Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Peranan kebapaan dalam zaman milenium

Cabaran yang dihadapi anak-anak hari ini mungkin jauh berbeza daripada masa-masa lalu. Bagaimana seorang ayah dapat mainkan peranannya yang lebih berkesan?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cabaran yang dihadapi anak-anak hari ini mungkin jauh berbeza daripada masa-masa lalu. Bagaimana seorang ayah dapat mainkan peranannya yang lebih berkesan?

“Dengar cakap aku… aku lebih banyak makan garam, kau jangan nak tunjuk pandai. Aku bapak kau tau, jangan nak menjawab!” Kata-kata tegas seorang ayah seperti ini memang sering kita dengar semasa kita sedang membesar dulu.

Pada zaman itu, kita menganggap ayah kita lebih mengetahui tentang segala urusan dan menyoal pengetahuan ayah adalah satu perkara yang amat menyinggung, seolah-olah kita berlaku kurang sopan terhadapnya.

Kalau ayah kata putih, itulah jawapan yang mutlak dan kita terima bulat-bulat kerana itu tanda hormat.

Keibubapaan (parenting) di zaman milenium jauh berbeza dengan zaman-zaman lalu. “Lebih makan garam” sudah tidak dianggap lebih berpengetahuan dan pangkat ayah tidak membawa sebarang erti sekiranya ia tidak mampu untuk mendorong, membimbing dan menjadi sumber inspirasi kepada anaknya.

SIMBOL KEBIJAKSANAAN

Peredaran zaman telah memaksa kita ikut berubah dan dengan adanya infomasi yang mudah dicari melalui internet, ayah yang dulunya dianggap berpengetahuan yang luas dan mendalam, telah terbukti tidak mengetahui segalanya dan juga mempunyaii kelemahan.

Secara tiba-tiba, ayah sudah tidak menjadi sumber maklumat utama kerana pengetahuan ayah tidak setanding dengan Google.

Kebenarannya adalah, tidak semua jawapan yang boleh diketemui di Google. Di sinilah pentingnya pengalaman yang telah kita perolehi menempuh liku-liku hidup yang boleh kita sampaikan kepada anak kita untuk dijadikan pedoman.

Sebagai seorang ayah, didikan yang kita berikan kepada anak kita akan jauh lebih bermanfaat apabila kita berupaya merangkumkan kebijaksanaan dalam setiap pengetahuan yang mereka terima.

Namun begitu, kita perlu sedari yang setiap pengalaman yang mereka kemudian lalui tidak mungkin akan sama dengan apa yang kita telah tempuhi.

Setiap generasi menghadapi keadaan dan penerimaan budaya tersendiri disebabkan oleh tahap dan daya pemikiran yang berbeza.

PERANAN BERUBAH

Cabaran yang dihadapi anak-anak masa kini memerlukan pendekatan yang lebih bijak dan interaktif dari ayah dan ibu.

Peranan ayah juga telah berkembang dan berubah bentuk. Terdapat golongan ayah yang lebih aktif dalam usaha membentuk pembangunan anak-anak mereka.

Gambar fail seorang ayah dan anak berbasikal di sebuah taman. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Mereka menonton persembahan-persembahan anak-anak mereka di sekolah, mengikuti kegiatan anjuran kumpulan sokongan ibu bapa (PSG), menyertai aktiviti-aktiviti pasangan anak dan ayah, menghadiri perjumpaan sesi bertemu guru dan kadangkala hadir sendirian tanpa isteri.

Terdapat juga semakin ramai ayah yang ke hadapan untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan mengiringi murid sekolah anaknya melawat tempat-tempat perkhidmatan masyarakat atau ke tempat lawatan sambil belajar.

Pelibatan aktif ayah dalam pelbagai aspek perjalanan hidup anak-anak semakin ketara dan jelas.

Pandangan terhadap kebapaan hanya sebagai penyedia dan penguat kuasa disiplin pula sudah mula dianggap sebagai pandangan yang regresif.

PERHALUSI GAYA

Beberapa kajian yang telah dijalankan oleh pertubuhan kebapaan di beberapa negara melaporkan gejala ketiadaan pelibatan ayah dalam hidup anak mengakibatkan keberangkalian yang lebih tinggi anak itu menceburkan diri dalam penyalahgunaan arak dan dadah dan kegiatan jenayah.

Kajian-kajian tersebut juga mendedahkan bahawa kestabilan keluarga tercapai dengan kehadiran ayah yang aktif.

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Justeru itu, pelibatan ayah dalam hidup anaknya bukan sahaja satu perkara yang patut dialu-alukan, tetapi ia adalah satu kemestian yang harus ditegaskan.

Dengan bertambah ramai ayah yang ingin melibatkan diri secara aktif, maka perlu kita ketahui langkah-langkah penting untuk diambil agar anak dan ayah menjalani pengalaman yang indah dan positif.

Tetapi ayah harus berhati-hati dan sering ingat agar tidak menyekat perkembangan anaknya disebabkan oleh semangat beriya-iya tak terhingga.

MEMBERI RUANG

Kebapaan aktif bukan bererti campur tangan dalam segalanya atau memerhatikan setiap gerak langkah anaknya seperti helang.

Menghormati ruang masing-masing dan kadangkala menjauhkan diri secara fizikal sangat perlu agar anaknya dapat merenung diri dan berfikir secara berdikari.

Berikan anak peluang untuk melakukan kesilapan kerana setiap kesilapan yang anaknya lakukan membawa pengajaran yang tak ternilai.

Yang penting ayah harus sentiasa memberikan sokongan, perangsang dan galakan supaya anaknya berasa yakin untuk terus berusaha.

Setiap harapan terhadap satu sama lain atau sesuatu perkara hendaklah dipersetujui dari awal, sebelum tindakan selanjutnya. Ini akan mengelakkan salah faham dan memberi satu sama lain sasaran yang selaras untuk dicapai.

Persetujuan ini juga boleh dijadikan satu garis pandu bagi persetujuan harapan lain kerana perbincangan untuk mencapai persetujuan itu telah mendedahkan ayah dan anaknya kepada perangai masing-masing yang tersirat.

KEISTIMEWAAN BERBEZA

Jangan membanding-bandingkan anak dengan adik-beradiknya atau dengan anak orang lain. Ini adalah kerana setiap anak itu tadi mempunyai keistimewaan dan kelemahan yang berlainan.

Membanding-bandingkan anak dengan adik-beradiknya akan menimbulkan rasa kurang senang dan iri hati antara satu sama lain. Perbuatan kurang sihat ini boleh meninggalkan kesan berkekalan.

Seorang lelaki berkelah bersama anaknya di sebuah pantai. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Jika perlu menghukum, mengawal diri ketika marah amat penting kerana ayah tidak mahu bertindak ikut kemarahan.

Setiap perasaan yang tidak terkawal boleh menyebabkan tindakan yang berlebihan atau menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Sebaik-baiknya jika ayah terlalu marah, undurkan diri dan rehat sehingga perasaan sudah tenang sebelum mengenakan hukuman kerana hukuman yang sebaik-baiknya adalah yang mendatangkan manfaat kepada yang dihukum.

Bersoal untuk faham bukan untuk jawab -
sering kali ketika ayah menyoal anaknya tentang sesuatu perbuatan atau kejadian, ayah terburu-buru ingin mendidik anaknya atas langkah untuk diambil atau tindakan yang harus dielakkan sehinggakan ayah tidak memberi perhatian langsung kepada jawapan dan penerangan si anak.

Kalau ini kerap berlaku, si anak akan rasa ayahnya tidak berminat untuk memahaminya dan hanya ingin menilainya sahaja. Ini akan menyebabkan anaknya menutup setiap saluran komunikasi dengan ayahnya.

RAIKAN PENCAPAIAN

Setiap pencapaian tidak kira besar atau kecil harus diraikan bersama keluarga. Ayah harus berusaha memupuk semangat menyokong dan menggalakkan di rumah.

(Gambar fail: TODAY)

Amalan baik ini akan mengembangkan persekitaran rumah yang positif dan dengan tidak secara langsung anak-anak akan menjadi sumber inspirasi kepada satu sama lain.

Kesannya keluarga ini akan memperolehi perpaduan sesama sendiri - “sibling unity” dan bukannya “sibling rivalry”.

PENUH KESABARAN

Usaha pendekatan ayah dengan anaknya harus dilakukan dengan cara lembut, berhati-hati dan penuh kesabaran.

Perjalanan ini adalah satu perkongsian bukanlah satu lumba lari meredas, ibarat lumba lari jarak jauh, atau maraton.

Bak kata pepatah Inggeris, “Steady pace wins the race.”

MENGENAI PENULIS:

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.    

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan