Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Peranan AI Generatif pacu perkembangan industri fesyen

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Peranan AI Generatif pacu perkembangan industri fesyen

(Gambar hiasan: Marcus Loke/Unsplash)

Diterbitkan : 25 Apr 2024 11:55PM
SINGAPURA: Memandangkan kita baharu sahaja menamatkan pelbagai Minggu Fesyen di merata dunia seperti London, Milan, New York dan Paris, banyak jenama sedang berusaha untuk menghasilkan dan menjual rekaan dan desain yang baharu sahaja mereka pamerkan di pentas peragaan dan mereka juga sudah memulakan koleksi musim depan.

Pada masa akan datang, besar kemungkinan rekaan dan desain akan menggabungkan kehebatan pengarah kreatif dengan kuasa Kecerdasan Buatan (AI) Generatif bagi membantu membawa pakaian dan aksesori ke pasaran dengan lebih pantas, menjualnya dengan lebih cekap, dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

Walaupun industri fesyen sudah menguji kaji dengan AI asas dan teknologi-teknologi lain seperti metaverse, Token Tidak Sepiawai (Non-Fungible Token atau NFT), ID digital dan Realiti Tambahan (Augmented Reality) - ia setakat ini mempunyai sedikit pengalaman dengan AI Generatif.

Benar, teknologi baharu ini hanya tersedia secara meluas baru-baru ini dan masih dibelenggu masalah dan pepijat (bugs) yang membimbangkan, tetapi semua petanda menunjukkan bahawa ia boleh bertambah baik pada kelajuan kilat dan menjadi pengubah keadaan (game changer) dalam banyak aspek perniagaan.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, AI Generatif boleh menambah S$150 bilion secara konservatif, atau sehingga S$275 bilion kepada keuntungan operasi sektor pakaian, fesyen dan produk mewah, menurut analisis McKinsey.

Dari reka bentuk kod hingga ke usaha mempercepatkan proses pembangunan kandungan, AI Generatif mencipta ruang baharu untuk kreativiti. Ia boleh memasukkan semua bentuk data "tidak berstruktur" - teks mentah, imej dan video - dan mengeluarkan bentuk media baharu, daripada skrip bertulis sepenuhnya kepada reka bentuk tiga dimensi (3D) dan model maya yang realistik untuk kempen video dan pemasaran.
Related article image
(Gambar: Nejc Soklič/Unsplash)
Oleh itu, AI Generatif bukan sekadar automasi - ia merangkumi pembesaran dan pecutan. Ini bermakna memberi karyawan fesyen dan daya kreativiti alat teknologi untuk melakukan tugasan tertentu secara mendadak dengan lebih pantas, membebaskan mereka daripada menghabiskan lebih banyak masa untuk melakukan perkara yang hanya boleh dilakukan oleh manusia. Ini juga bermakna mewujudkan sistem yang lebih baik untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada pelanggan.

AI mempengaruhi segala-galanya dan menawarkan peluang baharu kepada perniagaan berkaitan fesyen untuk menyelaraskan operasi mereka dan mencapai tahap baharu.

Pengurusan Rantaian Bekalan

Salah satu impak terbesar AI dalam fesyen adalah dalam bidang pengurusan rantaian bekalan. Dengan model AI yang mampu dilatih oleh tahap inventori sejarah dan prestasi jualan untuk meramalkan jualan masa hadapan, syarikat-syarikat perniagaan boleh membuat keputusan yang lebih berhemah tentang perkara-perkara yang perlu disimpan dan sebagainya. Ini boleh membantu mengurangkan pembaziran, menaikkan tahap kepuasan pelanggan dan meningkatkan keuntungan.

Saya secara peribadi berpendapat ini adalah salah satu faedah AI yang paling ketara dalam fesyen kerana ia berpotensi untuk menyelaraskan keseluruhan proses rantaian bekalan.

Pemasaran Perniagaan Bagi Fesyen

AI juga mengubah cara syarikat perniagaan fesyen memasarkan produk mereka. Dengan alat pemasaran yang dikuasakan AI, syarikat-syarikat perniagaan boleh menganalisis data untuk menentukan strategi pemasaran terbaik, menyasarkan pelanggan yang betul dan memaksimumkan kesan pengiklanan mereka.
Related article image
(Gambar: Austin Distel/Unsplash)
Ini bukan sahaja akan menjimatkan masa dan wang tetapi juga membantu syarikat-syarikat perniagaan mendahului persaingan dengan mengenal pasti hala tuju aliran dan pasaran baharu. Ini merupakan perkembangan yang menarik untuk industri fesyen kerana ini bermakna syarikat-syarikat perniagaan kini boleh mendampingi lebih ramai pelanggan baharu dan menjana lebih banyak hasil penjualan.

Rekaan & Desain

Satu lagi bidang di mana AI mempunyai impak yang ketara ialah dalam proses reka bentuk. Dengan algoritma AI meramalkan hala tuju aliran dan menganalisis pilihan pelanggan, syarikat-syarikat perniagaan fesyen boleh mencipta reka bentuk yang lebih berkemungkinan popular dengan pasaran sasaran mereka dan mengurangkan risiko menghasilkan reka bentuk yang tidak laku.

Saya fikir ini sangat menarik kerana ia membuka peluang baharu kepada syarikat-syarikat perniagaan untuk mencipta reka bentuk yang inovatif dan dipacu pasaran. Walau bagaimanapun, di sebalik manfaat ini, terdapat juga cabaran yang perlu dipertimbangkan bagi AI dalam fesyen.

Cabaran AI Dalam Industri Fesyen

Salah satu keprihatinan utama ialah potensi AI untuk menggantikan tenaga kerja manusia. Dengan algoritma AI yang mampu melakukan kerja pereka, pemasar dan karyawan fesyen yang lain, terdapat risiko sesetengah pekerjaan akan hilang. Ini boleh memberi impak yang besar kepada industri fesyen secara keseluruhannya dan juga ekonomi yang lebih luas. Ini adalah satu kebimbangan yang jelas dan nyata. Lantaran itu, penting untuk syarikat-syarikat perniagaan memanfaatkan AI dengan cara yang bertanggungjawab dan beretika.

Penghomogenan

Cabaran lain adalah potensi AI menjadikan fesyen nampak serupa. Dengan algoritma AI yang memacu hasil reka bentuk dan pemasaran, terdapat risiko fesyen akan menjadi kurang diperibadikan dan kurang kreatif. Ini boleh menyebabkan kemerosotan mutu produk fesyen, serta penurunan populariti industri secara keseluruhannya. Ini adalah satu kebimbangan yang tidak dapat dielakkan dan terpulang kepada industri secara keseluruhannya untuk memastikan AI digunakan dengan cara yang menggalakkan sentuhan kreatif dan kepelbagaian.
Related article image
(Gambar: Darling Arias/Unsplash)
Sebahagian besar industri fesyen menerima AI dengan tangan yang terbuka. Dengan keupayaannya untuk menganalisis data dan membuat ramalan, AI menawarkan peluang baharu untuk syarikat-syarikat perniagaan menyelaraskan operasi mereka dan mencapai tahap baharu. Dari menambah baik pengurusan rantaian bekalan hingga ke merevolusikan proses reka bentuk, AI merubah industri fesyen dan cara perniagaan dijalankan.

Justeru, apakah kata putusnya? Adakah AI dalam fesyen ibarat hubungan cinta atau satu kebencian? Hakikatnya, ia adalah gabungan kedua-dua aspek itu.

Walaupun AI berpotensi merevolusikan industri fesyen, ia juga mewujudkan cabaran-cabaran baharu yang perlu ditangani oleh syarikat-syarikat perniagaan. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana teknologi, manfaat dan kelemahan AI dalam fesyen semuanya bergantung kepada perspektif yang berbeza. Dan dengan pendekatan yang betul, syarikat-syarikat perniagaan boleh memanfaatkan AI untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan lagi keuntungan masing-masing.



MENGENAI PENULIS
Hamidah Aidillah adalah Pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk membantu syarikat-syarikat perniagaan dan institusi-institusi memahami dengan mendalam tentang media sosial dan trend-trend masa hadapan. Parrot Social merupakan firma Finalis peringkat antarabangsa di wadah online WeConnect International 2022. Hamidah adalah antara 100 Wanita Cemerlang Dalam Bidang Teknologi bagi tahun 2023.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita