Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sayang-sayang bahasa pada jati diri

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sayang-sayang bahasa pada jati diri

(Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura/Facebook)


BERITAmediacorp: Trend kian jarang Bahasa Melayu digunakan amat ketara di rumah kalangan orang Melayu dan pada sembang atau mesyuarat orang Melayu sendiri termasuk di masjid dan badan Melayu Islam.

Apakah kesannya kelak pada mutu jati diri orang Melayu, terutama generasi mudanya?


Tak sayangkah bahasa ibunda?

Itulah pesan (almarhum) guru bahasa dan sastera Melayu di sekolah menengah ketika kami bakal menduduki Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ pada 1974?

Katanya, seorang anak Melayu mesti punya jati diri (identiti) iaitu pada tiga penanda: bahasa ibundanya, Bahasa Melayu (BM), amalan budaya warisannya dan agama Islam. Ketiga-tiga itu saling kait-mengait, dukung-mendukung. “Bahasa menunjukkan bangsa,” tegasnya lagi.

Sebagai pelajar aliran Melayu, saya terharu mendengar pesannya. Namun kini dalam usia senja, terasa betapa runcingnya makna pesan guru tadi sedang anak cucu saya lebih cenderung berbahasa Inggeris (BI) berbanding BM.

Kini di layar televisyen atau sembang radio, sering terpapar orang Melayu sukar menuturkan BM. Malah ramai anak Melayu perlukan bimbingan atau tuisyen agar lulus peperiksaan BM.

Bayangkan beratus-ratus ribu dolar yang perlu dikorbankan oleh waris mereka.

Dan belum pasti – apakah bahasa ibundanya mekar kerana kurangnya kesempatan untuk berbahasa selepas meninggalkan alam persekolahan.

AMALAN BAIK

Umumnya, setiap nilai luhur perlu diamalkan dengan terbaik agar sebati dalam diri sendiri. Sayangnya, amalan berbahasa ibunda dalam keluarga Melayu merosot 1.5 hingga 2 peratus setahun sejak 1990, menurut dapatan Banci Penduduk Singapura.

Ini jelas membuktikan sikap kurang gigih masyarakat kita sendiri pada bahasanya.

Ia sudah lama dipetiakan – tak kenal, maka tak cinta. Lazimnya, ibu bapa Melayu zaman kini lebih selesa berbahasa Inggeris di rumah. Hal ini memahat isyarat pada jiwa anak bahawa bahasa ibunda atau BM tidak penting untuk berkomunikasi, apatah lagi untuk mencari pekerjaan dan sebagainya.

Isyarat selanjutnya diperkuatkan oleh perilaku terbawa-bawa dalam urusan kalangan orang Melayu sendiri – dari berpersatuan sehingga bersembang – semuanya sudah dalam BI. Maka kian terpinggirlah bahasa warisan. Dewasa ini, talian komunikasi badan Melayu dan masjid, termasuk surat-menyurat, jarang sekali menggunakan BM.

Jelaslah, tanpa pemeliharaan bahasa ibunda (vernakular) yang dimaktubkan pada Perlembagaan Negara sehingga sistem Dwibahasa dalam pendidikan, mungkin keadaan penggunaan bahasa ibunda termasuk Mandarin dan Tamil di Singapura, akan lebih merosot lagi.
IKHTIAR DIRI DAN NUSA

Menurut takrif Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), bahasa ibunda adalah bahasa ‘kelahiran’ seseorang anak iaitu bahasa asal/asli yang dituturkan ibu bapa atau keluarganya.

Kajian empirika (yang dibuktikan) oleh UNESCO mendapati pendidikan sejak kecil akan lebih berjaya jika diadakan dalam bahasa ibunda. Hal ini menjelaskan kejayaan banyak negara yang mengutamakan bahasa ibunda seperti Jepun, Korea Selatan, Rusia dan sebagainya.

Namun lain padang, lain belalangnya.

Singapura merupakan antara sekian banyak negara yang memilih Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja dan bahasa penakatan (lingua franca). Singapura berjaya naik taraf dari negara Dunia Ketiga ke Pertama dalam tempoh kurang dua generasi.

Kejayaan segelintir negara maju seperti Switzerland menunjukkan bahawa sikap rakyat yang boleh berkomunikasi lebih dua bahasa merupakan suatu kelebihan yang teguh. Pada 1980-an, pemerintah Singapura pernah menyifatkan Switzerland sebagai model atau teladannya.

DEMI JATI DIRI

Atas kesedaran jati diri, Dasar Dwibahasa terus diperkasa di Singapura untuk memastikan Bahasa Inggeris dapat digunakan tanpa mengetepikan bahasa ibunda sebagai pemantap budaya.

Namun bak diakui oleh Perdana Menteri Pengasas, Lee Kuan Yew (1923-2015), ia “bukanlah perkara mudah”.

Dwibahasa menuntut disiplin tinggi dari segi perancangan dan pelaksanaan pada diri sendiri, masyarakat dan nusa.

Sebagai tindakan terakhirnya, mendiang Encik Lee mewariskan Dana Dwibahasa yang terus cergas membiayai karya dwibahasa setempat.

Banci Penduduk 2020 menunjukkan BM digunakan oleh 9.2 peratus penduduk Singapura. Padahal, terdapat 14 peratus orang Melayu di negara ini. Angka tadi memberikan tafsiran bahawa ada kalangan Melayu yang tidak memakai BM lagi!

SIKAP BERGANTUNG PADA DIRI

Lama sebelum merdeka, Pendeta Dr Zainal ‘Abidin Ahmad (Za’ba, 1895-1973) telah menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri’, yang mengkritik sikap buruk orang Melayu yang membawa kemunduran. Namun manuskrip buku itu diterbitkan hanya selepas kematiannya demi mengelakkan tengkarah.
(Gambar hiasan: Hannah Olinger/Unsplash)
Umumnya, kritikannya masih relevan kerana ia mengingatkan kita tentang teguran Al-Quran dalam Surah Ar-Raad, ayat 11 – yang bermaksud Tuhan tidak akan merubah sesebuah kaum selagi kaum itu tidak menanganinya.

Kaitan BM dengan Islam amat ketara terutama dalam pengambilan banyak istilah Al-Quran. Sayangnya, kian meluas kelas agama Islam terutama untuk generasi muda Melayu diadakan dalam Bahasa Inggeris.

Dapatkah kegiatan demi kegiatan berkala anjuran sebilangan badan seperti Angkatan Sasterawan ’50, Majlis Bahasa Melayu, Jawatankuasa Kegiatan Melayu di kelab masyarakat sehinggalah Taman Warisan Melayu, menyemarak dan menyelamatkan BM di nusa ini?

Memang benar kegiatan badan-badan ini – dari lantunan sajak sehingga gemuruh dikir barat – cukup bersemangat lagi mengujakan.

Namun, ini berlaku dalam ruang dan masa terhad yang tidak meluas dihayati. Sementelah belum terdapat tinjauan atau kajian tuntas yang membuktikan setakat mana berkesannya kegiatan sedemikian dalam memperteguh jati diri Melayu Singapura.

REKAYASA BAHASA

Hakikatnya, pelbagai usaha telah dan masih dilakukan untuk memastikan BM terus mekar di Singapura – daripada usaha Perdana Menteri berucap dalam BM sehinggalah penerapan Sebutan Baku, semakan kurikulum dan pedagogi (cara pengajaran) BM serta kegiatan bahasa, sastera dan kesenian Melayu di Singapura.

Semua ini dapat dianggap sebagai ‘rekayasa’ (engineering) iaitu proses perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan secara berilmu dan peka untuk mencapai tujuan mulia iaitu melestari dan memajukan BM di Singapura.

Namun, bak pesan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), semua rekayasa tadi belum dijalinkan dengan rapi dan gigih sehingga dapat membentuk semacam Pelan Induk Budaya Melayu Singapura – sebuah pedoman yang jelas dan dilaksanakan oleh pimpinan berwibawa dan didukung masyarakat.
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
Misalnya, Sebutan Baku (SB) diperkenalkan di sekolah sejak 1990-an.

Adakah ia bermanfaat secara menyeluruh?

Antara lain, bahasawan Dr Mukhlis Abu Bakar, ketua sebuah kumpulan pengkaji, baru-baru ini mendapati SB didapati kurang berkesan untuk dijadikan amalan umum masyarakat Melayu di sini berbanding dengan Sebutan Melayu Singapura-Johor-Riau yang mapan.

Oleh itu, masa depan BM dan kaitannya dengan jati diri masyarakat Melayu merupakan ikatan genting. Keinsafan ini harus berputik pada diri sendiri, pada iltizam guru BM, ibu bapa, para aktivis sehinggalah pucuk pimpinan masyarakat untuk mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh terbaik mungkin.

 
MENGENAI PENULIS:
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan