KOMENTAR: Sebab & usaha bantu Generasi Alfa bijak urus kewangan

(Gambar hiasan: iStock/mapo)
Seperti yang dikatakan mantan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Ben Bernanke, semasa krisis kewangan global pada 2008:
"Kesediaan golongan muda dari segi kewangan adalah penting bagi kesejahteraan mahupun masa depan ekonomi kita."
"Cabaran-cabaran yang perlu ditangani kebelakangan ini mengingatkan kita betapa pentingnya bagi seseorang menjadi celik kewangan pada usia muda lagi supaya mereka lebih bersedia untuk membuat keputusan dan mengatasi masalah kewangan yang kian rumit dalam pasaran," tambah beliau.
Malangnya, lebih sedekad kemudian, kadar celik kewangan kekal tidak konsisten di merata dunia.
Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2018, hanya 10 peratus remaja berusia 15 tahun di negara-negara OECD, mempunyai pengetahuan kewangan yang tinggi, di mana mereka boleh menganalisa bahan bacaan, produk-produk dan masalah kewangan yang kompleks.
Di samping itu, pendidikan kewangan tidak ditawarkan secukupnya di sekolah - dengan hanya 22 peratus pelajar di negara-negara OECD dilaporkan mempelajari perkara seperti menguruskan akaun bank dan kad debit, memahami apa itu kadar faedah bagi pinjaman yang diambil, ataupun memilih pelan telefon bimbit terbaik sesuai dengan kemampuan mereka.
MAKLUMAT ONLINE TIDAK SELALUNYA BOLEH DIGUNA PAKAI
Perihal tahu-menahu soal kewangan juga terutama sekali penting bagi Generasi Alfa yang dilahirkan antara 2010 dengan 2025, sedang setiap sudut perkara beralih kepada wadah digital.
Golongan tersebut, dijangka membentuk generasi terbesar di dunia, dengan sekitar 2 bilion orang.
Walaupun Generasi Alfa membesar dalam dunia di mana pembayaran digital dan mata wang kripto kian menjadi perkara biasa, hakikatnya mereka mungkin jarang merasakan sendiri mempunyai 'duit dalam tangan' sehingga sukar memahami nilai sebenar wang.
Kebiasaan menggunakan wadah digital juga mungkin membuat mereka mudah termakan oleh kandungan yang dihasilkan pempengaruh kewangan, atau lebih dikenali sebagai "finfluencer".
Pengaruh personaliti sedemikian sememangnya boleh meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu kewangan. Pun begitu, memandangkan "finfluencer" biasanya tidak berlesen, pengetahuan mereka mungkin sahaja sebenarnya cetek. Ada juga kemungkinan mereka dibayar untuk mempromosikan produk-produk tertentu.
Sementara itu, timbul cabaran baharu akibat akses mudah kepada pinjaman yang semakin terbuka luas disebabkan kemajuan dalam teknologi kewangan. Ini juga boleh menghindari keupayaan Generasi Alfa untuk berjimat cermat atau mengelak daripada berhutang.
Pastinya juga, generasi ini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi yang unik.
Ekonomi dunia dijangka merudum - diburukkan lagi dengan masalah inflasi, pandemik COVID-19 dan gangguan teknologi di tempat kerja.
Semua ini akan menyukarkan Generasi Alfa untuk merancang kewangan masa hadapan mereka, selain memahami tentang pentingnya sentiasa mempunyai kedudukan kewangan yang mantap.
PELBAGAI PIHAK PERLU MAIN PERANAN
Membina pengetahuan kewangan bagi Generasi Alfa benar-benar memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Pertubuhan bukan pemerintah (NGO), sektor swasta, penggubal dasar dan masyarakat umum semuanya mempunyai peranan.
Namun, usaha sudahpun digerakkan ke arah yang betul.
Di Indonesia, Penguasa Khidmat Kewangan (OJK) pada tahun lalu melancarkan teras kedua strategi lima tahun untuk mempertingkat pengetahuan kewangan rakyat negara itu dengan menumpukan perhatian kepada penggunaan teknologi digital dan perikatan strategik untuk meluaskan akses kepada produk-produk dan khidmat kewangan.
Di Malaysia pula, kerajaannya telah melakarkan satu pelan lima tahun untuk melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif pendidikan jangka panjang di bawah Strategi Celik Kewangan Kebangsaan (2019-2023).
Syarikat-syarikat di merata Asia juga sedang berusaha membantu golongan muda menjadi celik kewangan, sejak mereka masih lagi di bangku sekolah.
Pada Januari 2022, Junior Achievement (JA) Asia-Pacific - sebuah NGO yang membantu golongan muda mendapat pekerjaan dan memulakan perniagaan - turut melancarkan program bersama FWD.
Program itu melibatkan sekolah rendah merata Asia mendapat tunjuk ajar daripada relawan untuk menguruskan kewangan mereka.
Selain itu, permainan memainkan peranan penting untuk mengajar nilai-nilai utama dalam menguruskan kewangan.
Syarikat Visa dan sebuah penyedia bimbingan kewangan, GProvision, membangunkan satu aplikasi mudah alih di mana senario-senario nyata digunakan untuk membantu golongan belia di Malaysia memahami konsep-konsep kewangan.
Ibu bapa turut memainkan peranan penting kerana seseorang anak itu akan lebih bijak menguruskan kewangannya jika mereka dididik dari rumah lagi.
MENGENAI PENULIS
Kirk Kenny adalah Ketua Pegawai Pembangunan bagi Junior Achievement (JA) Asia-Pacific, sebuah NGO yang membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan dan memulakan perniagaan.
Komentar ini diterjemahkan daripada laman CNA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.