Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Risiko Menjadi Monolingual: Mengapa Ibu Bapa Perlu Memperkenalkan Bahasa Melayu Sejak Awal

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Risiko Menjadi Monolingual: Mengapa Ibu Bapa Perlu Memperkenalkan Bahasa Melayu Sejak Awal

Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran dwibahasa atau multibahasa mempunyai kelebihan kognitif. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Menjadi dwibahasa atau multibahasa bukanlah satu beban, tetapi suatu anugerah. Hani Mustafa menyelongkar cabaran dan pendekatan yang perlu diambil untuk menanganinya.

Di universiti tempat saya mengajar, terdapat senarai panjang pelajar bukan Melayu yang ingin mempelajari Bahasa Melayu. Ada yang akan menulis surat rayuan apabila gagal mendapatkan tempat untuk kelas Bahasa Melayu disebabkan sambutan hangat setiap semester.

Mereka yang berjaya mendaftar untuk kursus Bahasa Melayu pula akan mendalaminya dari peringkat asas hingga peringkat lanjutan.

Dalam keghairahan mereka cuba menguasai Bahasa Melayu, sering terdengar keluhan mereka tentang betapa sukarnya berlatih berbual dalam Bahasa Melayu dengan rakan-rakan Melayu mereka kerana rakan-rakan mereka lebih selesa berbahasa Inggeris.

REALITI SEBENAR

Malah ada yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Inilah realiti hari ini dan jika dibiarkan, kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kemahiran berbahasa adalah antara kemahiran penting dalam kejayaan seseorang. Lantaran itu ramai yang berusaha untuk melengkapkan diri dengan kemahiran pelbagai bahasa. Sedihnya, orang Melayu pula, mengambil pendekatan yang berlainan, daripada dwibahasa kepada menjadi monolingual pula.

Kajian linguistik dan pendidikan telah lama menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran dwibahasa atau multibahasa mempunyai kelebihan kognitif.

Mereka lebih fleksibel dalam berfikir, lebih peka terhadap konteks sosial dan lebih mahir menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi komunikasi.
Related article image
Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran dwibahasa didapati lebih peka terhadap konteks sosial. (Gambar fail: TODAY)
DWIBAHASA SATU KEPERLUAN SOSIAL

Di negara majmuk seperti Singapura, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa bukan sekadar satu kelebihan, tetapi satu keperluan sosial.
Related article image
Semua lapisan masyarakat ada peranan untuk melestarikan bahasa Melayu di Singapura. (Gambar: Facebook/Majlis Bahasa Melayu Singapura)
Anak yang mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan bahasa lain berupaya menjalin hubungan lebih luas — sama ada dengan ahli keluarga yang lebih tua, jiran tetangga mahupun rakan sekerja pada masa hadapan.

Menariknya, pada masa yang sama, semakin ramai penutur bukan Melayu dan warga asing menunjukkan minat untuk mempelajari Bahasa Melayu. Mereka melihat nilai strategik bahasa ini dalam konteks serantau — sama ada untuk urusan perniagaan, diplomasi, penyelidikan budaya mahupun integrasi sosial di Asia Tenggara.

Hakikat ini menimbulkan satu ironi yang wajar direnungkan. Tatkala orang luar bersungguh-sungguh mempelajari Bahasa Melayu kerana mengiktiraf kepentingannya, sebahagian masyarakat Melayu pula semakin menjauhkan diri daripada Bahasa Ibunda mereka.

Jika trend ini berterusan, kita berisiko menjadi generasi yang melepaskan warisan sendiri, sedangkan orang lain berusaha untuk memilikinya. Lebih dahsyat lagi, kita juga berisiko ketinggalan dalam urusan kerjaya atau ekonomi.

RUGI BESAR

Adalah suatu kerugian besar apabila bahasa yang menjadi identiti dan lambang maruah sesuatu bangsa dipinggirkan oleh penuturnya sendiri.

Pendedahan awal adalah kunci. Bahasa yang didengar dan digunakan sejak kecil lebih mudah dikuasai secara semula jadi. Sikap ibu bapa juga mempengaruhi penguasa bahasa anak-anak mereka.

Jika mereka sendiri tidak menunjukkan sikap positif terhadap Bahasa Melayu, maka anak-anak akan menyerap sama tanggapan itu.
Related article image
Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membina penguasaan bahasa anak-anak. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurfazirah Azman)
Related article image
Apabila bahasa digunakan dengan bangga, anak-anak akan membina hubungan emosi yang kukuh dengannya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Sebaliknya, apabila bahasa itu dihargai dan digunakan dengan bangga, anak-anak akan membina hubungan emosi yang kukuh dengannya. Sebelum kita lebih leka dengan kemerosotan tahap penguasaan Bahasa Melayu, lebih baik kita segera mengambil tindakan untuk mengubah keadaan.

Tak susah, hanya perlu bercakap dan menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dan selesa. Alah biasa tegal biasa.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Hani Mustafa ialah Timbalan Pengarah Pusat Bahasa Moden, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pensyarah Kanan Bahasa Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita