Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengaruh Al-Qaeda masih mencengkam M'sia 20 tahun selepas 9/11

Serangan 11 September (9/11) adalah antara serangan pengganas paling nekad dan ganas dalam sejarah moden yang meragut nyawa lebih 3,000 mangsa. Peristiwa berdarah itu menjadikan Al-Qaeda sebagai antara kumpulan pengganas rentas sempadan yang paling digeruni oleh masyarakat antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengaruh Al-Qaeda masih mencengkam M'sia 20 tahun selepas 9/11

Logo Al Qaeda di papan tanda tepi jalan di bandar Jaar di wilayah Abyan selatan Yemen pada tahun 2012. (Gambar: Hani Mohammed/AP)

BERITAmediacorp: Serangan 11 September (9/11) adalah antara serangan pengganas paling nekad dan ganas dalam sejarah moden yang meragut nyawa lebih 3,000 mangsa. Peristiwa berdarah itu menjadikan Al-Qaeda sebagai antara kumpulan pengganas rentas sempadan yang paling digeruni oleh masyarakat antarabangsa.

Meskipun berpangkalan di kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan, Al-Qaeda sudah lama dikaitkan dengan Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Dua puluh tahun selepas serangan 9/11 dan setelah Taliban kembali menakluki Afghanistan, Al-Qaeda kekal relevan di Malaysia dan ancamannya tidak boleh dipandang ringan.

JEMAAH ISLAMIYAH: KAITAN AL-QAEDA DENGAN MALAYSIA

Sekutu Al-Qaeda di Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI), ditubuhkan di Malaysia pada 1993 oleh dua pelampau Indonesia Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar. Dua lelaki itu berlindung di Malaysia antara 1985 hingga 1998 menyusuli tindakan keras pemerintah pimpinan Presiden Suharto terhadap kumpulan-kumpulan militan.

Abu Bakar Bashir. (Gambar: AFP)
(Abu Bakar Bashir. Gambar: AFP)



Matlamat utama kumpulan itu adalah untuk menubuhkan Daulah Islamiyah Nusantara, iaitu sebuah wilayah pemerintahan Islam di Asia Tenggara, merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Thailand dan selatan Filipina sebagai teras kebangkitan semula pemerintahan khalifah.

Antara 1998 hingga 2009, JI melancarkan sekurang-kurangnya 30 serangan pengganas di rantau ini, termasuk pengeboman Bali pada 2002 dan 2005, pengeboman Kedutaan Australia di Jakarta pada 2004 dan pengeboman Hotel Marriot dan Ritz Carlton di Jakarta pada 2009.

Selain menjadi tempat kelahiran JI, Malaysia juga merupakan tempat perlindungan utama dan pangkalan bagi pemerolehan dan pemindahan dana untuk operasi-operasi JI.

Operasi-operasi JI di Malaysia didalangi oleh pemimpin-pemimpin militan utama seperti Hambali, rakyat Indonesia berpangkalan di Malaysia yang menjadi wakil Al-Qaeda di Asia Tenggara, dan Dr Azahari Husin dan Noordin Top, pembuat bom yang terbabit dengan sebilangan pengeboman JI di Indonesia.

Ketua Detektif Polis Indonesia pada 21 Ogos 2003 memegang gambar dan maklumat mengenai Hambali yang dibuat oleh polis selepas letupan bom di Medan, Sumatera Utara, pada Disember 2000. (Gambar: ADEK BERRY/AFP)

Hambali yang menjalani latihan dengan Al-Qaeda di Afghanistan pada lewat 1980-an menguruskan perjalanan rakyat Malaysia ke medan-medan pertempuran seperti di Afghanistan, Poso dan Ambon di Indonesia dan selatan Filipina.

Dia juga bertindak sebagai orang tengah antara JI dengan pucuk pimpinan Al-Qaeda di Afghanistan dan mendalangi sebilangan serangan utama di Indonesia, termasuk pengeboman Malam Krismas 2000 dan pengeboman Bali 2002.

Bashir dan Sungkar juga memainkan peranan mendirikan pesantren terkait dengan JI yang dikenali sebagai Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor di Semenanjung Malaysia. Sekolah itu menyediakan pendidikan agama dengan pengaruh JI kepada pelajar-pelajar muda dan berfungsi sebagai wadah untuk merekrut pelatih-pelatih muda untuk dihantar ke kem-kem latihan Al-Qaeda di Afghanistan agar dapat menimba kemahiran dan pengalaman perang bersenjata.

Pada September 2003, 13 rakyat Malaysia diberkas dan didapati adalah anggota sel Al-Qaeda berpangkalan di Pakistan yang dikenali sebagai Al-Ghuraba (‘Orang Tidak Dikenali’). Sel itu pada awalnya diterajui oleh anak lelaki Bashir, Abdul Rahim dan kemudian dipimpin oleh adik Hambali, Rusman Gunawan.

Tujuan sel itu adalah untuk melatih anggota-anggota muda agar dapat menjalankan operasi dan memimpin JI pada masa akan datang. Sebahagian besar daripada mereka adalah mahasiswa Universiti Islam Abu Bakar di Karachi dan institusi-institusi lain dan pernah ke kem-kem Al-Qaeda di Afghanistan untuk menerima latihan mengendalikan senjata dan bahan letupan.

‘SIDANG PUNCAK’ 9/11 DI KL

Pada Disember 1999, sembilan anggota unit serangan nekad Al-Qaeda dipercayai berhimpun di Malaysia. Sebulan kemudian dan lebih setahun sebelum serangan 9/11, anggota JI tempatan Yazid Sufaat menjadi tuan rumah kepada empat anggota Al-Qaeda, termasuk dua perampas pesawat yang digunakan untuk melancarkan serangan 9/11, Nawaf al-Hazmi dan Khalid al-Midhar, di apartmennya di Kuala Lumpur atas permintaan Hambali.

kuala lumpur


Tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan perancangan serangan 9/11. Mereka turut mengambil kesempatan itu untuk meninjau-ninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang baru dibina pada ketika itu, bagi memahami langkah-langkah keselamatan di lapangan terbang tersebut dan memantau pesawat-pesawat.

Malaysia pernah menjadi destinasi 'persinggahan' utama bagi kumpulan-kumpulan pelampau disebabkan oleh dasar-dasar imigresennya yang longgar. Pada 2001, Yazid Sufaat dipercayai melakukan perjalanan ke Kandahar untuk membantu membangunkan antraks sebagai sebahagian daripada program senjata kimia Al-Qaeda.

GELOMBANG KEDUA: KOMPLOT AL-QAEDA DI BARAT AMERIKA

Menyusuli serangan 9/11, Al-Qaeda kemudian merancang siri serangan kedua pada 2002 yang dikenali sebagai “Komplot Pantai Barat” melibatkan sel lima anggota yang kesemuanya adalah rakyat Malaysia, iaitu Mohamad Farik Amin, Mohammed Nazir Lep, Zaini Zakaria, Masran Arshad dan Nik Abdul Rahman Mustaffa.

Rancangan itu melibatkan modus operandi atau kaedah yang sama, iaitu merampas pesawat untuk menyerang tapak-tapak berprofil tinggi di Amerika Syarikat termasuk Library Tower di Los Angeles.

Kelima-lima lelaki rakyat Malaysia itu dipilih selepas Al-Qaeda menyedari para individu berketurunan Arab dipandang dengan penuh syak wasangka selepas 9/11.

Kebolehan rakyat Malaysia untuk bertutur dalam bahasa Inggeris juga merupakan satu kelebihan. Hambali menguruskan perjalanan anggota-anggota sel itu untuk menjalani latihan di kem Al-Farouq di Afghanistan di mana mereka dilatih dalam bidang pertempuran gerila serta penggunaan senjata api dan bahan letupan. Mereka juga mengikrarkan taat setia kepada pemimpin-pemimpin kanan Al-Qaeda.

Rancangan mereka bagaimanapun berjaya dipatahkan selepas Masran dan Zaini diberkas oleh pihak berkuasa Malaysia pada 2002. Nazir Lep, Farik Amin dan Hambali diberkas di Thailand pada 2003 dan sedang ditahan di Guantanamo Bay. Zaini dibebaskan dari tahanan polis pada 2009 manakala status Masran dan Nik Abdul masih belum diketahui.

ADAKAH AL-QAEDA SUDAH LENYAP DARI MALAYSIA?

Sedang Indonesia memperhebatkan usaha untuk menangkap anggota-anggota JI sejak 2018, operasi serupa terhadap individu-individu pro Al-Qaeda di Malaysia bagaimanapun tidak begitu rancak. Ini sebahagiannya disebabkan oleh dasar-dasar antipengganasan Malaysia yang semakin berkesan dalam mencegah kehadiran fizikal kumpulan pengganas berbilang negara itu di Malaysia.

Institut Analisis Dasar bagi Konflik yang berpangkalan di Jakarta berpendapat JI kehilangan pangkalannya di negara itu sejak Malaysia melancarkan pemberkasan besar-besaran anggota JI selepas 9/11.

Sungguhpun demikian, ini tidak bermakna tiada rakyat Malaysia yang terkait dengan Al-Qaeda hari ini.

Salah seorang daripada mereka ialah Ahmad Mustakim Abdul Hamid yang baru-baru ini diberkas dan dipenjara di Somalia kerana menganggotai kumpulan rangkaian Al-Qaeda, Al-Shabab.

Dengan landskap pengganasan yang kian berubah-ubah, Malaysia perlu terus berwaspada terhadap ancaman Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya. Ini lebih-lebih lagi didatangkan oleh sebilangan rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Asia Selatan dan Timur Tengah untuk 'mendalami pengajian' seperti mana pernah berlaku dengan “sel Ghuraba” melibatkan enam rakyat Indonesia, 13 rakyat Malaysia dan dua rakyat Singapura.

Mereka menggunakan 'pengajian' sebagai muslihat untuk merahsiakan kegiatan-kegiatan pengganasan, terutamanya sebagai sebahagian daripada rangkaian pro Al-Qaeda.

Ahmad Mustakim sebenarnya menjadi radikal ketika menuntut di Yaman sebelum dia berpindah ke Somalia untuk menyertai Al-Shabab pada 2009. Setelah Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos, ada kemungkinan Al-Qaeda akan kembali bergiat aktif di negara itu.

Anggota Taliban berkawal di luar sebuah masjid di Kandahar, Afghanistan pada 15 Okt 2021 susuli satu serangan. (Gambar: JAVED TANVEER/AFP)

Jika kemungkinan itu berlaku dan kem-kem latihan Al-Qaeda dibangunkan semula, Afghanistan mungkin akan dijadikan sebagai destinasi utama untuk anggota-anggota pengganas Asia Tenggara, termasuk rakyat Malaysia menjalani latihan dan menimba pengalaman di medan pertempuran seperti mana berlaku pada 1980-an dan 1990-an.

Seperti pada satu ketika dahulu, Malaysia menjadi destinasi persinggahan dan tempat perlindungan bagi para pengganas, terutamanya Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya disebabkan oleh dasar-dasar perjalanan tanpa visa.

Sebagai contoh pada Disember 1995, anggota Al-Qaeda Wali Khan Amin Shah, sekutu rapat Osama bin Laden, didapati bersembunyi di Malaysia dan diberkas di Langkawi.

Rasa simpati juga menebal dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia terhadap kumpulan-kumpulan pro Al-Qaeda termasuk Taliban. Kenyataan baru-baru ini oleh Cawangan Khas Malaysia mengulas tentang kehadiran anggota-anggota JI yang signifikan di negara itu.

Pemberkasan terakhir yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dilakukan pada 2019 dan ia membabitkan tujuh anggota sekutu Al-Qaeda di Tunisia, Al-Shariah Al-Tunisia, yang sedang dalam perjalanan transit dan merancang serangan ke atas negara-negara lain ketika berpangkalan di Malaysia.

Kumpulan-kumpulan yang menyokong Al-Qaeda masih kekal aktif di rantau ini dan ini terbukti dalam pemberkasan anggota-anggota JI baru-baru ini di Indonesia.

Selain itu, bekas pemimpin kanan JI yang menyokong Al-Qaeda seperti Abu Bakar Bashir dan Abu Tholut dari Indonesia dan Yazid Sufaat di Malaysia sudah dibebaskan dari penjara baru-baru ini. Memandangkan masih ramai anggota rangkaian JI masih berleluasa di rantau ini, rangkaian-rangkaian itu dengan mudah boleh diaktifkan semula.

Malaysia juga perlu terus memantau masyarakat-masyarakat warga asing seperti Rohingya di negara itu yang mudah terdedah kepada usaha untuk merekrut anggota baru kumpulan pengganas dan sebilangan daripada mereka sama ada menyokong Al-Qaeda ataupun ISIS.

Lantaran itu, sejajar dengan keadaan geopolitik dan keselamatan yang bergolak, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19, keperluan untuk terus berwaspada harus dititikberatkan.

Dengan Malaysia sebahagian besarnya kekal sebagai sebuah negara yang terbuka, ia perlu bekerjasama dengan agensi-agensi risikan antarabangsa dan mengawasi suspek-suspek pengganasan sebagai satu-satunya kaedah untuk menjaga dan melindungi keselamatan Malaysia dan masyarakat antarabangsa juga.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman The Diplomat bertajuk “20 Years After 9/11, Al-Qaida Retains a Deadly Relevance in Malaysia”.

MENGENAI PENULIS:
Rueben Ananthan Santhana Dass adalah penganalisis penyelidikan di Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Pengganasan, sebuah unit Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Jasminder Singh adalah penganalisis kanan di Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Pengganasan, sebuah unit Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Sumber : BERITAmediacorp/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa