Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Sebutan Baku - Antara kelu dan alah bisa

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sebutan Baku - Antara kelu dan alah bisa

Gambar fail pementasan murid-murid prasekolah sempena Hari Kanak-Kanak dan Bulan Bahasa.

BERITAmediacorp: Sejak diperkenalkan pada 1993 di sekolah dan media elektronik, kalangan warga Singapura, terutama masyarakat Melayu, cuba menyesuaikan lidah mereka dengan Sebutan Baku. Tetapi sesudah tiga dekad, apakah ia sudah dapat diterima secara meluas?

Diam tak diam, hampir tiga dekad Sebutan Baku (SB) Bahasa Melayu (BM) dilaksanakan di Singapura. Sejauh manakah pemakaiannya dalam masyarakat Melayu di sini?

Satu dapatan yang agak menyentak ditemukan oleh Prof Madya Dr Mukhlis Abu Bakar yang mengetuai kumpulan kajian dari Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun lalu.

Kajian itu dijalankan selang hampir sedekad. Ia cuba menjawab ajuan Menteri Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamed yang juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 2012 – adakah SB dapat disempurnakan untuk seluruh masyarakat Melayu?

Namun kajian tadi hanyalah ke atas pelajar Menengah 3 yang mengambil BM sebagai bahasa kedua di empat buah sekolah menengah.
 

Related article image
Program EMAS di Sekolah Menengah Anderson. (Gambar fail: Facebook/Anis Qurratu'aini)

Oleh itu, belum diketahui secara sahih amalan SB dalam kalangan ibu bapa Melayu, guru Bahasa Melayu (BM), penyiar (radio dan televisyen) dan tentulah elit masyarakat Melayu. Ini memandangkan antara matlamat besar SB adalah untuk keperluan komunikasi rasmi atau formal.

Sebelum kajian Dr Mukhlis, sudah terdapat beberapa kajian yang menunjukkan SB masih belum mantap.

Misalnya, kajian Pairah Satariman, seorang guru BM dan pegawai di Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2007, yang mendapati SB membantu dalam pengajaran BM tetapi sering terhad di bilik darjah saja.

PEMBAKUAN BAHASA

Selama 700 tahun (ada sarjana yang menghujahkannya lebih lama lagi iaitu sejak abad ke-9 Masihi), BM ditulis dengan aksara Arab atau tulisan Jawi yang bersumberkan Al-Quran dan boleh dikatakan agak seragam pemakaiannya di rantau ini.

Namun dasar penjajah Barat iaitu British di Malaya dan Belanda di Hindia Timur (Indonesia) mengkehendaki aksara rumi yang digunakan secara meluas sekitar 1900M. Timbullah sistem ejaan R.J. Wilkinson (British) di Malaya dan Borneo yang ternyata berbeza dengan CH van Ophuysen di Hindia Timur.

Apabila Indonesia merdeka pada 1945, berlaku rekayasa Bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar umum (lingua franca). Walaupun Bahasa Indonesia berteraskan BM, namun lama-kelamaan perkembangannya kian berlainan daripada BM.

Di Malaya dan Singapura, para bahasawan berasa perlu usaha gigih serantau dilakukan agar kerumpunan Melayu terpelihara menerusi BM.

Menerusi tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (1952 di Singapura, 1954 di Seremban dan 1956 di Johor Bahru dan Singapura), terhimpun sejumlah ketetapan agar dipertingkat ejaan, istilah dan sebutan BM, khusus dalam tulisan rumi agar mencapai taraf baku (dari bahasa Jawa, bermakna piawai atau standard).

Gagasan SB pada Kongres ketiga bersandarkan makalah Asraf Hj Abdul Wahab, setiausaha Angkatan Sasterawan ’50. Menurutnya, terdapat kekeliruan atau kecelaruan sebutan dialek (terdapat ratusan dialek Melayu di rantau ini). Bahkan sebutan Riau-Johor masih bersifat dialek, hujahnya. Maka SB hendaklah berteraskan fonemik iaitu perkataan disebut sebagaimana dieja.

Dipendekkan cerita, sejak 1972 terdapat kerjasama serantau ke arah pembakuan BM menerusi Majlis Bahasa Indonesia dan Malaysia yang kemudian disertai Brunei Darussalam pada 1985. Namun Singapura masih lagi ‘pemerhati’ pada Sidang MABBIM (Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia) tetapi sudah  menjadi ahli MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) sejak 2015.

Pada 1988, Malaysia telah melaksanakan SB tetapi menghentikannya pada tahun 2000. Antara lain, terdapat alasan berbaur siasah bahawa SB tampak seperti sebutan Bahasa Indonesia.

Trend BM di Malaysia memang menjadi perhatian Singapura dan juga Brunei atas sebab-sebab sejarah dan sosiopolitik. Singapura bermula lambat dalam melaksanakan SB iaitu pada 1993. Namun selepas Malaysia berundur langkah dari segi SB, Singapura masih meneruskan SB sehingga kini.

Jadi, wajarkah Singapura bertindak seperti Malaysia mengenai SB?

LIDAH KELU

Editor Berita Harian/Berita Minggu, Mohd Guntor Sadali (Almarhum 1952-Oktober 2022) pernah menyarankan sewaktu Majlis Anugerah Jauhari anjuran akhbarnya pada 2011 agar dasar SB disemak kerana ia tidak mencapai sasarannya.

Saranannya menimbulkan polemik terhad dan mendapat reaksi MBMS yang pada umumnya mempertahankan rasional SB digunakan di Singapura sebagai jambatan kepada rumpun Melayu Asia Tenggara.

Namun kajian Dr Mukhlis yang terkini mungkin perlu diamati oleh MBMS sekalipun ia tetap dengan pendirian asalnya.

MBMS perlu mengkaji seluruh ruang lingkup penggunaan BM, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.

Misalnya, sejauh manakah BM masih digunakan dalam aspek-aspek lain seperti pendidikan di madrasah sepenuh masa, madrasah hujung minggu sehinggalah urusan berkomunikasi antara orang Melayu di pertubuhan sehingga masjid.

Hakikatnya, penggunaan BM, bak diakui oleh kalangan bahasawan termasuk Dr Mukhlis, berlaku dalam pelbagai variasi termasuk BM yang kian susut digunakan oleh masyarakat Baba Peranakan. Hal ini berlaku kerana dominannya penggunaan Bahasa Inggeris di Singapura yang menjejas bahasa vernakular yang lain.

Sudah termeterai di peringkat kerantauan, khususnya MABBIM bahawa pembakuan Bahasa Melayu, termasuk sebutan, memang perlu dilakukan demi memastikan adanya keseragaman bukan saja dari segi ejaan dan makna, malah lafaznya.

Seyogia diingat, pelbagai bahasa besar dunia dari Mandarin sehingga Inggeris, juga mengalami trend dan cabaran yang berubah-ubah.

Sebutan Bahasa Inggeris di England tidak sama dengan di Wales walaupun kedua-duanya dalam United Kingdom (UK). Apatah lagi sebutan Bahasa Inggeris di Amerika Syarikat berbanding dengan UK, Australia dan sebagainya.

LANGKAH SELANJUTNYA

Untuk BM baku mekar di Singapura, ia memerlukan ruang komunikasi dari segi sembang, emel sehinggalah pengayaan sastera. Oleh itu, perlu ada tekad kental dan kerjasama oleh semua pihak di watan ini untuk membolehkan ruang ini terbentuk dalam suasana selesa lagi menggalakkan, bak hujah almarhum Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016):

“Jika orang Melayu dari anak hingga pemimpin baik di rumah, di masjid dan mahupun di badan Melayu sendiri tidak menggunakan BM, apatah lagi mengamalkan SB, bermakna yang tersilap langkah hanyalah diri kita sendiri.”

MENGENAI PENULIS:

Related article image
Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita