Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pilihan calon presiden PDI-P bakal mencorak gabungan parti seterusnya

Perbalahan antara barisan anggota Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) untuk menentukan calon Pilihan Raya Presiden 2024 akan mendatangkan kesan meluas terhadap perikatan-perikatan politik yang akan dijalin kemudian.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pilihan calon presiden PDI-P bakal mencorak gabungan parti seterusnya

Puan Maharani & Ganjar Pranowo. (Gambar-gambar: AFP/Adek Berry & Facebook/Ganjar Pranowo)

BERITAmediacorp: Perbalahan antara barisan anggota Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) untuk menentukan calon Pilihan Raya Presiden 2024 akan mendatangkan kesan meluas terhadap perikatan-perikatan politik yang akan dijalin kemudian.

Parti utama dalam pemerintah gabungan Indonesia, Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) terbelah kepada dua puak bertentangan buat masa ini. Puan Maharani, waris kepada pengasas parti Megawati Sukarnoputri yang juga cucu presiden pengasas Indonesia Sukarno, menerajui puak pertama. Sesetengah anggota parti bertegas bahawa hanya mereka yang mempunyai ikatan darah dengan Sukarno wajar memimpin PDI-P.

Puak kedua pula diterajui Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo, iaitu pesaing utama Puan Maharani, kerana beliau popular, pintar dalam percaturan politik dan mahir berkomunikasi. Kemunculannya di persada politik nasional seakan-akan seperti kemenangan Presiden Joko Widodo (Jokowi) semasa Pilihan Raya 2014.

KATA PUTUS MEGAWATI

Hanya Megawati selaku Ketua Umum PDI-P yang mampu merapatkan barisan dalam parti. Namun beliau terpaksa membuat keputusan antara anak perempuannya sendiri - yang juga merupakan calon pilihan peribadi - dengan Ganjar. Kelemahan Ganjar adalah kedudukannya dalam parti sebagai orang luar.

Mantan presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri (kiri) bersama anak perempuannya, Puan Maharani. (Gambar: AFP)

(Mantan presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri (kiri) bersama anak perempuannya, Puan Maharani. Gambar: AFP)

Sungguhpun demikian, sama ada kedua-dua puak itu akan akhirnya menamakan calon bergantung kepada keputusan Presiden Jokowi sama ada beliau akan bertanding bagi penggal ketiga, jika dibenarkan. Buat masa ini, Undang-Undang Dasar (UUD) Indonesia menghadkan tempoh jawatan presiden kepada dua penggal selama lima tahun setiap satu. Namun terdapat spekulasi meluas bahawa UUD akan dipinda untuk memansuhkan had itu.

Megawati, yang bersikap pragmatik, besar kemungkinan akan memilih calon terbaik untuk melanjutkan siri kemenangan PDI-P dalam Pilihan Raya Presiden dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sejak 2014. Pada 2014, Megawati tidak memilih dirinya sebagai calon presiden dan sebaliknya memberi laluan kepada Jokowi setelah mengakui bahawa beliau tidak mungkin boleh menang.

Namun Megawati terus memegang pengaruh luas di Indonesia yang bahkan, seperti yang didakwa sesetengah pihak, menjangkaui pengaruh presiden. Pada Mei, Jokowi melantik Megawati sebagai Ketua Dewan Pengarah Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN).

Calon presiden Indonesia, Gabenor Jakarta Joko Widodo, bersama mantan presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri, yang juga pemimpin PDI-P. (Gambar: AFP)

(Calon presiden Indonesia, Gabenor Jakarta Joko Widodo, bersama mantan presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri, yang juga pemimpin PDI-P. Gambar: AFP)

Pilihan Megawati sebagai calon presiden PDI-P akhirnya bergantung kepada pertimbangan parti-parti lain pada 2014. Memandangkan hanya PDI-P memegang jumlah ambang 20 peratus kerusi parlimen yang diperlukan untuk menamakan calon presiden tersendiri, parti-parti lain mesti menantikan pilihan PDI-P sebelum mengatur kedudukan masing-masing dalam Pilihan Raya Presiden.

Tinjauan terbaru menunjukkan Puan Maharani masih tidak menjadi pilihan ramai meskipun beliau sudah menjalankan kempen besar-besaran untuk meningkatkan popularitinya. Papan-papan iklan dan kain rentang dipasang di merata Indonesia untuk menguar-uarkan namanya dan menampilkan gambar-gambarnya di samping Megawati dan Sukarno.

Salah satu pilihan bagi Megawati adalah untuk mencalonkan Puan Maharani sebagai calon wakil presiden kepada Prabowo Subianto. Namun gandingan itu tidak semestinya menjamin kemenangan. Prabowo masih mendahului beberapa tinjauan tetapi imejnya sudah terpalit dengan kekalahan selepas dua kali kecundang dalam Pilihan Raya Presiden. Gabungan PDI-P-Gerindra juga tidak popular di peringkat akar umbi PDI-P kerana ia bermakna parti itu akan menjadi ‘adik bongsu’ kepada Gerindra.

Sebaliknya Ganjar terus mendahului Puan Maharani dalam tinjauan-tinjauan yang diyakini. Jika trend itu berlanjutan hingga akhir 2022, Megawati mungkin tidak mempunyai pilihan selain untuk memilih Ganjar.

PERCATURAN ANTARA PARTI

Apakah tindakan yang akan diambil parti-parti lain sekiranya PDI-P memilih Ganjar sebagai calon presiden?

Sekiranya Megawati mencalonkan Ganjar, Pilihan Raya Presiden seterusnya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Prabowo sebagai pemimpin Gerindra akan menjadi pesaing utama PDI-P.

Encik Prabowo Subianto. (Gambar: Facebook/Prabowo Subianto)

(Prabowo Subianto. Gambar: Prabowo Subianto/Facebook)

Sungguhpun Prabowo mempunyai peluang kemenangan yang agak tipis, Prabowo masih menaruh harapan untuk bertanding sekalipun buat kali ketiga berturut-turut.

Dari sudut pandangan parti, Gerindra bergantung kepada pencalonan Prabowo untuk meraih lebih banyak kerusi DPR. Jika beliau enggan bertanding, Gerindra mungkin kehilangan undi bagi Pilihan Raya DPR. Buat masa ini, Gerindra tidak memegang jumlah kerusi yang mencukupi untuk mencalonkan Prabowo. Ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya sebuah lagi parti agar dapat menamakan calon sendiri.

‘KUDA HITAM’ NASDEM

Seorang lagi ‘kuda hitam’ dalam Pilihan Raya Presiden 2024 adalah Gabenor Jakarta Anies Baswedan yang merupakan antara tiga calon yang meraih sokongan tertinggi menurut tinjauan. Dengan meraih sokongan 15.5 peratus dalam tinjauan Ogos 2021, gabungan parti NasDem-Partai Keadilan Sejahtera (PKS)-Parti Amanah Nasional (PAN) mungkin mengutarakan Anies sebagai calon presiden.

Bakal Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dikelilingi para wartawan. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Ini memandangkan Anies adalah deklarator gerakan besar-besaran Nasional Demokrat yang menyediakan teras politik bagi penubuhan parti NasDem. Anies besar kemungkinan akan menjadi pilihan NasDem.

Menurut dapatan pelbagai tinjauan, tiada seorang pun calon presiden yang diramal akan memenang majoriti mutlak dalam Pilihan Raya Presiden 2024. Ini bermakna pilihan raya itu akan dilanjutkan sehingga pusingan kedua. Sekiranya Anies berhasil mengatasi Ganjar dalam pusingan awal, Anies lebih besar kemungkinan akan menjadi pilihan para penyokong Prabowo.

DALANG ANTARA GOLKAR-DEMOKRAT-PKB

Kita juga tidak sepatutnya terlepas pandang peranan ‘kingmaker’ atau dalang-dalang politik dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden seterusnya.

Golkar, Partai Demokrat dan Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) mempunyai gabungan kerusi yang mencukupi untuk menamakan calon presiden. Satu-satunya kelemahan: mereka tidak mampu mengutarakan calon yang meraih sokongan kukuh buat masa ini.

Pengerusi Golkar Airlangga Hartarto. (Gambar: AFP)

(Pengerusi Golkar Airlangga Hartarto. Gambar: AFP)

Golkar adalah parti yang kedua terbesar dalam DPR tetapi ia tidak mampu memilih calon yang diyakini kerana dibelenggu pertelingkahan dalam parti. Pengerusi Golkar Airlangga Hartarto yang mempunyai kepopularan tidak seberapa, lebih dianggap sebagai seorang teknokrat daripada ahli politik.

Tinjauan menunjukkan Pengerusi Partai Demokrat Agus Harimurti Yudhoyono dan Pengerusi PKB Muhaimin Iskandar juga tidak banyak meraih sokongan. Lantaran itu, ada kemungkinan parti-parti itu akan berebut untuk memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ atau dalang untuk menyusun gabungan parti untuk meraih kemenangan. Hala tuju Golkar, Partai Demokrat dan PKB dalam percaturan politik antara mereka akan amat dipengaruhi oleh kewibawaan ketiga-tiga calon Pilihan Raya Presiden.

Presiden Joko Widodo berucap di Istana Merdeka Jakarta pada 5 Feb 2021. (Gambar: Biro Media Sekretariat Presiden/Lukas)

Peranan Jokowi sebagai dalang politik yang berpengaruh juga tidak boleh ditolak begitu saja meskipun perhatian tertumpu kepada pengaruh Megawati.

Jika Jokowi dapat terus mengekalkan sokongan dan popularitinya, beliau juga boleh menentukan corak gabungan parti pada 2024. Malah, Jokowi juga boleh mengusulkan pilihannya bagi calon jawatan presiden dan wakil presiden.

(Gambar: Instagram/@burhanuddinmuhtadi)

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan