KOMENTAR: RRG kini beri fokus lawan ideologi radikal melalui media sosial
(Gambar fail: RRG/Facebook)
Pelancaran akaun TikTok RRG adalah inisiatif terkini RRG dalam usahanya menentang ideologi radikal yang tersebar luas dalam internet termasuk wadah media sosial. Sebelum ini RRG telahpun melancarkan akaun Facebook dan Instagramnya sejak 2012.
Sebelum ini, RRG telah menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada bulan lalu, Dalam satu majlis sambutan yang diadakan di Masjid Khadijah, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah merasmikan pembukaan Galeri Majulah RRG yang baru.
WADAH MEDIA SOSIAL
Dalam ucapannya di retreat RRG, DPM Wong menekankan bahawa disebabkan lebih ramai anak muda kita menjadi sasaran kumpulan-kumpulan pelampau dalam talian, perlu ada kerjasama secara langsung untuk menentang ideologi radikal di media sosial.
Beliau menambah wadah media sosial ini harus dimanfaatkan dengan cara yang lebih berkesan lagi dengan melibatkan golongan anak muda. Ini demi memperbetulkan salah faham tentang agama dan menggalak mereka menghargai konteks kehidupan di Singapura yang sekular dan berbilang agama.
Tidak dinafikan bahawa media sosial telah menjadi wadah utama kumpulan-kumpulan pelampau dan pengganas menyebarkan ideologi mereka. Tidak dinafikan juga belia merupakan golongan yang paling mudah terpengaruh dengan ideologi dan diayah pengganas yang disebar luas dalam internet.
Ini dapat dilihat sendiri daripada kes individu yang menjadi radikal dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada awal tahun ini. Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang menjadi radikal telah ditahan di bawah ISA kerana terpengaruh dengan ajaran pengganas dalam talian dan menyokong kumpulan pengganas Al-Qaeda dan ISIS.
Salah seorang daripada dua remaja tersebut telah melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan ISIS dan menyertai wadah permainan dalam talian, Roblox di mana konteks permainan tersebut menyerupai zon konflik fizikal ISIS, seperti yang di Syria dan bandar Marawi di selatan Filipina. Beliau juga mahu meniru aksi ISIS di Roblox, seperti menembak dan membunuh. Ini mencerminkan keinginannya untuk menjadi anggota ISIS.
PERUBAHAN PADA LANDSKAP PENGGANASAN
Sejak penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang merancang serangan pengganas di beberapa lokasi di Singapura pada 2001, landskap pengganasan di negara ini telah berubah. Pada ketika itu, kumpulan pengganas Al-Qaeda dan sekutunya di rantau ini, JI menjadi “musuh ketat” dunia.
Pada 2007, buat pertama kali Singapura berdepan dengan ancaman radikalisasi dengan sendiri (self-radicalisation) di mana seorang warga Singapura ditahan di bawah ISA kerana ingin terlibat dalam aktiviti menggunakan senjata di luar negara atas nama Jihad. Beliau tidak tergolong daripada mana-mana kumpulan pengganas tetapi terpengaruh dengan apa yang didapatinya dari internet. Sejak itu, beberapa kes radikalisasi secara sendiri telah dikesan di negara ini.
Pada 2011, ketika meletusnya konflik dan perang saudara di Syria, beberapa warga Singapura terpengaruh dengan naratif bahawa perang tersebut adalah tuntutan Jihad yang memerlukan penyertaan kaum muslimin. Beberapa individu telah ditahan kerana ingin terlibat dalam konflik tersebut di Syria.
Apabila ISIS muncul dengan “khilafahnya” di Iraq dan Syria pada 2014, beberapa anak muda turut terpengaruh dengan dakwaan bahawa umat Islam harus berhijrah ke wilayah ISIS kerana ia adalah satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang wujud hari ini sebagaimana yang didakwa ISIS.
Walaupun ideologi ISIS yang tersebar luas dalam alam maya ini masih berpengaruh, ramai remaja hari ini juga terpengaruh dengan orientasi dan ideologi kebencian, fahaman eksklusif, sentimen anti-agama, perkauman dan juga ideologi haluan kanan yang berbahaya. Ini merupakan ancaman baru yang dihadapi dunia hari ini. Orientasi dan fahaman-fahaman ini menjadi punca penahanan beberapa orang remaja di bawah ISA sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
CABARAN RRG MASA KINI
Disebabkan munculnya trend dan ancaman baru ini, RRG harus merubah strategi dan pendekatannya dalam usaha menentang ideologi radikal dalam masyarakat. Demi memastikan usaha yang lebih berkesan, RRG telah melancarkan akaun TikToknya semasa retreat tahunannya tahun ini. Ini merupakan usaha terkini RRG untuk mendekati anak- anak muda dan remaja.
Usaha RRG untuk aktif dalam talian sudah dimulakan sejak 2007 lagi. Pada tahun tersebut RRG mewujudkan laman web (website) dengan tujuan menyebarkan bahan-bahan bacaan “”counter-ideology” dalam talian. Bahan-bahan ini termasuk penerangan dan penjelasan mengenai konsep agama yang sering disalahgunakan kumpulan-kumpulan pengganas seperti jihad, bai’ah, hijrah dan lain-lain.
Pada 2012 pula, RRG mula melancarkan akaun Facebooknya. Bererapa tahun kemudian, RRG membuka akaun YouTube dan Instagram dan mula memuatnaikkan video-video di platform ini, Selain wadah-wadah ini, RRG juga telah melancarkan “Helpline” dan juga “mobile app” untuk lebih mendekati masyarakat dengan teknologi-teknologi terkini.
Dengan adanya akaun TikTok yang baru dilancarkan ini, RRG berharap usaha membidas fahaman dan orientasi radikal akan menjadi lebih berkesan. Pendekatan ini juga bertujuan untuk lebih mendekati anak muda dan remaja hari ini dengan memahami dan mengikuti cits rasa mereka.
Mendekati anak muda serta membentengi mereka daripada menjadi radikal merupakan antara cabaran utama RRG hari ini. Kumpulan-kumpulan pengganas masih menyasarkan golongan remaja kerana mereka mudah terpengaruh. Selain wadah media sosial tradisional, kumpulan-kumpulan pengganas juga telah mula mengeksploitasi muzik dalam wadah penstriman dan platform permainan yang popular dengan golongan remaja.
KESIMPULAN
Tahun ini, RRG baru sahaja memasuki era baru setelah berkhidmat sepanjang tahun. Era baru ini menyaksikan perubahan pada kepimpinan RRG dan juga sumber dan infrastruktur kumpulan ini. Ia juga menyaksikan perubahan pada landskap pengganasan dengan munculnya trend dan ancaman-ancaman baru.
Maka itu, fokus dan tumpuan RRG masa kini adalah untuk meningkatkan keupayaannya dalam mendekati masyarakat dan juga penggunaan wadah dan teknologi terkini termasuk media sosial dengan lebih berkesan.
Dengan memanfaatkan media sosial dengan sebaik-baiknya, RRG akan dapat terus membantu dalam memastikan anak remaja tidak mudah dieksploitasi kumpulan-kumpulan pengganas. Ini sekali gus membentengi mereka daripada menjadi radikal dan mangsa kepada ideologi dan diayah kumpulan-kumpulan ekstrimis.
MENGENAI PENULIS

Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.