Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Permulaan 2021 yang menggolakkan; cabaran besar apa yang boleh dijangkakan

Kita boleh meletakkan jangkaan tinggi agar 2021 lebih baik daripada 2020. Tetapi perlu realistik dan sentiasa berwaspada terhadap cabaran-cabaran yang masih wujud.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Permulaan 2021 yang menggolakkan; cabaran besar apa yang boleh dijangkakan

Seorang penyokong Trump cuba melepasi hadangan polis di luar Capitol AS pada 6 Jan 2020 (Gambar: AP/Julio Cortez)

Tahun 2021 sepatutnya bermula dengan penuh harapan dan jangkaan tinggi bahawa segala cabaran besar sepanjang 2020 akan berakhir jua tahun ini.

Apakan tidak, banyak kemajuan besar sepanjang 2020 akan berterusan sehingga tahun ini jika negara-negara semakin bijak dalam mengatasi cabaran besar masing-masing.

Misalnya, cabaran pandemik COVID-19 mungkin dapat dikawal dengan penghasilan dan  pengagihan besar-besaran vaksin ke serata dunia.

Cabaran ekonomi bakal dapat diatasi dengan pelaksanaan dasar dan langkah-langkah yang lebih responsif kepada keadaan.

Kegenjotan dan segala gangguan terhadap sistem dan peraturan antarabangsa, seperti perang dagangan dan ketegangan hubungan Amerika Syarikat-China yang mencetuskan pelbagai ketegangan sejagat, diharap akan akhirnya dapat dibendung dengan perubahan pentadbiran Rumah Putih Amerika.

Namun seminggu selepas bermulanya 2021, agak jelas bahawa kita perlu terus bersikap berhati-hati dalam kita mengharungi tahun baharu ini.

Related article image
Ketibaan kiriman pertama vaksin COVID-19 di S'pura pada 21 Dis. 

Vaksin COVID mungkin sudah dihasil dan diagihkan, dengan sekitar 20 juta warga dunia dianggarkan telah mula menjalani penvaksinan.

Sedang kesan pemvaksinan akan mengambil masa yang agak panjang, sebahagian besar dunia pula berhadapan dengan peningkatan jangkitan dan kematian.

KEGENJOTAN MEMERANJAT

Semuanya berlaku pada kadar yang lebih dahsyat dan merbahaya dibandingkan dengan gelombang-gelombang jangkitan yang lebih awal - walaupun berbeza pula bagi sesetengah negara lain seperti Singapura, yang jumlahnya terus terkawal.

Kalau kita mengharapkan kemantapan dunia setidak-tidaknya pada peralihan kuasa di Amerika Syarikat pada lewat bulan ini, proses tersebut menghadapi kegenjotan yang memeranjatkan dengan peristiwa rusuhan ke atas bangunan Capitol Hill di Washington DC.

Apa yang merupakan satu proses yang biasa dengan tiada siapa yang berfikiran waras menyangsikan tugas Dewan Kongres untuk mengesahkan bahawa Joe Biden dan Kamala Harris sebagai pemenang sah pilihan raya Presiden Amerika awal November lalu,  boleh menjadi kemuncak satu bentuk ‘peperangan’ amtara puak-puak bertentangan di negara itu.  

Mengulas tentang kejadian rusuhan ke atas bangunan Capitol Rabu lalu itu – yang kini disifatkan oleh Kongres sendiri sebagai satu pemberontakan – memang tidak salah untuk kita menuding jari sepenuhnya ke arah  Trump dan konco-konco politiknya.

JENIS KEPIMPINAN

Kalau tiada hasutan daripada Trump kepada para pengikutnya (di luar dan di dalam Kongres) supaya menunjukkan kekuatan dan bertindak tegas, kerana dakwaan palsunya tentang ‘penipuan besar-besaran semasa pilihan raya November lalu’, besar kemungkinan rusuhan tempoh hari tidak berlaku.

Inilah faktor jenis kepimpinan yang menyumbang kepada kegelisahan dan ketidakmantapan pasca-pilihan raya Amerika.  

Ia adalah kepimpinan tidak beretika  yang lebih memberatkan penipuan dan pemalsuan fakta seperti yang kerap diadu-dombakan oleh Trump dan penyokong-penyokongnya.

Peranan kepimpinan sedemikian, dibantu pula dengan sesetengah media berat sebelah yang gemar memain-mainkan isu konspirasi dan memutarbelitkan fakta, menjadi faktor kuat dalam memperdayakan sejumlah besar pengundi Amerika (74 juta ramainya).

SANGGUP BERMATIAN

Mereka ini bukan sahaja dengan mudah boleh terima apa sahaja yang diperjuangkan oleh pemimpin seperti Trump, malah ada juga yang sudah sampai ke peringkat sanggup bermati-matian untuk beliau.

Kegilaan dan sikap fanatik sesetengah mereka itulah yang kemudian mencetuskan kegelisahan seperti rusuhan ganas Rabu lalu.

Related article image
Pihak berkuasa suraikan penunjuk perasaan dari Capitol AS pada 6 Jan 2021 (Gambar: AP Photo/Jacquelyn Martin)

Ramai daripada para penyokong Trump termasuk jutaan orang yang mengundinya, mungkin tidak bersetuju tentang penggunaan kekerasan lebih-lebih lagi ke atas insitusi penting seperti bangunan Dewan Kongres.  

Tetapi satu tinjauan pendapat (YouGov Direct) yang dijalankan selepas peristiwa tempoh hari itu, mendapati lebih separuh penyokong Republican (52% orang) berkata bahawa peristiwa tersebut tidak harus dipersalahkan ke atas Trump, tetapi sebaliknya ke atas Joe Biden.

Menurut tinjauan itu lagi hanya satu perlima sahaja pengundi  Republican yang menganggap bahawa Trump layak dipersalahkan kerana kenyataan-kenyataannya yang berupa hasutan.

SEMAKIN MENCENGKAM

Di sinilah letaknya satu lagi faktor penting tentang apa yang sebenarnya menyumbang kepada ketegangan politik dan sosial yang kini semakin mencengkam budaya politik Amerika.

Apakah yang mendorong masyarakat Amerika menjadi begitu berpecahbelah sehingga sejumlah besarnya rela bermatian untuk sesebuah parti atau pemimpin (walaupun pemimpin itu banyak cacat celanya seperti Trump)  dan sanggup ‘berperang’ atau bermusuhan dengan pemimpin atau parti lain.

Bagi lebih 70 juta pengundi yang memilih Trump, tentunya ramai yang tidak ‘buta atau pekak’, bahawa Trump bukanlah pemimpin yang sesuai dan layak untuk memegang tampuk kepimpinan penting negara.

PERPECAHAN MENDALAM

Namun kesanggupan mereka untuk berbuat demikian, semata-mata kerana tidak mahu memberikan  kemenangan kepada pihak Democrat, mencerminkan perpecahan dan pemisahan yang cukup mendalam antara dua puak politik di Amerika – puak yang menyokong pihak Republican dan puak Democrat.

Related article image
(Gambar: AFP)

Garisan pemisah antara kedua-duanya - (Republican, dengan pelbagai fahaman kanan dan keras termasuk sikap pelampau nasionalis kulit putih dan fahaman fundamentalis Kristian; Democrat pula dengan pelbagai kecenderungan kiri dan ultra-liberal termasuk dalam soal gender dan hak dan peluang sama rata untuk semua) -  seolah-olah sudah sampai ke tahap tidak lagi boleh dirapatkan semula.

Bagi kita yang mengamatinya dari luar, kegelisahan politik di Amerika saat ini mencerminkan beberapa cabaran besar yang sebenarnya turut dihadapi oleh banyak masyarakat lain di dunia.

CABARAN BERTERUSAN

Antaranya adalah cabaran bagaimana soal pemisahan dan perpecahan dalam masyarakat akibat pelbagai punca (gangguan dan perubahan besar ekonomi, ketidaksamarataan, perbezaan pandangan dan fahaman) harus ditangani dengan baik oleh masyarakat dan negara.

Ia memerlukan kepimpinan yang bijak dan berhemah dalam setiap lapisan masyarakat supaya tiada isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat (isu kaum, agama, bahasa, perbezaan pandangan misalnya), tidak mudah digunakan oleh golongan-golongan tidak bertanggungjawab bagi kepentingan sempit masing-masing.

Usaha menangani cabaran berterusan ini tidak harus diserahkan bulat-bulat kepada pihak-pihak tertentu sahaja – pemerintah, sekolah, guru, pertubuhan sivil.

Tetapi ia haruslah dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat, sekurang-kurangnya dalam menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing supaya tidak mudah diperdayakan dengan pengaruh-pengaruh yang boleh memecah-belahkan sesama kita.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita