KOMENTAR: Politik kaum dan agama mungkin hakis ukhuwah gabungan parti Melayu/Islam jelang PRU15

Bendera gabungan-gabungan parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di jalan raya menuju sebuah pusat penamaan calon di Gombak. (Gambar: CNA/ Fadza Ishak)
BERITAmediacorp: Kaum dan agama sering kali dipolitikkan di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya Umum 2018 (PRU 14), isu itu tidak begitu hangat digembar-gemburkan, dan sebaliknya tumpuan diberikan kepada rasuah, salah guna kuasa, dan skandal 1MDB.
Isu kaum dan agama muncul kembali pada tahun berikutnya menjelang pelantikan Encik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020. Sepanjang kempen PRU 15, isu kaum dan agama akan terus diutarakan namun dengan hasil yang berbeza.
Tiada satu-satu kumpulan kaum atau agama yang mampu mentadbir Malaysia dengan berdiri atas kaki sendiri tanpa bergabung dengan parti lain. Barisan Nasional (BN), yang terbentuk menyusuli peluasan Parti Perikatan, diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India.

Dalam pilihan raya kali ini, cabaran terbesar bagi UMNO adalah untuk menghuraikan perpecahan undi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar-bandar. Pilihan raya lalu menunjukkan para pengundi Melayu di kawasan bandar secara umumnya cenderung menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang proreformasi, seperti di Selangor dan Perak.
Benteng sokongan UMNO lebih berteraskan pengundi Melayu di kawasan luar bandar berbanding pengundi Melayu di kawasan bandar. Taktik membangkitkan isu kaum dan agama semata-mata tidak akan dapat membantu UMNO menambat hati para pengundi Melayu di kawasan bandar.
Isu kaum dan agama dipergunakan dari semasa ke semasa dalam tahun-tahun kebelakangan ini bergantung kepada keperluan politik pada masa berkenaan. Semasa PRU14, parti politik tidak menyebut-nyebut isu kaum dan agama kerana perhatian awam pada ketika itu tertumpu kepada skandal 1MDB. UMNO berkempen dengan mengambil pendekatan defensif kerana skandal tersebut menjejas kewibawaan UMNO sebagai pelindung kaum Melayu.
Langkah Pakatan Harapan (PH) menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri memainkan peranan penting dalam memperlekehkan kedudukan UMNO sebagai pejuang kaum Melayu kerana nama tokoh politik veteran tersebut sinonim dengan perjuangan Melayu.
Orang Melayu masih mengenangkan peranannya dalam membangunkan negara dan meningkatkan mutu kehidupan kebanyakan orang Melayu sepanjang 22 tahun beliau berkhidmat sebagai perdana menteri antara 1981-2003. Orang Melayu juga menyanjung beliau sebagai penyambung lidah dunia Islam, kerana berani bersuara untuk mempertahankan nasib umat Islam di Palestin dan Bosnia, dan mengambil sikap anti-Barat, dan anti-Israel.

Selepas menyandang jawatan perdana menteri pada Ogos 2021, Encik Ismail Sabri Yaakob mencuba untuk beralih ke naratif Keluarga Malaysia yang lebih inklusif. Sungguhpun demikian kerajaannya terdiri daripada ahli-ahli parlimen yang menyokong perjuangan Melayu/Islam Encik Muhyiddin.

Setakat ini, pesaing UMNO sejak sekian lama, Parti Islam SeMalaysia (PAS), tidak mampu mencabar keunggulan UMNO sebagai pejuang kepentingan Melayu/Islam kecuali di Kelantan, Terengganu, dan Kedah. UMNO juga berhasil menampilkan parti itu sebagai pejuang umat Islam yang lebih progresif daripada PAS.
Setiap kali sokongan terhadap UMNO merosot, ia akan mendekati PAS dengan berjanji untuk memperkasa hukum Syariah di negara itu. Menyusuli kekalahan dalam PRU14, UMNO menandatangani pakatan dengan PAS untuk menubuhkan Muafakat Nasional (MN). Kerjasama itu digantung secara tidak rasmi buat masa ini tetapi kemunculan kedua-dua parti Melayu/Islam dalam rangka pakatan itu mungkin berlaku lagi sekiranya UMNO mencatat prestasi teruk dalam PRU15.

Sekiranya parti-parti tersebut diletakkan pada satu spektrum, GTA pimpinan Dr Mahathir kelihatan berada di sayap paling kanan kerana gabungan itu tidak melibatkan mana-mana parti bukan Melayu.
PN terletak di antara BN dengan GTA. Parti-parti komponen PN, iaitu Bersatu dan PAS memainkan peranan sebagai parti-parti teraju Melayu/Islam, manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia membentuk komponen berbilang kaum. BN kekal sebagai gabungan yang paling berbilang kaum di antara ketiga-tiga gabungan tersebut.
Kehadiran tiga gabungan berteraskan Melayu yang berentap antara satu sama lain mungkin akan melemahkan teras pengundi Melayu. Tindakan UMNO di Tanjung Piai, iaitu untuk mengutarakan isu kaum, tidak akan diulangi semasa PRU15 memandangkan tiada satu pun daripada tiga gabungan tersebut yang boleh mendakwa diri sebagai pejuang tunggal kepentingan Melayu.

Keadaannya sudah berubah berbanding PRU14. PH kini menegakkan perjuangan politik berbilang kaum secara mutlak kerana ia tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu – parti Melayu sepenuhnya – dalam gabungannya. Calon perdana menteri PH Anwar Ibrahim menolak tawaran Dr Mahathir untuk bekerjasama sambil menegaskan PH menegaskan prinsip dan bukan politik pragmatik semata-mata.
Bagi gabungan-gabungan parti berasaskan kaum Melayu, BN (terutamanya UMNO) akan mengetengahkan sejarah perjuangan masing-masing untuk membangunkan Malaysia, menegakkan ketuanan Melayu, dan menggembar-gemburkan kegagalan PH selama 22 bulan ia memerintah Malaysia.
PN mungkin akan menampilkan keupayaannya untuk menyatukan orang Melayu nasionalis dan konservatif, dan mendakwa UMNO gagal dalam eksperimen MN. PN juga akan memburuk-burukkan UMNO dari segi kegagalannya untuk membendung amalan rasuah.

Ada juga kemungkinan para pengundi memandang enteng terhadap politik identiti, dan sebaliknya lebih mengutamakan isu-isu yang menjejas kehidupan seharian. Bagi pengundi Melayu yang masih mengutamakan isu kaum dan agama, mereka perlu membuat keputusan untuk memilih salah sebuah daripada tiga gabungan parti yang dapat mewakili kepentingan mereka. Walau bagaimanapun, undi Melayu/Islam nampaknya akan berpecah tiga.
*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Identity Politics Might Undermine Malay/Muslim Unity”.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.