Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perpaduan masyarakat penting dalam tangani isu gangguan bekalan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Wabak COVID-19 yang melanda masyarakat kita memburukkan lagi masalah sedia ada, antaranya ketidakamanan makanan.

Ketidakamanan makanan berlaku apabila kehidupan seseorang itu sudah berada dalam keadaan berbahaya akibat kekurangan makanan yang berkhasiat.


Pendek kata, ia juga boleh digelar sebagai kebuluran ataupun kelaparan tersembunyi. Walaupun masalah ketidakamanan makanan bukan isu yang baru, peningkatan pada masalah sosial ini amat membimbangkan terutama sekali ketika fasa darurat COVID-19.

Misalnya, dalam masa sepuluh hari sahaja setelah pemerintah mengumumkan pelaksanaan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020, jumlah rakyat yang memerlukan bantuan berupa bekalan makanan dari badan kebajikan seperti Free Food For All (FFFA) meningkat dari 300 hingga 1,700.
(Gambar: Free Food For All)
Kekurangan mikronutrien yang penting boleh menimbulkan kesan jangka panjang yang negatif terhadap kesihatan termasuk tumbesaran terbantut, perkembangan kognitif dan lemah sistem imun. Isu kelaparan bukan sahaja menjejas orang yang berpendapatan rendah secara ketara, malah isu ini juga mengancam produktiviti dan pembangunan sosioekonomi negara.

Hal ini benar sekali untuk negara-negara kecil seperti Singapura yang kekurangan sumber semula jadi dan amat bergantung kepada tenaga dan sumbangan rakyatnya. Memandangkan rakyat adalah aset terpenting bagi tanah air kita, isu ini tidak boleh diambil ringan.

Inisiatif Sedia Ada Bagi Menangani
Ketidakamanan Makanan


Baru-baru ini, pelbagai inisiatif yang inovatif telah dilancarkan dalam usaha untuk menguatkan lagi ekosistem makanan kita. Sebagai contoh, dasar pemerintah seperti “30 by 30” telah menetapkan sasaran untuk menghasilkan 30 peratus keperluan makanan tempatan menjelang 2030.

Dengan menggunakan hasil teknologi-teknologi canggih dan baru, program-program seperti “urban farming” dan “fish farm” dapat memastikan hasil tumbuhan tempatan kita dapat dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan penduduk kita yang semakin meningkat. Malah, dengan sumbangan wang sebanyak $780,000 daripada syarikat-syarikat ternama seperti Temasek Holdings, badan-badan amal termasuk FFFA mampu menghasilkan 300,000 hidangan buat 2,750 individu yang terjejas oleh COVID-19.

Tambahan pula, FFFA telahpun menghasilkan “Ready-To-Eat meal pouches” bagi para penduduk yang memerlukan bantuan. Kandungan bungkusan-bungkusan makanan ini berkhasiat, mudah dimakan mahupun disediakan. Sajian sedia makan ini juga berguna untuk golongan-golongan berpendapatan rendah yang tidak mahir ataupun tidak mempunyai masa untuk masak dan menyediakan makanan sendiri.

Ketidakamanan Makanan dan Kelaparan: Realiti Yang Kompleks

Walaubagaimanapun, usaha-usaha ini boleh diperbaiki untuk menangani masalah ketidakamanan makanan dengan lebih berkesan. Ramai dalam kalangan masyarakat yang masih beranggapan bahawa kekurangan bekalan makanan dan dana adalah masalah utama dalam isu ketidakamanan makanan.

Oleh itu, lebih banyak perhatian telah diberikan kepada proses pengagihan makanan dan wang tanpa memahami realiti kehidupan orang yang ingin dibantu. Tidak semestinya apa yang kita berikan itu dapat menepati keperluan sebenar mereka. Selain itu, isu-isu sistemik kekal wujud akibat ideologi individualisme dan berdikari yang asyik diterapkan dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya, budaya pemikiran seperti ini boleh memudaratkan usaha-usaha kita untuk membantu masyarakat yang terjejas oleh ketidakamanan makanan.

Jadi apakah faktor-faktor yang merumitkan isu ketidakamanan makanan dalam konteks harian untuk golongan ini?

Pertama, isu kekurangan ilmu memasak hidangan yang berkhasiat dan serasi dengan keperluan pemakanan seseorang. Berdasarkan pengalaman saya membuat kajian di kawasan estet perumahan sewa, ramai penduduk yang saya jumpa mempunyai semangat ingin memasak tetapi tidak tahu tentang cara-cara memasak, apatah lagi memasak makanan sihat.

Hal ini serius kerana bukan semua makanan yang didermakan datang dalam bentuk makanan dalam tin dan lauk-pauk.

Malah, sejak berlakunya COVID-19, banyak organisasi seperti RedMart telah menyumbang sumber-sumber makanan dalam bentuk sayur-sayuran seperti bayam, qing long cai dan choy sum. Makanan-makanan ini jarang dimakan begitu sahaja. Ia sering kali perlu disediakan dengan teknik-teknik tertentu dan dicampurkan dengan bahan-bahan lain sebelum ia boleh menjadi hidangan lazat.
Petikan gambar laman RedMart.


Walau bagaimanapun, proses menyediakan hidangan sering memerlukan masa, tenaga, kebolehan dan keyakinan diri. Bagi orang-orang yang tidak begitu mahir dalam bidang masakan, proses ini boleh menambahkan lagi tekanan mental dan fizikal.

Kesulitan hal ini bertambah ketara bagi isi rumah yang terdiri daripada anggota-anggota seperti anak muda, warga emas ataupun pesakit-pesakit kronik yang memerlukan diet yang lebih khusus.

Tanpa ilmu dan bimbingan memasak, sebilangan penduduk yang terjejas dengan ketidakamanan makanan tidak dapat menyediakan hidangan yang berkhasiat dan bersesuaian dengan keperluan diet para penghuni rumah walaupun mereka sudah menerima sumbangan derma makanan.

Kadangkala ada pula yang terpaksa mengambil jalan mudah dan menggunakan makanan segera seperti snek ringan dan mi segera sebagai diet seharian mereka. Tabiat ini bukan sekadar mengancam kesihatan para penduduk, malah ia boleh menyebabkan pembaziran sumber derma daripada pihak awam kerana tidak digunakan dengan sebaik mungkin.

Kedua, ramai penduduk yang menghadapi ketidakamanan makanan terdiri daripada golongan warga emas.

Walaupun ada ramai yang tinggal bersama keluarga, ada juga yang terpaksa tinggal bersendirian buat masa yang lama apabila anak-anak mereka keluar bekerja. Hal seperti ini merumitkan isu ketidakamanan makanan kerana terdapat golongan warga emas yang tidak bertenaga untuk memasak ataupun mengambil makanan derma di kolong blok.

Tambahan pula, warga emas yang tidak cekap dengan penggunaan telefon bimbit adakalanya terlepas daripada maklumat terkini mengenai pengambilan makanan yang disampaikan secara sistem khidmat pesanan ringkas. Justeru, mereka akan ketinggalan daripada mendapat makanan-makanan derma. Disebabkan oleh faktor-faktor sebegini, ramai yang menahan lapar dan menantikan anak-anak mereka pulang dari kerja untuk menyediakan hidangan mereka.

Proses ini bukan sahaja meletihkan bagi para penduduk yang sudah lanjut usia, malah ia mampu mengancam kesihatan mereka.

Akhirnya, masalah kelaparan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lanjut usia. Malah, terdapat golongan penduduk yang malangnya tidak mempunyai perkakas dapur seperti peti ais dan ketuhar gelombang mikro yang berfungsi. Masalah yang sama turut dilaporkan di dalam dokumentari CNA berjudul “Going Hungry in Singapore, A Cheap Food Paradise” di mana terdapat keluarga yang tidak mempunyai peralatan yang betul untuk membuka tin-tin makanan yang didermakan.

Tanpa peralatan asas ini, keupayaan untuk menggunakan bahan-bahan dan menyediakan lauk santapan menjadi terhad. Makanan-makanan yang diderma juga tidak dapat membawa manfaat kepada golongan miskin.

Wira Dalam Masyarakat

Secara keseluruhannya, masalah-masalah yang diutarakan tadi adalah satu peringatan bahawa ancaman terbesar yang boleh memburukkan ketidakamanan makanan adalah pemutusan hubungan sosial.

Pemutusan hubungan sosial boleh difahami sebagai kekurangan hubungan secara sosial, emosi dan fizikal dengan orang lain dan dikait rapat dengan pengasingan sosial dan kesunyian.

Fenomena ini akan mengurangkan sumber bantuan bagi mereka yang memerlukan. Hal ini merupakan satu isu yang membimbangkan dalam masa terdekat memandangkan sudah menjadi satu kebiasaan untuk hidup bersendirian dan terasing daripada masyarakat akibat langkah-langkah pengurusan selamat untuk COVID-19 sepanjang lebih dua tahun kebelakangan ini. Keadaaan juga bertambah ketara memandangkan trend penduduk yang menua dan dengan lebih ramai warga emas yang tinggal sendirian.

Seperti yang diketengahkan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, amat penting untuk kita melabur dalam keupayaan dan pembangunan pemimpin akar umbi kita demi mencapai kemajuan masyarakat.

Di sini, saya ingin mengembangkan lagi idea Encik Masagos dengan menggunakan pengalaman saya membuat kajian di estet perumahan daerah Marsiling dan Yishun. Saya cukup beruntung dapat berganding bahu dengan individu-individu seperti Kak Rosmah dan Kak Sarah (bukan nama sebenar) yang telah membuktikan betapa pentingnya peranan akar umbi dan perpaduan masyarakat dalam menangani isu ketidakamanan makanan.

Rangkaian Yang Kukuh

Kak Rosmah dan Kak Sarah, yang berumur 40-an tahun adalah penduduk biasa. Kedua-dua wanita ini juga pernah mengalami ketidakamanan makanan.

Tetapi apa yang istimewa tentang mereka terletak kepada dedikasi dan kekerapan mereka berganding bahu dengan para penduduk lain demi kebaikan mereka. Mereka bukannya penduduk pasif yang hanya menantikan hasil sumbangan derma untuk datang bergolek. Sebaliknya, mereka juga adalah mentor dan ketua bagi blok-blok mereka. Dalam usaha mereka untuk menangani ketidakamanan makanan, mereka berjaya menubuhkan sebuah rangkaian yang kukuh, sistematik dan berkesan dalam masyarakat mereka.

Misalnya, dengan menggunakan telefon bijak, Kak Rosmah dan Kak Sarah telah memulakan sebuah kumpulan sembang di Whatsapp dalam kalangan jiran tetangga mereka. Melalui kumpulan-kumpulan sebegini, informasi dan berita mudah disebarkan di blok-blok mereka.

Inisiatif seperti ini secara tidak langsung menggalak budaya saling prihatin di mana jiran tetangga aktif berkomunikasi dan saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira budaya, agama mahupun bangsa.

Lama-kelamaan, sekumpulan sukarelawan dalam kalangan penduduk juga telah ditubuhkan. Setiap Jumaat selepas waktu bekerja dan sekolah, kumpulan sukarelawan ini akan ke kolong blok untuk membersihkan “community fridge” yang dikongsi oleh seluruh blok, mengumpul makanan derma daripada penderma dan menyusun makanan di dalam peti ais dengan rapi.

Sering kali, pihak penderma hanya akan mengirim pemandu dan kenderaan yang akan meletakkan bekalan makanan di bawah blok. Namun, kumpulan sukarelawan inilah yang bertanggungjawab untuk berurusan dengan penderma dan memastikan makanan-makanan itu diagihkan kepada para penduduk dengan adil.

Tambahan pula, sukarelawan-sukarelawan inilah yang akan menghantar makanan tersebut ke rumah warga emas yang tidak berdaya pergi ke bawah blok untuk mengambil makanan itu.

Walaupun penduduk-penduduk ini tidak dibayar untuk menyediakan perkhidmatan ini, mereka menyedari betapa pentingnya kumpulan ini dalam memastikan makanan-makanan derma terjamin dan mudah diakses oleh para penduduk secara keseluruhannya.

Kumpulan yang sama ini juga akan bekerjasama untuk mengumpul maklum balas daripada jiran tetangga tentang masalah-masalah harian mereka, termasuklah mengenai makanan-makanan yang didermakan - sebagai contoh: jikalau makanan yang diberikan tidak mencukupi, tawar atau mungkin terlalu repetitif. Apabila seseorang jiran itu mengalami sesuatu masalah ataupun berdepan dengan kecemasan, sukarelawan ini dapat merujuk situasi sedemikian kepada agensi-agensi relevan yang mampu membantu.

Malah, kumpulan sukarelawan ini juga akan memastikan golongan warga emas yang tidak cekap menggunakan telefon bijak diberikan lebih bimbingan dari semasa ke semasa agar mereka tidak terusl ketinggalan.

Malah, Kak Rosmah dan Kak Sarah amat teliti tentang kehidupan penduduk-penduduk lain. Pemahaman ini sangat penting kerana masalah kehidupan harian penduduk-penduduk sering kali penuh dengan isu-isu lain sehingga mereka terpaksa mengorbankan diet yang berkhasiat dan berkualiti.

Sebagai contoh, Kak Rosmah dan Kak Sarah tahu keluarga mana yang terdiri daripada ibu tunggal. Tanpa bantuan pasangan yang stabil, golongan ibu tunggal ini sering mempunyai lebih tanggungjawab yang perlu dipikul. Oleh itu, penduduk-penduduk seperti Kak Rosmah dan Kak Sarah bertungkus lumus meringankan beban isi rumah yang terjejas.

Misalnya, mereka akan giat berkongsi lauk-pauk mereka dengan ibu-ibu tunggal ini agar anak-anak mereka tetap mempunyai makanan di rumah apabila ibu mereka sedang sibuk bekerja.

Mereka juga tidak pernah lokek dengan masa dan ilmu mereka. Malah, kedua-dua wanita ini proaktif dalam berkongsi resipi dan ilmu memasak dengan jiran-jiran lain agar mereka lebih peka dan kreatif dalam cara mereka menggunakan bahan-bahan dapur yang disedekahkan.

Kegiatan harian seperti ini membantu menjimatkan kos perbelanjaan harian mangsa ketidakamanan makanan dan masih mampu menjamu hidangan yang lazat dan berkhasiat.

Dengan wang yang dijimatkan ini, penduduk lain pun boleh menggunakan wang tersebut bagi kos harian lain.

Selain itu, Kak Rosmah dan Kak Sarah juga tahu keluarga mana yang mempunyai warga emas yang mungkin menghidap penyakit kronik dan memerlukan bantuan tambahan untuk menampung aktiviti harian mereka.

Oleh itu, Kak Rosmah dan Kak Sarah akan memastikan bekalan makanan dari “community fridge” dihantar terus ke rumah-rumah terjejas ini agar para penduduk yang memerlukan bantuan tidak akan menderita seorang diri.

Budaya seperti ini secara tidak langsung membina keyakinan dan kepercayaan sesama jiran tetangga untuk saling membantu antara satu sama lain demi kebaikan bersama.

Oleh itu, kita perlu menumpukan lebih masa, sumber dan perhatian dalam usaha melakar strategi bagi mendekati jiran tetangga dengan lebih berkesan dan sistematik.

Dalam bidang sosiologi, perpaduan seperti ini digelar sebagai “social capital” (modal sosial). Namun, usaha seperti ini hanya berkesan jika masyarakat turut serta secara aktif dalam inisiatif seperti ini.

Inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Kak Rosmah dan Kak Sarah bukanlah sesuatu yang menggemparkan. Sungguhpun demikian, usaha murni mereka yang konsisten dan ikhlas telah membawa perubahan dan perbezaan yang besar dalam usaha menangani ketidakamanan makanan.

Dan meskipun Kak Rosmah dan Kak Sarah mempunyai komitmen terhadap kerja dan keluarga masing-masing, mereka tidak pernah membiarkan faktor-faktor itu menghalang mereka daripada menabur bakti kepada jiran-jiran yang dalam kesusahan.

Maka itu, kita tidak boleh bergantung sahaja kepada acara-acara kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak pemerintah untuk mencapai perpaduan ini. Melalui inisiatif, bimbingan dan tunjuk ajar daripada individu-individu seperti Kak Rosmah dan Kak Sarah, saya terharu melihat perkembangan masyarakat ini yang mempunyai daya tahan yang kuat dalam menangani ketidakamanan makanan.

Gaya hidup bermuafakat dan saling membantu seperti ini menjadi kunci untuk kita menangani masalah sosial ini dengan lebih berkesan.

Kekuatan Dalam Perpaduan

Pendek kata, kepincangan masyarakat tidak mustahil boleh dipulihkan dengan kerjasama masyarakat itu sendiri.

(Gambar: Jeremy Long/CNA)
Bak pepatah Melayu, “Jiran sepakat bawa berkat”. Menghulurkan bantuan dengan segera oleh jiran mahupun masyarakat umum boleh mengubah keadaan dan memastikan mangsa-mangsa menerima diet yang mencukupi dan berkualiti.

Walaupun pihak pemerintah dan badan kebajikan telah mengambil pendekatan menyeluruh dan inklusif dalam menangani ketidakamanan makanan, masyarakat umum juga memainkan peranan penting dalam membantu para mangsa supaya mereka tidak menderita dalam diam.

Kita perlu mengubah pemikiran yang memandang tinggi sikap individualisme dan berdikari sebagai satu kekuatan.

Naratif ini merupakan satu mitos yang tidak sihat mahupun realistik sebagai cara penyelesaian. Para mangsa ketidakamanan makanan ini bukanlah statistik semata-mata. Mereka adalah insan-insan yang mempunyai kisah hidup dan sejarah yang cukup kompleks.

Justeru, pihak dermawan mesti peka terhadap keperluan dan realiti harian mangsa agar usaha mereka tidak sia-sia.

Dan ini tidak mungkin tercapai jika kita tidak meluangkan masa untuk bergaul, beramah mesra dan berkomunikasi dengan individu-individu yang kurang bernasib baik.

Ini adalah satu aspek yang kita sebagai sebuah masyarakat perlu memperbaiki lagi agar kita tidak sekadar menghulurkan derma dalam bentuk makanan dan dana secara rambang.

MENGENAI PENULIS:
Norazim Azami adalah lulusan jurusan Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau kini sedang melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di Jabatan Sosiologi dan Antropologi NUS. Minat penyelidikannya termasuk kajian kualitatif, etnografi dan realiti masyarakat yang kurang bernasib baik pasca COVID-19 di Singapura. Beliau juga bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan amal seperti Free Food For All, Beyond Social Services dan Stroke Support Station dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan