Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Peranan Kecerdasan Buatan dalam menangani perubahan iklim

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Perubahan iklim adalah suatu krisis yang nyata dan wujud bagi Singapura.

Pada 2019, Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah mengumumkan bahawa Pemerintah Singapura akan membelanjakan kira-kira S$100 bilion dalam tempoh 100 tahun untuk melabur dalam teknologi kejuruteraan yang baik seperti menambak tanah pulau-pulau luar pesisir dan menghubungkannya dengan benteng dan membina polder (daik) untuk melindungi Singapura daripada peningkatan paras air laut.
Pada 2021, Pemerintah mengumumkan Pelan Singapura Menghijau 2030, sebuah gerakan kemampanan nasional yang komprehensif untuk menangani perubahan iklim. Disokong oleh Kementerian Pendidikan (MOE), Pembangunan Negara (MND), Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Pengangkutan (MOT), Pelan Hijau itu menetapkan sasaran yang bercita-cita tinggi dan jelas dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ia mengukuhkan lagi komitmen Singapura di bawah Agenda Pembangunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Paris dan membantu usaha Singapura mencapai aspirasi pelepasan sifar karbon dengan secepat mungkin.

Dengan semua usaha ini, bagaimanakah Kecerdasan Buatan (AI) boleh memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim?

Usaha Global

Satu bidang di mana AI diunjurkan boleh memainkan peranan penting ialah penggunaan tenaga.

Aplikasi AI boleh mengimbangi bekalan elektrik dan keperluan permintaan dalam masa nyata, sambil mengoptimumkan penggunaan tenaga dan penyimpanannya untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Dengan kita dijangka akan menggunakan tenaga hijau pada masa akan datang, tenaga boleh diperolehi daripada pelbagai sumber, seperti mikrogrid, ladang angin dan panel solar.
Turbin-turbin pandu angin di luar pesisir La Turballe, barat Perancis. (Gambar fail: Damien Meyer/AFP)
Namun, tenaga yang dijana melalui sumber-sumber ini terdedah kepada naik turun harga yang tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca semasa, tidak seperti pengeluaran yang lebih boleh diramal daripada loji gas atau arang batu.

Dengan rangkaian tenaga global yang tidak tersebar, AI akan memainkan peranan penting dalam menguruskan kerumitan penggunaan kuasa ke kemudahan perindustrian, bangunan pejabat, rumah dan di mana sahaja ia diperlukan. Dengan iklim dunia yang tidak stabil dan keadaan cuaca yang tidak menentu, mengalihkan sistem tenaga kini kepada sistem bijak yang berpusat pada AI akan menghasilkan grid yang lebih berdaya tahan dan fleksibel sekiranya berlaku sebarang kejadian meteorologi yang tidak dijangka.

Fleksibiliti dan daya tahan grid juga diperlukan apabila permintaan bagi tenaga elektrik meningkat dalam ekonomi digital yang berkembang pesat dalam dunia yang semakin terhubung.

Satu lagi bidang di mana AI boleh memainkan peranan ialah dalam bidang pertanian. Perniagaan pertanian moden boleh menggunakan AI untuk menganalisis data ladang bagi meramal hasil tanaman atau mengawal iklim.
Memandangkan pertanian adalah industri intensif buruh yang amat mencabar untuk dibangunkan dalam sebuah negara seperti Singapura yang terhad bekalan tanah, AI membolehkan Singapura menanam lebih banyak makanan sekalipun dengan sumber yang terhad.

Di peringkat tempatan, satu langkah ke arah itu ialah perkongsian A*STAR dengan Archisen, sebuah firma teknologi pertanian yang berpangkalan di Singapura yang menggabungkan AI dalam operasi ladang dalamannya.

Kerjasama itu menghasilkan model ramalan yang menentukan secara statistik parameter utama yang mempunyai pengaruh terbesar ke atas hasil dan kualiti tanaman ladang dan ini telah membolehkan Archisen menghasilkan sehingga 100 tan sayur-sayuran setahun.

Dengan memanfaatkan inovasi yang dipacu AI dan teknologi yang mengoptimumkan kecekapan, hasil pertanian dapat dipertingkatkan kerana AI dapat mengurangkan penggunaan kuasa sambil menghasilkan pengeluaran yang tinggi.

Secara keseluruhannya, jika kesan alam sekitar AI dapat dikurangkan dan lebih banyak organisasi mula menggunakan AI dalam inisiatif kemampanan mereka, maka penggunaan AI secara keseluruhan mungkin dapat mencapai tahap yang hampir dengan neutraliti karbon. Untuk membuka jalan kepada revolusi digital yang hijau, kita perlu mula membuat pilihan baik untuk mempromosikan penyelidikan algoritma yang lebih cekap dari segi pengiraan serta perkakasan yang kurang bergantung kepada penggunaan tenaga.

AI boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor dan situasi ekonomi untuk menyumbang kepada pengurusan kesan alam sekitar dan perubahan iklim.

Contohnya termasuk grid tenaga teragih bersih yang dipacu AI, pertanian ketepatan, rantaian bekalan mampan, pemantauan dan penguatkuasaan alam sekitar serta ramalan cuaca dan bencana.

AI Dalam Alam Sekitar

Penggunaan AI untuk aplikasi alam sekitar dianggarkan boleh menyumbang sehingga AS$5.2 trilion kepada ekonomi global pada 2030, peningkatan 4.4% berbanding perniagaan biasa.

Dalam pada itu, penggunaan peralatan AI boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di seluruh dunia sebanyak 4% pada tahun 2030, jumlah yang sama berbanding 2.4 Gt CO2e – bersamaan dengan gabungan pelepasan karbon tahunan Australia, Kanada dan Jepun pada tahun 2030.
(Gambar fail: AFP)
Pada masa yang sama, dengan peningkatan produktiviti, AI boleh mencipta 38.2 juta pekerjaan baru bagi seluruh ekonomi global yang menawarkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran sebagai sebahagian daripada peralihan ini.

DeepMind Google telah membangunkan teknologi AI yang mengajar dirinya untuk mengurangkan penggunaan tenaga demi menyejukkan pusat data Google. Ini telah mengurangkan keperluan tenaga pusat data Google sebanyak 35%.

Microsoft pula komited untuk mencapai sifar karbon menjelang 2030. Microsoft juga menjalankan pusat data awan yang besar (tawaran pengkomputeran awan) di bawah nama Microsoft Azure.

Amazon mempunyai matlamat jangka panjang untuk memperkasakan infrastruktur globalnya menggunakan 100% tenaga yang boleh diperbaharui. Ini termasuk platform pengkomputeran awannya AWS.

Peranan AI Dalam Usaha Singapura

Tidak seperti negara-negara lain, Singapura menghadapi pelbagai cabaran kemampanan. Kekangan air, keselamatan tenaga, kesedaran karbon, kekurangan tanah, penjanaan sisa, kebergantungan import, penuaan dan perlindungan biodiversiti hanyalah beberapa cabaran yang Pemerintah dan rakyat Singapura mesti menghadapi setiap hari.

Walau bagaimanapun, jangan pula kita terlupa bahawa Singapura mempunyai sejarah dan terkenal dalam usaha mengubah sebarang cabaran sehingga menjadi peluang baru.

Salah satu cara di mana Singapura sedang meneroka ialah penggunaan sistem fotovoltaik solar (PV) di bawah program SolarNova yang diterajui bersama oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Panel tenaga suria dipasang di bumbung flat HDB. (Gambar: Sembcorp Industries)
Pada 2019, HDB mengumumkan sasaran solar baru sebanyak 540 MWp menjelang 2030 selepas mencapai sasaran solar sebelumnya iaitu 220 MWp. Sasaran baru ini berpotensi menjana 648 GWj tenaga suria setiap tahun, menyumbang ke arah sasaran solar nasional 1.5 gigawatt-puncak (GWp) menjelang 2025 dan 2 GWp menjelang 2030 seperti yang ditetapkan di bawah Pelan Singapura Menghijau 2030. HDB mengagregatkan permintaan sektor awam untuk pemasangan panel solar di seluruh blok HDB dan tapak Pemerintah yang membantu menjana tenaga suria dan membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Usaha ini membantu mengurangkan kesan perubahan iklim. Sasaran 2030 HDB sebanyak 540 MWp berpotensi menjana 648 GWj tenaga suria setiap tahun untuk menjana kuasa bersamaan dengan 135,000 flat 4 bilik HDB.
 

Penyejukan daerah juga semakin meningkat dalam kalangan bandar. Teknologi penyejukan daerah melibatkan penjanaan air sejuk di lokasi terpusat dan kemudian menghantar air sejuk melalui rangkaian ke beberapa bangunan. Dalam sistem penyejukan konvensional, sesebuah bangunan dilengkapi dengan sistem penyejuknya sendiri. Pada April 2022, pemilik tujuh bangunan di pusat bandar Tampines telah bersetuju untuk memulakan kerja pada rangkaian penyejukan daerah teragih pertama oleh Kumpulan SP, dengan satu lagi dijadualkan pada masa hadapan.

Inisiatif oleh Kumpulan SP dan Temasek itu dijangka siap pada separuh pertama 2025.

Sebaik siap kelak, Tampines akan menjadi pusat bandar pertama di Singapura yang berupaya mengubah suai sistem penyejukan berpusat dalam projek yang akan mengurangkan kos penyaman udara alam sekitar.

Lebih banyak bandar juga sedang meneroka penyejukan daerah sebagai kaedah untuk mengurangkan tenaga. Daerah Tasik Jurong dan Tengah juga sedang meneroka penggunaan sistem penyejukan berpusat.

Tidak ketinggalan, Ang Mo Kio juga dijadual membina sistem penyejukan daerah terbesar di Singapura oleh SP Group dan pengeluar semikonduktor global STMicroelectronics. Ia mampu mengurangkan penggunaan elektrik tahunan bangunan perindustrian sebanyak 20 peratus dan berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sehingga 120,000 tan setahun - bersamaan dengan mengalihkan 109,090 kereta dari jalan raya!

Terdapat banyak peluang yang tidak terhingga dalam penggunaan AI untuk mengurangkan sisa, mengurangkan tenaga dan mewujudkan persekitaran hidup yang lebih mampan untuk Singapura buat masa ini dan pada masa akan datang.

Potensinya tiada kesudahan, lebih-lebih lagi untuk kita menggunakan AI demi kemaslahatan umat manusia dan alam sekitar.

MENGENAI PENULIS:
Hamidah Aidillah adalah Pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan mendalam tentang media sosial dan trend-trend masa hadapan. Parrot Social merupakan firma Finalis peringkat antarabangsa di wadah online, WeConnect International 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan