Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ramadan semasa pandemik virus – peluang tingkatkan lagi sikap rahmah

Kita boleh menghulurkan bantuan bukan hanya untuk mengumpul pahala, tetapi juga dengan menunjukkan sifat rahmah  kepada mereka yang dalam kesusahan.

Anggaran Waktu Membaca:

Ramadan kali ini bukanlah seperti bulan-bulan Ramadan yang lalu.

Dengan hampir seluruh umat Islam di pelusuk dunia terkurung di rumah masing-masing akibat COVID-19, ia telah menjejas pelbagai amalan dan ibadah yang dikaitkan semasa bulan suci itu.

Namun, di sebalik perubahan mendadak ini, ia tidak bermakna umat Islam langsung tidak berpeluang untuk melakukan kebaikan semasa Ramadan.

Bahkan, dengan keadaan yang kita hadapi sekarang, ia merupakan satu peluang yang baik untuk mempertingkatkan sifat rahmah terhadap perkara-perkara seharian yang mungkin kita terlepas pandang.

RAHMAH DALAM KELUARGA

Dengan penguatkuasaan pemutus litar (Circuit Breaker) di Singapura sehingga bulan Jun nanti, sebahagian besar penduduk tempatan tidak dibenarkan untuk keluar dari kediaman mereka kecuali untuk urusan genting atau membeli barang-barang keperluan.

Lantaran, ramai yang terkurung di rumah bersama keluarga mereka. Maka inilah peluang untuk masyarakat Islam mengeratkan pertalian silaturahim dengan kaum keluarga sendiri.

Banyak perkara yang boleh dilakukan semasa bulan Ramadan ini di rumah seperti berbuka puasa dengan keluarga, solat berjemaah, membantu anggota keluarga yang memerlukan dan lain-lain lagi.

Dalam lingkungan keluarga kita, mungkin sekali keadaannya aman, tenang dan kita dapat meraih ganjaran Ramadan sepenuhnya dengan selesa.

Namun itu bukanlah satu realiti bagi mereka yang terjejas dek musibah yang sedang melanda dunia; bagi kebanyakan mereka ia hanyalah satu impian yang hanya mampu dikenang.

RAHMAH KEPADA RAKAN

Dalam kita mengumpul ganjaran bulan suci ini dengan keluarga, kita juga boleh menebarkan sikap rahmah kepada rakan-rakan ataupun kenalan-kenalan kita yang sedang menghadapi cabaran khususnya keadaan rumahtangga yang tidak menentu.

(Gambar ilustrasi: Ngau Kai Yan)

Ini termasuk mereka yang dalam proses perceraian dan keganasan domestik. Kita boleh sebarkan rahmah dan kasih sayang kita dengan sering bertanyakan khabar dan rujuk kepada pakar ataupun bantuan yang sedia ada.

Perkhidmatan seumpama ini masih beroperasi walaupun dalam keadaan pemutus litar sekarang ini.

DALAM KESUSAHAN

Pakar ekonomi Singapura turut menjangkakan kemelesetan ekonomi di Singapura akibat wabak COVID-19. Ramai pekerja yang akan terjejas dengan kemelesetan ini akibat pemotongan gaji dan pemberhentian kerja.

Bulan suci ini adalah satu peluang bagi kita melabur kepada mereka yang tidak berkeupayaan. Pelaburan ini bukanlah hanya untuk kepentingan diri sendiri buat Akhirat kelak, tetapi secara tidak langsung ia memperkasakan masyarakat Melayu Islam.

Meskipun masjid-masjid tempatan tidak beroperasi ini tidak bermaksud bahawa pihak masjid tidak memerlukan sokongan dana untuk menampung perbelanjaan menampung masjid.

KALANGAN ASATIZAH

Sedang kita di bekerja dari rumah ataupun mengisi masa kita dengan keluarga terdekat, anggota masjid, para asatizah masih lagi bertungkus lumus menyediakan santapan rohani dari skrin komputer.

Di laman media sosial sahaja, begitu banyak sekali kuliah yang dimuat naik oleh para asatizah tempatan dan semua ini tentunya memerlukan perbelanjaan.

Walaupun terdapat bantuan oleh pemerintah dan badan-badan setempat untuk menampung perbelanjaan semasa tempoh pemutus litar ini, bantuan yang dihulurkan oleh masyarakat setempat masih lagi memainkan peranan penting demi kesinambungan perkhidmatan pada masa jangka panjang.

Bantuan yang diberikan ini bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi banyak lagi cara yang kita boleh lakukan dalam bulan Ramadan ini seperti mengumpul dana bagi mereka yang memerlukan, melakukan kerja-kerja sukarela dan juga memulakan aktiviti-aktiviti relawan yang dapat membantu golongan yang tertindas.

INSAN PRIHATIN

Yang pastinya, tempoh pemutus litara yang selari dengan bulan Ramadan ini melatih diri kita untuk menjadi seorang Muslim yang bersifat empati dan prihatin terhadap keadaan masyarakat.

Kita duduk di rumah semasa bulan puasa ini bukan sahaja untuk memastikan kesihatan kita tidak tergugat, tetapi kita turut mengambil kira kesihatan orang di sekeliling.

Kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bukan hanya untuk “mengumpul pahala” pada bulan suci ini.

Tetapi kita boleh menunjukkan sikap empati terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi orang lain khususnya mereka yang hilang pekerjaan, mereka yang berada dalam kancah keganasan rumahtangga, mereka yang hidup bersendirian, para pekerja asing yang dibelenggu jangkitan COVID-19 dan juga mereka yang bertarung nyawa setiap hari yang berada di barisan hadapan.

Jururawat bersiap sedia di ruang menanti di pusat pemeriksaan Tuas (Gambar: Try Sustrisno Foo)

SIKAP EMPATI

Sifat empati dan sensitif ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri Rasulullah yang disebut dalam Al-Quran Surah At-Taubah ayat 128.

Menurut ulama Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah, atau lebih dikenali dengan HAMKA dalam buku tafsir beliau berjudul Tafsir Al-Azhar, beliau menyifatkan sifat Rasulullah yang dicerminkan dalam ayat tersebut sebagai seorang yang berempati dan sensitif terhadap umatnya:

Siang dan malam yang beliau fikirkan hanyalah keadaan nasib umatnya. Berat baginya kalau umatnya ini miskin atau menjadi jajahan orang asing. Berat rasanya kalau umatnya ini celaka di dunia dan sengsara di akhirat.

Menurut HAMKA, sifat ini adalah sifat “berat baginya apa yang kamu susahkan”, dalam erti kata lain juga sifat empati dan sensitif yang ditonjolkan dalam kepimpinan Rasulullah.

Dengan berlaku rahmah sesama insan, dalam kalangan keluarga kita sendiri dan juga mereka yang kita tidak kenali, kita sebenarnya menghidupkan sifat terpuji ini, tidak kira sama ada kita hanya rakyat marhaen mahupun sebagai seorang pemimpin masyarakat. 

MENGENAI PENULIS:
Muhammad Faris Alfiq ialah seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA). Beliau lulusan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan bidang kajian beliau adalah Islam dalam Politik, Wacana Islam di Indonesia dan Malaysia dan Sosiologi Perundangan Agama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan