Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penting dalam PN tapi wajarkah PAS dilayan sebagai ‘adik bongsu’?

Tidak semua anggota PAS dikatakan berpuas hati dengan cara dua parti utama dalam PN, iaitu UMNO dan Bersatu melayaninya. Apakah perasaan tidak puas hati ini bakal mendatangkan kesan dalam pilihan raya umum M’sia yang akan datang? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Penting dalam PN tapi wajarkah PAS dilayan sebagai ‘adik bongsu’?

Bendera PAS. (Gambar fail: @paspusat/Instagram)

BERITAmediacorp: Tidak semua anggota PAS dikatakan berpuas hati dengan cara dua parti utama dalam PN, iaitu UMNO dan Bersatu melayaninya. Apakah perasaan tidak puas hati ini bakal mendatangkan kesan dalam pilihan raya umum M’sia yang akan datang?

Sudah enam bulan sejak gabungan parti Perikatan Nasional mengambil alih kuasa pemerintahan dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertapak sebagai parti komponen kerajaan gabungan.

Namun timbul persoalan sama ada para anggota parti reda dengan kedudukan PAS sebagai ‘adik bongsu’ kepada UMNO dan Bersatu.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019. (Gambar: BERNAMA)

(Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019. Gambar: BERNAMA)

Buat julung-julung kalinya sejak 1977, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengadakan Muktamar tahunannya sebagai salah sebuah parti yang memerintah di Malaysia.

Ia kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu.

Pucuk pimpinan PH menganggap PN sebagai gabungan parti kerajaan yang lemah. Ini merupakan penilaian yang tepat jika mengambil kira percaturan yang dilakukan PN dalam usaha merampas kuasa melalui “pintu belakang” dan bukan menerusi pilihan raya.

Memandangkan PN hanya memegang majoriti dua kerusi di parlimen, ia sudah tentu akan tumbang tanpa sokongan PAS.

Dalam erti kata lain, PAS merupakan “kingmaker” – ia memegang anak kunci kepada pembentukan kerajaan.

SIKAP PRAGMATIK

Pada 1980-an, PAS mengambil haluan politik kanan bersifat agama. Pucuk pimpinannya yang terdiri daripada ulama memperjuangkan sebuah negara Islam dan mengusulkan penguatkuasaan undang-undang hudud.

Gambar bendera Parti Islam SeMalaysia (PAS) (Gambar: AFP PHOTO/TENGKU BAHAR)

Namun sedekad kemudian, PAS berubah menjadi parti yang bersikap pragmatik. Pada ketika itu, UMNO, yang juga sebuah parti Melayu/Islam, adalah parti lawan utama PAS.

Sebaliknya, PAS juga pernah bergabung dengan parti berbilang kaum dan agama Parti Keadilan Rakyat (PKR); dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sekular dengan majoriti anggota kaum Cina – meskipun DAP menolak penguatkuasaan undang-undang hudud.

PAS menggunakan istilah luas ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama dengan parti-parti politik lain) sebagai dalil bagi menyokong apa yang kelihatan seperti agenda politik yang kecelaruan.

Semasa muktamar tahun ini, pemimpin-pemimpin PAS secara terang-terangan membangkitkan isu penyatuan ummah.

Ini sebahagian besarnya bertujuan meyakinkan para anggota bahawa keputusan parti itu untuk menyertai kerajaan PN – bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seteru buat sekian lama UMNO – adalah wajar.

Namun, sebab-sebab mengapa ia menyertai gabungan-gabungan parti lain, sehingga berlaku penindihan, tidak diterangkan.

Penyertaan PAS dalam berbilang gabungan parti bercanggah dengan pendirian pucuk pimpinannya bahawa parti-parti Melayu kini bersepakat.

GABUNGAN BERTINDIH

Fakta-fakta pada hakikatnya jelas ternyata – namun sukar untuk difahami. Sebagai parti komponen PN, PAS merapatkan barisan dengan UMNO, Bersatu dan parti-parti lain yang menyokong kerajaan PM Muhyiddin.

PM Muhyiddin. (Gambar: AFP)

Bersatu kelihatan sebagai teraju utama dalam kerajaan gabungan sedia ada.

Pada masa yang sama, PAS juga menyertai Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO. Perikatan parti itu dirasmikan pada September 2019 dan berhasil mendatangkan siri kemenangan pilihan raya kecil yang menyaksikan PH kecundang.

Permohonan Bersatu untuk menyertai MN hanya diluluskan pada minggu-minggu terakhir Ogos. Dalam MN, UMNO merupakan parti yang dominan.

PAS juga terlibat dalam gabungan parti yang lebih longgar, iaitu Gagasan Sejahtera (GS), dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia diketuai mantan menteri UMNO Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Perikatan itu pula merupakan peninggalan Pilihan Raya Umum ke-14 di mana kedua-dua parti bertanding dalam sebuah gabungan parti.

Sementara itu, PAS mempunyai pilihan menyertai Barisan Nasional (BN) – gabungan parti UMNO dengan parti-parti bukan Melayu sejak sekian lama – namun memilih untuk menyertai PN.

Semasa muktamar tahun ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan lagi keperluan PAS untuk kekal dalam kerajaan gabungan PN.

‘ADIK BONGSU’

Tentunya pucuk pimpinan PAS mengatakan demikian sebagai menjawab sesetengah anggota parti yang tidak berpuas hati dengan cara UMNO dan Bersatu melayan PAS.

Ia dilayan seolah-olah seperti “adik bongsu” meskipun ia memainkan peranan penting untuk menumbangkan kerajaan PH.

Rasa tidak puas hati sedemikian bukannya berlaku tanpa sebab – gerakan akar umbi PAS yang menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Slim di Perak.

Ironinya, anggota-anggota PAS tidak diwakili secukupnya dalam Kabinet masa ini dan tiada seorang pun pemimpinnya yang dilantik sebagai salah seorang daripada empat menteri kanan.

Para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah mendedahkan manifesto bagi pilihan raya negeri Sabah pada 16 Sep 2020. (Gambar: Bernama) 

(Para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah mendedahkan manifesto bagi pilihan raya negeri Sabah pada 16 Sep 2020. Gambar: Bernama) 

Bagi Pilihan Raya Negeri Sabah, PN tidak memperuntukkan mana-mana kerusi kepada PAS.

Secara kebetulannya, wakil-wakil PAS dari Sabah – serta mereka dari Kedah dan Perlis – dinasihatkan agar tidak menghadiri muktamar di Kelantan di tengah-tengah sekatan perjalanan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

SESAT DI JALAN?

Buat masa ini, PAS kelihatan tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa. Malah para pemimpinnya menyebut-nyebut bahawa PAS bersedia mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun, tumpuan keterlaluan kepada kepentingan politik tidak semestinya mencerminkan sentimen anggota-anggota biasa.

Pada 1970-an apabila PAS menyertai kerajaan BN buat seketika, para anggota sanggup mengundi untuk menentang langkah itu kerana ia terlalu menitikberatkan pegangan kuasa.

Kebelakangan ini pula ada sesetengah pihak sudah mula mempersoalkan pendirian PAS berhubung rancangannya untuk meminda Akta 355 – iaitu salah satu janji yang dibuat PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bagi meluaskan kuasa Mahkamah Syariah.

HUKUM HUDUD

Tambahan lagi, agenda PAS sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, antara lain, untuk menubuhkan negara Islam dan menguatkuasakan undang-undang Syariah, kini kurang dititikberatkan.

Ia merupakan agenda yang diperjuangkan pemimpin ulama terdahulu, Nik Aziz Nik Mat dan Haron Din, serta presiden PAS sekarang Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: AFP)

(Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Gambar fail: AFP)

Hasil tinjauan di Johor pada 2017 yang dijalankan ISEAS – Institut Yusof Ishak mendapati, 75 peratus responden kaum Melayu menyokong penguatkuasaan undang-undang hudud di negeri itu.

Peratusan lebih tinggi boleh dijangkakan di kubu-kubu PAS di negeri-negeri pantai timur.

Buat masa ini, keutamaan PAS adalah untuk mengekalkan pangkalannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tanpa perlu meluaskan pengaruhnya di negeri-negeri lain.

Ini menjelaskan mengapa para pemimpinnya bersikap berkecuali meskipun tidak diperuntukkan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, perasaan tidak puas hati dalam kalangan anggota biasa dengan status “adik bongsu” PAS boleh membawa padahnya.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam Komentar ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “PAS and the “Younger Brother” Conundrum”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan