KOMENTAR: Prinsip dan ciri-ciri kebapaan perlu kekal relevan; seiring dengan tanggungjawab semasa
Setiap anak akan memerhatikan ibu bapa mereka dari pelbagai sudut. Mereka akan mencontohi kelakuan dan sikap kita selaku orang tua mereka dan ini ibarat pedang bermata dua. Cara seorang bapa bertutur dan melayan kaum hawa di rumah akan menjadi pedoman bagi anak lelaki kita.

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)
BERITAmediacorp: Setiap tahun, Hari Bapa disambut dengan penuh semangat di merata dunia. Anak-anak dan juga kaum ibu turut sibuk membuat rancangan untuk memberi kaum bapa sambutan tahunan ini satu pengalaman yang lebih istimewa dari tahun sudah.

(Gambar hiasan: Gaya Candramohan)
Tidak kurang juga di negara kita ini, dengan pelbagai cara yang telah kita saksikan untuk menyambut Hari Bapa di sini, dari majlis kecil-kecilan di rumah bersama keluarga hinggalah ke tempahan di restoran yang terkenal siap dengan atur cara yang hebat.
Walau apa cara sekalipun Hari Bapa disambut dalam keluarga masing-masing, penting bagi kita untuk menyedari apakah yang dianggap penting mengenai hari itu.
Penghargaan yang dicurahkan kepada seorang bapa itu tadi akan lebih bermakna jika ia bukan hanya setakat satu kegiatan komersial.
TUJUAN DI SEBALIK HARI BAPA
Jika kita tinjau kembali, erti Hari Bapa boleh dibahagikan kepada dua objektif.
Secara amnya ia diperkenalkan untuk mengiktiraf sumbangan seorang bapa.
Tumpuan diberikan kepada ungkapan penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan kaum bapa yang lumrahnya dianggap hanya sebagai menjalankan tanggungjawab bagi keluarganya.
Budaya menyambut Hari Bapa secara “rasmi” di sini, jika kita singkap kembali hanya mula berputik tidak lebih daripada dua dekad yang lalu di mana bertahun-tahun sebelum itu ia tidak begitu diberi perhatian atau setakat sering didengar walaupun ia telah diasaskan pada tahun 1910 di Amerika Syarikat.
Disebabkan oleh usaha pelbagai pertubuhan dan juga kumpulan progresif di sini, ikhtiar untuk mempromosikan penghormatan kepada kaum bapa mula terbentuk dan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan untuk kanak-kanak dari peringkat tadika hingga ke peringkat sekolah rendah.
Kanak-kanak dan murid-murid itu tadi digalakkan supaya meluahkan perasaan mereka dengan menulis pesanan berupa kata-kata berterima kasih dalam kad-kad buatan sendiri untuk diberikan kepada bapa mereka. Ada di antara mereka yang membuat lukisan atau hasil kraf tangan daripada bahan kitar semula. Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang bertungkus lumus membakar kek dan sebagainya.
Jauh lebih signifikan lagi tentang sambutan Hari Bapa adalah ia berupa satu peluang keemasan untuk kita merenung kembali sekiranya sejauh ini gaya kebapaan kita dan prinsip-prinsip yang kita pegang teguh masih relevan lebih-lebih lagi dalam zaman yang pesat berubah.
Terutama sekali pandangan-pandangan tradisional yang pada satu ketika dulu dianggap baik tetapi mungkin sudah menjadi satu kepercayaan yang kuno atau perspektif yang amat menyinggung dewasa ini.
GAYA KEBAPAAN PROGRESIF
Perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Namun hanya satu cara sahaja yang dapat menjamin seseorang itu kekal relevan, iaitu dengan membuat perubahan secara proaktif.
TONTON: DETIK Episod 6 - Bapa Generasi Z
Seorang bapa yang mengamalkan gaya kebapaan yang progresif lebih terlibat mendidik dan membesarkan anak. Sering kaum bapa ini berada di hadapan usaha-usaha pembentukan dan mengambil langkah-langkah positif untuk mendekatkan diri mereka dengan anak-anak dan isteri.
Golongan bapa seperti ini juga melihat kebapaan sebagai sesuatu yang bukan bertujuan untuk dilayan, tetapi sebaliknya untuk memberi sokongan dalam proses membina keluarga yang diidamkan bersama.
ANJAKAN MINDA
Seperti setiap perkara dalam hidup kita, pemikiran asas membentuk watak dan tingkah laku kita yang seterusnya akan menentukan tindakan kita. Amat penting untuk kita mempunyai kejelasan mengenai pemikiran dan minda kita agar kita dapat mengatur langkah dengan lebih berkesan.
Keinginan kita sebagai seorang bapa untuk mempunyai keluarga yang proaktif dan inklusif bermula dengan minda dan pemikiran kita sendiri yang perlu disejajarkan.
Ibarat pepatah Inggeris “You can achieve what your mind can conceive” yang bermaksud, "kita boleh mencapai segala apa yang fikiran kita boleh bayangkan".
KEIBUBPAAN SATU PERKONGSIAN USAHA BERSAMA BUKAN PERSAINGAN
Apabila kita memasuki alam keibubapaan, ia adalah satu langkah yang kita ambil bersama selaku suami isteri. Di sini kita boleh gambarkan betapa sukarnya kalau kita tidak berkongsi tugas dan tanggungjawab bersama dengan pasangan kita.
Usaha mendidik dan membesarkan anak tidak harus dipikul oleh kaum ibu sahaja kerana peranan bapa sangat kritikal bagi mencapai kestabilan dalam keluarga.

(Gambar fail: Try Sutrisno Foo)
Setiap anak itu tadi akan memerhatikan ibu bapa mereka dari pelbagai sudut. Mereka akan mencontohi kelakuan dan sikap kita selaku orang tua mereka dan ini ibarat pedang bermata dua. Cara seorang bapa bertutur dan melayan kaum hawa di rumah akan menjadi pedoman bagi anak lelaki kita.
Ini dengan secara langsung akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka terhadap kaum hawa kelak.
KOMUNIKASI TERBUKA
Kebanyakan kita selaku orang tua sering mengaku yang kita mengamalkan dasar komunikasi terbuka dalam keluarga kita.
Tetapi, apabila kita merenung kembali kita tidak boleh menafikan bahawa kita sebenarnya tidak begitu berfikiran terbuka.
Disebabkan oleh pandangan kita yang agak terkurung, ia amat sukar untuk kita menyediakan platform yang berupaya memastikan komunikasi antara satu sama lain dapat berlaku dengan cara yang tidak tersekat.
Ini kembali kepada minda kita sebagai orang tua, terutama sekali bagi kaum bapa yang sering kekok untuk meluahkan perasaan tanpa ragu-ragu. Namun begitu, amat penting untuk semua pihak dalam sesebuah keluarga itu tadi berupaya mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran secara terbuka kerana amalan ini akan mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain.
MENDORONG KEPADA KEUNGGULAN, BUKAN BUAT PERBANDINGAN
Antara kesilapan yang dianggap terbesar dalam mengasuh anak-anak kita adalah membanding-bandingkan sesama mereka, antara saudara-mara mereka atau dengan anak orang lain.
Perbuatan itu, walaupun tujuan utamanya adalah untuk memberi galakan, malangnya ia meninggalkan kesan yang buruk dan merosakkan.
Hakikatnya, setiap anak itu berbeza dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Perbezaannya di sini bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga dari aspek lain seperti pembangunan, cara pembelajaran, kegemaran, bakat, paras keengganan dan lain-lain.
Disebabkan oleh keunikan anak-anak kita, tentu sekali pendekatan kita sebagai seorang bapa kepada mereka juga memerlukan corak yang berlainan, yang sesuai dengan keperibadian masing-masing. Dengan memahami fakta-fakta ini, kita akan lebih bijak mendorong anak-anak kita ke arah keunggulan dan pelaksanaan ini dengan tidak langsung akan membangkitkan satu budaya sihat dalam keluarga dan juga masyarakat kita.

BERSIKAP KONSISTEN
Nilai-nilai asas yang kita pupuk dalam lubuk hati anak-anak kita adalah satu pedoman yang akan menjadi sandaran mereka apabila mereka berdepan dengan persimpangan atau bersemuka dengan pilihan-pilihan yang akan menguji integriti mereka.
Tanpa keyakinan yang teguh, anak-anak kita akan mula mempersoalkan penilaian mereka sendiri dan ini akan menjejas proses pemikiran mereka dan juga keputusan yang dibuat.
Itulah sebabnya setiap apa yang kita sarankan atau inginkan daripada anggota keluarga kita, terlebih dahulu kita mesti bersedia untuk atau sudah mengamalkan perkara-perkara tersebut. Amalan ini perlu agar tidak ada kekeliruan yang bakal muncul dalam kalangan ahli keluarga kita yang boleh menyebabkan pertelingkahan.
Persoalan “double-standard” dan sikap tidak adil akan menjadi isu jika kita tidak mengenakan sesuatu tuntutan atau 'expectation' yang konsisten pada semua, terutama sekali pada diri kita sendiri.
USAHA BERTERUSAN
Hakikatnya, kita semua masih dalam peringkat pembentukan dan pembangunan, atau “work-in-progress” (usaha berterusan). Peningkatan pengetahuan kita dalam segala aspek termasuk keibubapaan adalah proses berterusan dan tidak mungkin akan tamat.
Ini kerana matlamatnya ibarat tiang gol yang sentiasa bergerak dan melibatkan banyak cabaran yang berbeza di setiap peringkat perjalanan hidup kita.
Ternyata, saban peringkat anak kita membesar, gaya keibubapaan kita juga perlu membuat penyesuaian. Malangnya ini terbukti sebagai antara usaha yang agak payah bagi kebanyakan ibu bapa untuk tunaikan, lebih-lebih lagi pada sang bapa.
Kerumitan yang dialami di sini sebahagian besarnya disebabkan oleh kaum bapa yang dari awalnya tidak begitu aktif dalam pembangunan anak-anak mereka.
Kurang kemesraan dan kurang faham dari setiap sudut yang menjejas anak mereka itu tadi telah merenggangkan lagi jurang generasi antara mereka sehinggakan ia menimbulkan tekanan yang tak terhingga pada hubungan antara bapa dan anak.
Pengakuan yang kita ini masih dalam tahap pembentukan dan pembangunan, atau “work-in-progress” akan membuka minda kita untuk terus berusaha menimba ilmu kebapaan dan pengalaman dalam usaha kita untuk menjadi bapa yang lebih baik.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.