KOMENTAR: Pustaka Cikgu Ariff Membenihi Dana MAS
SINGAPURA: 6 Disember 2024. Genap ulang tahun seabad Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad.
Ketika menziarahi Cikgu Muhammad Ariff Ahmad (@Cikgu Ariff atau Dr MAS, 6 Disember 1924 - 23 Mac 2016), wartawan Berita Harian, Cik Nuryati Duriat, agak tercengang melihat pustakanya iaitu koleksi buku, manuskrip, surat dan fail yang ‘bersusun-susun’ di rumahnya (didiaminya sejak 1952) di 16, Nemesu Avenue.
“Banyaknya khazanah Cikgu!” ujar Cik Nuryati yang bersara dari Berita Harian pada 2020.
“Moga semua ini nanti akan dihargai masyarakat,” jawab Cikgu Ariff dengan tenang pada pertengahan tahun 1987.
Sewaktu ziarah Nuryati pada awal Disember 2009 di rumah Cikgu Ariff, sebahagian koleksi tadi sudah berada dalam simpanan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang membelinya dengan harga tertinggi, S$30,000.
Idea menjual ‘khazanah’ tercetus pada 2004 setelah saya dapati sebahagian koleksi tadi kian ‘rosak’ dek cuaca panas dan lembab serta dimamah ulat buku di rumahnya. Paling merisaukan ialah khazanah pada rak-rak di loteng yang pernah didiami anak sulungnya, Muhammad Shahrir.
Pada 2006, Cikgu Ariff menerima gelaran ‘Doktor Kehormat Persuratan’ dari alma maternya, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ini merupakan penghormatan tertinggi baginya setelah menerima pelbagai anugerah termasuk gelaran ‘Pendeta’ dari Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (MPS) pada 1999.
Kebetulan saya diundang menjadi pengerusi Jawatankuasa Pameran Aksara anjuran NLB pada 2007 dan telah menemui para pegawai kanan perpustakaan. Pada mulanya, pihak NLB agak keberatan kerana ‘tawaran’ yang saya cuba yakinkan itu amat tinggi. Tetapi setelah dua orang pegawainya, Mazelan Anuar dan Juffri Supa’at membelek khazanah tadi dan meyakinkan ketua mereka, Encik Lai Yeen Pong (sudah bersara), maka segalanya terpahat sebagai sejarah.
Koleksi itu tadi tersimpan rapi dan selamat di pustaka rujukan Lee Kong Chian, Bangunan NLB di Victoria Street.
Setelah menerima cek NLB, Cikgu Ariff semacam bingung. “Ini duit masyarakat, tak selesa saya gunakan,” katanya. “Cuba cari jalan gunakan dengan baik untuk saya hadiahkan,” tambahnya.
Hakikatnya, Cikgu Ariff bukanlah orang kaya. Hartanya yang paling bernilai tentulah rumah teresnya setingkat setengah itu. Beliau dan isterinya (guru bersara), Hjh Sarinah Hj Haniff, menyara sisa hidup dengan wang pencen pemerintah. Malah keadaan rumah mereka boleh dikatakan ‘antik’ kerana menampilkan perabot lama tanpa reka bentuk atau hiasan canggih.
“Kita adakan Anugerah MAS untuk bakat muda terbaik, di bawah usia 40 tahun, daripada kalangan guru, asatizah dan aktivis dalam bidang persuratan. Mungkin empat kategori dengan setiap penerima mendapat sijil dan wang S$1,000,” saran saya.
“Ha, bagus. Teruskan,” katanya teruja.
Diringkaskan cerita, saya ajukan wang pustaka Cikgu Ariff kepada MPS (pimpinan Zulkifli Mohammed) selaku penganjur Anugerah MAS bagi Persuratan. Kegiatan ini terhenti pada 2009 setelah empat kali dianjurkan – kesemuanya di Auditorium Majlis Sultan (atas ihsan Lembaga Pengamanahnya).
Sebab utama pemberhentian ialah antara penerima pada kali keempat turut menerima anugerah daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). “Ini bertindan. Saya dapati para calon makin sedikit. Cuba cari jalan lain,” nasihatnya.
Memandangkan ‘dana’ di Majlis Pusat juga mendapat sokongan, terutama daripada Yayasan Lee, jumlahnya bercambah.
KURSI PROFESOR
Fikir punya fikir dan solat istikharah, saya teringat Cikgu Ariff pernah diundang sebagai ‘profesor pelawat’ di Universiti Malaya oleh ‘muridnya’ bahasawan, Prof Farid Mohd Onn (1939-2023). Namun undangan pada awal 1980-an itu ditolak Cikgu Ariff yang baru bersara kerana “tugas saya semakin banyak sejak bersara”.
Maka saya hubungi seorang sahabat sejak di bangku Maktab Rendah Kebangsaan (NJC, 1975-1976), Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, yang juga Ketua Unit Bahasa dan Kebudayaan Melayu NIE. Bak lipas kudung disiapkan kertas sarannya dan diajukan kepada pihak Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang menaungi NIE.
Sekitar kurang dua minggu, gayung bersambut tanya berjawab. Malah NTU telah menyarankan agar diwujudkan endowmen (semacam wakaf) yang lebih luas fungsinya sempena Cikgu Ariff.
Syaratnya ketat: diperlukan S$2.5 juta dengan sokongan pemerintah bagi setiap dolar untuk dikumpulkan selama lima tahun.
Mana nak cari wang sebesar itu?
Reaksi Cikgu Ariff: “Ini anugerah terlalu tinggi. Saya cuma orang biasa...,” katanya sebak dan hampir teresak. Beliau juga khuatir gagasan dana ini kelak dipolitikkan.
MENDIANG PROF LEE
Menurut Dr Hadijah, mentornya Prof Lee Sing Kong, merupakan antara tokoh yang amat menyokong gagasan dana itu sebagai penghormatan kepada Dr MAS, yang merupakan antara pensyarah yang terkenal dan paling lama berkhidmat (1959-1980) semasa NIE dikenali sebagai Maktab Latihan Guru (Teachers’ Training College, TTC) di Paterson Road.
Pada hari persemadian Cikgu Ariff (23 Mac 2016), Prof Lee Sing Kong (1952-2017) merupakan antara yang hadir di Pusara Abadi.
Maka suatu mesyuarat khas pada 2009 diaturkan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan NTU, Cik Marina Tan Harper dan timbalannya, Encik Marc Chan untuk menemui pucuk pimpinan MPS di pejabatnya, bangunan Kelab Masyarakat Toa Payoh Central. Presiden MPS, Encik Zulkifli Mohammed, akur akan peri perlunya usaha gigih mengumpulkan dana. Malangnya, MPS menghadapi masalah dalaman tersendiri.
PERANAN JAMIYAH
Pada awal 2012, atas nasihat Cikgu Ariff, saya alihkan wang Dana MAS sekitar S$32,000 kepada Jamiyah Singapura yang dipimpin Hj Abdul Karim Maidin. Abang Encik Abdul Karim ialah pemimpin terlama Jamiyah iaitu Hj Abu Bakar yang ketika itu dilantik sebagai konsultan/penasihat. Di sebalik keuzurannya sehingga berkerusi roda, Hj Abu Bakar bertekad besar dan amat gigih untuk mempengerusikan Jawatankuasa Dana MAS di Jamiyah Singapura.
Untuk mendapat dukungan masyarakat kepada Jamiyah selaku urus setia Dana MAS, maka diundang sejumlah badan Melayu/Islam yang utama. Beberapa badan seperti Angkatan Sasterawan ’50 (yang ditubuhkan Cikgu Ariff dan rakan-rakannya) kemudian telah memberikan sumbangan awal.
Jamiyah telah menulis 7,000 pucuk surat kepada para guru, pemimpin masyarakat dan pertubuhan Melayu/Islam untuk menyokong dana ini. Namun hanya terkumpul S$10,000.
Selanjutnya, Hj Abu Bakar telah mendekati badan bukan Islam termasuk Yayasan Lee sehingga Buddhist Lodge – maka terkumpullah lebih setengah juta dolar dalam kurang setahun!
CARI PENAUNG
Bagi Hj Abu Bakar, setiap usaha besar mesti ada penaungnya. Ini juga tradisi Jamiyah. Sesudah mendekati kalangan penjawat negara yang menolak undangan, akhirnya, saya menggesa Hj Abu Bakar agar mendekati mantan Presiden ke-6, S.R. Nathan yang juga kawan lamanya. Lagipun, mereka sering bersua ketika bersenam di taman East Coast.
Dipendekkan kisah, Encik Nathan menerima lamaran.
Peraturan Pentadbiran (RoA) untuk Dana MAS telah digubal. Ia hasil daripada beberapa perbincangan antara Dr Hadijah dan Jamiyah dengan Pejabat Pembangunan NTU, yang diwakili oleh Cik Marina Tan Harper dan Encik Marc Chan pada 4 dan 20 Jun 2012. Satu lagi mesyuarat telah diadakan pada 17 Dis 2012 yang dihadiri oleh mendiang Prof Lee Sing Kong, Encik Terry Alan Faris, Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Pembangunan NTU, Cik Marina Harper dan Dr Hadijah.
Pada penghujung tahun 2012, Jamiyah secara rasmi telah menghubungi mantan Presiden S.R. Nathan (1924-2016) untuk menjadi penaung kepada DANA MAS.
Beliau segera menghubungi NTU selepas sahaja mesyuarat di pejabatnya di bangunan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) agar biasiswa dan geran kajian endowmen ini dipercepatkan. Katanya: “Saya, Hj Bakar dan Cikgu Ariff sudah tua dan kami tidak tahu apakah dapat bertahan lagi.”
Pada 10 Januari 2013, NIE membuka akaun khas untuk MAS Malay Studies Fixed Deposit. Hanya faedah terhasil daripada dana/endowmen akan disalurkan ke akaun ini di NIE. Tetapi dana modal berada dalam akaun NTU.
Pada 10 September 2013, Hj Abu Bakar kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Cikgu Ariff kembali ke rahmatullah pada 23 Mac 2016 dan Encik Nathan pula berpulang pada 22 Ogos 2016.
GESAAN TEGUH
Pada 28 Jan 2014, Jawatankuasa Dana MAS, Encik Marc Chan, Pengarah Madya dari Pejabat Pembangunan NTU; Dr Hadijah, saya dan para wakil dari Jamiyah, bertemu Encik Nathan di SMU demi mendapatkan sokongan lanjut beliau untuk projek mengumpul dana DANA MAS.
Pengumuman awam mengenai Biasiswa MAS oleh Dr Hadijah dan saya telah dilaksanakan pada 19 Jun 2014 semasa kegiatan mengumpul dana di Ekspo Singapura (Singapore Expo).
Pada 12 Nov 2014, satu mesyuarat diadakan di bilik jurnal ALC untuk menyerahkan cek daripada derma yang dikutip di Ekspo Singapura oleh Dr Hadijah dan saya kepada Encik Marc Chan.
Presiden Jamiyah yang baharu Dr Hasbi Abu Bakar telah mengutus surat kepada saya pada Disember 2014 yang menyatakan pihaknya tidak dapat lagi meneruskan tugas sebagai urus setia Dana MAS. Seminggu selepas itu saya telah meyakinkan Hj Wan Hussin Zoohri yang baru saja berundur sebagai Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) agar urus setia Dana MAS dibahu oleh LBKM. Beliau bersetuju pada prinsipnya kerana mengenang budi Cikgu Ariff.
Selepas dua minggu berpulangnya Cikgu Ariff, iaitu pada 9 April 2016 di POD NLB, empat anugerah bernilai S$55,000 – terdiri daripada S$10,000 kepada seorang penerima kursus Sarjana; S$15,000 setiap seorang kepada dua penerima bagi kursus Doktor Falsafah; dan sejumlah S$15,000 kepada pasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia bagi Geran Penyelidikan. Tetamu Terhomat majlis tersebut ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan) Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. Hadirin kagum akan tekad Encik Nathan yang menggagahi diri dengan berkerusi roda untuk hadir menyampaikan anugerah dan beramah mesra.
Dua buah buku, ‘Kurnia Alam’ (oleh Dr Hadijah) dan ‘Pantun MAS’ (tulisan Dr Muhd Ariff iaitu beberapa bulan sebelum pemergiannya) telah dilancarkan.
Semasa mesyuarat pada 29 Ogos 2018, Lembaga Penasihat MAS (yang terdiri daripada wakil dari Jawatankuasa Dana MAS di LBKM (JKDM), Hj Wan Hussin dan Mohd Raman; dan Dr Hadijah dan kakitangannya) telah memutuskan untuk menambah jumlah biasiswa iaitu: S$15,000 untuk sarjana dan S$25,000 untuk doktor falsafah (PhD) atau geran penyelidikan.
JKDM telah cuba mendapatkan derma orang ramai menerusi derma Jumaat di masjid-masjid iaitu sebanyak tiga tahun berturut-turut pada 2015-2017. Setinggi-tinggi penghargaan atas ihsan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), khususnya Ketua Eksekutifnya, Hj Abdul Razak Hassan Maricar.
Pada tempoh wabak COVID-19 iaitu 31 Mac 2021, Presiden Halimah Yacob merasmikan Hab Kajian dan Sumber MAS di Perpustakaan NIE-NTU. Ia disaksikan oleh balu Cikgu Ariff, Hjh Sarinah Haniff dan anakandanya, Shahrulbariah.
TAHAP SELANJUTNYA
Sejak mengenali Cikgu Ariff di Pejabat MPS di Penang Lane pada 1981 sehingga kini, saya berasa kalangan masyarakat Melayu memang sayangkan almarhum. Tentulah ada keberkatan dalam perjuangannya sehingga Dr MAS tercatat sebagai insan Melayu pertama di nusa ini yang dihormati dengan dana endowmen di sebuah universiti yang kian menyerlah di persada sejagat.
Sesudah zaman pimpinan Profesor Madya Emeritus Dr Hadijah Rahmat, dunia akan menyaksikan era Prof Madya Dr Mukhlis Abu Bakar untuk terus mengisi makna perjuangan Dr MAS menerusi endowmennya.
Pada 6 Disember ini, genap seabad atau 100 tahun hari kelahiran Cikgu Ariff. Semoga baktinya dikenang dan warisannya dikembangkan di nusa ini dan rantau Rumpun Melayu serta sejagat.
LBKM telahpun memberikan penghormatan kepada Dr MAS yang sudahpun menjadi antara tokoh ikon biasiswanya. Banyak yang boleh dilaksanakan demi menyuburkan warisannya. Jadi, bagaimana dengan badan-badan Melayu-Islam yang lain?
Ketika mencetuskan gagasan Dana MAS, saya tidak terfikir akan laluannya yang jauh dan berliku.
Namun saya tabik akan wawasan, tekad dan kegigihan almarhum Hj Abu Bakar Maidin dan mendiang Presiden kita, S.R. Nathan, kerana memberikan semangat dan pedoman, bahawa Singapura merupakan nusa bertuah yang teguh menyanjung warganya yang berjiwa besar dan berbakti luar biasa.
*Artikel ini terkandung dalam buku 'Permata Pendeta: Sempena Seabad Kelahiran Dr MAS' terbitan NIE-NTU yang dilancarkan sempena Syarahan Perdana MAS pada Sabtu (30 Nov).
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.