Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: ‘Pengaraban’, amalan konservatif dan sikap eksklusif – di mana masalahnya?

‘Pengaraban’ atau ‘arabisation’ yang menjadi bahan perbincangan sejak kebelakangan ini, biasanya dikaitkan dengan apa yang dilihat sebagai peralihan dalam amalan Islam seharian yang melibatkan tanda-tanda identiti budaya Arab.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: ‘Pengaraban’, amalan konservatif dan sikap eksklusif – di mana masalahnya?

Wanita memakai niqab. (Gambar: AHMAD AL-RUBAYE/AFP)

Apakah pendekatan kita dalam membincangkan gejala ‘pengaraban’ dan fahaman eksklusif mencerminkan penelitian yang tidak kritikal dan membina? Penyelidik bersekutu Muneerah Abdul Razak berhujah bahawa fahaman eksklusif sebenarnya boleh ditangani dengan baik jika kita dapat menyangkal salah tanggapan terhadap isu  ‘pengaraban’ itu sendiri.

‘Pengaraban’ atau ‘arabisation’ yang menjadi bahan perbincangan sejak kebelakangan ini, biasanya dikaitkan dengan apa yang dilihat sebagai peralihan dalam amalan Islam seharian yang melibatkan tanda-tanda identiti budaya Arab.

Ini dimanifestasikan menerusi ketaqwaan luaran (outward manifestation of piety) yang menurut ramai adalah gejala yang amat ketara di kalangan golongan kelas pertengahan Muslim.

Ia boleh diperhatikan dari segi pakaian, gaya berbahasa dan tabiat atau amalan seharian golongan ini.

Dari mata kasar, para pemerhati fenomena ini mengatakan bahawa terdapat lebih ramai orang Melayu/Islam yang menggayakan pakaian baju panjang (abaya atau jubah) dan niqab (menutup hidung dan mulut).

Dari segi bahasa pula, dikatakan orang Melayu Islam lebih banyak menggunakan istilah Arab, menggantikan kata-kata Melayu seperti ucapan “Eid Mubarak”, bukan “Selamat Hari Raya”; menggunakan perkataan “syukran”, bukan “terima kasih”; dan “hijab”, bukan “tudung”.

AMALAN SEHARIAN
Dari segi amalan seharian, timbul perbincangan tentang tindakan seperti tidak berjabat tangan dengan yang bukan mahram, menyimpan janggut dan tidak mahu memberi ucapan, seperti “Merry Christmas” kepada orang bukan Islam semasa perayaan mereka, dan lain-lain lagi yang dianggap sebagai amalan dari budaya bangsa Arab.

Di sebalik ini, konsep ‘pengaraban’ mengandaikan juga bahawa penyesuaian terhadap adat istiadat, tradisi dan budaya yang berlainan (dari budaya Arab) menyebabkan penyimpangan daripada keaslian dan kemurniaan agama Islam.

‘Pengaraban’ dilihat sebagai norma bentuk Islam yang murni dan yang patut diikuti oleh umat Islam di seluruh dunia.

Dalam satu forum di Malaysia pada tahun 2016, ahli sosiologi Syed Farid al-Atas dan ahli sejarah Eddin Khoo menjelaskan bahawa dalam usaha untuk mencapai ketulenan dan keseragaman Islam, orang Melayu menerima budaya luaran, iaitu budaya orang Arab.

(Gambar: NUS)

Mereka menambah dan menegaskan bahawa asal masalah pengaraban berpunca daripada konflik geopolitik negara-negara Arab dan Iran. Mereka berpendapat bahawa sebab utamanya adalah kerana rasa kurang yakin diri masyarakat Melayu dan persepsi yang amalan orang Arab adalah yang lebih asli dan sahih.

Selain daripada persepsi “kesucian”, satu lagi kecenderungan yang sering dikaitkan dengan pengaraban adalah pandangan hidup yang eksklusif (exclusive worldview).

Pandangan hidup ini tidak menggalakkan hubungan rapat antara Islam dan agama lain.

Sebenarnya pengaraban itu bukan sesuatu yang bermasalah. Ia hanya menjadi punca kebimbangan apabila ia sifat eksklusif dan mengakibatkan penghakisan budaya Melayu.

NARATIF ORIENTALIS
Apabila kita menggunakan wacana pengaraban untuk memahami masyarakat Islam Singapura, kita tidak terlepas dari pandangan Orientalis.

