Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perkembangan anak remaja bertambah penting selepas peringkat sekolah menengah

Jika peperiksaan peringkat GCE O pada tahun 2020 diduduki di tengah-tengah penularan pandemik yang amat membimbangkan, begitu juga pada tahun 2021 di mana pertukaran keadaan akibat COVID-19 terlalu dinamik sehingga pemerintah terpaksa menguatkuasakan beberapa langkah kawalan untuk mengawal dan membendung risiko COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Perkembangan anak remaja bertambah penting selepas peringkat sekolah menengah

(Gambar: Facebook/Sekolah Menengah Zhonghua)

BERITAmediacorp: Jika peperiksaan peringkat GCE O pada tahun 2020 diduduki di tengah-tengah penularan pandemik yang amat membimbangkan, begitu juga pada tahun 2021 di mana pertukaran keadaan akibat COVID-19 terlalu dinamik sehingga pemerintah terpaksa menguatkuasakan beberapa langkah kawalan untuk mengawal dan membendung risiko COVID-19.

Penguatkuasaan sekatan-sekatan yang lebih ketat terhadap pelbagai aktiviti secara mendadak dan berpanjangan telah menjejas setiap aspek kehidupan kita, termasuk cara peperiksaan peringkat nasional dijalankan.

Pada tanggal 12hb Januari, keputusan peperiksaan GCE O diumumkan dan peristiwa tahun lalu berulang kembali ibarat déjà vu; ada di antara mereka yang menitiskan air mata gembira, ada yang menangis kerana berasa kecewa dan ada pula yang tidak menunjukkan sebarang emosi setelah melihat kertas keputusan mereka.

Percayalah, setiap mereka sebenarnya sedang melalui gelombang emosi yang bergelora walaupun pandangan mata kasar seolah-olah mereka tidak terjejas.

(Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

NARATIF & PERSPEKTIF

Ibu bapa adalah sumber utama yang mencorak pemikiran dan pandangan bagi anak-anak semasa mereka membesar dan setiap bahan perbualan serta tindak-tanduk kita selaku orang tua ternyata meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Retorik penceritaan atau naratif yang disampaikan kepada anak-anak kita tanpa disedari membentuk perspektif mereka terhadap sesuatu isu. Disebabkan oleh fakta ini, maka adalah amat penting bagi ibu bapa untuk bersikap berhati-hati dalam menyampaikan naratif kepada anak-anak mereka.

Jika kita merenung semula dengan lebih mendalam, keputusan sesuatu peperiksaan memberitahu kita lebih daripada setakat gred yang telah diperolehi. Ia juga bukan hanya satu penentu bagi tindakan selanjutnya dalam membuat pilihan untuk meneruskan pelajaran di sesebuah institusi.

Malah, keputusan peperiksaan misalnya GCE O akan memberikan kita satu gambaran yang jelas dari sudut kekuatan, kelemahan, bakat semula jadi, perwatakan dan perkara-perkara yang tidak disukai oleh anak kita.

Pendedahan ini menjadi satu petunjuk yang amat berguna untuk kita memahami tentang kecenderungan anak kita dan dengan ini dapat membantu kita untuk memberikan bimbingan yang lebih tepat dan bermanfaat.

Bayangkan jika kita selaku orang tua menyokong naratif yang positif terhadap keputusan peperiksaan anak kita, ia akan membentuk satu perspektif yang membangun di mana setiap ujian melambangkan satu usaha untuk mendapatkan maklum balas yang berguna dan bukan sekadar satu penilaian terhadap harga diri seseorang.

Justeru itu, tidak kira apa saja gred yang dipaparkan pada kertas transkrip, anak kita akan lebih tenang dan dapat memahami diri mereka dengan lebih mendalam lagi dan lebih penting lagi, dengan iringan pemikiran yang terbuka, mereka akan berusaha ke arah kecenderungan mereka.

(Gambar: Unsplash)

PELUANG KEEMASAN – SAMBIL MENYELAM MINUM AIR

Apa saja pilihan yang diambil oleh anak kita berhubung pendidikan pos-menengah mereka, perjalanan mereka akan lebih mencabar dan sukar sekiranya mereka tidak mendapat restu dan sokongan kita selaku orang tua mereka.

Tekanan dari jangkaan masyarakat yang begitu kritikal dan pantas menghukum sahaja sudah cukup untuk membuat anak kita berasa kurang pasti dan meragui diri mereka sendiri atau “second guessing” terhadap pilihan mereka. Ini adalah satu perkara yang buruk dan memudaratkan. Jika dibiarkan, ia akan menjejas kestabilan emosi dan kesihatan mental mereka.

Di sini terletak peluang keemasan untuk ibu bapa membina dan mengeratkan lagi hubungan mereka dengan anak-anak.

Antara caranya, kita sebagai ibu bapa harus menunjukkan sokongan padu kita terhadap pilihan yang dibuat oleh anak kita. Ini kerana ia akan meyakinkan anak kita bahawa mereka telah membuat keputusan yang bijak dan berhemah. Ini penting kerana kesan perbuatan ini sangat luas dan juga berkekalan seperti pepatah Inggeris “Actions speak louder than words.”

BANYAK JALAN MENUJU KEJAYAAN

Kita sering mendengar seruan yang menggalak kita supaya mendakapi konsep kejayaan secara menyeluruh. Ini adalah satu cadangan yang baik dan langkah pertama yang perlu dilakukan sebelum mendakapi konsep ini adalah dengan terlebih dahulu mentakrifkan semula makna kejayaan atau “to redefine success.”

Konsep kejayaan secara menyeluruh adalah satu matlamat yang memang harus kita kecapi.

Sudah banyak contoh dalam kalangan masyarakat kita yang telah membuktikan bahawa jalan menuju kejayaan terbentang luas dan tidak terhad kepada satu laluan sahaja.

Sekiranya pada zaman lalu, peluang untuk ke menara gading hanya terbuka kepada pelajar dari aliran ekspres dan kemudian menuntut di maktab rendah atau pusat prauniversiti, kini penuntut dari aliran normal yang meneruskan pelajaran pos-menengah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan seterusnya di Politeknik masih boleh melayakkan diri ke Universiti jika gred purata atau GPA mereka memenuhi syarat-syarat pendaftaran.

Perubahan pada sistem pendidikan ini sebenarnya bukan baru; cuma ia tidak diketahui ramai kerana secara umumnya ibu bapa masih berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa maktab rendah dan pusat prauniversiti dianggap lebih 'atas'.

Pendapat ini bukan hanya tidak tepat, malah ia menafikan setiap pelajar memiliki keupayaan yang berbeza dan pihak Universiti sedia maklum dan menyedari bahawa “late bloomers” atau 'lambat mekar' bukan satu kecacatan atau kelemahan.

(Gambar: Unsplash)

TUMPU PERHATIAN & TENAGA KEPADA USAHA MEMBINA DIRI

Jika kita menggalak anak-anak kita untuk menumpukan perhatian mereka kepada pengalaman dan proses pembelajaran, kemajuan anak kita akan lebih bermutu.

Mereka akan menjalani proses pembangunan diri lebih progresif yang akan membantu mereka membentuk akhlak dan mempertingkatkan lagi tahap kematangan mereka.

Itulah sebabnya mengapa kita harus sentiasa menggalak anak-anak kita supaya aktif dalam kegiatan-kegiatan luar darjah atau kegiatan ko-kurikular, bukan hanya setakat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keperluan akademik mereka sahaja.

Kemahiran dan kebijaksanaan yang diperolehi melalui interaksi yang luas dengan pelbagai pihak akan melengkapkan pengalaman mereka dalam mengejar ilmu.

HARAPAN & IMPIAN

Memang sudah menjadi lumrah, kita sebagai ibu bapa mempunyai harapan dan impian untuk anak-anak kita mencapai tangga kejayaan yang lebih tinggi.

Persoalannya, adakah harapan kita terhadap anak-anak kita berdasarkan potensi dan minat mereka atau bersandarkan kehendak dan impian kita yang terbantut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati dalam usaha kita sebagai ibu bapa untuk membimbing anak-anak kita merancang masa depan mereka agar peranan kita setakat menjadi 'kompas' mereka dan bukan 'peta' kehidupan mereka.

MENGENAI PENULIS:

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan