KOMENTAR: Pengiktirafan Palestin: Harapan Tinggi, Realiti Pahit
Warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal, yang larikan diri ke utara Gaza disebabkan operasi tentera Israel kini terpaksa ke selatan selepas penduduk Gaza City dipaksa pindah. (Gambar: Reuters/Mahmoud Issa)
Berikutan Perisytiharan itu, beberapa negara anggota, termasuk kumpulan G7 yang melibatkan Britain dan Kanada, memutuskan pada Ahad (21 Sep) untuk mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin. Dengan itu, negara-negara tersebut menyertai 147 daripada 193 negara anggota PBB yang telapun berbuat demikian. Lagi beberapa negara, termasuk Perancis, Luxembourg dan Malta, dijangka akan membuat pengumuman rasmi mereka semasa persidangan khas PBB minggu ini.
Bagi pihak Singapura, pemerintah negara ini bersedia untuk menimbang semula pendiriannya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara jika keadaan di Gaza terus bertambah buruk, kata Menteri Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin (22 Sep).
Kebuntuan ini menyerlahkan lagi realiti pahit bahawa jalan menuju pengiktirafan Palestin amat berliku-liku. Pertama, tanpa persetujuan Israel dan sokongan daripada Amerika Syarikat, tidak mungkin ada negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Kedua, menjadi tanda tanya sejauh mana pengiktirafan Palestin dalam bentuk sekarang ini boleh mengubah keadaan semasa penduduk Gaza.
ADAKAH PENGIKTIRAFAN SATU TUNTUTAN "MORAL"?
Sekali pandang, secara naluri memang sukar untuk membantah pengiktirafan Palestin. Pasti meruntun hati melihat penderitaan yang berlaku di Gaza, dengan begitu ramai yang berpendapat bahawa keputusan untuk mengiktiraf Palestin memang satu tindakan yang wajar.
Malangnya, jalan menuju ke arah usaha mengiktiraf Palestin berliku-liku. Pertama, pengiktirafan harus mencerminkan aspirasi rakyat Palestin dan tidak digunakan oleh Israel sebagai muslihat untuk mengubah suai strateginya dalam perang dengan Hamas. Ini adalah isu-isu yang tidak bersangkut paut dengan matlamat sebenar yang ingin dicapai.
Kedua, sesetengah negara anggota G7 yang telah mengorak langkah untuk mengiktiraf Palestin baru-baru ini sudahpun berbuat demikian dengan syarat-syarat tertentu termasuk keperluan untuk mencapai gencatan senjata, Hamas dikecualikan daripada proses politik, dan sokongan terhadap huraian dua negara. Sebenarnya, syarat-syarat ini tidak terlalu berbeza dengan negara-negara lain yang sudah menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam PBB. Ini termasuk Singapura.
Dalam Kenyataan Menteri yang disampaikan pada Isnin (22 Sep), Dr Balakrishnan menentang tindakan Israel, sambil menekankan kesediaan Singapura untuk mengiktiraf Palestin sebaik sahaja syarat-syarat tertentu dipenuhi, dan menyatakan langkah-langkah yang akan terus diambil oleh Singapura untuk membantu menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
Hakikatnya, Negara Palestin pada masa ini sudahpun diiktiraf oleh tiga perempat atau hampir 75 peratus daripada masyarakat antarabangsa, sekalipun Palestin belum lengkap dari segi persiapannya untuk diisytiharkan sebagai sebuah negara berdaulat. Sungguhpun demikian, ia ibarat satu sinar harapan bagi para penduduk Gaza. Lebih penting lagi, selagi Amerika Syarikat dan Israel tidak menyokong huraian dua negara, negara Palestin tidak akan wujud.
MAKNA DI SEBALIK ISTILAH "NEGARA"?
Apakah prospek yang boleh mewujudkan Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu menyingkap sejak Konvensyen Montevideo pada 1933 mengenai Hak dan Kewajipan Negara, yang menetapkan ciri-ciri asas kedaulatan sesebuah negara. Ini termasuk penduduk tetap, wilayah yang ditetapkan, pembentukan pemerintah dan keupayaan untuk menjalin hubungan dengan negara-negara lain.
Bagaimana keadaan Palestin hari ini mengikut ciri-ciri yang ditetapkan itu?
Sekali pandang, mungkin tidak timbul persoalan tentang kehadiran penduduk tetap Palestin walaupun pelbagai cara diusulkan untuk mengusir mereka daripada tanah air mereka. Natijahnya, ia lebih daripada itu. Menurut agensi yang membantu para pelarian Palestin, UNRWA, hampir 6 juta pelarian Palestin, yang atas sebab sejarah telah dipaksa meninggalkan tanah air mereka. Bagaimana sebuah negara Palestin yang berdaulat berurusan dengan mereka secara politik dan pentadbiran perlu diambil kira semasa menubuhkan negara Palestin.
Wilayah Palestin pada masa ini tidak bercantum, dengan Gaza dan Tebing Barat dipisahkan oleh wilayah Israel sejauh 40km. Walaupun ungkapan dari sungai ke laut sangat terpahat dalam sanubari golongan nasionalis Palestin, ia tidak mengiktiraf hak-hak sah Israel, maka itu pendirian tersebut tidak boleh diterima.
Begitu juga, keinginan nasionalis Palestin yang mahu menjadikan Baitulmakdis sebagai ibu negara Palestin yang merdeka, tidak mungkin akan berlaku. Konsep itu juga bertentangan dengan huraian dua negara, yang walaupun ditolak oleh Israel dan Palestin, kekal sebagai satu-satunya pilihan yang boleh dilaksanakan.
Wilayah yang kini ditadbir oleh Penguasa Palestin hanyalah setakat pada nama sahaja. Israel mengawal segala-galanya, dari akses fizikal hingga keselamatan, bekalan air dan cukai. Keadaan seperti ini tidak boleh diteruskan demi rakyat Palestin. Justeru, hala tuju yang jelas diperlukan untuk membentuk sempadan dan membina keupayaan pentadbiran supaya negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak tidak lenyap dalam sekelip mata sahaja.
Akhir sekali, pada masa ini tiada entiti yang boleh mendakwa ia mendapat sokongan daripada majoriti rakyat Palestin, dan yang mampu menguruskan dan mentadbir sebuah negara. Asas ideologi gerakan-gerakan yang mahu menentukan sendiri nasib Palestin sentiasa berbeza dan bercanggah, malah ada yang bersifat ganas. Sebagai contoh, lihatlah apa yang Hamas lakukan terhadap rakan setanah air Palestin daripada kumpulan Fatah selepas menguasai Gaza pada 2007, yang menanamkan rasa tidak percaya yang mendalam, bahkan permusuhan, antara kedua-dua pihak.
Pada masa yang sama, rasuah dan ketidakcekapan selama bertahun-tahun menghakis kepercayaan rakyat Palestin terhadap Fatah.
HAMAS ATAU TANPA HAMAS?
Ini adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan. Hamaslah yang mencetuskan keganasan terbaharu di Gaza yang mendorong Israel, dan yang digunakan oleh ramai pemimpin Israel untuk mewajarkan tindak balas mereka yang dahsyat. Namun di sebalik konsensus global bahawa Hamas tidak sepatutnya terlibat dalam masa depan Palestin, tiada petunjuk yang membayangkan bahawa mereka bersedia untuk melucutkan senjata.
Tinjauan yang dijalankan pada Mei tahun ini oleh Pusat Dasar dan Penyelidikan Palestin menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk Gaza membantah usulan untuk Hamas melucutkan senjata. Ini mungkin ada kaitan dengan kepercayaan mereka bahawa Israel tidak akan menamatkan perang sekalipun selepas Hamas melucutkan senjata. Jika diperhatikan dengan teliti, ini menunjukkan mungkin ada masalah besar untuk mewujudkan landskap politik tanpa kehadiran Hamas.
Dan kita perlu ingat bahawa Hamas dan sekutunya masih menahan hampir 50 tebusan, termasuk 20 yang dipercayai masih hidup. Pengiktirafan penuh Palestin pastinya melibatkan pembebasan para tebusan ini, tetapi ini memerlukan Hamas menyerahkan satu-satunya kelebihan yang dimilikinya buat masa ini dalam perang Gaza.
Pada masa yang sama, objektif Israel untuk menghapuskan Hamas melalui cara ketenteraan tidak akan berjaya. Sekalipun Hamas dapat dihapuskan, tindakan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di Gaza akan memastikan ideologi yang membentuk kumpulan itu akan terus kekal.
Atas sebab-sebab ini, isu pengiktirafan Palestin sebenarnya jauh lebih rumit daripada sekadar mengiktirafnya.
Semua ini menimbulkan persoalan yang membimbangkan: Adakah terdapat jalan alternatif menuju keamanan, pragmatisme dan perkongsian di Timur Tengah yang boleh memecahkan kitaran konflik ini?
Memang sukar pada masa ini untuk melihat sebarang sinar harapan dalam konflik berpanjangan dan sukar ini. Sekalipun demikian, perbincangan mungkin boleh dimulakan dengan isu pengiktirafan Palestin secara bersama.
Buat masa ini, beberapa negara Arab dan majoriti Islam tidak mengiktiraf Israel, walaupun ada yang secara senyap-senyap meneruskan hubungan ekonomi dengan Israel. Jika huraian dua negara masih sukar dicapai, adakah "pengiktirafan bersama" dalam beberapa bentuk - tanpa Hamas - menjadi sesuatu yang membimbangkan?
Semua ini bukan untuk menafikan harapan - dan hak - rakyat Palestin untuk menubuhkan negara dan tanah air mereka sendiri. Tetapi harapan bukanlah satu strategi.
Tanpa kejelasan mengenai siapa yang akan memimpin Palestin ke jalan menuju sebuah negara yang berdaya maju dan berfungsi serta masa depan ekonomi dan politik yang stabil, hakikat yang tidak menyenangkan adalah pengiktirafan yang dilakukan secara tergesa-gesa hari ini berisiko menimbulkan masalah yang lebih besar pada kemudian hari. Itulah yang cuba dicapai melalui Perisytiharan New York yang mengorak langkah seterusnya. Tetapi ia juga bermakna bahawa kita belum lagi sampai ke tahap itu.
*Rencana bertajuk Commentary: The false dawn of Palestinian recognition ini diterbitkan oleh CNA pada 23 September.
MENGENAI PENULIS:
Joseph Chinyong Liow ialah Pengerusi Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.