Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Permulaan baik bagi setiap kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan awal

Pelbagai usaha dan sokongan dari pemerintah serta badan-badan Melayu seharusnya memudahkan lebih ramai kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Permulaan baik bagi setiap kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan awal

Gambar fail pementasan murid-murid prasekolah sempena Hari Kanak-Kanak dan Bulan Bahasa.

BERITAmediacorp: Pelbagai usaha dan sokongan dari pemerintah serta badan-badan Melayu seharusnya memudahkan lebih ramai kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah.

Kanak-kanak prasekolah PPIS di Jurong West dididik menggunakan pelitup dengan betul. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” mengajar kita tentang pentingnya memberi asas yang kukuh kepada anak-anak kita semasa mereka kecil.

Sains juga menekankan sedemikian.

Oleh itu, pemerintah komited untuk memberi setiap kanak-kanak permulaan kehidupan yang baik tanpa mengira latar belakang mereka.

Amat menggembirakan untuk mengetahui kini lebih ramai keluarga Melayu/Islam yang mendaftarkan anak-anak mereka di prasekolah. Pendaftaran bagi kohort kanak-kanak Melayu/Islam berumur 5 hingga 6 tahun di prasekolah setanding dengan kadar pendaftaran prasekolah bagi kohort kanak-kanak 5 hingga 6 tahun keseluruhannya.

Kami ingin menggalakkan lebih ramai lagi ibu bapa Melayu/Islam untuk mendaftarkan anak-anak mereka di prasekolah dan dari lebih awal lagi supaya anak-anak mereka dapat meraih manfaat pendidikan awal kanak-kanak.

MEMUDAHKAN AKSES

Pada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah mengumumkan bahawa pemerintah akan meningkatkan komitmen untuk membina asas yang kukuh di peringkat awal kehidupan kanak-kanak dan memastikan prasekolah bermutu yang lebih mudah diakses dan dimampui oleh keluarga Singapura.

Akses kepada prasekolah - Sejak 2012, kami telah meningkatkan tempat prasekolah sebanyak dua kali ganda kepada 180,000 sekarang. Jumlah ini akan terus meningkat kepada lebih 200,000 menjelang 2023.

Kami juga akan meningkatkan peratusan tempat prasekolah yang disokong pemerintah dari 50% kepada 80% menjelang 2025.

Sebuah kelas bahasa Melayu di peringkat prasekolah. (Gambar: BERITAmediacorp)

Ini sama dengan yuran sekolah rendah termasuk yuran khidmat jagaan pelajar selepas sekolah. Keluarga yang layak untuk subsidi yang dinilai kemampuan mereka akan membayar yuran yang lebih rendah lagi.

Langkah yang diambil - Untuk membolehkan prasekolah yang dimampui, kami telah meningkatkan subsidi yang telah diuji kemampuan pada Januari tahun ini.

Kami juga akan melanjutkan skim Pengendali Rakan Kongsi selama lima tahun lagi dari 2021 kepada 2025 dan akan menurunkan had yuran skim tersebut pada 2021.

Pelbagai usaha ini akan membolehkan lebih ramai keluarga untuk memasukkan anak-anak mereka di prasekolah yang berkualiti dan dimampui.

BERPENDAPATAN RENDAH

Prasekolah penting untuk penyamarataan sosial terutama sekali bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam ucapan saya sewaktu perbahasan Belanjawan tahun ini, saya telah berkongsi tiga cara di mana Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan memberi lebih sokongan untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Sokongan kos prasekolah - Pertama, kami akan memastikan kos prasekolah tidak menjadi halangan buat keluarga berpendapatan rendah.

Peningkatan subsidi yang baru kami laksanakan akan membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah untuk membayar hanya S$3 sebulan untuk penjagaan kanak-kanak sepenuh hari kendalian Pengendali Utama atau S$1 sebulan untuk tadika kendalian Pengendali Utama atau MOE.

MEMUDAHKAN PROSES

Kami juga ingin memudahkan proses permohonan subsidi dan memberi keluarga yang memohon lebih keyakinan tentang sokongan yang akan mereka terima.

Justeru itu, mulai Ogos 2020, keluarga yang berpendapatan rendah yang tinggal di rumah sewa awam atau menerima bantuan ComCare akan layak menerima subsidi prasekolah yang maksimum secara automatik sehingga tiba waktu penilaian subsidi yang selanjutnya, tanpa mengira status pekerjaan ibu.

Bagi pendaftaran yang baru dari keluarga-keluarga ini, kami juga akan mempercepatkan proses kelulusan Geran Langkah Permulaan. Geran ini membantu mengurangkan kos permulaan prasekolah seperti kos pakaian seragam dan wang pendahuluan.

Sokongan buat aktiviti pembangunan - Kedua, kami ingin memastikan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang menyertai setiap aktiviti pembangunan di prasekolah mereka.

Dr Faishal Ibrahim berkata akses kepada pendidikan prasekolah bermutu dan dimampui bakal dipertingkat. (Gambar-Gambar: Dr Faishal Ibrahim/Instagram)

Aktiviti seperti lawatan luar darjah mungkin melibatkan perbelanjaan. Pengendali Utama diperlukan untuk mengetepikan dana untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian.

Untuk prasekolah yang lain, kami akan melanjutkan Dana Peluang Prasekolah untuk tiga tahun lagi. Dana ini memberi sokongan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menyertai aktiviti-akitiviti pembangunan yang di luar program teras prasekolah.


MELUASKAN SOKONGAN

Sokongan huluan melalui KidSTART - Ketiga, kami akan meluaskan sokongan huluan untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, seawal di peringkat antenatal, melalui program KidSTART.

KidSTART memberi ibu bapa panduan tentang pembangunan kanak-kanak. Ia juga menyelaraskan dan menguatkan khidmat holistik buat keluarga, sekiranya perlu dan memantau perkembangan pembangunan kanak-kanak sejak lahir.

Guru Bahasa Melayu di prasekolah, Norhaizahwati Mohd, sewaktu mengajar di kelas pada 2017. (Gambar fail: TODAY)

Kami telah menerima maklum balas positif mengenai program perintis KidSTART. Justeru itu, kami akan mengembangkan KidSTART kepada seramai 5,000 lagi kanak-kanak.

Kami juga akan menaikkan kriteria kelayakan pendapatan KidSTART dari pendapatan isi rumah bulanan berjumlah $1,900 kepada $2,500 mulai bulan April ini supaya lebih banyak keluarga dapat memanfaatkannya.

KERJASAMA DENGAN M3

Untuk memberi permulaan yang baik untuk kanak-kanak, kami juga perlu bekerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan masyarakat.

Yang penting, kita perlu memastikan bahawa agensi dan rakan masyarakat bekerjasama dengan rapat dan selaras untuk memberi sokongan yang bersepadu untuk kanak-kanak.

Satu contoh adalah kerjasama kami dengan agensi M Kuasa Tiga (M3). Di bawah Bidang Tumpuan Satu M3 demi menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak, kami bekerjasama dengan MENDAKI dalam melaksanakan Program Pendekatan Prasekolah yang membantu keluarga Melayu/Islam dalam pendaftaran prasekolah.

USAHA BERSAMA

Saya dapati ia amat mengalakkan apabila dua pertiga kanak-kanak yang dibantu MENDAKI untuk pendaftaran prasekolah kini menghadiri prasekolah secara tetap.

Tahun lalu, MENDAKI dan rakan kongsi M3 juga melancarkan program KelasMateMatika di CC bagi ibu bapa Melayu/Islam mempelajari teknik menyokong anak-anak mereka yang berumur empat hingga enam tahun membina kemahiran Matematik.

Membentuk dan mendidik anak-anak supaya mereka dapat mencapai potensi masing-masing memerlukan usaha bersama seluruh masyarakat.

Marilah kita bersama memberikan permulaan hidup yang sebaik mungkin dan masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

Dr Faishal Ibrahim.

MENGENAI PENULIS:
Dr Muhammad Faishal Ibrahim adalah Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan