Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Pulang Raya Menyahut Panggilan Hati

Setiap kali Syawal menjelang, panggilan suara yang lembut namun lantang membisik di hati.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Setiap kali Syawal menjelang, panggilan suara yang lembut namun lantang membisik di hati.

Itulah panggilan pulang. Ia bukan sekadar bunyi yang didengari, tetapi lebih kepada panggilan nurani yang menyentuh hati seorang anak perantau.

Bagi ramai yang jauh di perantauan seperti saya, Hari Raya Aidilfitri adalah lebih daripada satu perayaan. Ia merupakan titik pertemuan antara masa silam dan masa kini, antara kenangan manis dan realiti kehidupan.

Mengenang waktu dahulu, ketika saya menetap di Singapura, Hari Raya bukan sekadar mengenakan baju yang berwarna- warni atau sampul berisi duit Raya. Ia lebih kepada pengalaman yang membentuk erti kebersamaan dan kasih sayang. Di flat sederhana di timur Singapura, persiapan Raya bagaikan ritual atau upacara penting yang dinanti-nantikan.

Setiap sudut rumah bertukar wajah, menyambut Syawal dengan sinaran yang
mempesonakan. Ibunda, dengan senyumannya yang tidak pernah pudar, menjadi nadi kegembiraan kami. Beliau yang menghabiskan masa berjam-jam di dapur, dengan telatinnya mengadun rempah rendang, memastikan rasanya cukup sebati dan sempurna.

PULANG RAYA UNTUK CIPTA KENANGAN BAHARU

Ketupat yang dianyam dengan penuh ketekunan dan kuih-muih tradisional yang menghiaskan meja makan, semuanya menggamit nostalgia dan rasa cinta.
Related article image
Gambar fail: dekurama.com
Namun demikian, hidup di perantauan membawa perspektif yang berbeza. Ia mengajar kita tentang erti kerinduan yang mendalam. Jarak yang memisahkan sering kali menguji kemampuan untuk pulang, sedangkan setiap detik Raya bersama keluarga adalah peluang yang sukar diulangi. Melihat perubahan pada anak-anak saudara, yang dahulu kecil berlari-lari di ruang tamu kini sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, merupakan sebuah pengalaman yang getir dan manis.

Sememangnya masa tidak menunggu sesiapa, dan kita hanya mampu mengimbas kembali saat-saat bahagia itu melalui memori dan gambar gambar yang lama.

Ayahanda, yang tidak lagi berada di sisi, sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup saya. Walaupun tidak dapat memberi petunjuk dengan kata-kata lagi,kenangannya sentiasa hidup dalam setiap langkah saya. Impiannya yang besar untuk melihat kami berjaya sangat mempengaruhi keputusan saya setiap hari.

Kisah-kisah ayahanda yang diceritakan oleh ibunda, mengenai harapan dan pengorbanannya, sentiasa memberikan semangat kecekalan apabila cabaran melanda. Ketika ibunda bercerita tentang ayahanda yang selalu menantikan
setiap kedatangan saudara-maranya dengan sabar, duduk di kerusi malasnya, berpura-pura membaca surat khabar, ia mengingatkan betapa berharga dan tidak ternilainya waktu yang diluangkan bersama keluarga.
Di sebalik segala kerinduan dan kesibukan, perjalanan untuk pulang kadang-kadang terasa berat dan membebankan. Ada perbelanjaan yang harus dipertimbangkan, ada tanggungjawab kerja yang tidak boleh diabaikan. Hampir setiap tahun saya bisikkan pada diri:

“Tahun ini tak apa, mungkin tahun depan lebih sesuai.” Namun, kenyataannya, masa tidak menanti kita, dan setiap detik yang berlalu adalah satu detik yang tidak dapat kita kembalikan.

Menghadapi realiti, kita sering terperangkap antara keinginan dan tanggungjawab. Teknologi memang memudahkan komunikasi, namun tiada bandingan atau gantinya kehadiran fizikal yang memupuk kemesraan.

TEKNOLOGI BUKAN PENGGANTI DIRI

Panggilan video yang dibuat pada malam Raya, melihat wajah keluarga di seberang skrin, memang menggembirakan tetapi tidak cukup untuk mengisi kekosongan. Keharuman ketupat yang diimport, tidak setanding dengan aroma ketupat yang direbus sendiri oleh emak tersayang.
Related article image
(Gambar hiasan: Tengku Bahar/AFP)
Setiap kali di akhir panggilan, saya sering terdiam sejenak, merasakan sesuatu kekosongan yang tidak dapat dijelaskan, menyedari bahawa keselesaan sementara ini tidak mampu menggantikan kasih sejati keluarga.

Kini, setelah bertahun lamanya mengalami kerinduan yang tidak terkata, kepulangan bukan lagi pilihan semata-mata, tetapi sesuatu keperluan hati. Pulang untuk Raya adalah lebih daripada sekadar memenuhi kewajipan, ia adalah tujuan atau niat untuk memperbaharui hubungan, untuk membina kenangan yang akan dikenang untuk selamanya.

Membayangkan wajah kakak yang semakin berusia dan anak-anak saudara yang sudah meningkat dewasa, terasa panggilan untuk pulang semakin mendesak. Mereka, yang pernah berlari ke arah saya dengan jeritan "Uncle, rindulah!", kini muncul bersama anak-anak mereka sendiri, membawa kemesraan dan kebanggaan dalam kehidupan saya.

Hari Raya lebih daripada sekadar cuti umum atau pesta perayaan. Ia adalah
perjanjian kepada keluarga, sebuah ikatan yang mengingatkan kita tentang asal usul dan warisan. Setiap Syawal, kita diingatkan bahawa seiring dengan waktu dan detik, ada wajah yang mungkin tiada lagi hadir di meja makan, ada alunan suara yang tidak lagi memenuhi ruang dengan ceria. Oleh itu, kita tidak boleh mengizinkan alasan-alasan, seperti jarak dan kesibukan dunia, merampas detik-detik yang amat berharga ini.

Aidilfitri mengingatkan kita bahawa sejauh mana pun kita berada, kasih sayang keluarga adalah pemandu arah kita. Sambutan ini bukan sekadar upacara, tetapi satu simbol kekeluargaan yang abadi.
Related article image
Gambar fail sebuah keluarga di Singapura menyambut Hari Raya.

Dengan menyahut panggilan ini, kita bukan sahaja pulang untuk mengisi kehampaan di dalam diri kita, tetapi juga untuk mencipta memori indah bersama keluarga tersayang.

Kepulangan bukan sekadar perjalanan fizikal, ia adalah sebuah perjalanan nurani, yang memenuhi hati dengan kebahagiaan dan kasih yang tiada tandingannya.

MENGENAI PENULIS

Muhd Fuadi Bin Rahmat ialah mantan Naib Ketua Suria (2004 – 2006). Beliau juga seorang calon PhD.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita