Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Perayaan Krismas di S’pura - sambutan dan pesanan penting yang ditekannya

Perayaan Krismas di S’pura juga lalui beberapa perubahan tetapi perutusan pentingnya mengenai keamanan dunia dan rasa muhibah terus ditekankan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Perayaan Krismas di S’pura - sambutan dan pesanan penting yang ditekannya

Sekitar kawasan di Orchard Road tahun ini. (Gambar hiasan: Orchard Road/Facebook)

BERITAmediacorp: Perayaan Krismas di S’pura juga lalui beberapa perubahan tetapi perutusan pentingnya mengenai keamanan dunia dan rasa muhibah terus ditekankan.

(Gambar-gambar: Orchard Road/Facebook)

Bagaimana agaknya sambutan Hari Natal di Singapura satu masa lalu?

Satu hal yang menghiburkan untuk seorang pengkaji seperti saya ialah untuk membongkar hal-hal yang pernah terbenam dalam sejarah.

Singapura, seperti yang kita semua maklumi adalah sebuah negara pulau yang dihuni oleh penganut aneka macam kepercayaan. Salah satu keimanan yang bertapak kukuh di republik ini tentunya agama Kristian.

Pada tahun 1935, tepat pada tarikh 23 Disember; akhbar untuk golongan ekspatriat melaporkan sesuatu yang lekas membuka mata saya.

Judul laporan tersebut berbunyi: ‘No Santa Claus for Asiatic Christian Children at Xmas’. Laporan yang aneh ini menyebutkan bahawa tidak ada Bapa Claus untuk anak-anak ‘Christian Tamils’ dan ‘Christian Chinese’ pada malam menjelang Krismas.

TIADA SANTA CLAUS

Alasan ‘paling kukuh’ yang diutarakan oleh penulis artikel tersebut ialah ‘ketiadaan ruang pemanasan’ seperti pendiang dan ‘chimneys’ untuk dimasuki oleh Bapa Claus. 

Makanya penulis berita ini dengan begitu yakin menyatakan, di Singapura, anak-anak Asia yang beragama Nasrani tidak harus menunggu Santa Claus, St Nicholas, Robin Goodfellow, Kriss Kringle atau Babouska memandangkan tradisi seumpama itu serasa asing di Asia.

(Gambar fail: Hazem Bader/AFP)

(Gambar fail: Hazem Bader/AFP)

Pun, pengarang tidak mahu mengecewakan dan semacam membujuk menyebut, betapa pohon Krismas, penukaran hadiah, majlis makan malam dan dekorasi indah masih menjadi sebahagian dari tradisi Natal; ‘Christmas trees and decorations, Christmas dinners, Christmas cards, the giving of gifts and the wishing of seasonal good cheer - these are all part of the Christmas tradition in Singapore Christian Asiatic circles as they are among the Europeans and the religious significance is fully recognised and honoured.’

KURANG BERBELANJA

Pada tahun 1935 itu juga, akhbar yang sama melaporkan warga Singapura amat berhati-hati dalam berbelanja. Pada tarikh yang sama, 23 Disember, dilaporkan bagaimana penghuni Singapura memilih untuk tidak mencurahkan isi poket mereka sesungguhnya sehingga kurang menguntungkan kaum peniaga.

Laporan berita mengenai Krismas pada tahun itu berbunyi, ‘Singapore Citizens’ Cautious Christmas shopping’. Ia menjejerkan keluhan pedagang, ‘people have not been spending as freely this Christmas as they have done in the past.’

Rata-rata masyarakat Nasrani hanya membelanjakan sekitar 10 dollar untuk barangan hadiah berbanding tahun-tahun sebelumnya yang berlipat kali ganda.

Malah peniaga juga merungut, warga Muslim di Singapura pada tahun itu turut kurang berbelanja ketika bulan puasa dan musim Hari Raya, seperti ditulis seorang wartawan akhbar The Free Press Commercial, "I should much prefer to be able to report of a booming puasa trade or roaring Christmas sales, but I cannot do so."

AGAMA DAN KAPITALISME

Hal di atas menjadi petunjuk bahawa kepercayaan beragama dan kepercayaan terhadap kapitalisme sudah mulai bersaing antara satu sama lain di Singapura pada dekad 1930an.

Akan tetapi harus dinyatakan di sini, materialisme bukanlah satu-satunya pesaing agama Nasrani di Singapura. Pada hujung-hujung tahun 1920an, dan awal 1930an, akhbar ekspatriat The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser melaporkan gejala ateisme yang semakin membiak.

Akhbar ini bagaimanapun menyalahkan kebangkitan fahaman Komunisme di Soviet Union yang mulai merebak ke bahagian sebelah dunia yang lain.

Dalam satu laporan berjudul ‘Killing Christmas’ pada 19 Disember 1928, di halaman 9, akhbar ini memberitakan terdapat kegiatan anti beragama yang menular dan harus diberi perhatian:

‘The conference against religious societies in the Moscow district has reported to the Moscow Soviet that despite anti religious propaganda in the schools and homes the masses insist on celebrating Christmas with Christmas trees and presents. The Conference asked the Soviet to prevent co-operative societies and other shops distributing their ‘obnoxious’ Christmas wares which they are selling in thousands, otherwise the efforts of the organisation to uproot the old religious customs will be rendered futile.’

KEMPEN ANTI-KRISMAS

Gejala anti-Krismas dan menolak aktiviti keagamaan ini kian berkembang pada tahun berikutnya. Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser pada tarikh 25 Disember 1929, di halaman 13 melaporkan perkembangan membimbangkan di Moscow setahun kemudiannya.

Semangat Krismas menurut mereka sedang terancam secara pesat. Selain terdapat larangan memotong dan memindahkan pohon fir untuk tujuan Natal, hari Krismas juga tidak lagi diterima sebagai cuti umum.

Bahkan terdapat kempen anti-Krismas yang keras sekali. Laporan itu saya petik berbunyi begini;

‘Christmas will be celebrated under difficulties in Russia. The Anti God Society has started a no Christmas campaign. Government has forbidden the cutting and transportation for sale of fir trees, which are usually used as Christmas trees. Anyway, Christmas disappears as a legal holiday under the five day week system, and anti religious lectures, shows, and films are being plentifully arranged in towns and villages.’

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

(Gambar hiasan: Marcus Mark Ramos)

Kempen anti-Natal yang dijalankan di Russia ini kemudian dipelopor pula ke seluruh Eropah. Menjelang Natal tahun 1931, Krismas dilihat sebagai satu pembaziran, tiada takrifan kerohanian dan semangat anti keimanan semakin mengakar:

‘According to Moscow reports the Soviet Russian Anti God Union has decided to choose Christmas Day, December 25, as the day on which to organise in all European countries a ‘vattle day against religion’.

Communist organisations all over Europe will be asked to co-operate in order to ensure the success of the effort ‘to counteract the soporific, pernicious, bourgeois Christmas spirit.’ (The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, 7 November 1931, halaman 12).

DISAMBUT MERIAH

Apakah ini menjadi punca semangat Natal dipandang ringan di Singapura pada hujung-hujung tahun 1930an seperti terlihat pada kemerosotan hasil perniagaan, tidaklah diketahui.

Apa pun kaum kapitalis berusaha dengan gigih sekali agar tidak terkalahkan dengan gerakan baharu yang berpusat di Rusia itu. Buktinya laporan-laporan berita seterusnya menunjukkan Natal kembali disambut dengan meriah.

Misalnya pada tahun 1937, akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25 Disember di halaman 9 melaporkan satu syarahan daripada Brigadier Jeneral Salvation Army, H.A Lord di Ramakrishna Mission.

H.A. Lord dalam kuliahnya, sebagai satu usaha untuk menepis gerakan anti keagamaan memuji perayaan Natal khususnya di rantau yang umat Nasrani bukan umat beragama yang dominan; ‘the widespread observance of Christmas was remarkable, he observed. Even in lands which were non-Christian in governments, customs, and cultures, Christmas was widely celebrated. “Just what is behind this wealth of sentiment, tradition, custom and practice?” He asked.’

Pada tahun 1939, Natal di Singapura kembali mendapat roh materinya. Akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser bertarikh 25 Disember di halaman 5 menyatakan, ‘City Goes Gay for Christmas’. Malah laporan berita itu dengan penuh yakin menolak pengaruh perang yang akan tiba ke Asia Tenggara dengan mengatakan, ‘Singapore with the rest of the Empire, refused to be affected by any despondency because of the war and went completely gay.’

MUZIK DAN NYANYIAN

Di kawasan awam, diarahkan permainan muzik termasuk orkestra yang melantunkan irama ‘Hanging out the Washing on the Siegfried Line’. Di Hotel Raffles, ‘Father Christmas’ diminta berperanan tanpa ruang pendiang mahupun ‘chimney’. Bapa Claus diminta berkitar di kawasan hiburan dan karol dikerah supaya dimainkan. Kawanan Salvation Army berdiri di Government House untuk menyanyi manakala Gabenor Sir Shenton Thomas dan isterinya hadir diikuti Setiausaha Kolonial Sir Alexander Small, dan pasangan.

Di tengah-tengah itu, akhbar turut melaporkan perihal mereka yang tertinggal dari kegemilangan Natal, yakni kaum melarat di Singapura tatkala itu.

Penulis menyuguhkan perenggan bagaimana penduduk miskin menanti hadiah dan benda; ‘a few miles away from the glittering shops, Singapore’s poor - men and women, boys and girls - looked at gifts of groceries and toys which they had gratefully received from the public. At the Salvation Army’s children’s home in Pasir Panjang Road, the kids received stockings filled with presents.’

PERAYAAN DIPERDAGANG

Membaca bahan-bahan lama di arkib mengenai perayaan Krismas di Singapura mendorong saya membuat kesimpulan bahawa Natal mengalami kapitalisasi ekoran pelbagai faktor. Pertama, kerana lingkungan masyarakat niaga Singapura itu sendiri.

Manakala kedua, persaingan dengan gejala ateisme-komunisme amat menakutkan sehingga kempen pemerdagangan Natal dilakukan dengan lebih hebat lagi.

Makanya tidaklah menghairankan editorial Berita Harian pada 25 Disember 1973 mengingatkan agar umat Nasrani tidak terjatuh dalam perangkap kebendaan ini:

‘Adalah menjadi kebiasaan bagi setiap penganut, bagi apa ugama pun, berbelanja berlebihan dari yang sepatutnya, bila tiba hari kebesaran mereka. Tanpa disedari, amalan ini telah merosakkan dasar-dasar keugamaan yang menjadi pegangan mereka.’

KEAMANAN DUNIA

Apa pun, satu ingatan paling mustahak untuk direnungkan oleh warga Singapura adalah amanat Natal oleh Pemangku Perdana Menteri pada tahun 1974.

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Dr Goh Keng Swee memesankan amanat Natal yang menurut saya mengesankan. Ia dilaporkan pada 25 Disember 1974 oleh Berita Harian dengan judul ‘Masaalah Ciptaan Manusia Boleh Dihurai Oleh Manusia Sendiri: Dr Goh’.

Beliau mengatakan pertamanya, ‘masalah yang kini dihadapi oleh dunia adalah bikinan manusia dan kerana itu ia boleh dibetulkan oleh manusia sendiri.’

Selain itu, Dr Goh mengingatkan semangat Natal bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli dan diperdagangkan. Sebaliknya utusan penting Natal adalah, ‘keamanan di dunia dan rasa muhibah di kalangan manusia.’

Ini kerana menurut beliau, kemajuan teknologi hanya akan berfungsi dan dapat dinikmati jika terdapat rasa kasih sayang dalam masyarakat; ‘kemajuan kita untuk mencapai dunia yang lebih bahagia akan lebih cepat, jika kita menunjukkan rasa muhibah terhadap satu sama lain, bukan saja semasa Hari Natal tetapi juga pada setiap masa.’

Selamat Hari Natal untuk seisi Republik Singapura.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan