KOMENTAR: Peranan Agong semakin jadi tumpuan; mampukah Parlimen M'sia tangani keprihatinan rakyat?
Adakah Raja-Raja Melayu satu-satunya institusi di Malaysia yang masih meraih kepercayaan rakyat untuk menangani kesan teruk pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan hidup?
BERITAmediacorp: Adakah Raja-Raja Melayu satu-satunya institusi di Malaysia yang masih meraih kepercayaan rakyat untuk menangani kesan teruk pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan hidup?
Sidang Parlimen yang akan dibuka semula minggu ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Secara kebetulan, COVID-19 melanda ketika kuasa institusi Raja-Raja Melayu semakin bertambah kukuh di Malaysia.
Ia mula mengukuh pada Februari 2020 ketika Yang di-Pertuan Agong yang baru ditabalkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berdepan dengan kebuntuan politik selepas Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, sekali gus menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Yang di-Pertuan Agong tiba-tiba memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan pemimpin seterusnya. Dengan kata putusnya, Muhyiddin Yassin menyandang jawatan Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong juga memainkan peranan sebagai pemutus apabila beliau memperkenankan Anwar Ibrahim untuk menghadapnya pada Oktober 2020. Beliau bagaimanapun menolak permohonan Anwar untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
Dan beliau juga bertindak dengan penuh berwaspada ketika beliau menolak permohonan awal Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan keadaan darurat. Namun beliau akhirnya bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi mengisytiharkan perintah darurat pada Januari apabila COVID-19 menular dengan meluas di merata negara.
Agong sekali lagi menjadi tumpuan ramai pada Jun di tengah-tengah keadaan COVID-19 yang bertambah buruk dan setelah keprihatinan dibangkitkan sama ada perintah darurat yang diisytiharkan dilanjutkan tempohnya dengan sengaja untuk mengelak perbahasan di Parlimen dan pada masa yang sama mengukuhkan lagi kuasa dan pengaruh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Seperti yang dilakukan pada awal 2020, beliau sekali lagi berunding dengan para penggubal undang-undang dan wakil daripada semua parti politik. Beliau kemudian bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja sebelum membuat keputusan.
Yang di-Pertuan Agong mentitahkan agar Parlimen kembali bersidang secepat mungkin dan tidak lama kemudian, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan berasingan yang menzahirkan kata sepakat mereka yang berpendapat bahawa tempoh Keadaan Darurat tidak seharusnya dilanjutkan lagi.
Yang di-Pertuan Agong menegakkan keputusan tersebut dengan meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara supaya membincangkan pembukaan semula Parlimen.
SISTEM RAJA BERPERLEMBAGAAN
Di bawah pentadbiran raja berperlembagaan seperti Malaysia, institusi Raja-Raja Melayu bertindak dengan cara di luar bidang kuasa politik.
Ketika kerajaan kukuh, institusi raja lebih bersifat sebagai raja yang mentadbir sesebuah negeri tanpa sebarang kuasa atau pengaruh politik. Di bawah pentadbiran penggal pertama Dr Mahathir sebagai perdana menteri, perlembagaan Malaysia dipinda untuk memansuhkan kuasa veto dan kekebalan institusi raja di sisi undang-undang, dengan sekatan-sekatan diperkenalkan bagi mengawal kos yang ditanggung oleh negeri-negeri untuk menampung institusi raja.
Pada masa kerajaan lemah pula, kekosongan politik itu membuka laluan kepada raja-raja untuk lebih lantang bersuara, seperti yang berlaku pada 2015 apabila Majlis Raja-Raja menggesa supaya skandal 1MDB dihuraikan secepat mungkin.
Buat masa ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang lain dianggap sebagai satu-satunya institusi yang masih mampu bertindak demi menjaga kepentingan rakyat.
Sebahagiannya disebabkan oleh kuasa raja-raja yang diwarisi turun-temurun. Dalam masyarakat yang sejak sekian lama dikuasai oleh kaum bangsawan, ramai rakyat Malaysia masih taat dan setia kepada raja dan menganggap institusi raja penting dalam menyemak dan mengimbangi kuasa kerajaan. Raja-raja juga dianggap berwibawa dalam hal ehwal agama yang sensitif.
Ketika fahaman tegar Islam mendorong sesetengah pihak untuk menyifatkan ucapan sempena Hari Krismas sebagai haram pada 2018, Sultan Johor mengecam pandangan sedemikian dengan mengucapkan “Merry Christmas” kepada rakyat Malaysia yang meraikan perayaan itu. Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan ucapannya sempena perayaan Deepavali pada 2020.
KEADAAN GENTING DI MALAYSIA
Peranan Yang di-Pertuan Agong akan lebih jelas sedang Malaysia mengharungi masa-masa yang mencabar dalam masa beberapa minggu akan datang.
Angka korban harian akibat jangkitan COVID-19 sudahpun melepasi 150 kematian, dengan sekitar 900 pesakit dimasukkan ke unit jagaan rapi setiap hari, termasuk separuh daripada mereka yang memerlukan bantuan pernafasan setakat Ahad (15 Jul). Mangsa paling muda yang tewas kepada COVID-19 adalah seorang bayi berusia 38 minggu, yang jenazahnya dikebumikan minggu lalu. Sebilangan wanita yang hamil juga meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus itu.
Hospital-hospital, terutama di Lembah Klang, penuh sesak dengan pesakit. Sesetengah pesakit COVID-19 terpaksa berpatah balik atau menginap di hotel-hotel yang diubah menjadi kemudahan kuarantin.
Ramai rakyat Malaysia kehilangan mata pencarian dan hasil pendapatan mereka kian merosot sedang industri-industri terpaksa ditutup. Ada pula yang diusir kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Ramai lagi yang dibebani hutang dan tidak mampu menyara kehidupan keluarga.
Polis Diraja Malaysia melaporkan purata dua hingga tiga kes bunuh diri setiap hari dalam tempoh lima bulan pertama 2021 – hampir seganda perangkaan dari 2020 dan 2019.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikuatkuasakan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan prihatin rakyat melancarkan pelbagai usaha dan bantuan, dengan usaha tersebut digandakan kebelakangan ini di tengah-tengah gerakan ‘bendera putih’ untuk membantu golongan yang belum didampingi sebelum ini.
Terdapat juga penduduk yang membangunkan aplikasi dan wadah online untuk membantu para individu yang memerlukan pertolongan dan mengarahkan mereka ke lokasi bank makanan yang terletak berdekatan dengan mereka.
Sedang contoh-contoh dipaparkan untuk menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang saling bantu-membantu satu sama lain, ramai juga yang berasa kecewa. Mereka benar-benar berharap agar keadaan boleh kembali ke “norma” sebelum COVID-19.
MAMPUKAH PARLIMEN TANGANI KEPRIHATINAN RAKYAT?
Rakyat Malaysia sedang menanti-nantikan sidang Parlimen minggu ini untuk menilai sama ada para anggota Parlimen mampu meleraikan keadaan genting di negara itu.
Mereka berharap Parlimen akan dapat menambahkan lagi tekanan bagi memastikan pembukaan semula ekonomi akan dapat memanfaatkan semua orang dan bukan pemain-pemain utama mahupun kilang-kilang saja.
Mereka juga ingin melihat lebih banyak ketelusan pada agihan bantuan di tengah-tengah keprihatinan terhadap rancangan untuk memanfaatkan Dana Amanah Negara. Bagi kelangsungan kehidupan harian pula, ramai rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar dan kawasan-kawasan pedalaman mahu melihat sekatan perjalanan dalam lingkungan 10 kilometer digugurkan.
Bantuan yang dihulurkan kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan kecil-kecilan gagal menyelamatkan lebih 100,000 perniagaan yang terpaksa gulung tikar sejak PKP pertama kali dikuatkuasakan. Persatuan Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia menganggarkan sekitar 50,000 lagi perniagaan akan berdepan dengan nasib yang sama jika PKP sekarang ini dilanjutkan lagi.
Kerajaan Malaysia sudahpun memperkenalkan pakej-pakej bantuan kewangan sejak COVID-19 melanda negara itu namun menurut maklum balas di peringkat akar umbi, mereka yang terdesak masih mengalami kesulitan untuk mendapatkan bantuan akibat hambatan pentadbiran atau kekurangan maklumat.
Kerajaan juga melancarkan inisiatif bank makanan Bakul Prihatin Negeri bernilai RM21 juta yang bertujuan untuk membantu 1.68 juta rakyat Malaysia.
Bekalan beras dan keperluan asas yang lain juga dikirimkan ke bandar-bandar dan kampung-kampung namun para penduduk luar bandar Johor misalnya, prihatin tentang bagaimana butiran peribadi mereka akan digunakan.
AGONG IBARAT SINAR HARAPAN?
Secara teori, Yang di-Pertuan Agong tidak memegang kuasa. Raja-Raja Melayu terikat dengan sekatan dalam perlembagaan – mereka tidak memiliki kuasa mutlak untuk memaksa kerajaan mengambil tindakan tertentu atau menukar tampuk kepimpinan.
Namun, Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan sebagai pengantara dalam pertikaian antara Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan, yang menyuarakan keprihatinan sekiranya sidang parlimen minggu ini setakat memberi laluan kepada jemaah menteri untuk menyampaikan taklimat tanpa membuka peluang untuk berbahas, dan ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Ahli-ahli politik di Malaysia sedar bahawa Yang di-Pertuan Agong akan memantau perbahasan di Parlimen dan mungkin membuat perisytiharan sama ada sidang parlimen itu benar-benar diadakan demi kepentingan rakyat, dan mungkin mencuba untuk mempengaruhi perkara-perkara yang dititah Yang di-Pertuan Agong.
Baru-baru ini, Peguam Negara Idrus Harun bertegas bahawa Yang di-Pertuan Agong kekal sebagai raja berperlembagaan yang perlu menuruti nasihat Kabinet sekalipun dalam keadaan darurat. Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia Abdul Hamid Mohamad juga menarik perhatian bahawa sebarang tindakan oleh pihak Istana yang bertentangan dengan nasihat Peguam Negara boleh dicabar di mahkamah.
Tentu sekali pembukaan semula Parlimen tidak akan dapat menghuraikan segala masalah di Malaysia atau menghapuskan pandemik COVID-19 dengan serta-merta. Pertanyaan tentang bagaimana program vaksinasi kebangsaan boleh diperhebatkan, perbelanjaan untuk membiayai program vaksinasi dan garis masa sehingga ekonomi boleh dibuka semula, tidak akan dapat dijawab dalam tempoh seminggu.
Sekalipun rakyat dapat menghela nafas lega buat seketika kerana Yang di-Pertuan Agong telah berjaya memaksa persidangan parlimen diadakan, hakikatnya keadaan tidak banyak berubah.
Tetapi buat masa ini, Raja-Raja Melayu kelihatan berhasil memenuhi tanggungjawab mereka sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan.
Bagi sesetengah pihak, sinar harapan di masa yang sungguh mencabar ini mungkin sudah memadai.
MENGENAI PENULIS:
Dr Serina Abdul Rahman adalah Zamil Pelawat di ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.