Dalam menentukan apa itu pengaruh budaya “Arab” atau “asing” kepada masyarakat Muslim Singapura, kita hanya ‘memisahkanan’ (othering) ciri-ciri keAraban dan tanda-tanda yang dianggap Arab.

Pelbagai budaya orang Arab dikelompokkan di bawah label “Arab”, sedangkan pada hakikatnya, Timur Tengah mempunyai masyarakat Arab yang pelbagai dan pemikiran agama yang berbeza-beza.

Amalan membuat generalisasi terhadap budaya Arab kepada bahasa, pakaian dan pandangan dunia eksklusif dalam wacana pengaraban merupakan apa yang dikomentar oleh sarjana Edward Said mengenai Orientalisme.

(Gambar: Amazon)

Orientalisme merujuk kepada sikap umum penjajah Barat terhadap masyarakat Timur (Orient), iaitu masyarakat Timur Tengah, Asia dan Afrika.

Said menulis bahawa Orientalisme adalah satu cara untuk melihat dunia yang memandang rendah masyarakat-masyarakat Timur dan mendakwanya statik dan kurang berkembang.

Dengan menggunakan lensa Orientalisme ini, masyarakat Melayu/Islam dianggap sebagai masyarakat penerima ‘pasif’ yang mudah dipengaruhi oleh Timur Tengah.

“ISLAM ARAB” ATAU “ISLAM MELAYU”
Pengaraban juga mewujudkan pengkategorian yang sering digunakan: “Islam Arab” sebagai Islam yang asing berlainan daripada “Islam Melayu” atau “Islam Nusantara” sebagai Islam tempatan atau serantau.

Ciri-ciri yang dikaitkan dengan Islam dunia Arab adalah ortodoksi, tradisional, konservatif dan penafsiran literal Qur’an dan Hadis. Aliran Islam ini seringkali dilabel sebagai Salafisme atau Wahhabisme. Islam Nusantara pula dikaitkan dengan heterodoksi, kesederhanaan, toleran dan inklusif.

Dikotomi ini tidak tepat kerana kedua-dua rantau mempunyai ciri-ciri (kepelbagaian) yang amat dinamik, dan tidak boleh ditakrifkan melalui ciri-ciri umum.

(Gambar: Masjid Yusof Ishak)

Ciri-ciri kesederhanaan, toleransi dan pluralisme adalah prinsip yang dihasratkan oleh setiap masyarakat Islam dari pelbagai kawasan.

Ciri-ciri sebegini tidak istimewa hanya bagi ‘Islam Nusantara’ sahaja kerana kepelbagaian gagasan dan kecenderungan juga wujud dalam Islam yang diamalkan di rantau ini dan di rantau lain.

MASALAH WACANA ‘PENGARABAN’
Wacana pengaraban secara tidak langsung mencerminkan teori mengenai radikalisme: teori “conveyor belt ”, di mana jika seseorang itu memapar tanda-tanda pengaraban; akibatnya, dia mudah dan akan terpengaruh oleh ekstremisme; kemudiannya, radikalisasi dan akhirnya, keganasan.

Perkembangan linear ini menganggap bahawa konservatisme ada kemungkinan yang tinggi yang ia boleh membawa ke keganasan yang paling ekstrem”.

Padahal seperti diterangkan oleh Olivier Roy, “proses radikalisasi ada kaitan kecil sahaja dengan pengaruh agama. Selain itu, teologi radikalisme, seperti Salafisme, tidak semestinya membawa kepada keganasan”.

Dengan fokus akan pengaraban, kita mengurangkan kepentingan faktor-faktor asas yang menyebabkan keganasan: masalah autorianisme di Timur Tengah, tadbir urus yang lemah, rasuah, tekanan bilangan penduduk dan pembangunan ekonomi yang lemah.

Di samping itu, kita harus pertimbangkan masalah permazhaban (sektarianisme), etnik, puak, imperialisme Amerika Syarikat, perdagangan senjata, hubungan antarabangsa dan banyak faktor politik yang lain.

Tanpa tumpuan kepada eksklusivisme, ia menimbulkan persoalan sama ada Singapura (dan pemerintah dunia yang lain) memainkan peranan aktif dalam menangani punca-punca pokok yang menyebabkan pengganasan.

KONSERVATISME DAN EKSKLUSIVISME
Walaupun saya tidak bersetuju dengan konsep pengaraban, saya tidak menafikan bahawa terdapat peningkatan keagamaan (secara global, bukan sahaja dalam masyarakat Islam).

Kesedaran Islam yang semakin meningkat ini telah dinyatakan dalam pelbagai cara, dengan pelbagai manifestasi.

Sebahagian kecil masyarakat telah menerima tafsiran Islam yang tegar. Ini menimbulkan budaya eksklusif di Singapura.

Walaupun demikian, ia perlu ditekankan bahawa sikap eksklusif itu tidak terhad kepada satu orientasi dalam Islam. Oleh itu, perlu ada perbezaan antara menentukan amalan konservatif dan esklusivisme.

Wanita Islam Singapura yang memakai niqab masih sangat terlibat dan produktif dalam masyarakat kita yang pelbagai agama. Lelaki Muslim yang memutuskan untuk tidak berjabat tangan dengan yang bukan mahram, masih berinteraksi antara satu sama lain dengan hormat.

Apabila, seseorang memutuskan untuk memakai jubah, ia tidak semestinya bermaksud bahawa terdapat lebih banyak kesahihan yang diberikan kepada amalan konservatif – pilihan memakai jubah itu boleh disebabkan oleh kemudahan, harga, keselesaan atau gaya.

Kita harus memahami bahawa amalan konservatif tidak semestinya bermaksud penolakan budaya tempatan atau nilai-nilai kebangsaan.

MENANGANI ESKLUSIVISME?
Di sini, kita harus menentukan apa yang dimaksudkan oleh “eksklusif”. Eksklusivisme itu adalah pemikiran sempit dan sikap tegar terhadap agama, di mana seseorang menegaskan bahawa pemahaman mereka tentang Islam adalah yang paling sahih, paling tepat dan ini biasanya, disahkan oleh tuntutan kembali kepada sumber-sumber Islam – Qur’an dan sunnah (jalan Nabi Muhammad S.A.W.).

Khutbah Aidiladha di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: BERITAmediacorp/Muhammad Ruzaini Mohamed Rashid)

Pemikiran dan pendekatan sempit ini membawa kepada amalan yang boleh memecah-belahkan masyarakat – tidak menghormati, membenci, menghina atau menghukum orang lain yang enggan mengikutinya.

Hanya dengan mengabaikan konsep pengaraban, maka kita dapat kemudian menentang eksklusivisme.

Orientasi eksklusif boleh diatasi dengan peningkatan pendidikan masyarakat Islam – kita harus mempunyai pemikiran yang lebih mendalam dan matang tentang perbezaan antara agama dan pelbagai tafsiran, pemikiran dan orientasi dalam Islam juga.

Aliran utama dalam Islam, iaitu pengajaran berdasarkan Al-Quran dan Hadis, seringkali mengutamakan adab, akhlak, beramal dengan ilmu dan untuk menghormati semua ciptaan Allah – orang dari agama yang berlainan, kelas sosial, kaum, kebangsaan, tambahan juga haiwan dan dunia kita.

Pada hakikatnya, perlu ada tumpuan kepada pendidikan agama yang memperkasakan masyarakat Islam untuk menjadi refleksif dalam berinteraksi dengan penafsiran Al-Quran dan Hadis.

Masyarakat Islam Singapura hari ini harus bijak dalam menerima pengajaran Islam yang selaras dengan keseluruhan prinsip Al-Quran – iaitu keadilan dan rahmah.

SIKAP BERTANGGUNGJAWAB
Di samping itu, kita juga perlu bertanyakan secara kritikal tentang bagaimana kita memahami soal ‘perbezaan’ dan kepelbagaian budaya (multikulturalisme). Cherian George pernah berhujah bahawa kepelbagaian boleh ditangani melalui etika sivik (civic ethos).

Ia melibatkan pengertian masyarakat tentang kehidupan yang baik dengan mengambil kira kesejahteraan orang lain termasuk orang yang sangat berbeza daripada kita.

Di samping mempromosikan pendidikan Islam, adalah lebih penting untuk kita memupuk dalam diri kita semangat untuk menjadi anggota masyarakat awam yang bertanggungjawab.

Kita haruslah bersedia menangani apa-apa kesan dari tingkah laku kita dan berani berbincang dan mempertimbangkan tentang perbezaan pemikiran, agama dan budaya secara terbuka dan objektif.

Dengan sikap terbuka ini, matlamat untuk memahami, dan bukannya untuk bertolak ansur sahaja, akan dapat dipupuk.

MENGENAI PENULIS:

Muneerah Ab Razak adalah penyelidik bersekutu di MEI-Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS). Bidang kajian beliau adalah agama dan politik dan pemikiran politik komparatif. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita