Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penubuhan RRG penting bagi perbetul salah faham tentang Islam

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Penubuhan RRG penting bagi perbetul salah faham tentang Islam

(Gambar: Laman web RRG)

BERITAmediacorp: Dua dekad lalu pada akhir 2001, Singapura menahan sekumpulan anggota Jemaah Islamiyah (JI) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka ditahan kerana merancang untuk melakukan serangan pengganas di negara ini. Ini termasuk bangunan Kedutaan Amerika Syarikat dan Israel, stesen MRT Yishun dan beberapa lokasi lain.

Siasatan awal Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menunjukkan JI telah menggunakan konsep-konsep agama seperti Jihad, Bai’ah, Hijrah dan Ummah untuk mewajarkan rancangan dan perbuatan ganas.

Realiti ini menjadi satu kebimbangan bagi pihak pemerintah Singapura pada masa itu. Menahan anggota JI dan menempatkan mereka dalam penjara tanpa membetulkan pemahamam agama mereka yang salah tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

RRG1
(Gambar: Laman web RRG)

Selain pengganasan, isu utama yang menjadi keprihatinan dan kebimbangan daripada episod JI ini adalah salah faham terhadap Islam dan penggunaan konsep agama bagi mewajarkan perbuatan ganas. Ini harus ditangani dengan serius.

Pemerintah akur bahawa tugas untuk membetulkan fahaman anggota JI ini terletak di atas bahu mereka yang pakar dalam urusan agama iaitu para ulama dan asatizah.

Ini telah menjurus kepada penubuhan sekumpulan sukarelawan asatizah yang dikenali sebagai Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang secara rasminya ditubuhkan pada tahun 2003.

PENUBUHAN RRG

Sejarah penubuhan RRG bermula apabila pihak ISD mengundang dua asatizah mapan iaitu Ustaz Ali Haji Mohamed, Pengerusi Masjid Khadijah dan Ustaz Mohammad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS) untuk bertemu dengan tahanan JI dan berdialog dengan mereka.

Pertemuan Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi dengan tahanan JI, yang dilakukan secara sukarela ini amat penting untuk memahami apakah sebenarnya yang berlegar dalam benak fikiran para tahanan. Ia juga bertujuan untuk memastikan di manakah letaknya salah faham mereka tentang ajaran agama.

RRRG2
(Gambar: Laman web RRG)

Setelah pertemuan awal ini dijalankan, kedua-dua asatizah ini mendapati bahawa para tahanan telah terpengaruh dengan satu sistem kepercayaan yang dipelopori JI. Ia adalah penubuhan Daulah Islamiyah Nusantara atau Negara Islam di rantau ini. Para asatizah ini juga mendapati bahawa JI mempunyai fahaman Jihad yang salah iaitu memerangi orang kafir dengan cara pengeboman dan pembunuhan.

Atas sebab inilah, Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi merasakan keperluan untuk membidas fahaman songsang anggota JI dan membetulkan salah faham tentang Islam. Pada ketika itu, pengarah ISD, Encik Benny Lim sebagai seseorang yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam menimbulkan saranan dan wawasan untuk membentuk satu program khas dan berstruktur bagi pemulihan keagamaan.

IDEOLOGI JI

Sebelum memulakan tugas kaunseling yang bermula pada 2004, RRG diberi peluang untuk mengkaji ideologi JI dengan lebih mendalam. Ini termasuk meneliti kandungan manual ideologi JI yang dikenali sebagai “Pedoman Umum Perjuangan Al-Jamaah Al-Islamiyah” atau PUPJI.

Dalam PUPJI, JI menjelaskan kepentingan menegakkan satu sistem pemerintahan Islam. Ia dapat dilihat dalam PUPJI menerusi kenyataan “mewujudkan landasan pentadbiran Jama’ah Islamiyah yang tertib dan teratur dalam rangka mencapai tegaknya khilafah ‘alaa minhajin nubuwwah (sistem pemerintahan khilafah yang berlandaskan prinsip kenabian) yang menjamin terlaksananya syariat Islam secara kaaffah (keseluruhan)”.

Dari kenyataan JI ini, dapat disimpulkan bahawa ideologi JI ini adalah ideologi politik yang menggunakan landasan agama. JI telah mencipta satu rangka ideologi yang berbentuk militan dengan menghalalkan pertempuran dan pengganasan atas nama Islam.

Maka itu, kaunseling keagamaan dengan tujuan membetulkan segala kekeliruan dan salah faham tentang Islam dan konsep-konsep agama amat perlu dan penting. Kepentingan kaunseling keagamaan ini pada umumnya penting atas dua sebab.

RRG4
Gambar: AP Images

Pertama, ideologi agama JI menimbulkan ancaman keselamatan negara dan awam.

Kedua, ia juga mampu merebak ke anggota masyarakat yang lain.

Dengan adanya usaha pemulihan ini, ia diharap akan dapat memutuskan rantaian pengganasan dalam kalangan keluarga. Ini sekali gus mencegah pembentukan semula sebarang bentuk rangkaian pengganasan di negara dan rantau ini.

MENJUNJUNG AMANAH

Kepentingan usaha kaunseling yang dilakukan RRG ini dapat dilihat melalui pengesahan dan sokongan yang diberikan para ulama mapan di sini. Dalam proses mengkaji dan kemudiannya menghasilkan manual kaunseling RRG yang pertama pada 2003, RRG telah dibimbing oleh ulama mapan antaranya Almarhum Ustaz Ahmad Sondhaji Mohamad, Almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait dan Ustaz Mohammad Haji Rais.

Kemua asatizah mapan ini akur bahawa ia menjadi satu tanggungjawab dan amanah bagi para ulama dan pemimpin agama untuk memelihara kesucian Islam dan memperbetulkan sebarang salah tanggap terhadap agama, apatah lagi menyalahgunakannya untuk mewajarkan pengganasan.

Atas nama amanah dan keperluan penting ini dan setelah mendapat pengesahan para ulama mapan, maka kedua-dua pengasas RRG, Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi kemudiannya mendapatkan kerjasama asatizah lebih muda untuk menyertai RRG demi menjalankan tugas sukarelawan kaunseling.

RRJ8
(Gambar: Laman web RRG)

Pada tahun 2005, RRG mula merekrut beberapa orang ustazah untuk menyertai RRG. Walaupun para tahanan kesemuanya lelaki pada ketika itu, RRG merasakan keperluan untuk mendekati dan juga membimbing keluarga para tahanan JI khususnya isteri-isteri dan anak-anak mereka. Pendekatan ini penting dalam strategi keseluruhan program pemulihan yang dilakukan di Singapura ini.

Pada tahun yang sama, buat pertama kalinya, RRG keluar ke masyarakat dan mendekati mereka. Ini dilakukan dengan mengadakan forum agama yang membincang topik pengganasan dan salah faham terhadap Islam dan konsep Jihad.

Program mendekati masyarakat ini kemudiannya dipergiatkan RRG dan diadakan di banyak tempat awam seperti masjid, stadium, balai rakyat, sekolah dan madrasah. Tujuan inisiatif RRG ini ada dua.
masjid
Pertama, mendidik masyarakat tentang bahayanya fahaman JI dan ekstremisme dan kedua meyakinkan mereka agar jangan mudah terpengaruh dengan ideologi yang disebarkan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan JI.

Sehingga ke hari ini, RRG mempunyai dua tanggungjawab utama. Pertama ialah memberi kaunseling kepada tahanan Muslim yang ditahan di bawah ISA kerana tujuan pengganasan. Kedua mendekati masyarakat agar mereka sedar dan waspada terhadap bahaya ideologi radikal. Ini dilakukan secara fizikal dan juga dalam talian dan melalui wadah media sosial seperti Facebook dan Instagram.

ANDAINYA TIADA RRG

Dalam memperingati 20 tahun penangkapan JI pada Disember lalu, ISD melaporkan bahawa 52 daripada 56 tahanan JI telah dibebaskan. Proses integrasi mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat juga berjalan dengan baik.

Perkembangan ini harus disyukuri dan dibanggakan. Ia menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan RRG dengan program kaunselingnya dan Kumpulan Penjagaan Lanjut (ACG) serta badan-badan lain membawa hasil dan natijah yang diharapkan.

Harapan pemerintah, RRG dan masyarakat adalah semoga anggota JI ini dapat kembali ke pangkuan masyarakat dalam keadaan sudah berjaya dipulih dan diterima semula.

Selain anggota JI, ramai juga tahanan yang ditahan di bawah ISA kerana menyokong ISIS dan pengganasan, telah berjaya dibebaskan. Sehingga ke hari ini, sekurang-kurangnya 90 peratus daripada tahanan ISA yang telah menjalani program pemulihan telah dapat pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam keadaan yang baik.

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam usaha membanteras pengganasan dan ideologi radikal dan dengan jumlah tahanan yang telah dibebaskan, RRG boleh dikatakan mencapai kejayaan yang dapat dibanggakan. Namun, tugas RRG belum lagi selesai, bahkan diperlukan dan kekal penting buat jangka masa yang panjang.

Ini disebabkan oleh ancaman ideologi pengganasan dan radikal yang belum lagi reda dan berterusan.

Landskap dan evolusi pengganasan yang semakin berubah-ubah menuntut RRG untuk terus bergerak dengan cara dan pendekatan yang baru dan lebih efektif.

BUKU
Gambar: BeritaMediacorp

Untuk merealisasikannya, wawasan dan usaha RRG perlu disokong dan dibantu.

Sebagai masyarakat yang bersatu padu, marilah sama-sama kita berganding bahu untuk terus berusaha dan saling bekerjasama demi kebaikan dan kemaslahatan masyarakat dan negara.

Sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan menghargai segala usaha yang baik harus menjadi prinsip kehidupan kita. Pada waktu yang sama, kita juga harus menolak segala sentimen kebencian dan segala perbuatan yang hanya akan memecahbelahkan masyarakat.

Kewujudan RRG dalam arena menentang pengganasan di Singapura ini adalah satu hikmah dan nikmat yang harus disyukuri segenap warga Singapura.

Sumbangan anggota RRG bukan setakat membetulkan salah faham agama tetapi juga membantu dalam isu keselamatan negara.

Bayangkan dua dekad yang lalu, sekiranya RRG tidak dibentuk?

Apakah mungkin para tahanan ISA dapat dibebaskan hari ini dan ideologi salah mereka diluruskan?

Marilah kita renungkan dan mensyukurinya bersama.

MENGENAI PENULIS:

dr
Dr Mohamed Ali (Gambar: Dr Mohamed Ali)

Dr Mohamed Bin Ali adalah kaunselor dan Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Beliau merupakan antara asatizah yang telah berkhidmat dalam RRG sejak ia ditubuhkan pada April 2003. Dr Mohamed bertugas sebagai Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga berkhidmat sebagai anggota Lembaga Rayuan MUIS dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan