Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penting bapa luang lebih masa bersama anak; perkukuh hubungan emosi

Bukit Merah. Rumah sewa size L. Di situlah tempat aku membesar bersama keluarga. Aku bersama adik yang dua tahun lebih muda serta ibu bapaku. Di situlah aku menghabiskan zaman kanak-kanak hinggalah ke menengah satu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukit Merah. Rumah sewa size L. Di situlah tempat aku membesar bersama keluarga. Aku bersama adik yang dua tahun lebih muda serta ibu bapaku. Di situlah aku menghabiskan zaman kanak-kanak hinggalah ke menengah satu.

Ayah bekerja sebagai seorang penyapu dan pengutip sampah di salah sebuah estet perumahan, sementara ibu pula bekerja sebagai pekerja kilang.

Desakan kehidupan membuatkan perlunya kedua-dua ibu bapa keluar bekerja demi mencari sesuap nasi. Aku, adik-beradik akan bersendirian di rumah sehingga kedua ibu bapa kami pulang dari tugasan masing-masing. Sering kali hari-hari kami diisi dengan perselisihan faham antara ibu bapa dek masalah kewangan.

Memang hubungan ibu dan ayahku tidak begitu baik dan tidak pernah baik sepanjang ingatanku.

Ayah bekerja setiap hari dari pukul 7.00 pagi sehingga 2.30 petang. Beliau merupakan seorang yang pendiam dan amat berat mulut. Setiap kali pulang dengan menaiki basikal tuanya, beliau akan membersihkan diri lalu terus ke sudut kegemarannya untuk menghisap rokok.

Gambar hiasan (Gambar: Facebook/Faishal Ibrahim)

PERBEZAAN PERANAN ANTARA AYAH DAN IBU

Sepanjang ingatan aku, beliau tidak pernah bertanya khabar kami, adakah kami sudah makan, masalah persekolahan kami dan sebagainya.

Selepas pulang dari sekolah dengan menaiki bas sekolah, kami akan menghabiskan masa bersendirian ataupun ‘curi-curi’ bermain di luar dan pulang sebelum ibu pulang dari tugasannya.

Ibu merupakan seorang yang garang dan sering kali dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab ekonomi keluarga kerana ayahku mempunyai tabiat yang kurang baik yang tak harus aku nyatakan di sini.

Kerana sikap berat mulut ayahku, aku sering bertanya apakah ayahku prihatin tentang kami? Siapakah kami di matanya?

Adakah kami bukan kepentingannya?

BENARKAH AYAH KURANG PEDULI TERHADAP ANAK-ANAK?

Dan kerana tiada jawapan, aku merumuskan beliau tidak peduli terhadap kami. Dan kerana beliau tidak mempedulikan kami, aku juga mengambil keputusan untuk juga tidak ambil endah terhadap beliau hinggalah aku dewasa.

Ketika aku ingin mendirikan rumahtangga pada usia 23 tahun, aku hanya meminta pandangan ibu sahaja. Ayah, aku tolak ke tepi. Dia menjadi orang yang kurang penting buat diriku.

Tetapi, apabila aku menimang anak sulungku pada usia 25 tahun, hati ini mula berdetik.

Sampai bila aku ingin mengetepikan insan bernama ayah.

Bukankah tanpa beliau, aku tak mungkin wujud di dunia ini. Aku masih berbinkan beliau dan nama ini akan aku bawa hingga ke akhir hayat. Sampai bila?

Masa itu beliau sudah bercerai dengan ibu dan tinggal bersama anak saudaranya di kawasan barat Singapura.

(Gambar fail: TODAY)

USAHA MEMBINA SEMULA HUBUNGAN

Aku tidak pernah rapat dengan keluarga ayahku kerana mereka juga tahu yang beliau dan ibuku tidak pernah sekata sepanjang perkahwinan mereka.

Kami putus hubungan.

Setelah berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk menjalinkan semula hubungan aku dengan ayahku. Aku membawa isteri dan anakku yang baru lahir berjumpa beliau tanpa memberitahu terlebih dahulu.

Di mana? Aku bertemu beliau di tempat beliau bertugas iaitu di salah satu blok di West Coast di mana beliau bekerja sebagai pengutip sampah. Beliau benar-benar terperanjat melihat kami. Tapi bila beliau melihat cucu pertamanya, aku lihat ada satu sinar kepuasan dan kebanggaan.

Saat itu juga aku mengambil keputusan untuk melupakan apa saja kisah masa silamku. Tiada apa yang perlu aku kupas ataupun salahkan kerana waktu itu aku menganggap semuanya sudah lenyap.

Tiada apa yang perlu dikesalkan. Kita memulakan lembaran baru. Ketika itu tiada sesiapa pun yang tahu mengenai pertemuan kami. Tidak ibuku mahupun sebelah keluarga ayahku.

Aku rasa tidak perlu aku hebahkan kepada sesiapa pun kerana dia adalah ayahku dan dia berhak menikmati kasih sayang daripada anaknya.

Kami habiskan masa bercerita tanpa sedikit pun mengungkit kisah silam. Dan aku terus mengadakan pertemuan tersebut sebulan sekali.

Malangnya, bak kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. 30hb Jun 1994. Kurang dua tahun sejak pertemuan pertama kami.

Kami sepatutnya bertemu pada hari Sabtu minggu itu yang merupakan pertemuan bulanan kami. Pagi Khamis itu, sebaik aku menjejakkan kaki ke pejabat pada pukul 8.30 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada isteri. Perkataan pertama isteri, “Bapak accident”. Dan saya bertanya bagaimana keadaannya, beliau mengatakan “Bapak sudah tiada!”.

BILA AYAH SUDAH TIADA

Pada pagi malang itu, lebih kurang pukul 6.30 pagi ketika beliau mengayuh basikal ke tempat kerja dan sedang membelok ke Pandan Garden dari Teban Garden, sebuah lori treler membelok pada masa yang sama. Basikal beliau tersangkut di bawah kenderaan tersebut dan beliau diheret sejauh 200m.

Kepala beliau terhentak di permukaan jalan raya dan beliau menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital.

Malangnya, sepuluh minit sebelum aku sampai, sepupu sebelah ayah sudah mengarahkan pihak hospital supaya menghantar jenazah ke rumah mayat kerana tiada siapa lagi yang ingin menjenguk jenazah.

Bagi mereka yang tidak tahu-menahu tentang hubungan aku dengannya mungkin berpendapat seolah-olah anak-anak beliau sudah tidak peduli.

Aku tidak menyalahkan mereka seandainya mereka bertanggapan sedemikian.

Setelah selesai menguruskan jenazah, sepupu aku menghampiriku lalu berkata. “Tapa (nama timanganku), minggu lepas bapak kau ada mengatakan antara kau adik-beradik, dia lebih menyayangi kau.”

Tergamam aku mendengarnya kerana belum pernah aku mendengar ucapan itu dari mulut beliau sendiri.

Walau bagaimanapun aku bersyukur kerana sempat membina kembali hubungan antara kita berdua dan aku berharap sangat agar beliau dapat merasakan sekelumit rasa cinta dan kasih sayang dari insan bernama anak meskipun dalam masa yang sangat singkat.

Rinduku semakin mendalam.

Sejak pemergian beliau, aku teruskan juga pertemuan bulanan kami. Tapi kali ini di pusara, menghabiskan masa bersama beliau walaupun jasadnya sudah tiada.

Kini aku adalah ayah kepada tiga orang anak dari umur 25 hingga 30 tahun. Dan sejujurnya, aku benar-benar mendambakan pelukan, kasih sayang dan keprihatinan mereka.

Mungkin silap aku kerana aku juga pendiam seperti ayah aku.

MENGENAI PENULIS:
Mustaffa Osman adalah sukarelawan dan jurulatih bersama Bapa Sepanjang Hayat (BSH) sejak 2016.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan