Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perlu fahami bagaimana sifat kelelakian digunakan kumpulan pengganas untuk pikat anggota baru

Meskipun ramai yang terlibat dalam aksi pengganasan adalah dari kaum lelaki, istilah ‘masculinity’ (sifat kelelakian) dalam proses radikalisasi seorang lelaki perlu difahami kerana ia adalah sumber pengaruh yang sangat luar biasa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Meskipun ramai yang terlibat dalam aksi pengganasan adalah dari kaum lelaki, istilah ‘masculinity’ (sifat kelelakian) dalam proses radikalisasi seorang lelaki perlu difahami kerana ia adalah sumber pengaruh yang sangat luar biasa.

(Gambar: Unsplash)

Gender (Jantina) bukan setakat istilah ‘biological sex’ yang memisahkan seseorang itu sama ada dia adalah wanita atau lelaki.

Tetapi gender di sini merujuk kepada identiti, harapan sosial, tantangan dan juga kesempatan untuk menjadi ‘masculine’ atau ‘feminine’.

Gender adalah perilaku dan sikap yang harus dipelajari dan dipraktikkan berdasarkan struktur sosial dan dalam konteks yang lebih khusus.

Sedangkan radikalisasi itu adalah sebuah proses di mana seseorang itu mempunyai pemahaman yang bukan berbentuk mainstream (arus utama) dalam masyarakat. Sebagai istilah, radikalisasi itu membawa makna neutral.

Ini membayangkan seolah-olah tidak semua perkara yang radikal itu adalah jengkel dan buruk.

Presiden Amerika Syarikat sendiri sering disebut-sebut sebagai ‘berhaluan kiri radikal’ oleh seteru politiknya.

Namun, radikalisasi dalam konteks komentar ini adalah cara berfikir dari sudut keagamaan yang akan membahayakan keamanan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

LELAKI TIDAK SEMESTINYA GANAS, WANITA TIDAK SEMESTINYA LEMBUT

Sebagai sebuah proses, radikalisasi itu tidak 'gender' neutral (berkecuali) – yang bermakna kaum lelaki tidak semestinya ganas manakala kaum wanita pula tidak semestinya lembut.

Sebagai contoh dalam arena politik antarabangsa, kita mengenali mantan Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher sebagai seorang pemimpin wanita yang tegas dan ikon kedamaian India, Mahatma Gandhi sebagai pemimpin lelaki yang menolak kekerasan dan keganasan.

Disebabkan itu, lelaki dan wanita mempunyai pengalaman yang berbeza dalam proses pelibatan dan jaringan kekerasaan.

Bagi sesetengah lelaki, alasan keterlibatan mereka dalam kekerasan sering kali didorong oleh cara mereka melihat kepada konsep 'masculine' seperti keinginan menjadi “pelindung", "sateria" atau "saudara”.

Gambar fail bendera ISIS dari bandar Karkamis, Turki, dekat wilayah Gaziantep. (Gambar: Murad Sezer/REUTERS)

(Gambar fail bendera ISIS dari bandar Karkamis, Turki, dekat wilayah Gaziantep. Gambar: Murad Sezer/REUTERS)

Misalnya dalam dokumentari saya, Jihad Selfie, saya menemu bual Akbar, remaja lelaki berusia 16 tahun dari Aceh, Indonesia yang terpengaruh dengan ideologi ISIS setelah ternampak di Facebook rakan sekolahnya, Yazid yang telah menjadi “tentera” ISIS.

Yazid memuat naik gambar-gambar senjata seperti AK 47 dan ada banyak ‘ukhti’ – yang merujuk kepada wanita yang mempunyai gaya hidup Islami di Indonesia - yang memberikan “likes” pada catatan Yazid di Facebook.

Biasanya, panggilan ukhti ini sering untuk saudara perempuan.

PENGGANAS DIPAPARKAN SEBAGAI 'COOL' & GAGAH

“Yazid kelihatan cool dan gagah. Saya ingin menjadi lelaki hebat sepertinya,” kata Akbar.

Bagi Akbar, dia dapat melihat hubungan antara remaja yang mengangkat senjata dengan bersifat ‘masculine’.

Pandangan sedemikian tidak asing bagi Akbar yang berasal dari Aceh yang sudah biasa melihat bagaimana ketika konflik lelaki yang mengangkat senjata akan dilihat sebagai sosok lelaki yang dihormati dan juga ditakuti oleh masyarakat Aceh.

Ada juga kisah Yusuf, lelaki asal Jombang, Jawa Timur, Indonesia yang menganggotai Moro Islamic Liberation Front (MILF) pada tahun 2000-2002.

Dilahirkan dari keluarga Nahdhatul Ulama (NU) - pertubuhan Muslim moderat tradisional terbesar di Indonesia, Yusuf naik berang apabila guru agama Islam di sekolahnya memainkan video yang menunjukkan umat Islam di Bosnia didera.
“Saya sedih melihat perempuan dan anak-anak dibantai oleh orang-orang kafir. Saya ingin membela mereka,” kata Yusuf dalam satu wawancara.

ISTILAH 'MASCULINE' JUGA DIGUNAKAN OLEH JEMAAH ISLAMIYAH

Tekad “ingin membela nasib yang lemah” inilah yang mendorong Yusuf menyertai Jemaah Islamiyah (JI), yang pada waktu itu menawarkan program latihan tentera di selatan Filipina.

JI juga menggunakan istilah ‘masculine’ iaitu “membantu saudara Muslim di selatan Filipina yang ditindas oleh pemerintah Manila yang bukan Muslim”.

JI mengeksploitasi istilah 'masculine' dalam 'mainstream' (arus utama) masyarakat untuk mengubah konsep “lelaki yang baik harus menjadi pelindung dan sateria” kepada istilah 'masculine' yang terpesong, seolah-olah “pelindung yang sebenar menurut Islam adalah dengan menjadi anggota JI agar boleh berjihad di medan perang yang nyata.”

Di Singapura, istilah 'masculinity' ini juga cuba diperkenalkan, terutama dalam kalangan anak-anak muda yang lebih cenderung belajar agama dari wadah-wadah internet seperti YouTube atau Facebook.

Gambar: REUTERS

ISTILAH 'MASCULINITY' CUBA DISEBARKAN DI S'PURA

Ini membimbangkan kerana apa yang dipelajari di internet itu mungkin bukan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan alasan yang serupa dengan Akbar dan Yusuf, anak muda di Singapura juga mungkin terpengaruh untuk "membela nasib saudara Muslim” mereka dengan kemampuan yang mereka miliki sebagai lelaki yang juga boleh mengangkat senjata.

Mungkin ada yang bertanggapan bahawa dengan melibatkan diri dengan pengganasan, ia adalah satu jalan pintas untuk menebus dosa masa lalu.
Ini seolah-olah satu “redemption” (penebusan) yang cuba ditawarkan oleh kumpulan-kumpulan pengganas dan pelampau kepada golongan anak muda di Singapura untuk menebus dosa mereka dan menjadi “lelaki yang membela” saudara Muslim yang tertindas di negara-negara Islam seperti di Filipina, Iraq, Syria dan bahkan Palestin.

Kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS mengambil kesempatan dan mengeksploitasi istilah 'masculinity' untuk memikat dan merekrut anak-anak muda yang “bergelora” mencari identiti diri mereka dalam masyarakat.

“Di sinilah anda boleh menjadi lelaki yang sebenar-benarnya,” bunyi propaganda ISIS kepada mereka.

Oleh itu, tidak menghairankan jika Scott Atran (2010), ahli antropologi dan pakar pengganasan berpendapat bahawa usaha untuk merekrut anggota muda lebih menjurus kepada "hubungan sosial", "keinginan untuk mencapai kemuliaan dan dihormati" atau perasaan tidak berpuas hati terhadap negara mereka sendiri.

"Pergolakan dalam diri anak muda" ini digunakan oleh kumpulan-kumpulan pengganas untuk merekrut anggota-anggota baru.

Gary Barker dari Pormundo (https://promundo.org.br/) merujuk kepada fenomena ini sebagai “benar-benar bertekad untuk menjadi lelaki”.

Istilah 'masculinity' ini bukan setakat untuk lebih memahami bagaimana lelaki lebih berisiko terjerat dengan pengganasan tapi juga bagi memahami bagaimana kaum wanita turut memainkan peranan dalam proses 'masculinity' itu.

Sehubungan itu, setiap usaha untuk membanteras fahaman radikal dan ideologi pelampau harus mengambil kira faktor gender (jantina) dalam penilaian program pencegahan, pelaksanaan dan pemulihan pengganas.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Laman Universiti Monash)


Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan