KOMENTAR: Peralihan PAS Dari Islamisme kepada Diplomasi Pembangunan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memegang jumlah kerusi terbesar di Parlimen Persekutuan Malaysia sejak Pilihan Raya Umum 2022. (Gambar: Bernama)
- PAS semakin berpengaruh sejak 1990-an, kini menguasai tiga negeri dan memegang kerusi terbanyak di Parlimen Malaysia selepas PRU 2022.
- Dasar luar PAS berasaskan solidariti Islam, namun pengalaman memerintah mendorong parti itu mengutamakan pragmatisme dan kepentingan ekonomi negara.
- PAS menjalin hubungan diplomatik dengan negara Islam dan bukan Islam, termasuk usaha menarik pelaburan serta kerjasama teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
- Walaupun retorik Islamis kekal, pendekatan PAS kini lebih seimbang antara identiti agama dan keperluan pembangunan, dengan perbezaan dasar luar berbanding kerajaan semasa dijangka tidak terlalu ketara.
Sejak Pilihan Raya Umum 2022, PAS memegang jumlah kerusi terbesar di Parlimen Persekutuan Malaysia. Ia kini turut menguasai tiga negeri: Kedah, Kelantan dan Terengganu. Daripada melihat PAS sebagai parti dominan hanya di beberapa buah negeri, penggubal dasar di dalam dan luar Malaysia mula membuat persiapan bagi kemungkinan PAS menerajui, atau sekurang-kurangnya mendominasi, kerajaan persekutuan.
Justeru, persoalan mengenai hala tuju dasar Malaysia sekiranya PAS membentuk kerajaan persekutuan bukan lagi sekadar satu andaian.
PANDANGAN DASAR LUAR PAS SEMASA KEBANGKITAN ISLAM
Golongan ulama secara rasmi mengambil alih kepimpinan PAS pada 1987.
Selepas ulama mengambil alih, daripada 1980-an hingga 2020-an, PAS menjalin hubungan dengan gerakan dan parti Islam di bahagian lain dunia.
Pandangan dasar luar PAS dapat dikesan melalui penerbitan dan khutbah ulama, serta dokumen rasmi parti.
Pemikiran ulama PAS berteraskan pembahagian antara hubungan dengan umat Islam dan bukan Islam. Agama menjadi asas interaksi, berbanding kewarganegaraan yang sama rata atau, dari segi hubungan antarabangsa, kesamarataan hak negara di bawah undang-undang antarabangsa.
PENGALAMAN MEMERINTAH
Pada 2020, PAS menyertai kerajaan persekutuan selepas Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan PH.
Pengalaman memerintah secara asasnya mendorong parti tersebut untuk membuktikan keupayaannya mencapai hasil material dan pembangunan. Para pemimpin PAS terpaksa berdepan persoalan praktikal pemerintahan: bagaimana mewujudkan pekerjaan, menarik pelaburan dan membiayai pembangunan.
Presiden PAS Abdul Hadi dilantik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Utusan Khas ke Timur Tengah dengan status menteri.
Pandangan dasar luar PAS disuarakan secara institusi melalui Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar. Kenyataan oleh pengerusinya menunjukkan kesinambungan ketara dengan pandangan Islamis-internasionalis PAS yang lebih lama: Palestin kekal sebagai tumpuan dan negara-negara majoriti Muslim berulang kali digesa bertindak secara bersama.
Namun, tiada bukti bahawa retorik ini menghalang hubungan pragmatik. Walaupun Lajnah pernah menuduh Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengkhianati umat Islam dan Palestin, Abdul Hadi kemudiannya bertemu Duta Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai Utusan Khas, menunjukkan bahawa PAS boleh memisahkan perbezaan ideologi dan hubungan diplomatik secara praktikal.
Lajnah itu juga menjalin hubungan di luar dunia Islam, termasuk dengan Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Jepun.
Justeru, ia memberikan gambaran mengenai pemikiran dasar luar PAS di peringkat parti yang berteraskan solidariti Islam, tetapi semakin bersedia menggunakan hubungan diplomatik dan ekonomi konvensional di luar dunia Islam.
DIPLOMASI PEMBANGUNAN: PRAGMATISME MENGATASI IDENTITI
Pelantikan Abdul Hadi sebagai utusan khas perdana menteri ke Timur Tengah pada April 2020 menandakan pelibatan PAS yang paling langsung dalam dasar luar Malaysia.
Pelantikan itu menunjukkan bagaimana hubungan berasaskan gerakan PAS berpotensi ditukar menjadi saluran diplomatik di peringkat kerajaan.
Pengalaman Abdul Hadi memberikan petunjuk mengenai rupa dasar luar Malaysia di bawah PAS. Retorik ideologinya tidak diubah menjadi doktrin diplomatik yang tersendiri. Sebaliknya, PAS kontemporari menggabungkan solidariti Muslim yang tegas dengan hubungan pragmatik berasaskan kepentingan nasional.
Inisiatif ini bertujuan membangunkan industri hiliran bernilai lebih tinggi dan mengurangkan kebergantungan negeri itu kepada hasil petroleum.
Singapura mula didedahkan kepada ekonomi perindustrian Kedah, selain Kelantan. Bagaimanapun, jejak pelaburannya di negeri-negeri pimpinan PAS masih agak kecil berbanding negeri lain di Malaysia. Dari sudut strategik, hubungan sedemikian boleh memberikan Singapura peluang ekonomi serta hubungan kerja dengan kelompok pemimpin politik Malaysia yang semakin penting.
KESINAMBUNGAN MELALUI INSTRUMEN BAHARU
Perbandingan antara kepimpinan PAS terdahulu dengan semasa menunjukkan bahawa pandangan dasar luar parti itu telah berkembang dan bukannya berubah sepenuhnya. Jika pemimpin terdahulu menggariskan hubungan antarabangsa terutama melalui identiti agama, gerakan Islam rentas negara dan solidariti terhadap perjuangan umat Islam, perkembangan terkini semakin menggunakan institusi kerajaan untuk menjalinkan hubungan luar.
Kerajaan pimpinan PAS akan memberi penekanan kepada diplomasi Islam, memperdalam hubungan dengan negara majoriti Muslim dan terus mengetengahkan isu-isu seperti Palestin. Namun, keutamaan ini akan wujud bersama pengiktirafan pragmatik terhadap keperluan ekonomi Malaysia.
Hubungan antarabangsa kini dijalankan melalui usaha menarik pelaburan, perkongsian teknologi, kerjasama tenaga boleh diperbaharui, pembangunan prasarana dan pertukaran antara kerajaan.
Dalam hal ini, perbezaan antara kerajaan pimpinan PAS dengan pentadbiran semasa mungkin kurang ketara berbanding yang sering diandaikan. Di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia sudah mengambil pendirian diplomatik yang kukuh menyokong Palestin sambil mengekalkan hubungan ekonomi dengan China, rakan-rakan ASEAN, negara-negara Teluk dan pelabur Barat. Oleh itu, pentadbiran PAS pada masa depan lebih berkemungkinan mengembangkan, bukannya mengubah secara asas, dasar luar Malaysia. Perbezaan utama adalah dari segi penggarisan retorik dan keutamaan terhadap solidariti Islam.
Selagi PAS terus memerintah negeri-negeri yang mempunyai kepentingan strategik, mengekalkan saluran komunikasi pragmatik berkemungkinan memberikan manfaat lebih besar berbanding pengasingan. Kebimbangan lebih besar bagi kerajaan dan pelabur asing mungkin bukan sifat konservatif PAS, tetapi sama ada pentadbiran pimpinan PAS akan mengutamakan reformasi tadbir urus dan daya saing ekonomi berbanding ideologi.
*Komentar ini adalah ringkasan daripada rencana asal bertajuk “PAS’s Evolving International Engagement: From Islamism to Development Diplomacy?” diterbitkan oleh ISEAS - Institut Yusof Ishak pada 28 Ogos 2026.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.