarkan 6 juta orang.

Bagi majoriti rakyat Perancis mereka mengalu-alukan gagasan Encik Macron untuk menentang apa yang dipanggil sebagai ‘fahaman pemisahan’ di kalangan sesetengah penduduk Muslim Perancis.

Tetapi ramai juga yang menyangsikan niat sebenar di sebalik gagasan tersebut. Ramai melihatnya sebagai bermotif politik semata-mata demi menguatkan imej beliau sebagai pemimpin yang berani menentang ‘fahaman pemisahan’ dan ‘fahaman radikal’ di kalangan sesetengah penduduk Muslimnya.

Tujuan beliau, menurut sesetengah pemerhati,  hanyalah untuk mengukuhkan kedudukannya bagi pilihan raya presiden mendatang pada 2022.

Encik Macron dijangka menghadapi saingan hebat daripada Marine Le Pen, pemimpin sayap kanan yang lebih lantang sikapnya terhadap masyarakat pendatang Perancis, termasuk sejumlah besar masyarakat Islam negara itu.

MOTIF APA?

Apakah langkah Encik Macron itu benar-benar kerana kebimbangannya terhadap masyarakat Muslim negara itu, yang dikhuatiri semakin menunjukkan ciri-ciri ketegaran?

Atau apakah ia hanya sekadar kempen politiknya untuk menambat undi sebahagian besar rakyat Perancis yang bimbang dengan trend perubahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Muslimnya?

Gambar fail Presiden Perancis Emmanuel Macron (Gambar: Reuters)

Macron bertegas bahawa pendirian pemerintahnya tidak bertujuan menyasarkan kepada agama atau umat Islam.

Namun pada masa yang sama juga, beliau memang melihat adanya apa yang kerap disebut-sebut sebagai ‘Islam  dalam krisis’ dan bagaimana ia perlu dibantu supaya ia boleh menjadi ‘agama pencerahan.’

Macron memanglah bukan pemimpin Perancis yang pertama meluahkan pandangan sedemikian. Sebelum ini bekas Presiden, Nikolai Sarkozy, juga pernah menyuarakan sentimen yang sama tentang bagaimana ‘Islam dapat dibantu’ keluar daripada krisisnya sekarang.

Kedua-dua Macron dan Sarkozy memang mempunyai niat dan motif politik masing-masing dalam mereka menyuarakan pandangan terhadap kedudukan dan perubahan yang kini berlaku dalam sesetengah masyarakat Islam Perancis.

SENTIMEN NEGATIF

Selain faktor meningkatnya sentimen negatif ke atas masyarakat pendatang asing – yang sebahagian besarnya memang beragama Islam, soal keselamatan dan meningkatnya fahaman tegar turut menjadi faktor meningkatnya sentimen kurang positif terhadap Islam dan pengikutnya di Perancis.

Bagi pemerhati dan para pemimpin seperti Macron dan Sarkozy, mereka melihat meningkatnya ketegaran, malah juga fahaman ekstrem di kalangan sesetengah penduduk Islam kerana adanya pengaruh-pengaruh dari luar.

Antara beberapa perubahan yang bakal disarankan di bawah rang undang-undang ‘anti-pemisahan’ yang dicadangkan termasuk mengekang kemasukan imam dan tenaga pengajar Islam luar dari Perancis.

Ia juga menimbangkan langkah memperkenalkan sistem pensijilan atau akreditasi terhadap para imam yang layak untuk mengajar atau memimpin di sesebuah masjid.

Rang tersebut juga mahu membolehkan pemerintah bertindak lebih pantas ke atas para kakitangan awam yang mula menunjukkan tanda-tanda radikalisasi.

FAKTOR UTAMA

Perancis seperti beberapa negara Eropah yang lain memanglah bukan baru dalam berhadapan dengan kemunculan radikalisme dan fahaman sempit lain yang berkaitan dengan agama.

Memang tidak boleh dinafikan ia besar kemungkinan disebabkan oleh kemasukan pengaruh-pengaruh asing dan juga akibat pelbagai perkembangan dalaman dan luar yang dilalui oleh sesebuah masyarakat atau komuniti Islam itu.

Di kalangan pakar-pakar Perancis sendiri, ramai daripada mereka terus berbalah  tentang apakah faktor utama yang mendorong seseorang itu – terutama golongan belia Muslim - menjadi radikal atau berpandangan esktrem.

Olivier Roy, ceramah di Middle East Institute, S'pura.

Ada seperti Olivier Roy (Jihad and Death) melihatnya sebagai faktor persekitaran (sosial,politik, ekonomi dan sebagainya).

Ada juga seperti Gilles Kepel (Terror in France) pula menganggap faktor ideologi radikal dan ekstrem itu sendiri sebagai pengaruh penting menjadikan seseorang itu radikal, pelampau atau pun berfikiran sempit terhadap ajaran-ajaran agama.

Bagi Roy, pengganasan atau pemikiran sempit tentang agama itu tidak datanganya dari Islam tetapi disebabkan pelbagai faktor sekitaran – termasuk budaya dan pengaruh ganas yang semakin berleluasa dalam kehidupan semasa hari ini.

BUDAYA GANAS

Menurut Roy, bukan agama yang menjadikan seseorang itu ganas atau melampau. Tetapi budaya ganas itu yang menyerap ke dalam masyarakat dan kemudian menggunakan agama untuk memberi pelbagai bentuk justifikasi  dalam menghalalkan pemikiran dan tindak tanduk ganas atau sempit.

Tidak kira apa pun penerangan yang cuba dibuat Roy, Kepel pula melihat bahawa ideologi dan pengaruh sempit memang sudah bertempat dalam sesetengah masyarakat Islam di Perancis.

Apa pun puncanya, menurut Kepel, ideologi dan fahaman sempit ini sudah mempengaruhi sesetengah golongan muda Muslim Eropah, yang menyebabkan mereka termakan dengan sikap pengasingan dan polarisasi terhadap negara dan masyarkat bukan Islam.

Dengan mengambil kira perdebatan pandangan dan analisis kedua-dua pakar ini, kita boleh membuat beberapa pertimbangan sendiri.

Antaranya, perubahan yang berlaku dalam masyarakat – seperti meningkat dan meluasnya sesuatu kecenderungan dan fahaman (dari soal berfikiran sempit atau luas hinggalah kepada soal penampilan jati diri yang begitu atau begini), secara kolektifnya disebabkan oleh pelbagai faktor yang kompleks.

Namun tidak kira betapa kompleks sekalipun faktor sesuatu gejala itu, ia tidak bermakna kita harus berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu.

Sekiranya perubahan yang berlaku dalam masyarakat itu menunjukkan tanda-tanda yang tidak sihat, malah membahayakan negara dan kesejahteraan lebih luas, maka menjadi tanggungjawab bersama setiap anggota masyarakat itu untuk memperbetulkan keadaan.

Kalau begitu keadaanya di Eropah dan juga di negara-negara lain, bagaimana pula dengan keadaan kita di sini?


 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan