Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Peranan penting S'pura sebagai hab & jambatan bahasa dan budaya Melayu

Baru-baru ini Institut Confucius, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), telah melancarkan buku Profesor Leo Suryadinata yang menyorot empat penyair besar Nusantara, termasuk Dr Masuri SN dari Singapura. Ini merupakan buku kedua Prof Leo dalam rangka sebagai jambatan dwi dunia, Cina dan Melayu. Apakah ertinya bagi peranan Singapura sebagai gerbang Asia dan jagat?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Peranan penting S'pura sebagai hab & jambatan bahasa dan budaya Melayu

Gambar fail perkongsian antara para guru semasa Seminar Bahasa Melayu 2020.

BERITAmediacorp: Baru-baru ini Institut Confucius, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), telah melancarkan buku Profesor Leo Suryadinata yang menyorot empat penyair besar Nusantara, termasuk Dr Masuri SN dari Singapura. Ini merupakan buku kedua Prof Leo dalam rangka sebagai jambatan dwi dunia, Cina dan Melayu. Apakah ertinya bagi peranan Singapura sebagai gerbang Asia dan jagat?

Buku kedua Dr Leo Suryadinata, 81 tahun, terbitan Institut Confucius di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mempunyai lambang yang menjambatani dwi dunia, Cina-Melayu.

Majlis pelancaran buku ini dirasmikan oleh Datuk Bandar CDC Tenggara dan AP GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman pada 26 Februari lalu di Bangunan NLB.

book leo suryadinara

Berjudul "Para Penyair Besar Indonesia, Malaysia dan Singapura", buku setebal 250 halaman ini menampilkan empat penyair utama Nusantara. Mereka adalah Masuri S.N. (1926-2005) dari Singapura, Usman Awang (1929-2001) dari Malaysia, serta dua penyair Indonesia, Chairil Anwar (1922-1949) dan Gus Mus (nama sebenar: Ahmad Mustofa Bisri, 1944 -) dengan sajak-sajak utama mereka dalam bahasa asal iaitu Melayu/Indonesia dan diterjemah serta dikupaskan pula dalam bahasa Mandarin.

Selayang pandang usaha ini tampak mudah. Namun, untuk menyusuri proses pemikiran penyair pada karya mereka menuntut syarat kehalusan kefahaman agar hasil terjemahan tetap memelihara maksud, fakta dan nuansa. Ternyata, ini suatu kerja yang amat mencabar.

Dr Suryadinata yang dikenali sebagai pakar sains politik memanglah ilmiawan luar biasa. Beliau menguasai bahasa Mandarin, Melayu/Indonesia dan Inggeris. Beliau dilahirkan di Jakarta dan berhijrah ke Singapura pada 1950-an. Beliau merupakan antara segelintir siswazah ternama Universiti Nanyang (atau Nantah, dan kini NTU) yang terlibat dalam gerakan memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Singapura pada dekad 1960-an. Malah beliau sempat ‘belajar’ daripada Usman Awang, antara wartawan terkenal di akhbar Utusan Melayu yang diasaskan di Singapura.

book launch leo suryadinara

“Biarlah saya jadi jambatan,” kata Pak Leo kepada saya ketika pelancaran buku pertamanya, "My City My Home", juga terbitan Institut Confucius pada 2015. Baktinya dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum juga mendapat sanjungan di Indonesia lewat Anugerah Nabil yang diterimanya pada 2008.

"Adakalanya rintangan bahasa menjadi penghadang kepada persefahaman. Oleh itu, kerja penterjemahan memanglah penting demi merungkai teras budaya dan memancarkan keindahan bahasa,” kata beliau yang mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan buku ini. “Oleh itu, kerja penterjemahan merupakan tradisi penting dan diharap agar golongan muda dapat meneruskannya,” tambahnya.

MEMBINA TAMADUN

Menyusuri sejarah, kerja terjemahan bukanlah baru bagi Singapura. Negara pulau ini pernah menjadi pusat penterjemahan karya-karya besar dari India dan China pada abad ke-13 dan awal abad ke-14 Masihi. Demikian menurut kajian Prof Teuku Iskandar, sarjana besar Aceh dan ketua editor pertama Kamus Dewan terbitan DBP menerusi bukunya, "Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad" (1995).

book launch leo suryadinara

Singapura menjadi penting selepas kejatuhan Palembang yang pernah menjadi pusat perdagangan dan pengembangan agama Buddha sewaktu zaman Empayar Sriwijaya (650-1300 Masihi).

Kedudukan Kerajaan Singapura menjadi rentan, antara lain, kerana kelemahan tadbir urus (governance) sehingga dialahkan oleh Empayar Majapahit.

Namun berhijrahnya raja terakhir Singapura, Parameswara, telah membawa kepada pembukaan Kerajaan Melaka pada 1400M. Ternyata, warisan amalan terjemahan dari Singapura telah dikembangkan di Melaka tetapi dalam rangka pengembangan Islam menerusi tulisan Jawi pula.

Peranan penterjemahan amat penting dalam pembangunan banyak tamadun.

Misalnya tamadun Islam dalam zaman Dinasti Umayyah (661-750M) telah memacu penterjemahan karya-karya besar dari Yunani (Greece), Parsi, China dan India. Apabila Dinasti Umayyah berpindah ke Sepanyol (750-1100M), penterjemahan masih merupakan bidang penting. Bahkan diakui bahawa karya besar pujangga Yunani seperti Aristotle sehingga Plato telah ‘diselamatkan’ untuk dimanfaatkan Eropah menerusi terjemahan dan komentar dalam bahasa Arab oleh para pujangga Islam.

Bahkan kemajuan pesat Jerman dan Jepun sebagai kuasa perusahaan moden antara lain dibantu oleh penterjemahan.

Misalnya, Jepun bangkit daripada suasana lembab sewaktu zaman Pemulihan Meiji pada akhir abad ke-19M juga dipacu oleh usaha menghantar para pelajarnya ke Eropah dan usaha penterjemahan yang pesat di dalam negeri.

Kini, Korea Selatan dikatakan paling gigih dalam aspek penterjemahan dan ini adalah antara sebab yang mendorong kemajuannya sebagai gergasi perusahaan abad 21.

PERANAN SINGAPURA

Di majlis yang sama, ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE/NTU), Prof Madya Dr Hadijah, mengingatkan betapa peranan penterjemah dan ilmiawan seperti Dr Leo amat penting dalam membina ikatan antara kaum.

book launch leo suryadinara

Oleh itu, lebih ramai penterjemah diperlukan di Singapura dalam rangka menyebarkan ilmu dan persefahaman, hujahnya.

Sayangnya, usaha penterjemahan di Singapura sebagai suatu industri boleh dikatakan agak terbatas walaupun selepas dibentuk Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) di bawah riayah Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada 2014.

Hakikatnya, peranan NTC lebih khusus dalam aspek terjemahan di peringkat pemerintah atau sektor awam.

Dalam zaman British, Singapura kembali penting sebagai pemancar pemodenan rantau ini, terutama menerusi bahasa Melayu dengan kegiatan terjemahan yang agak pesat.

Ia kemudian muncul sebagai hab kecendekiawanan Melayu, pusat percetakan, perfileman dan muzik Melayu Nusantara.

Akhbar, majalah dan buku dari Singapura tersebar di seluruh rantau ini. Bahkan ‘kitab kuning’ yang digunakan oleh madrasah dan pesantren di rantau ini, pernah dicetak di Singapura.

Terakhir peranan percetakan Singapura dalam bidang buku agama Islam yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke Melayu adalah menerusi usaha Pustaka Nasional dalam dekad 1960-an hingga awal 1980-an.

Karya-karya penulis Melayu paling prolifik, Harun Aminurashid (1908-1986) merupakan yang pertama mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diterjemahkan ke beberapa bahasa dunia.

Kemudian menyusul novelet (novel pendek), Sarah Pengarang Kechil karya Muhd Ariff Ahmad (Cikgu Ariff, 1924-2016) yang diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan amat laris digunakan dalam kempen Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Singapura.

Sayangnya, Cikgu Ariff tidak menyedari noveletnya telah diterjemahkan sehinggalah diberitahu oleh seorang Cina penarik beca yang ditumpanginya!

Selain novel-novel Suratman Markasan dan M Latif Mohamed, pencapaian terbesar penterjemahan karya diraih oleh arkitek dan penulis, Isa Kamari (1960- ) yang mendapat sambutan dalam beberapa bahasa, terutama Inggeris, Mandarin dan Turki.

Gambar fail: Diane Leow

Dengan peranan menonjol Singapura dalam bidang kewangan dan hab laluan udara dan laut dunia, jenama republik ini akan lebih kukuh dengan peranan penterjemahan karya yang menjadi 'jambatan' kepada persefahaman jagat.

Oleh itu, individu dan badan persuratan Melayu perlu turut memanfaatkan kelebihan penterjemahan. Mentelah terdapat insentif untuk menterjemah karya menerusi Dana Dwibahasa LKY dan sebagainya.

Dengan sikap terbuka Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menggalak pembelajaran bahasa ketiga untuk para pelajar sekolah, maka potensi Singapura kian menyerlah.

Seyogia, Singapura pernah menjadikan Switzerland sebagai ‘teladan’ dari segi kemajuan. Dan antara kejayaan Switzerland adalah ketangkasan warganya menguasai lebih daripada dwibahasa. Kita juga berpotensi maju ke arah itu.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan