Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Radikalisme menerusi alam siber - masalah berat tapi masih ada huraiannya

Dengan pengaruh alam siber semakin meluas termasuk dalam penyebaran fahaman radikal, sejauh mana langkah seperti pengesanan awal dan bimbingan boleh membantu seseorang individu daripada mudah terpengaruh? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan pengaruh alam siber semakin meluas termasuk dalam penyebaran fahaman radikal, sejauh mana langkah seperti pengesanan awal dan bimbingan boleh membantu seseorang individu daripada mudah terpengaruh?

Mutakhir ini, Singapura telah dikejutkan dengan penahanan dua orang remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terpengaruh dengan fahaman radikal.

Remaja pertama yang berusia 16 tahun ditahan atas rancangannya untuk menyerang umat Islam di dua masjid di sini pada ulang tahun kedua serangan ganas Christchurch di New Zealand.

Menurut siasatan pihak berkuasa, remaja tempatan beragama Kristian Protestan itu didapati mempunyai fahaman ekstremis pelampau sayap kanan. Dia juga didapati terpengaruh dengan perbuatan pengganas Brenton Tarrant, iaitu lelaki yang bertanggungjawab atas serangan di Christchuch.

Remaja yang kedua pula, yang berusia 20 tahun, telah merancang untuk membuat serangan menggunakan pisau ke atas masyarakat Yahudi.

Dia dilaporkan terkesan dengan konflik Israel-Palestin dan ingin mengambil tindakan balas dengan membunuh masyarakat Yahudi. Dia juga berhasrat untuk menyertai sayap tentera Hamas yang dipercayai memperjuangkan hak warga Palestin.

ANCAMAN RADIKALISME

Gambar hiasan. 

Rancangan dan ideologi kedua-dua remaja ini amat membimbangkan dan menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh merapuhkan kesejahteraan dan menghancurkan perdamaian.

Kes radikalisasi di alam maya seperti ini adalah satu fenomena global yang menimpa masyarakat di seluruh dunia.

Walaupun radikalisme tidak semestinya membawa kepada pengganasan, akan tetapi ia boleh memainkan peranan yang penting dalam memberikan motif atau tujuan perjuangan ganas.

Ini kerana idea yang radikal boleh menjana sokongan dalam kalangan masyarakat sama ada sebagai penyokong tegar atau sebagai mereka yang bersimpati terhadap perjuangan kumpulan pengganas.

Di zaman alaf milenium ini, internet telah mengecilkan dunia dan masyarakat tempatan tidak terlepas daripada merasai bahang kejadian yang berlaku dari mana-mana sahaja. Tambahan kepada ini kita mendapati bahawa idea-idea radikal bertebaran luas di alam maya, lantas memudahkan proses radikalisasi dalam masyarakat.

FAKTOR RADIKALISASI

Jika diperhatikan kes-kes radikalisasi yang melibatkan golongan muda dari tahun 2002 hingga 2014, ia cuma melibatkan tiga kes sahaja.

Tetapi sejak 2015 hingga kini, seramai 8 remaja bawah umur 20 tahun ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri.

Menteri Undang-Undang K Shanmugam telah menyifatkan trend ini sebagai perkara yang amat membimbangkan.

Trend sebegini timbul disebabkan media digital dan sosial yang memainkan peranan penting dalam hidup remaja hari ini. Menurut tinjauan belia oleh Majlis Belia Kebangsaan Singapura, sekitar 40% belia yang ditinjau meluangkan masa 10 jam atau lebih dalam talian dalam masa seminggu. Dan 90% daripada meraka melungsuri laman rangkaian sosial setiap hari.

Terdapat juga beberapa faktor yang membuat remaja terpaut dengan kanca radikalisme melalui dalam talian, antaranya adalah:

Pertama, faktor budaya ‘clicktivism’. Ia adalah satu bentuk amalan yang menyokong tujuan politik atau sosial melalui wadah internet seperti laman media sosial yang biasanya disifatkan sebagai melibatkan usaha atau komitmen yang sedikit.

Berbekalkan semangat untuk kongsi atau menekan butang ‘like’ terhadap satu perkongsian yang menyokong pengganasan, seseorang itu mungkin tidak sedar akan kesan padah yang boleh membuat dirinya atau orang lain menjadi radikal.

PENGARUH VISUAL

Gambar fail. (Gambar: Reuters/Andrew Kelly)

Kedua, faktor visual. Sebilangan besar elemen visual dalam media kumpulan-kumpulan radikal berfungsi sebagai alat persuasif yang kebanyakannya berlandaskan atas emosi atau isu-isu sosial yang sensitif.

Kejayaan kempen media ini dalam merangsang seseorang untuk menjadi radikal bergantung dengan apa yang disertakan dalam visual tersebut.

Seperti contoh, kumpulan radikal sayap kanan sentiasa berhujah dengan memberikan gambaran visual bahawa Islam itu adalah agama yang menyokong keganasan dan wajar umat Islam itu dipinggirkan malah diperangi.

Manakala kumpulan ISIS pula sering menggunakan imej-imej pejuang yang kononnya membela nasib orang Islam.

Pendedahan sebegini jelas akan menjejas pemikiran seorang remaja yang mungkin tidak mempunyai daya pemahaman yang kukuh akan gambaran yang sebenar.

Ketiga, faktor rasa 'sense of purpose' atau memenuhi sebuah hasrat rasa tujuan.

Tambahan pula dengan melungsuri internet, dengan mudah dan pantasnya satu maklumat dapat diperolehi oleh seseorang itu supaya dapat mencapai tujuan yang diingini.

Ini kerana puak ekstremis di alam maya sentiasa berusaha untuk mengambil kesempatan dalam memberikan identiti dan juga matlamat hidup kepada para remaja yang berada pada tahap perjalanan dalam hidup di mana mereka sedang mengalami proses perubahan dari segi sosial dan psikologi.

LANGKAH PENCEGAHAN

Para pejalan kaki di Orchard Rd pada 4 Sep 2020. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Membasmi radikalisme dan ekstremisme terbukti sangat sukar dan ia memerlukan usaha yang berterusan dan jangka masa yang panjang dari pihak pemerintah dan juga masyarakat.

Selain daripada pengawasan oleh ibu bapa atau pun guru sekolah dalam aktiviti maya oleh anak-anak, ada juga langkah-langkah pencegahan yang penting bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan naratif yang dipelopori oleh kumpulan-kumpulan ekstrem.

Pertama: Mengenal pasti apakah tanda-tanda seorang yang sedang melalui proses radikalisasi. Tanda-tanda seperti menyokong ideologi kumpulan pengganas, perubahan watak yang mendadak, mengasingkan diri daripada keluarga atau teman-teman tanpa sebarang sebab yang munasabah dan menunjukkan sikap yang tidak bertoleransi atau kebencian terhadap orang yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Disebabkan ini, pengesanan awal menjadi amat penting untuk membantu mereka supaya dapat diberikan bimbingan yang tepat. Oleh itu, kaunseling psikologi dan agama di sini dapat memainkan peranan besar dalam penyusunan semula kognitif individu-individu sebegini.

Kedua: Menerapkan pengajian silang agama sebagai kurikulum pendidikan sekolah agar dapat lebih menghargai keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat berbilang agama.

Di samping itu, para pelajar perlu didedahkan akan ancaman radikalisasi memalui kajian kes yang berlaku di sini.

BIMBINGAN POSITIF

Pendedahan sebegini amat penting kerana para pelajar sendiri boleh mendapat gambaran penuh serta mengambil pengajaran tentang apakah motivasi atau dorongan mereka yang menjadi radikal dalam talian.

Ketiga: Meningkatkan keupayaan masyarakat dalam membanteras naratif radikal di alam maya.

Andai kata puak radikal menyeru kepada perpecahan dan rasa tidak percaya antara satu sama lain, masyarakat dapat menyangkal naratif tersebut.

Golongan yang mempunyai pengaruh yang kuat di alam maya harus menyebarkan nilai-nilai kemanusian dan memupuk semangat kekitaan agar dapat memberi bimbingan yang positif dalam kalangan belia.

SENTIASA BERWASPADA

Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa masalah radikalisasi tidak mengenal agama dan bangsa. Ia boleh terjadi kepada sesiapa dan di mana sahaja.

Masyarakat harus sentiasa berwaspada akan jalan kemusnahan yang disusun atur khususnya di ruang maya oleh kelompok-kelompok yang sentiasa menanam bibit kebencian antara satu sama yang lain.

Semangat dan usaha berterusan dalam menangani isu radikalisasi harus kekal dalam minda masyarakat. Moganya, lewat saranan yang disebutkan, gejolak radikalisasi yang melanda remaja di alam maya kini dapat dibendung dan dikekang dengan berkesan.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan