KOMENTAR: Peranan Parti Arab Dalam Pilihan Raya Israel 2026 & Pengaruhnya Terhadap Iran & Gaza
Seorang pekerja memasang papan iklan kempen pilihan raya parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang turut memaparkan wajah anggota pembangkang. (Gambar: AFP)
- The Israeli elections on Oct 27, 2026, ended without a majority, while Arab parties won a record estimated 19 seats after high voter turnout and a campaign to keep Benjamin Netanyahu out.
- Gadi Eisenkot rejected openly working together because of ideological differences, but Mansour Abbas is prepared to join his government, while the Joint List is open to supporting it from outside; other possibilities include Netanyahu remaining in office temporarily or fresh elections.
- In Gaza, Eisenkot supports Israeli control, but Arab parties could press for humanitarian aid and the preservation of the ceasefire; Netanyahu’s fall could also limit Bezalel Smotrich’s power and slow settlement activity in the West Bank.
- Arab parties oppose the war with Iran, but their influence over military decisions is expected to be limited because the Security Cabinet controls them; policy changes depend on governing partners’ willingness to cooperate, not solely on the election results.
- Pilihan raya Israel pada 27 Oktober 2026 berakhir tanpa majoriti, sementara parti Arab mencatat rekod anggaran 19 kerusi selepas penyertaan pengundi yang tinggi dan kempen menghalang Benjamin Netanyahu.
- Gadi Eisenkot menolak kerjasama terbuka atas perbezaan ideologi, tetapi Mansour Abbas sedia menyertai pemerintahannya dan Joint List terbuka menyokong dari luar; pilihan lain termasuk Netanyahu kekal sementara atau pilihan raya baharu.
- Di Gaza, pendirian Eisenkot menyokong penguasaan Israel, namun parti Arab boleh mendesak bantuan kemanusiaan dan pemeliharaan gencatan senjata; kejatuhan Netanyahu pula mungkin mengehadkan kuasa Bezalel Smotrich serta memperlahankan penempatan di Tebing Barat.
- Parti Arab menentang perang dengan Iran, tetapi pengaruh mereka terhadap keputusan ketenteraan dijangka kecil kerana Kabinet Keselamatan mengawalnya; perubahan dasar bergantung pada kesediaan rakan pemerintah bekerjasama, bukan keputusan pilihan raya semata-mata.
SINGAPURA: Pilihan Raya Israel pada 27 Oktober 2026 berakhir dengan kebuntuan.
Parti pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan blok pembangkang yang diketuai Gadi Eisenkot, mantan ketua turus tentera, sama-sama gagal mencapai majoriti 61 daripada 120 kerusi Knesset.
Dan dalam pilihan raya ini, parti-parti yang diterajui rakyat Arab Israel muncul dengan prestasi terbaik dalam sejarah mereka.
Apakah kesannya terhadap pakatan politik dan pembentukan pemerintah, serta kemungkinan pengaruhnya terhadap konflik di Gaza, Tebing Barat dan Iran?
Kejayaan Yang Memecahkan Rekod
Anggaran awal memberikan parti-parti Arab sebanyak 19 kerusi, iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan. Dua gabungan utama ialah Parti Ra'am, diketuai Mansour Abbas, dan blok Joint List (Senarai Bersama, القائمة المشتركة atau al-Qaʾimah al-Mushtarakah) yang dianggotai Hadash, Ta'al dan Balad.
Peningkatan ini bertitik tolak daripada peratusan keluar mengundi yang amat tinggi dalam kalangan pengundi Arab.
Beberapa faktor menjelaskannya.
Pertama, kedua-dua pihak menyeru pengundi menghalang blok Netanyahu daripada kembali berkuasa, dan seruan itu jelas mendapat sambutan.
Kedua, Ra'am tampil sebagai rakan gabungan yang boleh dipercayai, dengan meletakkan Yoav Segalovitz, seorang bekas pegawai polis Yahudi, di dalam senarai calonnya.
Parti-parti Arab kini tidak dapat diketepikan dari segi angka, tetapi kedua-dua blok Netanyahu dan juga blok pembangkang pimpinan Eisenkot enggan bekerjasama secara terbuka dengan mereka.
Eisenkot menolak pemerintah bersama parti Arab dengan alasan percanggahan ideologi, termasuk pengiktirafan Israel sebagai negara Yahudi dan demokratik.
Netanyahu pula menolak sebarang kerjasama, malah menuduh pilihan raya itu "dicuri" oleh parti-parti Arab.
Sebaliknya, Abbas menyatakan kesediaan menyertai pemerintah yang diterajui Eisenkot, manakala para pemimpin Joint List menyatakan bahawa mereka terbuka untuk menyokong pemerintah minoriti dari luar.
Pendirian Eisenkot mungkin bakal berubah. Sejak beberapa hari yang lalu, para aktivis dan penunjuk perasaan liberal telah mengadakan perhimpunan di luar kediaman Eisenkot, menggesa beliau mengambil risiko bersejarah untuk bekerjasama dengan parti-parti Arab bagi menjatuhkan Netanyahu.
Dengan ini, empat senario bakal terjadi dalam masa beberapa minggu akan datang: pemerintah Eisenkot dengan parti-parti Arab di dalamnya; pemerintah minoriti yang disokong dari luar oleh parti Arab; rundingan berlarutan dengan Netanyahu kekal sebagai perdana menteri sementara; atau pilihan raya baharu.
Presiden Isaac Herzog dilaporkan menggesa para pemimpin parti supaya mengelakkan pilihan raya kedua. Dan dari segi politik, pemerintah minoriti dengan sokongan dari luar adalah jalan paling mudah kerana ia membolehkan Eisenkot mengekalkan ikrar kempennya sambil tetap bergantung kepada undi parti Arab.
Gaza & Tebing Barat
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tentera Israel kini dilaporkan menguasai kira-kira 70 peratus Gaza, melebihi 53 peratus yang dibenarkan dalam perjanjian, dan Israel enggan berundur selagi Hamas tidak melucutkan senjata.
Jika parti-parti Arab turut serta dalam pemerintahan Israel yang baharu, besar kemungkinan dasar keselamatan Israel di Gaza tidak akan berubah, kerana Eisenkot menyokong penguasaan kawasan-kawasan di Gaza ini.
Namun, pengaruh parti-parti Arab mungkin lebih ketara dalam keupayaan mereka untuk mengenakan tekanan politik bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan dan pemeliharaan gencatan senjata.
Tebing Barat ialah medan yang tidak kurang membimbangkan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 80 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel sejak awal 2026, dan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pada Julai menyatakan keganasan peneroka serta pengilhakan wilayah "semakin teruk".
Menteri Kewangan Bezalel Smotrich memegang kuasa pentadbiran ke atas sebahagian besar wilayah itu sebagai syarat menyertai gabungan Netanyahu.
Jika pemerintah Netanyahu tumbang, kuasa Smotrich kemungkinan besar akan berkurangan, dan ini mungkin memperlahankan pengembangan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Namun, pemerintah baharu mungkin mengambil masa untuk bertindak dan sesetengah pemerhati menjangkakan pilihan raya ini tidak akan banyak mengubah keadaan di lapangan.
Parti-parti Arab pasti akan mendesak isu penempatan Yahudi ini, tetapi pengaruh mereka tertakluk kepada rakan gabungan yang lebih besar.
Iran
Israel dan Amerika Syarikat melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap Iran pada 2026, lalu mencetuskan perang berbilang medan yang melibatkan Lubnan dan Yaman.
Hingga pertengahan Oktober 2026, ketegangan berterusan dan rundingan Amerika-Iran masih berada di jalan buntu.
Presiden Donald Trump berkata beliau tidak akan menyerang Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, manakala Iran pernah memberi amaran bahawa rundingan boleh dihentikan jika Israel terus menyerang Lubnan.
Parti-parti Arab di Israel secara aktif dan terbuka menentang perang dengan Iran. Penentangan mereka mencerminkan pendirian antiperang yang konsisten dan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan serantau yang boleh membawa kemusnahan.
Misalnya, parti-parti Joint List lantang menyuarakan kebimbangan mereka tentang bagaimana konflik ini boleh mencetuskan perang berskala besar di peringkat serantau dan global. Pendirian antiperang ini meletakkan parti-parti Arab sebagai satu-satunya kumpulan di dalam Knesset yang menentang perang secara terang-terangan, memandangkan sebahagian besar parti pembangkang pimpinan Yahudi sama ada memilih untuk berdiam diri atau menyokong kempen ketenteraan terhadap Tehran secara tersirat.
Tetapi, sekiranya parti-parti Arab di Israel berjaya menyertai pemerintah gabungan, mereka berkemungkinan besar tidak akan mempunyai pengaruh atau kuasa veto ke atas keputusan ketenteraan mengenai perang di Iran.
Ini kerana jika pemerintah baharu dibentuk, tidak kira jika ia diketuai oleh blok Netanyahu mahupun blok Eisenkot, keputusan kritikal mengenai perang, serangan udara, dan strategi ketenteraan di Israel tidak akan dibuat oleh seluruh Ahli Parlimen.
Sebaliknya, ia diputuskan oleh Kabinet Keselamatan yang kecil. Demi menjaga sensitiviti masyarakat awam Israel dan piawai keselamatan negara, pemimpin pembangkang seperti Yair Golan daripada Parti The Democrats (HaDemokratim) telah menyatakan bahawa parti-parti Arab berkemungkinan besar bersetuju untuk tidak menduduki kerusi dalam kabinet keselamatan tersebut.
Tanpa kerusi di dalam kabinet ini, mereka tidak mempunyai hak mengundi atau akses kepada perancangan perang terhadap Tehran.
Adakah Peperangan Akan Reda?
Jawapan ringkasnya: tidak semestinya, dan bukan disebabkan oleh keputusan pilihan raya ini sahaja.
Kejayaan parti-parti Arab ialah kejayaan dalam politik dalaman Israel. Tidak kira mana blok yang berjaya membentuk pemerintah, keputusan tentang perang masih dipegang oleh “kelab” kecil dan eksklusif dalam kabinet keselamatan.
Laluan paling optimistik ialah sebuah pemerintah baharu yang bergantung kepada undi Arab dan lebih cenderung mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta mengurangkan keganasan di Tebing Barat.
Jadi kesimpulannya, parti-parti Arab mungkin telah berjaya mencapai kedudukan yang paling berpengaruh dari segi angka dalam sejarah Israel, tetapi pengaruh sebenar mereka bergantung kepada kesediaan pihak lain untuk bekerjasama.
MENGENAI PENULIS
Ridzwan Rahmat ialah penganalisis pertahanan yang telah berkhidmat selama lebih 10 tahun dengan syarikat perunding pertahanan yang berpangkalan di Britain. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam (RSIS). Sebelum menyertai syarikat perunding itu, Ridzwan bertugas dengan pemerintah Singapura dalam bidang kawalan komoditi strategik dan ketenteraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.