Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Respons masyarakat dan kepercayaan terhadap para pemimpin agama kritikal

Sokongan dan kepercayaan terhadap para pemimpin agama amat kritikal dalam membolehkan masyarakat dan negara menangani penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sokongan dan kepercayaan terhadap para pemimpin agama amat kritikal dalam membolehkan masyarakat dan negara menangani penularan Covid-19.

Masjid Almukminin di Jurong East. (Gambar: BERITAmediacorp/Daud Yusof)

Susulan pengesahan kes COVID-19 dalam kalangan jemaah Singapura yang menghadiri satu majlis perhimpunan tabligh besar-besaran di Kuala Lumpur baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti-aktiviti di semua masjid di seluruh Singapura buat sementara waktu.

Penutupan ke atas kesemua 70 masjid dilanjutkan selama sembilan hari lagi, hingga ke 26 Mac untuk mencegah risiko pembentukan kelompok jangkitan yang besar dari kalangan peserta acara majlis perhimpunan tabligh tersebut.

Ini bermakna sehingga Khamis depan, solat-solat harian secara berjemaah, berserta solat Jumaat pada 20 Mac, tidak akan diadakan di masjid.

RASA BIMBANG

Tindakan yang drastik ini sudah tentu mengejutkan sesetengah pihak dan menimbulkan rasa bimbang atas persoalan sama ada perkara ini akan berlanjutan hingga ke bulan Ramadan, sekali gus menjejas ibadah-ibadah seperti iftar, solat tarawih dan juga qiyamulail.

Di sini, respons padu daripada masyarakat Islam di Singapura amatlah kritikal. Cabaran virus korona perlu dihadapi dengan positif dan secara berkerjasama dengan pihak-pihak yang lain tanpa mengira bangsa ataupun agama supaya kemaslahatan rakyat Singapura secara keseluruhannya dapat dijaga.

Ustaz Zahid Zin bersama kakitangan Masjid An-Nur. (Gambar-gambar: Zahid Zin)

Sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin agama kita juga adalah penting supaya tidak berlakunya perselisihan faham dan salah tanggapan ke atas keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa.

Peranan asatizah dalam menjelaskan hukum-hukum di sebalik pengeluaran fatwa dan implikasinya perlu juga diambil berat.

Berkemungkinan besar, langkah-langkah istimewa akan dikuatkuasakan untuk memastikan ibadah-ibadah di bulan Ramadan di masjid-masjid dapat dijalankan dengan teratur dan selamat.

PERLU BERSEDIA

Seumpamanya, setiap jemaah perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan untuk masuk ke ruang solat. Solat tarawih mungkin juga dihadkan hanya kepada 8 rakaat berbanding dengan 20 rakaat dan saf mungkin direnggangkan untuk menjamin keselamatan jemaah.

Sekiranya COVID-19 berterusan hingga ke bulan Ramadan dan keadaan menjadi semakin darurat, masyarakat Islam perlu bersedia untuk menghadapi cabaran yang baru ini dan ambil inisiatif untuk melaksanakan ibadah-ibadah mereka secara alternatif di rumah masing-masing.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir pernah menjelaskan bahawa hubungan seorang hamba dengan Tuhannya tidak berakhir atau berkurangan hanya kerana dia tidak dapat menghadirkan dirinya di masjid.

Ini adalah kerana di mana pun seseorang hamba itu berada di muka bumi ini, dia akan sentiasa diiktiraf dan dipelihara oleh Allah. Beliau juga berpesan kepada masyarakat Islam supaya memikirkan kemaslahatan yang lebih besar, mementingkan orang lain dan juga bersikap bertanggungjawab.

SOKONGAN PADU

Sejauh ini, umat Islam di Singapura telah menunjukkan semangat perpaduan dalam usaha menentang penularan virus tersebut. Sebahagian besar daripada masyarakat Islam kita pula telah ke hadapan untuk menyokong langkah-langkah yang diambil oleh jabatan agama negara kita.

Di wadah media sosial, badan-badan agama seperti Muslim Youth Forum (MYF), Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (BAPA), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) dan beberapa masjid di Singapura telah menyuarakan sokongan mereka terhadap MUIS dalam isu penutupan masjid dan penggantungan solat Jumaat buat sementara waktu.

Dalam satu surat terbuka, MYF meluahkan aspirasi mereka untuk terus berkerjasama dengan MUIS dan pemerintah untuk menangani cabaran virus korona.

Solat Jumaat di Masjid Darul Ghufran pada 22 Mac 2019. (Gambar hiasan: MUIS/Facebook) 

PERGAS pula memperkenalkan siri video #BeTheGraciousMuslim (Jadilah Muslim Baik Budi) untuk mendidik masyarakat Islam tentang perilaku yang baik dalam mengharungi masa-masa yang genting ini.

Maklumat yang sahih dan perkembangan terkini mengenai status masjid-masjid di Singapura juga diumumkan oleh akaun media rasmi di Facebook dan Instagram bagi mengelakkan penularan berita-berita palsu.

Kumpulan-kumpulan sukarelawan belia seperti Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS), NYPMSN dan Youths of Darul Arqam (YODA) mengadakan program-program menerusi platform alternatif seperti Facebook Live, Instagram dan podcast Spotify sebagai tanda sokongan mereka untuk mengelakkan perhimpunan ramai.

Institusi-institusi pengajian Islam seperti Sparkreativ, Safinah dan Alqudwah Academy telahpun melakarkan kelas-kelas agama interaktif secara online.

Sokongan ini secara tidak langsung mencerminkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam kita di Singapura ini.

PENCEGAHAN SEBAGAI UBAT

Semasa penularan wabak penyakit taun yang terjadi pada tahun ke-6 Hijrah di Madinah, Rasulullah s.a.w memerintahkan di dalam sebuah hadis:

“Jika kamu mendengar wabak di satu wilayah, maka janganlah kamu memasukinya. Tapi jika terjadi wabak di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu." [Bukhari]

Prinsip dan pengajaran yang diambil oleh hadis Rasulullah s.a.w dapat dilihat dalam arahan kuarantin, pengesanan awal dan pengasingan kes jangkitan yang berlaku di zaman kita pada hari ini.

Rasulullah s.a.w juga memberi berita gembira kepada mereka yang terkena penyakit wabak. Di dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w mengatakan:

“Tidaklah bagi seseorang yang tertimpa taun kemudian ia berdiam diri di wilayahnya itu dengan sabar dan ia menyedari bahawa taun itu tidak akan menimpa kecuali telah ditetapkan Allah, kecuali ia memperoleh pahala bagaikan orang mati syahid.” [Bukhari]

Penyebaran virus ini merupakan peringatan dari Allah s.w.t agar umat Islam terus bersatu dan semakin mendekatkan diri mereka kepadaNya.

Kunci kejayaan masyarakat Islam Singapura dalam menangani cabaran COVID-19 adalah pendekatan secara holistik, kerjasama dengan pemerintah serta jabatan agama negara dan semangat perpaduan untuk menjamin keselamatan setiap individu tanpa mengira bangsa atau agama.

MENGENAI PENULIS:

Remy Mahzam dan Ustazah Unaisah Adam. (Gambar: Remy Mahzam)

Ustaz Remy Mahzam merupakan seorang zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Pengganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan sarjana (Masters) dalam bidang media komunikasi di NTU. Beliau juga merupakan anggota lembaga pengurusan masjid (MMB) Darul Makmur.

Ustazah Unaisah Adam adalah pengelola program pembangunan untuk wanita, Sparkreativ dan pendakwah bebas. Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda bidang Al-Quran dan Al-Hadis, Universiti Malaya. Beliau juga memegang ijazah diploma lanjutan dalam jurusan Psikologi Kaunseling. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan