KOMENTAR: Sastera itu Anugerah – Dapatkah kita melihat sastera pada tempatnya sebagai anugerah kemanusiaan kita
Cabaran ke depan ialah bagaimana kita sebagai komuniti menggembleng usaha untuk memajukan sastera agar ia bukan saja boleh memasuki ke dalam arus utama, malah juga bisa terbanding dengan sastera Nusantara.

Gambar hiasan. (Gambar: Aaron Burden/Unsplash)
BERITAmediacorp: Cabaran ke depan ialah bagaimana kita sebagai komuniti menggembleng usaha untuk memajukan sastera agar ia bukan saja boleh memasuki ke dalam arus utama, malah juga bisa terbanding dengan sastera Nusantara.

Sastera itu adalah anugerah budaya kepada individu, masyarakat dan peradaban. Ini dapat dijelaskan dari beberapa segi. Umumnya tidak ada peradaban besar yang tiada sasteranya.
Malah terbangunnya budaya benda yang bagus, termasuk sains dan teknologinya, tanpa pula sastera dan seninya, bererti peradaban itu yang belum mekar dan berakar. Tidak jarang pula orang mengukur peradaban atau sesebuah bangsa itu dari sastera yang ia hasilkan.
Malah tidak kurang pula sasterawan yang mendahului sebagai jaguh peradaban, banyak dikenali melebihi para ilmuan, penguasa dan penakluk yang pernah wujud. Inilah sastera yang menganugerah kepada sejarah bangsa.
Dari sastera seringkali dapat kita telusuri gambaran dan penilaian tentang manusia dan masyarakat.
DOKUMEN KEBUDAYAAN
Inilah yang sering dimaksudkan sastera sebagai dokumen kebudayaan - dengan maksud ia memaparkan pemikiran dan visi para sasterawan yang sememangnya pula boleh dikira sebagai inteligensia atau intelektual dalam masyarakatnya.
Pastinya ini satu sisi anugerah sastera kepada pembangunan masyarakat.
Menarik diperhatikan sastera yang bisa memainkan peranan sebagai wadah yang berbicara di saat wadah-wadah lain seperti kewartawanan dan keilmuan bisa jadi terbungkam dan tertawan.
Suara kritis dan kreatif dalam sasteralah yang bisa bersuara memberi sanggahan, peringatan dan pengajuan. Ini telah kita saksikan dalam beberapa tempat dan masa.
RANCANGAN PEMBANGUNAN
Jadi bayangkan kalau dalam sesebuah masyarakat itu tidak memiliki sekumpulan sasterawan yang berfungsi sebagai pemikir, yang tangkas menyinggung permasalahan, mengaju cita dan menyulam harapan baru serta merakam pengalaman manusia dengan setia dan mendalam.
Ini membawa kita kepada persoalan adakah sastera akan terus memainkan peranan menganugerahi kepada kita?
Bukan bermaksud menjadikan ini sebagai sebuah pertanyaan falsafah, melainkan bagaimana kita pula yang selama ini terbudaya dari khazanah sastera, dapat mempertingkat usaha untuk terus memastikan sastera sebagai salah satu tenaga dan semangat, mengarah kepada pembinaan masyarakat dan peradaban.
Pastilah mengiktiraf dan mendukung sastera sangat penting. Setiap masyarakat perlu ada visi dan rancangan pembangunan.
KELANJUTAN SASTERA
Generasi terdahulu telah mengusahakan sesuai dengan keperluan zaman mereka. Kita hari ini harus memikirkan bagaimana sastera boleh berkelanjutan, bukan sahaja dalam sfera pendidikan tetapi juga dalam sfera awam yang merangkumi peranan badan-badan penulis, perpustakaan, pusat kebudayaan, galeri seni, muzium, balai rakyat, ruangan akhbar dan pesta keramaian. Perhatikan sahaja, sejauh mana sastera ditempatkan di ranah-ranah ini.

Cabaran ke depan ialah bagaimana kita sebagai komuniti menggembleng usaha untuk memajukan sastera. Sekadar untuk mengatakan bahawa badan-badan berwenanglah yang harus memikul tugas ini adalah penyataan yang tidak tepat.
Sebaiknya semua kelompok harus memainkan peranan masing-masing. Sekiranya kita tidak membina ruang untuk penulis kita muncul dan berkarya, maka janganlah kita impikan, jauh lagi merintih kenapa sastera kita tidak pernah masuk ke persada dunia.
ETOS PERANCANGAN
Zaman ini bukan seperti era terdahulu. Tantangannya semakin kompleks. Hari ini etos perancangan harus ada kerana cabaran dan persaingan sumber dan kepedulian, dalam pengertian yang seluasnya, kian sengit.
Malah perancangan dan ikhtiar yang dibuat pada dekad-dekad terdahulu harus disemak dan diperkemaskan kembali.
Memandang ke depan secara strategis harus dibuat demi perkembangan sastera kita harus bukan saja masuk ke dalam arus utama, malah juga bisa terbanding dengan sastera Nusantara serantau di mana kita sebahagian dari daerah kebudayaan ini.
DASAR UTAMA
Kesadaran membangun ekologi sastera bererti harus terangkum empat dasar utama:
- Insfrastruktur sastera dengan peruntukan sumber untuk mendanai inisiatif seperti program residensi dan pertukaran penulis, penerbitan, penyuntingan dan promosi.
- Kerja pengukuhan dan penggalakan dari badan-badan sastera dan kelompok sastera masing-masing.
- Pendidikan sastera yang terus ditawarkan di peringkat sekolah, maktab dan universiti sehingga ada apresiasi sastera secara meluas, selain lahir beberapa barisan sarjana, pengkritik, dan penggiat sastera untuk hari depan.
- Rangkaian galakan dan pengiktirafan dari badan setempat, untuk peringkat nasional atau serantau sehingga penulis dan karya terbaik bisa terus terkedepan.
Sekiranya kita pantau, empat ragam usaha yang disebut di atas umumnya telah dan sedang berjalan dalam masyarakat kita, betapa ada beberapa tempat yang harus lebih dimantapkan atau disokong lebih.
PENGIKTIRAFAN KARYA
Anugerah Persuratan di bawah kelolaan Majlis Bahasa Melayu Singapura yang digerakkan dwitahunan adalah salah satu daripadanya.
Menjelang April ini akan kita sambuti pengiktirafan karya-karya terbaik dan tokoh cemerlangan dalam dunia persuratan kita.
Pendek kata, memupuk, menggalak dan mengiktiraf sastera harus menjadi kepedulian dan ikhtiar kita. Sastera kiranya berkembang subur dalam masyarakat bisa menjadi pemacu kesadaran, penerang kenuranian, dan peringat kepedulian.
Sastera bukan sahaja milik para sasterawan, pembaca dan pengkritiknya.
Sastera milik semua.
Tanpa sedar atau tidak, sastera telah menyumbang kepada siasah diri kita, kepada pembangunan masyarakat dan meletakkan tempat kita dalam sejarah.
ANUGERAH KEMANUSIAAN
Masyarakat Melayu Singapura pasti bangga kerana sastera yang ditulis oleh para penulis abad kesembilan seperti Munshi Abdullah dan Tuan Simi sekaligus meletakkan kita dalam peta warisan dan kesusasteraan negara dan serantau.
Karya mereka masih kita nikmati. Ia memberi singkapan sejarah dari apa yang pernah generasi terdahulu lalui. Ia juga membilang tahap kemanusiaan apa yang telah kita capai dari dahulu hingga sekarang. Anugerahlah juga pastinya itu.
Mencitakan ranah sastera, seni, budaya dan ilmu yang membuana dan membumi tentu menjadi harapan kita.
Berpandang jauh ke depan bukan sahaja harus kita pastikan sastera masih berdenyut kepada nadi kemanusiaan kita tetapi membuat kita hadir dalam sejarah dengan berbudi kerana sastera kita harus diperkirakan sebagai salah satu khazanah dunia.
Ini tidak mustahil selagi kita memandang sastera pada tempatnya sebagai anugerah kemanusiaan kita.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.