Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perubahan dasar dan sikap mungkin dapat bantu mencegah penderaan pembantu rumah hijrahan

Di sebalik kes-kes dera pembantu rumah hijrahan kebelakangan ini, banyak faktor mungkin menyumbang kepada peningkatan kes-kes sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Perubahan dasar dan sikap mungkin dapat bantu mencegah penderaan pembantu rumah hijrahan

Gambar hiasan: Anam Musta’ein/TODAY

Diterbitkan : 11 Jul 2021 09:13PM Dikemas Kini : 11 Jul 2021 09:59PM

BERITAmediacorp: Di sebalik kes-kes dera pembantu rumah hijrahan kebelakangan ini, banyak faktor mungkin menyumbang kepada peningkatan kes-kes sedemikian.

Pertama, meskipun undang-undang dan penguatkuasaannya sudah dipertingkatkan, sikap para pembantu rumah hijrahan yang lebih cenderung berdiam diri – kerana sangat bimbang akan dihantar pulang ke negara asal mereka dengan tangan kosong – hanya akan menghambat usaha pihak berkuasa untuk mengheret para penganiaya ke muka pengadilan dan melindungi kesejahteraan dan keselamatan para pembantu rumah itu sendiri.

Kedua, tidak seperti pekerja-pekerja lain, para pembantu rumah hijrahan – termasuk mereka yang didera – mungkin tidak dapat meloloskan diri daripada cengkaman majikan meskipun sudah tamat kontrak.

Ketiga, majikan yang bertindak ganas dan keterlaluan mungkin berbuat demikian kerana dihimpit tekanan hidup dan melepaskan apa saja yang dilalui mereka dengan bertindak kasar terhadap golongan pekerja ini.

Mangsa Piang Ngaih Don dan tertuduh Gaiyathiri Murugayan. (Gambar: Facebook/Helping Hands for Migrant Workers, Singapore dan Nisha Karyn)

Mangsa Piang Ngaih Don dan tertuduh Gaiyathiri Murugayan. (Gambar: Facebook/Helping Hands for Migrant Workers, Singapore dan Nisha Karyn)

Meskipun kes-kes penderaan pembantu rumah hijrahan kebelakangan ini telah mencetuskan keprihatinan masyarakat umum – dengan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam turut mengecam perbuatan seumpama itu dalam kes kematian pembantu rumah Piang Ngaih Don dan menyifatkannya sebagai “kekejaman” yang “mengejutkan” – kes-kes seperti itu dikhuatiri akan bertambah buruk di tengah-tengah pandemik COVID-19.

UNDANG-UNDANG DIPERKETATKAN

Sejak sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu, perlindungan bagi pembantu rumah sudah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan para penggubal undang-undang. Keprihatinan itu turut mendorong pihak berkuasa untuk meminda Kanun Jenayah pada 1998 yang berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

Para majikan atau anggota keluarga mereka yang melakukan kesalahan terhadap pembantu rumah boleh dikenakan hukuman sehingga satu setengah kali lebih berat.

Langkah sedemikian bertunjangkan prinsip pencegahan (deterrence) semasa menjatuhkan hukuman: hukuman lebih berat sepatutnya bertindak sebagai langkah pencegahan terhadap mereka yang berhasrat untuk melakukan jenayah.

Namun pada hakikatnya, hukuman penjara yang lebih berat seolah-olah tidak berhasil untuk mencegah penganiayaan oleh majikan terhadap pembantu rumah mereka.

Sebelum pelaku boleh diheret ke muka pengadilan, perbuatannya itu perlulah dikesan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Pintu masuk Mahkamah Agung di Singapura.

Gambar fail pintu masuk Mahkamah Agung di Singapura.

Malangnya bagi kebanyakan kes dera pembantu rumah, mangsanya mungkin setakat berdiam diri – mungkin kerana ketakutan dan seperti apa yang berlaku dalam kes mendiang Cik Piang di mana komunikasi dengan dunia luar disekat oleh majikannya dengan mangsa dikurung atau dirampas telefon bimbitnya.

Yang membimbangkan lagi, menurut catatan Facebook Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo (pada ketika itu) pada Februari lalu, Cik Piang menjalani pemeriksaan kesihatan dan bercakap dengan agensi pembantu rumah sebanyak sekurang-kurangnya dua kali. Tanda-tanda gangguan, kata Cik Teo, tidak dikesan sama sekali.

PENGUATKUASAAN DIPERTINGKAT

Menyusuli liputan media mengenai penganiayaan Cik Piang, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan semakan pada sistem laporan bagi doktor-doktor yang menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas para pembantu rumah setiap enam bulan.

MOM pada Mei 2021 turut memperluaskan usaha memantau kebajikan para pembantu rumah hijrahan dengan melakukan lawatan rambang ke rumah majikan untuk memeriksa persekitaran kerja dan kehidupan mereka. MOM merancang untuk mengunjungi 200 rumah yang dipilih secara rambang setiap bulan.

(Gambar: Ang Hwee Min) 

(Gambar: Ang Hwee Min) 

Pengerusi Pusat Pembantu Rumah Hijrahan (CDE) Yeo Guat Kwang mengalu-alukan langkah terbaru itu kerana ia akan membantu untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penganiayaan atau tekanan yang dialami oleh pembantu rumah hijrahan, selain menasihatkan mereka supaya mendapatkan bantuan melalui wadah-wadah yang disediakan.

Mengulas tentang manfaat pemeriksaan secara bertemu muka, jurucakap Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Migrasi (HOME) memberitahu Mediacorp bahawa ada baiknya jika pekerja berkenaan disoal tanpa kehadiran majikannya supaya mereka berasa lebih selamat untuk mengadu tentang sebarang penganiayaan, eksploitasi atau isu-isu kebajikan.

Menurut pegawai MOM, para majikan tidak akan disekat untuk mendengar perbualan antara pembantunya dengan pegawai penguat kuasa, namun mereka tidak dibenarkan masuk campur.

Sekiranya kehadiran majikan mengganggu pembantu rumah ketika ditemu bual, pegawai MOM boleh meminta majikan supaya mengundurkan diri atau meminta pekerja berkenaan untuk keluar rumah supaya dapat berbicara dengan pegawai MOM secara terbuka.

Namun bagi mana-mana langkah penguatkuasaan yang diambil, sudah tentu ada batasnya.

Sebagai permulaan MOM menyasarkan untuk mendampingi kesemua pembantu rumah yang baru tiba di negara ini menjelang hujung tahun ini, dengan menemu bual sekitar 2,000 amah sebulan.

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Menurut Pengarah Eksekutif CDE Shamsul Kamar yang menukil perangkaan MOM, secara purata jumlah pembantu rumah yang bekerja di Singapura antara 2017 hingga 2020 adalah sekitar 250,000 orang setiap tahun. CDE ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membantu golongan pekerja ini.

Seperti yang dikatakan oleh jurucakap HOME, langkah sedemikian akan benar-benar mendatangkan perubahan jika pemeriksaan dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh kontrak pembantu rumah. Ini memandangkan kes-kes penganiayaan biasanya bermula dengan perbuatan yang secara bertahap-tahap menjadi bertambah ganas atau zalim sepanjang tempoh selama bertahun-tahun.

BERAT MULUT, BADAN BINASA

Para pembantu rumah yang tidak bergaul di luar persekitaran kerja mereka adalah mereka yang paling mudah terdedah kepada penderaan, menurut kebanyakan NGO dan agensi pembantu rumah yang ditinjau bagi rencana Mediacorp ini.

Faktor-faktor lain termasuk kurang fasih berbahasa Inggeris dan tidak berupaya merundingkan syarat-syarat kontrak untuk menjamin keadaan hidup yang lebih baik.

Pembantu rumah Cik Nawlukha, 36 tahun, berkongsi dengan Mediacorp bahawa rakan-rakannya dari Myanmar “takut untuk melawan cakap majikan” dan ramai “tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris”.

Cik Nawlukha, 36 tahun, berkata rakan-rakannya dari Myanmar “takut untuk melawan cakap majikan”. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Cik Nawlukha, 36 tahun, berkata rakan-rakannya dari Myanmar “takut untuk melawan cakap majikan”. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Beliau menambah, ramai pembantu rumah berasa keberatan untuk meminta bantuan daripada MOM kerana khuatir akan menimbulkan “masalah besar” dan tidak mahu dihantar pulang ketika negara asal mereka masih dibelenggu krisis politik.

Ada pula sesetengah pembantu rumah lain yang setakat berdiam diri kerana tidak mahu menyusahkan rakan-rakan atau keluarga mereka sendiri.

Kecenderungan sesetengah pembantu rumah untuk setakat berdiam diri sungguhpun dilanda kesulitan mungkin menghambat usaha pemerintah dan badan-badan bukan pemerintah untuk mendampingi para pembantu rumah menerusi pelbagai wadah sedia ada seperti temu bual dengan MOM atau talian-talian bantuan bagi para pembantu rumah hijrahan.

TERPERANGKAP DALAM CENGKAMAN MAJIKAN

Para pembantu rumah hijrahan sangat mudah terdedah kepada penganiayaan kerana mereka tidak berdaya ‘melawan’. Ada yang terkongkong kerana tidak diberi cuti dan kurang berhubungan dengan dunia luar.

Semua pembantu rumah hijrahan juga tertakluk kepada syarat-syarat permit kerja yang mengikat mereka selama dua tahun dengan seseorang majikan yang boleh menamatkan kontrak dan menghantar mereka pulang menurut kehendak mereka.

Encik John Gee, mantan presiden Transient Workers Count Too (TWC2) menyifatkan syarat-syarat itu sebagai satu “senjata” untuk memaksa pembantu rumah supaya mematuhi segala kehendak majikan mereka.

Gambar fail: Ooi Boon Keong/TODAY

(Gambar fail: Ooi Boon Keong/TODAY)

Sekiranya seseorang pembantu rumah berhasrat untuk berpindah ke majikan lain, Pengarah Eksekutif CDE Shamsul Kamar mengusulkan agar syarat untuk mendapatkan keizinan majikan terlebih dahulu sebelum dibenarkan berpindah ke majikan lain digugurkan bagi para pembantu rumah yang sudah menamatkan tempoh kontrak mereka.

Sungguhpun sesetengah agensi pembantu rumah menyuarakan kekhuatiran tentang sesetengah pembantu rumah yang mungkin lebih cerewet mencari majikan, pokoknya tiada alasan yang munasabah mengapa para pembantu rumah tidak diberikan layanan yang sama seperti pekerja lain.

Sukar untuk menyifatkan seseorang pembantu rumah sebagai terlalu ‘cerewet’ jika kita mengambil kira bahawa mereka sudahpun terikat selama sekurang-kurangnya dua tahun dengan majikan mereka – baik dengan yang berhati perut mahupun yang zalim.

NALURI MAJIKAN

Selain batas penguatkuasaan dan naluri pekerja hijrahan yang begitu bimbang kehilangan mata pencarian, satu lagi masalah yang sangat sukar diatasi adalah sikap sesetengah majikan yang tergamak mendera amah mereka.

Para majikan yang menganiaya pembantu rumah mereka mungkin didorong oleh “sikap yang mahu menguasai orang lain,” menurut pakar-pakar psikologi dan psikiatrik yang ditemui Mediacorp.

Menurut Praveen Nair, pakar psikologi di Raven Counselling & Consultancy, seseorang penganiaya mungkin mengalami masalah kurang keyakinan diri dan mungkin juga masalah harga diri yang rendah.

Gambar hiasan: Unsplash

(Gambar hiasan: Unsplash)

Apabila seseorang penganiaya tidak dapat melepaskan geramnya terhadap punca tekanan seperti bos atau anggota keluarga, mereka akhirnya melepaskan kemarahan itu terhadap orang lain yang mungkin menjadi sasaran mereka – seperti pembantu rumah mereka.

Menurut para pakar psikologi, ketidaktentuan dari segi penyaraan hidup dan rutin serta kebimbangan dijangkiti koronavirus mewujudkan persekitaran yang serba berbahaya dan meningkatkan lagi tekanan emosi.

Sekitar 91 peratus rakyat Singapura yang ditinjau AIA pada Mac 2021 berkata bahawa pandemik COVID-19 menjejas kesejahteraan mental mereka sepanjang tahun lalu.

Namun tekanan hidup tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan yang mewajarkan tindakan mereka mendera orang lain – baik bagi pihak majikan mahupun para pembantu rumah yang tertekan bekerja dalam persekitaran sedemikian di rumah majikan mereka.

RENUNGKANLAH & BERMUHASABAH

Seorang ahli psikologi klinikal yang ditemui Mediacorp mencadangkan supaya para majikan meluangkan masa untuk mengenali isi hati pembantu rumah mereka demi menghindarkan keadaan yang tidak diingini.

Mereka juga tidak sepatutnya memperlakukan pembantu rumah mereka sebagai sasaran untuk melepaskan kekecewaan atau kemarahan mereka.

Namun saranan sedemikian bergantung kepada kesedaran dan sikap ihsan para majikan yang kadangkala bertindak kurang rasional tanpa disedari dirinya sendiri.

Gambar fail jemuran digantung di luar flat HDB.

Selain mengusulkan semakan pada syarat mendapatkan izin majikan sebelum dibenarkan berpindah ke majikan lain sebaik saja kontrak tamat, orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing untuk membantu menangani dua punca ‘naluri’ di sebalik penderaan amah.

Pertama, sedang lebih ramai keluarga berasa tertekan akibat ketidaktentuan pandemik, sikap prihatin terhadap nasib anggota keluarga, jiran tetangga atau kenalan mungkin boleh membantu untuk menghuraikan masalah-masalah yang dihadapi.

Kedua, kita boleh membantu dengan memberikan suara kepada para pembantu rumah yang menghadapi kesulitan dengan menjadi orang tengah dengan majikannya atau – bagi kes-kes menggenting – melaporkan perbuatan majikan itu.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak mahu ‘menjaga tepi kain’ orang lain.

Namun tanpa kita menyedari, langkah-langkah mudah seperti bertegur sapa dan bertanya khabar – dengan jiran tetangga mahupun pembantu rumah mereka – mungkin menjadi soal hidup dan mati bagi seseorang yang mungkin bergelar ibu, anak dan isteri yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka semata-mata untuk menyara hidup orang-orang tersayang.

Komentar ini adalah rumusan rencana TODAY yang pertama kali diterbitkan pada 8 Mei 2021. 

Sumber : Today/BERITAmediacorp/ZM/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa