Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Sambut Aidilfitri dengan penuh ihsan dan kasih sayang sesama insan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Sambut Aidilfitri dengan penuh ihsan dan kasih sayang sesama insan

Gambar: Facebook/Masjid Sultan Singapore

BERITAmediacorp: Hari ini Hari Raya. Hari kegembiraan bagi umat Islam seluruh dunia setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Sebagai balasan bagi kemenangan di bulan Ramadan, umat Islam dianugerahi satu hari yang digelar Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah.

Setiap kali tiba Hari Raya, umat Islam akan bergembira. Kegembiraan ini jelas terpancar pada wajah setiap Muslim, lelaki dan perempuan, tua mahupun muda.

Kesyahduan laungan Takbir menyemarakkan suasana yang penuh kegembiraan ini. Kunjung-mengunjung serta memohon maaf sesama sendiri telah menjadi sesuatu yang lazim pada waktu ini.

Kesemua ini dizahirkan umat Islam sebagai mercu tanda kegembiraan dan rasa kesyukuran setelah meraih kemenangan di bulan Ramadhan.

Namun, apakah sebenarnya erti Aidilfitri dan kemenangan pada hari raya ini?

Adakah kemenangan yang kita raih ini semata-mata kerana kita telah selesai menjalani puasa atau ada erti lain di sebalik kemenangan ini?

Jemaah yang tiba di Masjid Yusof Ishak untuk solat sunat Aidilfitri di tengah-tengah langkah selamat COVID-19 pada 13 Mei 2021 (Gambar fail: MUIS)

ERTI AIDILFITRI

Eid bermaksud kembali. Istilah Eid Al-Fitri yang sering kita gunakan bererti kembali kepada fitrah, yakni yang suci dan bersih.

Eid juga bererti yang berulang. Hari Raya itu disebut eid sebab sambutannya itu berulang pada setiap tahun apabila datangnya bulan Syawal.

Dari pengertian ini, Hari Raya itu adalah hari di mana kita kembali kepada Allah dengan azam untuk lebih taat kepadaNya dan menjadi insan yang lebih baik setelah menjalani madrasah Ramadaniyah selama sebulan.

Setelah menunaikan puasa sebulan dengan kesungguhan dan hanya semata-mata ingin mendapatkan keredaan Tuhan serta menjalankan ibadah-ibadah lain seperti solat tarawih, berzakat dan membaca Al-Quran, seseorang itu akan keluar dari bulan Ramadan seperti seorang bayi yang baru lahir, ertinya suci dari dosa dan kesalahan.

Inilah maksud sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sebenarnya dan penuh bermakna.

Memang tepat kata para hukama yang berbunyi: “Bukanlah Hari Raya itu dengan memakai pakaian baru. Namun Hari Raya yang sebenar ialah mereka yang ketaatannya bertambah”.

Gambar fail sebuah keluarga bermaaf-maafan pada pagi Raya. (Gambar: TODAYonline)

IHSAN BAGI UMAT SEJAGAT

Suasana Aidilfitri adalah suasana kekeluargaan dan persahabatan. Aidilfitri juga merapatkan hubungan sesama manusia. Allah swt tidak jadikan manusia dengan kedudukan dan status yang sama. Perbezaan kedudukan tidak menjadi sebab kita membeza-bezakan antara satu sama lain.

Kembalinya kita kepada fitrah mendidik hati supaya melihat faktor takwa sebagai satu kemuliaan yang ada pada insan.

Kemuliaan ini diukur dengan berapa akrabnya kita dengan Allah. Orang yang dekat dengan Allah memiliki jiwa kehambaan yang tinggi. Jiwa kehambaan yang tinggi ini merintis jiwa keinsanan yang murni. Kita menjadi lebih manusiawi dan lebih menyantuni.

Ramadan telah membibitkan nilai-nilai Islami yang baik dalam diri kita. Ia telah memupuk sifat-sifat murni dan terpuji seperti ihsan, kasih sayang dan saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat kita.

Sifat-sifat ini amat penting untuk kita menghidupkannya terutama situasi hari ini di mana umat Islam dan masyarakat dunia mendambakan keamanan dan kedamaian.

Konflik, peperangan, penindasan dan keganasan telah menghantui dunia sejak kebelakangan ini. Masyarakat kita harus terus mengutuk perbuatan ganas dan pembunuhan yang zalim atas nama kemanusiaan.

Masyarakat Islam di sini menzahirkan sifat ihsan dan sayang kasih sebagai tanda satu masyarakat yang prihatin dan sensitif. Mereka bersedia menunjukkan simpati dan sokongan terhadap mereka yang terjejas dengan konflik, peperangan dan bencana alam di luar Singapura dengan cara yang sah dan selamat.

Ini dilakukan dengan menawarkan bantuan kewangan menerusi badan-badan yang diyakini seperti Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF), Mercy Relief, Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (BAPA) dan yang lainnya untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke daerah-daerah yang terjejas.

Di samping itu, amat penting bagi masyarakat Islam di sini untuk juga selalu mendoakan keamanan untuk orang-orang Islam yang terjejas dan supaya dikembalikan keamanan kepada mereka.

Doa adalah senjata seorang Mukmin dan hadiah yang tiada nilai yang dapat diberikan kepada saudaranya yang lain.

Selain dari itu, sikap ihsan dan kemurahan juga dapat dilihat apabila masyarakat Islam membantu ramai yang terjejas dengan kemelesetan ekonomi dan kehilangan pekerjaan. Begitu juga bantuan yang dihulurkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan datang mencurah-curah dalam masyarakat kita. Ini sesuatu yang membanggakan.

Petikan dari laman RLAF.

HARGAI KEDAMAIAN DI SINGAPURA

Masyarakat Islam di Singapura beruntung kerana berpeluang menyambut Aidilfitri dalam sebuah negara yang aman dan stabil.

Dengan keamanan yang wujud di negara ini, sambutan Hari Raya dapat diraikan dengan penuh kedamaian dan keseronokan.

Keadaan seperti ini mungkin tidak wujud di tempat lain. Peperangan dan ketidakstabilan yang wujud di sebahagian tempat dan negara telah menyebabkan ramai Muslim menyambut Aidilfitri dengan serba kekurangan dan rasa kepiluan serta ketakutan.

Masyarakat Muslim di sini juga mengambil peluang daripada sambutan Hari Raya untuk mengukuhkan lagi keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Ini jelas kelihatan pada majlis-majlis perjumpaan Hari Raya yang dianjurkan badan-badan setempat di mana masyarakat bukan Islam turut diundang untuk menyambut Hari Raya bersama masyarakat Muslim.

Tradisi sambutan bersama bukan Muslim ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Selain mengukuhkan hubungan silang agama, masyarakat bukan Muslim juga berpeluang untuk memahami Islam dan budaya masyarakat Melayu dengan lebih baik lagi.

Dengan adanya hubungan baik antara masyarakat berbilang agama di sini, sifat ihsan dan kasih sayang yang sangat dianjurkan agama dapat ditonjolkan dalam masyarakat kita.

Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan antara Muslim dan bukan Muslim. Ini amat penting sekali sekiranya berlaku krisis dan ketegangan antara kaum atau pun keganasan.

<p>Gambar: Facebook/Masjid Sultan Singapore</p>

KEMENANGAN PADA HARI RAYA

Hari Raya ini merupakan hari yang amat baik untuk kita merenung dan melakukan muhasabah diri.

Bagaimana kita dapat menjadikannya sebagai titik permulaan bagi kehidupan baru yang lebih bererti?

Segala sifat baik yang telah kita semai dalam diri kita sewaktu Ramadan harus dikekalkan. Ibadah dan kerohanian kita malah harus ditingkatkan apabila kita meninggalkan Ramadan yang suci.

Begitu juga, sifat ihsan dan semangat saling membantu haruslah berterusan, lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan hari ini.

Kita harus membantu bukan sahaja dengan mengeluarkan wang dan tenaga kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan, malah membantu membawa keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan dunia kita.

Keamanan dan kestabilan merupakan sesuatu yang sungguh bernilai hari ini.

Dunia hari ini penuh dengan individu-individu yang telah hilang sifat kasih sayang dan toleransi. Mereka ini dipengaruhi fahaman radikal yang menjurus kepada sifat benci dan hilangnya kasih sayang. Akibatnya, mereka sanggup melakukan keganasan dan kekejaman.

Mesej kedamaian yang dianjurkan Islam ini harus disebarkan dan dirasai setiap daripada kita, baik yang kecil mahupun yang besar, yang muda mahupun yang tua.

Sifat kasih sayang perlu terus dihidupkan dalam masyarakat kita, sebuah masyarakat yang terkenal dengan budaya, sopan santun dan perilaku yang baik.

Inilah kemenangan yang sebenarnya. Meninggalkan Ramadan dengan mengekalkan sifat Ramadaniyah pada bulan-bulan lain adalah kemenangan yang hakiki. Malah, ia kemenangan besar yang harus dicapai oleh kita semua.

Pada hari ini, kita menghidupkan suasana Hari Raya dengan menghidupkan semangat bermaaf-maafan sesama kita.

Marilah kita menggarap erti kemaafan yang sebenar dengan beramal menghidupkan jiwa yang penuh dengan sifat ihsan dan kasih sayang yang suci.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohamed Bin Ali. (Gambar: Dr Mohamed Bin Ali)

Dr Mohamed Bin Ali adalah Kaunselor dan Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Beliau adalah antara asatizah yang telah berkhidmat dalam RRG sejak ia ditubuhkan pada April 2003. Dr Mohamed bertugas sebagai Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga berkhidmat sebagai anggota Lembaga Rayuan MUIS dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan