KOMENTAR: Risiko Konflik Serantau Masih Rendah Meski Medan Perang Semakin Meluas

(Gambar: AFP/Omar AL-QATTAA)
Penganalisis pertahanan Ridzwan Rahmat menerangkan mengapa kemungkinan berlaku konflik serantau di Timur Tengah adalah masih rendah setakat ini.
Tarikh 7 Oktober 2023 adalah satu tarikh yang tidak akan dilupakan dalam sejarah Israel.
Serangan yang dilancarkan oleh kumpulan Hamas pada hari itu telah mencetuskan peperangan yang telah meragut lebih 44,000 nyawa di Israel, Carikan Gaza, Tebing Barat dan kini Lubnan.

Kumpulan Hamas dan sekutu-sekutunya melancarkan serangan besar-besaran pada awal pagi 7 Oktober 2023 dengan melepaskan beribu-ribu roket ke atas beberapa kawasan di merata Israel termasuk Tel Aviv.
Ini disusuli dengan pencerobohan oleh beratus-ratus anggota Hamas yang memasuki Israel dengan membolosi sekatan-sekatan yang telah dibina Israel di sekeliling Gaza.
Serangan yang dilakukan oleh Hamas telah meragut nyawa lebih 1,300 warga Israel, kebanyakannya dari kalangan orang awam.
Dalam beberapa jam setelah serangan itu, Israel mengumumkan keadaan darurat dan memulakan langkah-langkah ketenteraan sebagai tindak balas.

Selain itu, tentera Israel juga sudah beberapa kali melakukan serangan terhadap beberapa sasaran di Tebing Barat yang dikatakan ada kaitan dengan kumpulan Hamas,.
Serangan itu telah menimbulkan kesengsaraan dan kemusnahan yang paling buruk dalam sejarah Carikan Gaza sejak bermulanya konflik Arab-Israel pada tahun 1948.
Sebagai tanda perpaduan terhadap apa yang dianggapnya sebagai perjuangan untuk membebaskan Palestin, kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Beirut menyertai konflik tersebut dengan melancarkan beratus-ratus roket ke arah utara Israel.
Serangan ini dilakukan pada peringkat awal peperangan dan boleh disifatkan sebagai luar biasa dengan adanya perbezaan persefahaman agama antara Hamas dan Hezbollah.

Serangan demi serangan yang dilakukan oleh kumpulan Hezbollah ini telah menyebabkan lebih 60,000 warga Israel terpaksa meninggalkan kawasan utara negara itu.
Peluasan Konflik & Risiko 2 Medan Perang
Pada awalnya, kepimpinan politik Israel telah berusaha untuk tidak membuka satu lagi medan perang di utara negara itu dengan Hezbollah.
Ini kerana terdapat risiko bahawa pihak tentera Israel akan terbabit dengan dua peperangan secara serentak - iaitu di Carikan Gaza dan juga di utara Israel.
Peperangan sebegini merupakan strategi yang berisiko tinggi kerana sumber-sumber tentera terpaksa dibahagikan antara kedua-dua medan perang itu.
Untuk mengelakkan kewujudan dua medan perang, Israel telah cuba untuk melakukan beberapa pembunuhan yang menyasarkan pucuk kepimpinan Hezbollah.

Pembunuhan bersasar ini diteruskan sehingga September 2024, apabila beberapa anggota kumpulan Hezbollah dibunuh melalui letupan peralatan komunikasi termasuk alat kelui dan juga walkie-talkie.
Tel Aviv sejauh ini masih belum mengaku bertanggungjawab atas serangan bersasar yang dilakukan melalui peralatan komunikasi ini.
Tetapi ia pasti didalangi pihak risikan Israel kerana terdapat persamaan dari segi 'modus operandi' pada serangan-serangan yang pernah dilakukan oleh agensi pemerintah Israel sebelum ini seperti Shin Bet dan Mossad.
Hasil daripada beberapa pembunuhan bersasar ini, pemerintah Israel telah berjaya membunuh beberapa anggota kanan Hezbollah, termasuk pucuk kepimpinan daripada Briged Redwan yang dianggap sebagai pasukan elit dalam kumpulan tersebut.
Namun serangan-serangan yang dilakukan oleh Hezbollah ke atas bahagian utara Israel masih berterusan dan ini telah meningkatkan lagi tekanan politik terhadap Kabinet Israel untuk mengambil tindakan ketenteraan yang lebih berkesan.

Dengan itu, Israel memulakan kempen serangan udara ke atas Lubnan yang lebih hebat, bermula dari September 2024.
Dan antara mangsa kempen pengeboman yang jauh lebih sengit ini ialah pemimpin agung Hezbollah, Hassan Nasrallah, yang terbunuh di Beirut pada 27 September 2024.
Dengan terhapusnya pucuk kepimpinan Hezbollah, Israel akhirnya mendapat keyakinan bahawa negara itu boleh terlibat dalam dua peperangan secara serentak di Carikan Gaza dan juga di Lubnan.
Dan dengan ini tentera Israel memulakan pencerobohan di selatan Lubnan pada 1 October 2024, hampir setahun selepas bermulanya peperangan dengan Hamas.

Ofensif ini menyerupai serangan yang dilakukan oleh tentera Iran pada April 2024 sebagai tindak balas terhadap pengeboman kedutaannya di Syria oleh Israel.
Walaupun tiada warga Israel yang terkorban dalam ofensif Iran pada 1 Oktober 2024, serangan ini merupakan peningkatan dari segi jenis senjata yang digunakan.
Iran mendakwa bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu hipersonik yang diberi nama Fatah-2 buat julung-julung kalinya dalam serangan itu.
Selain itu, beberapa lagi peluru berpandu balistik terbaharu negara itu seperti Emad-1 juga telah digunakan dalam serangan tersebut.
Peluru-peluru berpandu itu dipercayai telah berjaya menembusi lapisan sistem pertahanan udara 'Iron Dome' Israel dan secara tidak langsung mempamerkan kecanggihan sistem ketenteraan yang dimiliki Iran.

Serangan Balas Iran Lebih Bersifat Simbolik Sahaja
Sekalipun pada dasarnya serangan terbaharu Iran ke atas Israel kelihatan seperti tindakan ketenteraan yang terancang, ia besar kemungkinan adalah langkah yang terpaksa diambil oleh Iran atas sebab-sebab politik.
Sejak terbunuhnya pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada Julai 2024, pemerintah Iran semakin digesa oleh proksi-proksi beraliran Syiah di Timur Tengah untuk melancarkan serangan balas terhadap Israel.

Proksi-proksi ini termasuk kumpulan Houthi yang telah menguasai sebahagian besar negara Yaman dan kumpulan Harakat Al Nujaba, yang mempunyai citi-cita politik untuk memerintah dan mentadbir Iraq.
Serangan balas terhadap Israel juga akan menguatkan tanggapan bahawa proksi-proksi yang bersekutu dengan Iran lebih prihatin terhadap perjuangan Palestin, berbeza dengan dasar-dasar yang diambil oleh pemerintah di negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Sunni seperti Arab Saudi dan Mesir.
Hakikatnya, Iran menyedari dan akur tentang kekurangan pada sistem ketenteraannya jika dibandingkan dengan sistem senjata Israel dan Amerika Syarikat.
Kekurangan pada sistem senjata Iran jelas kelihatan pada serangan balas Tel Aviv terhadap Iran pada 19 April 2024 apabila jet-jet pejuang Israel berjaya menembusi dan mengatasi sistem pertahanan udara di Isfahan.
Dalam serangan itu, tapak radar pertahanan Iran berjaya dimusnahkan oleh Israel dan tentera Iran tidak sempat bertindak balas untuk menangkis serangan Israel.
Lantaran itu, serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran pada 1 Oktober 2024 besar kemungkinan hanya setakat untuk menyampaikan isyarat politik bagi meredakan tekanan yang dihadapi Tehran daripada sekutu-sekutunya di Timur Tengah.
Dengan ini, memandangkan Iran tidak cenderung untuk melancarkan serangan berskala besar-besaran terhadap Israel, kemungkinan berlaku peperangan serantau adalah rendah buat masa ini dan faktor utama adalah langkah selanjutnya yang akan diambil oleh Israel.

Ridzwan Rahmat adalah penganalisis pertahanan yang telah berkhidmat selama lebih 10 tahun dengan syarikat perunding pertahanan yang berpangkalan di United Kingdom. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam (RSIS). Sebelum beliau menyertai syarikat perunding itu, Ridzwan bertugas dengan pemerintah Singapura dalam bidang kawalan komoditi strategik dan ketenteraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.